Sebaik saja kereta
diparkir, Zarra terus melompat keluar dari kereta. Naik kematu punggungnya
duduk di dalam kereta hampir tiga jam sedangkan perjalanan dari rumah mertua ke
rumah ibu bapanya mengambil masa cuma satu jam. Harriz sengaja membawa dia
ronda-ronda di sekitar Kuala Lumpur. Kata Harriz, sudah lama dia tidak melihat
Bandar Kuala Lumpur. Banyak perubahan yang berlaku di Bandar itu.
Lagi satu, dia rasa ingin termuntah menghadap kesesakan
jalan raya walaupun bukan dia yang memandu. Harriz pula kelihatan tenang
seolah-olah tiada apa yang berlaku. Hampir maghrib juga mereka tiba di rumah.
Sudah lah dia tidak menyiapkan lagi kerja rumah yang diberi oleh guru di
sekolah. Baju pun belum digosok.
“Mama! Zarra dah balik.” Jerit Zarra sambil masuk ke
dalam rumah. Beg tangannya dibiarkan saja Harriz membawa masuk ke dalam. Malas
mahu membawa beg tangan yang penuh isinya. Bukan setakat barang-barang miliknya
yang disumbat di dalam beg tangan. Dompet, telefon bimbit, jam tangan dan pelbagai
lagi barang milik Harriz turut disimpan di dalam beg tangannya. Sudah macam
stor menyimpan barang.
Harriz hanya mampu menggeleng kepala melihat Zarra
terjerit-jerit memanggil Puan Dayana. Baru dua hari tidak bersua muka, sudah
rindu bagaikan tidak berjumpa dua tahun. Beg pakaian di dalam but kereta
diambil lalu melangkah masuk ke dalam rumah setelah mengunci kereta.
Bunyi bising di ruang tamu membantutkan kerja Puan Dayana
di dapur. Dia menjenguk sedikit untuk melihat siapa yang datang ke rumah waktu
Maghrib begini. Apabila melihat Zarra berjalan laju menuju ke dapur, dia terus
tersenyum. Dilihatnya Zarra gembira lain macam.
“Tak reti bagi salam?” sindir Puan Dayana apabila Zarra
terus merangkul tubuhnya dari arah belakang.
“Assalamualaikum mama!” ujar Zarra. Pelukannya
dirungkaikan.
“Waalaikumussalam.” Jawab Puan Dayana. Lehernya
dipanjangkan mencari Harriz. Tak akan Zarra pulang sendirian ke rumah.
“Cari menantu lah tu?” tegur Zarra lalu mencebik.
Puan Dayana tersengih. Kepalanya diangguk laju sebelum
tawanya meletus. Zarra menjulingkan mata malas mahu melayan mamanya.
“Haaa! Tu pun menantu mama. Abang, meh sini. Mama dari
tadi sebut-sebut nama abang. Sampai nak tercekik Zarra dengar.” Zarra memanggil
Harriz yang baru melangkah masuk ke ruang dapur. Dia memerhati saja Harriz
bersalam dengan ibunya. Nampaknya, Harriz seperti tiada masalah dengan
keluarganya. Bagus! Cuma di saja yang ada masalah dengan keluarga Harriz.
Nadira!
“Dah, pergi naik atas. Mandi, solat. Lepas tu kita boleh
makan sama-sama lepas papa balik dari surau.” Ucap Puan Dayana. Sambal yang
ditumis memang memberi bau yang semerbak. Kecur liur dibuatnya.
“Beres madam!
Jom Encik Harriz. Zarra tunjukkan bilik kesayangan Zarra yang penuh dengan
warna merah jambu. Tak macam bilik abang yang warna merah campur biru. Pening
Zarra tengok. Cita rasa abang memang fail!”
Harriz ketawa saja mendengar komen daripada Zarra. Apa nak buat, nasib badan
lah dapat isteri perangai yang belum matang. Masih berjiwa keanak-anakan.
Puan Dayana galak ketawa melihat gelagat Zarra yang
menarik Harriz supaya mengikutnya ke bilik. Lega sungguh rasanya melihat Zarra
yang dapat menerima Harriz dengan cepat. Baru tenang hatinya untuk ke Jordan.
Ada sudah yang dapat menjaga anak bongsunya dengan baik.
Usai menunaikan solat Maghrib, Zarra turun terlebih
dahulu ke dapur untuk membantu mama. Itu pun disebabkan arahan Harriz. Harriz
sudah menggunakan kuasa veto nampaknya. Terkumat-kamit bibir merungut dengan
arahan Harriz. Senakal-nakal dia, dia masih tahu tanggungjawab suami isteri.
Itu pun nasib baik sudah belajar masa di sekolah semasa subjek Pendidikan
Islam.
Tanggungjawab yang lain, sanggup lah dia buat.
Yang lagi satu tu, minta simpang dulu sebelum tamat SPM. Lagipun, dia segan.
Sudah lah kahwin tanpa ada sesi perkenalan dengan suaminya. Nasib baik Harriz
boleh menerimanya dan dia juga sama sekali tidak kisah soal itu. Dia bukannya
tahu malu. Sebab itu dia boleh berperangai selamba meskipun mereka baru saja
berkahwin. Kalau orang lain? Sudah tentu masing-masing tidak bercakap. Membisu
saja.
Zarra
duduk di kerusi memerhati Puan Dayana yang sibuk mengemas dapur. Tak tahu untuk
berbuat apa, terus dia bertanya, “Ada apa-apa yang boleh Zarra tolong?”
Spontan
Puan Dayana menoleh ke belakang. Kus semangat. Tiba-tiba saja ada suara yang
menyapa dari arah belakang, sesiapa pun akan terkejut. Sejak tadi lagi dia
seorang diri di dapur. Mujur jantung masih kuat.
“Apa
kena dengan Zarra ni? Mimpi apa semalam tiba-tiba nak tolong mama?” Puan Dayana
menyambung mengelap kabinet yang kotor dengan sisa-sisa minyak yang melekat.
“Orang
suruh Zarra turun tolong mama. Kalau tak, jangan harap lah. Sampai bila-bila
pun Zarra takkan tolong.” Balasnya selamba. Balang biskut yang ada di atas meja
diambil. Sekejap saja, sekeping biskut selamat masuk ke dalam perutnya.
Puan
Dayana menyandar pada kabinet menghadap Zarra yang leka dengan biskut. Dia
memeluk tubuh sebelum bersuara. “Patuh cakap suami? Cakap mama dengan papa dulu
tak nak patuh pun.”
Zarra
mengeluh perlahan. Dia memandang Puan Dayana dengan mata sengaja dikecilkan.
“Menantu mama tu suka membebel tau. Dua puluh empat jam dia bercakap kecuali
masa tidur. Naik bernanah telinga ni dengar dia bercakap. Suara tu kalau sedap
tak apa lah jugak. Boleh dimaafkan. Ini suara macam katak panggil hujan. Macam
mana Zarra tak ikut arahan dia.”
Harriz
yang baru turun dari tingkat atas, memasang telinga apabila mendengar Zarra
bercerita soalnya. Bibir diketap agak kuat. Pandai-pandai saja Zarra
mereka-reka cerita mengenai suaranya yang tidak sedap. Kalau soal membebel,
boleh lagi diabaikan. Rasanya, suara yang dianugerahkan untuk dirinya lemak
merdu bagai buluh perindu.
Dia
melangkah ke dapur dengan perlahan-lahan. Dia meletak jari telunjuk di bibir
menyuruh Puan Dayana berpura-pura tidak melihatnya. Saja mahu mengenakan Zarra
yang bersungguh-sungguh bercerita. Dia mengangguk saja mendengar cerita yang
keluar dari mulut Zarra. Puan Dayana cuba menahan tawa melihat menantunya yang
duduk membelakangi Zarra.
“Lagi
satu kan, ma. Bukan nak burukkan suami kesayangan Zarra tu. Eh, kejap! Sayang
ke?” Zarra diam sejenak sebelum menyambung kata-katanya. “Sayang lah sikit
sebab suami kan.. Dia suka tuduh Zarra tidur lasak. Padahal bukannya salah
Zarra dia jatuh katil. Zarra kan orang yang paling sopan kalau tidur. Sengaja
je dia nak malukan Zarra. Ish tak patut betul lah.”
“Ye
ke? Ish, ish, ish. Tak patut betul Harriz buat macam tu dekat anak mama kan.
Dia buli Zarra lah ni?” Puan Dayana melayan saja cerita Zarra.
“Bukan
dia yang buli Zarra. Zarra yang suka buli dia.” Zarra tersengih. Nah! Mengaku
juga akhirnya.
“Ehem!”
Harriz berdehem kuat sehingga membuatkan Zarra terlompat bangun dari kerusi.
Terkebil-kebil dia memandang Harriz yang merenung tajam ke arahnya.
Wajah
Puan Dayana pula dipandang. Kelihatan mama nya seolah-olah tidak mahu berkata
apa-apa. Dia tersengih lagi. Kali ini lebih lebar sengihannya. Gugup memandang
Harriz di hadapannya.
“Cerita
lah lagi.” Ujar Harriz. Wajahnya sengaja diseriuskan padahal hendak pecah
perutnya menahan tawa.
“Cerita
dah tamat. Happy ending!” Zarra
menepuk tangan dekat kuat. Serentak dengan itu juga, dia terus melarikan diri
ke ruang tamu. Kebetulan pula Encik Zaril baru pulang dari surau. Terus dia
menerkam dan menyorok di belakang papa nya.
Hairan
Encik Zaril dengan tingkah Zarra. Sudah lah anaknya pulang mengejut. Tiba-tiba
saja terus menyorok di belakang tubuhnya. Kemudian, terpacul pula Harriz di
depan mata dengan nafas yang tidak teratur.
Puan
Dayana ketawa besar melihat keadaan itu. Tambahan pula dengan wajah hairan
suaminya. Makin galak dia ketawa.
“Kenapa
kamu ni, Zarra?” tanya Encik Zaril. Dia cuba meloloskan diri dari pelukan
Zarra. Akhirnya, dia berjaya.
“Tak
ada apa-apa. Jom makan.” Zarra mengubah topik. Dia menarik papa nya terus ke
ruang makan. Dengan sibuk dia menuang minuman ke dalam gelas dan menceduk nasi
ke dalam pinggan.
“Anak
abang ni lah. Mengadu macam-macam pasal dia dengan Harriz. Bukannya betul
cerita dia tu. Saja ditokok tambah. Geram lah Harriz dengan anak kita ni. Mulut
tak ada insurans.” Beritahu Puan Dayana sebaik melabuhkan punggung di kerusi.
Encik
Zaril memandang Harriz yang tersengih. “Dia cerita apa dekat mama, Harriz?”
tanya Encik Zaril.
“Tak
ada apa sangat pun papa. Dia bocorkan rahsia dia sendiri. Dia sendiri yang
tidur buas, dikatanya Harriz yang tuduh dia. Saja nak bermanja dengan mama lah
tu. Dekat rumah pun tak habis-habis ajak balik sini.” Harriz ketawa sesudah
selesai bersuara.
Zarra
mencebik. “Apa-apa je lah. Masa makan tak boleh bercakap.” Celah Zarra.
“Sejak
bila anak papa tahu waktu makan tak boleh bercakap? Selalunya Zarra yang
berceloteh tak henti-henti.” Ujar Encik Zaril.
“Papa
ni!” bentak Zarra. Nasi disuap ke dalam mulut sebanyak yang mungkin. Malu dia
di hadapan Harriz.
“Sudah,
sudah. Kejap lagi kita berborak panjang. Zarra, bagi ayam masak merah tu dekat
Harriz.” Puan Dayana berjaya menenangkan keadaan. Seketika kemudian, suasana
yang tadinya riuh-rendah menjadi sunyi sepi.
Cuma
sesekali saja kedengaran suara Zarra yang meminta itu ini.
Pintu
bilik dibuka perlahan supaya tidak menganggu konsentrasi Zarra yang sedang
bertungkus lumus menyiapkan kerja rumah. Kalau bukan kerana umi dan babah yang
bersungguh-sungguh ingin mereka disatukan pada minggu ini dengan alasan
mertuanya ingin ke Jordan pada minggu depan, pasti Zarra tidak perlu
bersengkang mata menyelesaikan kerjanya.
Harriz
duduk di sofa dan mengambil sebuah majalah. Dibelek kulit hadapan majalah itu
dengan teliti. Tiada langsung yang menarik minatnya setelah membaca isi
kandungan. Dia beralih pula ke katil. Penuh di atas katil dengan patung-patung
beruang milik Zarra. Ada pelbagai warna. Merah, coklat, peach… Paling banyak
sudah tentu warna merah jambu.
Pusing
kepalanya sebaik melangkah masuk ke bilik Zarra petang tadi. Serba-serbi merah
jambu. Daripada tirai, cadar, sofa dan termasuklah warna cat dinding. Semuanya
merah jambu.
Zarra
yang mendengar derap tapak kaki pantas menoleh ke belakang. Harriz sedang memeluk
salah satu patung beruang kesayangannya. Nampak comel pula lelaki itu memeluk
patung beruang. Tawa kecil meletus akhirnya.
Harriz
yang leka melayan perasaan terus memandang Zarra yang sudah duduk menghadapnya.
Dia mengangkat kening bertanya.
“Tak
nak tidur lagi? Dah pukul sebelas lebih.” Ucap Zarra seraya memandang jam
dinding.
“Abang
kena tunggu Zarra siapkan semua kerja tu. Baru abang boleh tidur dengan tenang.
Baju dah gosok?”
Zarra
menepuk dahi. Sungguh dia terlupa untuk menggosok baju. Perlahan dia menggeleng
kepala sambil mencebik.
“Mana
baju sekolah? Bagi abang gosokkan.” Harriz menawarkan diri untuk membantu.
Kasihan kalau dibiarkan Zarra menggosok baju di tengah malam. Pukul berapa pula
gadis itu hendak tidur. Sudah lah liat untuk bangun pagi.
Bagai
orang mengantuk disorongkan bantal, Zarra terus membuka almari dan mengambil
pakaian seragam sekolah lalu diberi kepada Harriz. “Terima kasih daun keladi.”
Ucapnya ringkas sambil tersenyum manis.
“No problem.” Harriz mengusap perlahan
kepala Zarra lalu menghampiri papan seterika. Mujur dia pernah melihat umi nya
menggosok baju kurung. Dapat juga dia berbakti kepada isteri.
Seronoknya
Zarra bila dilayan sebegitu. Tiba-tiba dia tersengih. Bagus juga mama
menyuruhnya berkahwin. Boleh minta tolong suami gosokkan baju, temankan dia
menyiapkan kerja rumah… Kalau minta tolong mama, jangan harap. Berangan saja
lah.