“Zarra tak suka abang keluar dengan cikgu tadi tu. Lepas ni abang jangan keluar dengan dia
lagi. Dekat sekolah pun jangan nak rapat-rapat sangat. Berbulu mata Zarra
tengok dia menggeletis tadi. Hishh! Geli.” Rungut Zarra sebaik saja masuk ke
dalam kereta.
Harriz hanya tersengih. Itu saja yang dia mampu untuk
lakukan saat ini. Sememangnya dia sangat bersyukur apabila Zarra melakukan
segmen terjah menerjah tadi. Terselamat dia daripada Cikgu Batrisya. Selepas
ini, sumpah dia takkan keluar lagi dengan minah kebaya tu. Pesanan Cikgu Ikmal
akan diingat sampai bila-bila.
“Lusa ni ada peperiksaan percubaan kan? Abang tak nampak
pun Zarra study. Melayan
internet adalah.” Harriz mengubah topik perbualan.
“Zarra study dekat
sekolah dengan kawan-kawan. Sebab tu balik lambat. Bagilah peluang Zarra nak
rehat waktu malam. Penat tau.” Gumam Zarra.
Harriz hanya mengiakan saja kata gadis itu. Asalkan
belajar sudah. Jangan pula mengelat dan langsung tidak mahu belajar. Itu lagi
haru.
“Zarra.” Panggil Harriz kemudiannya.
“Hmm?’
“Lagi sebulan kan Zarra nak final semester STPM. Lepas tu kita pergi holiday. Nanti pilihlah tempat mana
yang Zarra nak pergi. Abang bawa Zarra.” ujar Harriz tersenyum manis.
“Wow! Holiday?
Kenapa tak honeymoon je?” Tanya Zarra
nakal. Tersengih-sengih menayang gigi.
“Holiday dengan
honeymoon tu sama je lah. Haih dah
gatal sangat ni dah kenapa? Lepas SPM baru fikir honeymoon. Sekarang, kita guna perkataan holiday yang membawa maksud bercuti.” Omel Harriz lagi. Geli
hatinya mendengar kata-kata Zarra. Haih nakal sungguh.
Bibirnya diherotkan. “So
sweetlah abang ni.” Sengaja dia menyindir Harriz.
“Abang memang dari dulu lagi sweet. Baru perasan ke?”
Zarra membuat reaksi konon-konon mahu muntah. Sudahnya,
dia membiarkan saja Harriz melayan perasaan dan fokus memandu. Dia pula ambil
kesempatan untuk melelapkan mata. Lagi pula, esok cuti. Tak perlu dia pusing
kepala memikirkan kerja sekolah. Bahagianya hidup.
Sampai saja di rumah, Zarra kehairanan apabila melihat
rumah terang-benderang. Harriz di sebelah dipandang dengan penuh kerutan di
dahi. Reaksi Harriz pula kelihatan selamba saja seolah-olah tidak ada apa-apa
yang berlaku.
Apabila kereta diparkir di garaj dan enjin dimatikan,
Zarra terus melompat keluar dan meluru ke muka pintu. Aik? Ada kasut lelaki.
Zarra toleh semua ke belakang melihat Harriz. lelaki itu sibuk membawa masuk
barang yang sempat dibeli di Tesco tadi sebelum pulang ke rumah.
“Tak nak masuk rumah ke Zarra? Tercongok apa lagi depan
pintu tu.” tegur Harriz. Kereta dikunci sebelum menghampiri Zarra.
“Siapa ada dekat dalam?” tanya Zarra separa berbisik.
Hatinya tiba-tiba saja terasa cuak semacam.
“Masuk sajalah.” arah Harriz. Pintu rumah dibuka lalu
dia melangkah masuk.
Zarra turut mengikut langkah Harriz. Sebaik saja kakinya
mendarat pada anak tangga untuk naik ke bilik, dia menjerit riang.
“Angah!” Pantas dia meluru ke arah Zafran lalu dipeluk
erat lelaki itu. Rindunya dengan Angah dia.
Zafran membalas pelukan Zarra dengan erat. Sengaja dia
tidak memberitahu Zarra dia akan ke sini selepas selesai peperiksaan akhir.
Mujur masih ada tiket kapal terbang dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.
“Bila angah sampai?” tanya Zarra. Diheretnya Zafran
supaya mengikutnya ke dapur. Kebetulan pula Harriz juga sibuk mengemas barang
yang dibeli di dalam kabinet di dapur.
Harriz tersenyum saja melihat gelagat Zarra. Tidak
habis-habis berceloteh sejak tadi. Tak penat agaknya mulut dia.
“Pukul tujuh tadi. Zarra lah keluar merayap sampai pukul
sembilan setengah baru balik.” Jawab Zafran.
“Harriz, duduk sini kejap. Nak korek rahsia.” Arah
Zafran. Dia tidak betah ingin memanggil Harriz dengan panggilan abang atau pun
apa saja sebagai tanda hormat. Dia pun tidak tahu kenapa. Mungkin sebab lelaki
itu berkahwin dengan adiknya. Jadi, dia menganggap Harriz juga seperti adik.
Zarra memandang aneh wajah Zafran. Ni mesti ada rancangan
nak kenakan dia. Haih! Ini tidak boleh dibiarkan.
“Nak tahu rahsia apa?” tanya Harriz sebaik saja mengambil
tempat di sebelah Zarra.
“Hish abang ni. Rahsia mana boleh bagitahu orang.” celah
Zarra tiba-tiba.
“Diam lah, adik!” bidas Zafran. Dia meletakkan jari
telunjuk di bibir menyuruh Zarra mengunci mulut.
Terherot-herot bibir Zarra mengajuk kata-kata Zafran.
Sesekali matanya sengaja dijulingkan.
“Macam mana duduk dengan anak tarzan?” tanya Zafran
selamba. Balang biskut di atas meja dicapai lalu dibuka. Sekeping biskut
diambil lalu dimasukkan ke dalam mulut.
Harriz pandang wajah Zafran lama. “Anak tarzan?”
Zafran mengangguk. “Sebelah kau tu. Bukan ke anak
tarzan?”
Kali ini wajah Zarra pula dipandang. Zarra membalas
renungan Harriz dengan tajam. Belum sempat Harriz menjawab, Zarra sudah
bersuara terlebih dahulu.
“Zarra, anak tarzan?” jari telunjuk ditunjuk tepat pada
mukanya. “Kalau Zarra anak tarzan, angah pun anak tarzan merangkap abang
tarzan. Suami Zarra pula merangkap suami tarzan.” Jawab Zarra dengan wajah yang
memerah. Sesuka hati saja Zafran menggelarnya anak tarzan. Ini kalau mama
dengan papa dengar, dijamin berbirat telingan angah. Mama cukup tidak suka jika
mereka bergurau kasar begitu.
Zafran menjulingkan mata.
“Marahlah tu?” kata Zafran dengan suara yang sengaja ditinggikan.
“Eh! Sudah, sudah. Lupakan soal tarzan. Angah nak
bergurau aje tu dengan Zarra. Kan lama tak jumpa.” Pintas Harriz.
Zarra sudah berdiri dan bercekak pinggang. “Bergurau ada
batas tau, abang. Zarra tak suka lah orang gelarkan Zarra anak tarzan. Angah ni
lepas kena campak dekat Pulau Pinang tu, mulut makin laser. Mengalahkan Mak
Jemah!” bentak Zarra.
Zafran mengusap leher. Niat dia hati cuma ingin bergurau
dengan Zarra. Tak sangka pula Zarra boleh terasa. Hish! Pelik betul Zarra lepas
kahwin. Dahulu elok saja kalau mereka bergurau kasar begitu. Wajah Harriz
dipandang. Kelihatan Harriz menggeleng kepala. Dia juga tidak faham apa kena
dengan Zarra.
“Err.. Apa kata kita keluar makan dekat restoran depan
tu? Zarra mesti lapar kan?” ajak Harriz cuba mengeruhkan keadaan.
“Zarra tengah naik angin macam ni, abang boleh ajak
keluar makan? Baik Zarra naik atas. Belajar lagi bagus sebab exam dah dekat. Abang layan anak tarzan
depan abang tu.” bentak dia lagi.
Selesai meluahkan rasa amarah, Zarra terus beredar dari
situ dan menaiki anak tangga menuju ke bilik. Kedengaran suara dia mengomel itu
ini. Tapi tak jelas sebutannya.
Zafran menjungkit bahu tanda tidak tahu apa masalah
Zarra. Harriz juga turut menjungkit bahu.
“Mengandung ke apa si Zarra tu? Bad mood semacam.” Tanya Zafran. Dia panasaran juga ingin tahu.
“Huish! Apa pulak ke situ kau ni, Angah. Ada lah tu tak
kena. Biasa lah, orang perempuan.” Balas Harriz ringkas.
“Nasib kau lah dapat isteri macam adik aku. Merajuk je
dia tahu.” Gumam Zafran.
Sudahnya, malam itu mereka makan mi segera saja. Makan
sambil menonton perlawanan bola sepak. Pergh! Memang terbaik. Riuh-rendah ruang
tamu dengan suara mereka berdua bersorak sakan.