Shafiq
terinta-intai di belakang pintu sejak tadi. Saja mahu melihat Zarra yang
dirasakan makin lama makin cantik pula. Ish! Dasar mamat skema gatal. Buku teks
yang diambil dari bilik guru dipegang kemas. Sepatutnya, sekarang dia perlu
berada di dalam kelas. Tup, tup, terbantut niat untuk ke kelas apabila terlihat
Zarra yang berjalan laju masuk ke dalam makmal Sains.
“Awak tengok apa tu Shafiq?”
tiba-tiba ada satu suara yang menegur dari arah belakang.
Spontan dia menoleh ke belakang.
Sengihan lebar terukir apabila Cikgu Linda berdiri tegak memandangnya dengan
wajah yang serius. Habis lah kantoi! Sudah lah sekarang giliran Cikgu Linda
mengajar di dalam kelas.
“Tak ada apa-apa cikgu.” Kepala
digeleng laju-laju.
Cikgu Linda menjungkit kening tanda
tidak percaya. Dia turut sama mengintai dari belakang pintu. Dia pun nak tahu
juga apa yang anak muridnya intai sejak tadi. Membulat matanya apabila
terpandangkan Zarra yang duduk betul-betul menghadap ke pintu. Kelihatan gadis
itu tersenyum riang berbual sambil melakukan eksperimen yang ditugaskan oleh
guru yang mengajar.
Shafiq sudah tidak senang duduk.
Kaca mata yang dipakai dibetulkan berulang kali. Sesekali rambutnya yang
disisir rapi itu dipegang. Rasa nak menangis pun ada. Takut kalau terkantoi
dengan Cikgu Linda.
“Awak intai anak murid saya?” tanya
Cikgu Linda. Dia memeluk tubuh memandang Shafiq yang menunduk kepala. Segan
barangkali.
“Awak intai Zarra kan? Sebab dia
sorang je yang duduk betul-betul menghadap ke sini. Baik awak mengaku.” Soalnya
lagi. Risau juga dia apabila ada pelajar lelaki yang berani mengintai pelajar
perempuan sebegitu.
Shafiq menelan liur. Tergamam dengan
apa yang dikatakan Cikgu Linda. Tepat mengena mukanya.
“Saya tengok dia aje cikgu. Bukannya
mengintai.” Tergagap-gagap dia menjawab.
“Haih… Awak ni dikira mengintai Zarra
tau sebab awak duduk menyorok belakang pintu ni. Kalau tengok, awak masuk terus
dalam makmal untuk tengok dia. Awak ni ada apa-apa dengan Zarra ke?” tiba-tiba
suara Cikgu Linda sedikit tinggi.
“Eh! Mana ada. Cikgu ni boleh pula
tanya soalan macam tu.” Shafiq rasa ingin pitam sekarang juga. Dia cukup takut
kalau berhadapan dengan Cikgu Linda. Guru cantik ini garang bukan main.
“Habis tu? Awak syok dekat Zarra?”
Cikgu Linda bertanya lagi.
Shafiq tidak mampu lagi untuk
menjawab. Dia menggeleng kepala berulang kali.
“Saya tak nak awak intai Zarra macam
ni lagi. Ini kesalahan tau. Boleh dikategorikan menganggu pelajar walaupaun
Zarra tak nampak awak intai dia. Balik kelas sekarang!” tegas Cikgu Linda.
Shafiq cuma mengangguk dan beredar
dari situ. Cikgu Linda menghela nafas lega. Mujur Shafiq bukannya pelajar yang
nakal seperti pelajar yang lain. Kalau tidak, jenuh dia ingin mengawal anak
murid yang seorang ini. Ternyata Shafiq ni diam-diam ubi berisi. Nampak saja
skema bukan main.
Cikgu Linda memandang Zarra lagi
sekali. Dia mengangguk tanda puas hati. “Budak ni memang lawa pun. Patut lah
Shafiq tu sanggup intai macam tu sekali.” Omelnya perlahan.
“Tolong kumpulkan buku latihan yang
saya bagi semalam. Saya nak semak sama ada awak siapkan kerja yang saya beri
atau pun tidak.” Lantang suara Cikgu Sharifah memberi arahan.
Zarra mencebik. Mengajuk semula
kata-kata guru perempuan yang belum berkahwin dan garang macam singa. Nadia
pula bukan main semangat lagi meletakkan buku di atas meja supaya ketua kelas
yang berlagak diva tu senang nak ambil.
“Weh Zarra! Mana buku kau? Tak
dengar arahan cikgu ke?” Fairuz bertanya dengan kasar. Wajahnya memang langsung
tiada senyuman. Cemberut memanjang.
“Sabar lah! Tak nampak aku baru nak
buka beg? Pakai spec pun rabun lagi
ke?” Balas Zarra sedikit kasar.
“Cakap tu baik-baik sikit. Lembab!”
jerkah Fairuz.
Suasana di dalam kelas yang tadinya
sedikit bising terus sunyi-sepi. Kaget dengan suara Fairuz yang amat kuat.
Sudah macam harimau mahu makan mangsa. Langsung tidak ada sikap sopan-santun
sebagai perempuan.
Cikgu Sharifah terus melangkah ke
tempat duduk Zarra.
“Ada apa ni Fairuz?” lembut dia
bertanya. Maklum lah, Fairuz kan anak murid kesayangannya.
“Zarra ni lembab sangat. Minta buku
macam kutip hutang. Entah-entah kerja yang cikgu bagi tu dia tak buat.” Jawab
Fairuz.
Cikgu Sharifah memandang Zarra yang
menunjukkan riak muka selamba. Geram sungguh dia melihat pelajarnya yang satu
ni.
“Mana buku? Bagi dekat saya
sekarang!” pinta Cikgu Sharifah. Mukanya sudah tidak manis seperti tadi.
Buku yang diletak dibawah laci meja
diambil dan diletakkan di atas meja dengan kasar. Zarra memang tidak boleh
bertolak ansur kalau ada orang yang membentaknya tidak tentu pasal. Dia masih
boleh bertolak ansur kalau bukan Cikgu Sharifah yang ada di hadapan dia
sekarang.
Fairuz tersenyum mengejek. Seronok
apabila Zarra dimarahi oleh guru kesayangannya.
“Lain kali, dengar cakap aku.” Ujar
Fairuz angkuh.
Zarra mencebik. Meluat sungguh dia
melihat Fairuz yang berjalan lenggok-lenggok ke tempatnya.
“Kau pun Zarra. Lain kali jangan
melawan si Fairuz tu. Tak pasal-pasal kau dah sakit hati.” Ucap Nadia. Dia
mengerling Zarra sekilas.
“Kau kawan aku ke… kawan minah poyo
tu? Kenapa aku tak boleh nak melawan? Nanti lagi dia pijak kepala aku.” Hambur
Zarra. Geramnya dia mendengar nasihat yang tidak berasas daripada Nadia.
Nadia menelan liur. Terkebil-kebil
dia memandang Zarra yang sudah duduk jauh sedikit daripadanya. Dia menoleh ke
belakang melihat rakan-rakan yang lain. Mereka membuat isyarat menyuruhnya diam
dan tidak berkata apa-apa. Khuatir percakapannya akan menimbulkan amukan
daripada Zarra.
Zarra ni kecil-kecil cili padi.
Garang bukan main. Cuma dengan Fairuz saja kadang-kadang dia mengalah. Penat
barangkali selalu bertekak dengan ketua kelas mereka.
“Tahu pun nak diam. Takut la tu kena
marah dengan cikgu.” Tiba-tiba Fairuz bersuara. Agak kuat suaranya. Ingatkan
dia sudah berpuas hati dengan Zarra. Rupanya, tidak sama sekali.
Nafas Zarra turun naik. Kedua-dua
jarinya digenggam erat menahan rasa amarah yang sangat kuat.
“Diam!” jerit Zarra. Dia sudah
bangun dan berdiri tegak memandang ke depan kelas. Belum sempat dia meluru ke arah Fairuz, Nadia terlebih dahulu menangkap lengannya. Fairuz terpempan dan
tergaman dengan jeritan Zarra, terus berpura-pura membaca buku. Haa. Baru tahu penangan Zarra. Jangan sesekali bagi gadis itu menjerit. Boleh pecah gegendang telinga.
“Baru kena buku dengan ruas.”
Perlahan Ikhwan bersuara. Khairil pula hanya mengangguk bersetuju. Jangan
main-main dengan Zarra kalau dia sudah mengamuk. Sepanjang lima tahun mereka
berada di dalam kelas yang sama, ini kali ketiga mereka mendengar jeritan Zarra
yang amat membingitkan telinga. Cair semua tahi telinga yang ada.