Zarra berdiri tegak di
hadapan cermin di dalam bilik air. Sudah hampir setengah jam dia berada di
situ. Ingin keluar, berasa segan. Sudah tentu Harriz ada di dalam bilik.
Ketukan pada pintu bilik air mengejutkannya.
“Berapa lama lagi nak duduk dalam tu? Abang sakit perut
ni. Boleh cepat sikit tak?” laung Harriz dari arah luar.
Dengan teragak-agak Zarra memegang tombol pintu. Sebaik
saja pintu dibuka, Harriz terus meluru masuk ke dalam bilik air. Ditolak Zarra
dengan perlahan supaya keluar dari situ. Hajatnya perlu dilepaskan sekarang
juga. Terkumat-kamit mulut Zarra merungut dengan tindakan Harriz. Nasib baik
dia tidak terdorong ke hadapan dan terjatuh.
Zarra merenung katil bersaiz king yang kelihatan cukup
menarik baginya saat ini. Katil itu seakan memanggil-manggil menyuruhnya
berbaring dan melelapkan mata. Matanya terasa berat dan tidak mampu untuk
menahan rasa mengantuk yang mula menguasai diri. Tersengguk-sengguk dia
menunggu Harriz yang masih beluk keluar dari bilik air.
Kalau di dalam drama-drama Melayu, kebiasaannya jika
berkahwin bukan atas dasar suka sama suka, pasti salah seorang yang akan tidur
di atas lantai atau di atas sofa. Zarra mengusap dagu memikirkan siapa agaknya
yang akan mengalah daripada tidur di atas katil. Dia atau pun Harriz?
Bunyi pintu bilik air dibuka membuatkan mata Zarra terus
segar-bugar gara-gara terkejut. Diusap perlahan dadanya. Wajah Harriz yang
selamba dipandang. Boleh pula lelaki itu keluar dari bilik air dengan memakai
tuala saja. Langsung tiada perasaan malu. Apabila melihat Harriz yang cuba
memakai pakaian di hadapannya, sepantas kilat dia berpaling ke tempat lain.
“Tak nak tidur lagi ke?” suara Harriz memecah kesunyian
antara mereka. Dia melangkah ke katil lalu merebahkan diri di situ.
Zarra melopong melihat Harriz yang sudah berbaring di
atas katil. Tak akan dia nak tidur di atas lantai. No way!
Harriz memandang
Zarra yang masih tidak berganjak daripada sofa. Dengan malas dia bangun lalu
mendekati Zarra. Dia duduk di sofa dan melunjurkan kaki.
“Jom tidur.” Ajak Harriz.
Zarra masih mendiamkan diri. Fikirannya ligat berfikir
bagaimana ingin memberitahu Harriz bahawa dia tidak mahu tidur sekatil dengan
lelaki itu.
Harriz bangun lalu menarik tangan Zarra supaya berdiri.
Zarra mengeraskan diri tidak mahu bangun dari sofa. “Zarra nak abang angkat
Zarra ke?” Harriz bertanya. Wajah Zarra direnung.
Cepat-cepat Zarra menggeleng tidak mahu. “Takkan kita nak
tidur sekali kot?” soal Zarra dengan riak wajah yang sukar digambarkan ekspresi
nya.
Harriz mengerutkan dahi. Hairan dengan soalan yang
diajukan Zarra. “Suami isteri kena tidur asing-asing ke?” Dia pula bertanya.
Zarra menggaru kepala yang tidak gatal. Nampaknya Harriz
berpura-pura tidak faham dengan maksudnya. “Zarra tak nak tidur sekali dengan
abang atas katil tu.”
“Kalau macam tu, kita tidur dekat lantai sama-sama.” Ujar
Harriz selamba.
Zarra mengetap bibir menahan geram. “Hishh! Payah kalau
bercakap dengan orang yang tak faham maksud tersirat ni.” Bentak Zarra.
“Abang faham maksud Zarra tu. Kita tidur je sekali atas
katil tu. Abang janji takkan kacau Zarra sampai Zarra habis SPM.” Harriz
mengenyitkan mata.
Zarra menjeling. “Janji?”
“Tak janji.” Harriz menjawab sambil tersenyum nakal.
“Gila!” jerit Zarra.
Serta-merta Harriz menekup mulut Zarra dengan tangannya.
Bingit telinga dengan jeritan Zarra. Harap-harap umi dan babah tidak mendengar
jeritan Zarra. Boleh tahan juga Zarra ni. Terjerit, terpekik-terlolong tanpa
mengira waktu.
“Abang gurau je lah. Jangan jerit kuat-kuat macam ni.
Kalau umi dengan babah dengar macam mana? Tak pasal-pasal diorang fikir
bukan-bukan.” Harriz melepaskan tangannya apabila Zarra meronta-ronta meminta
dilepaskan.
“Lain kali jangan mengarut macam ni lagi dah. Nak tidur.
Tutup lampu.” Zarra terus melompat ke atas katil dan menutup seluruh tubuhnya
dengan comforter.
“Tak salah pun kalau abang nak mengarut dengan isteri
abang. Kan Zarra?” usik Harriz lagi sebaik berbaring di atas kati.
“Diam lah!” jerit Zarra.
Harriz ketawa melihat gelagat Zarra. Baru sehari
berkahwin, macam-macam perangai yang sudah Zarra tunjukkan. Esok-esok, entah
apa lagi yang akan keluar. Dia melelapkan mata. Terasa lega bila majlis sudah
selesai. Selepas ini, dia hanya perlu menunggu surat daripada pihak atasan di
mana dia akan ditempatkan untuk berkhidmat sebagai seorang pendidik.
Punggung yang terasa sakit digosok berulang kali. Mata
yang masih mengantuk membuatkan fikirannya tidak dapat berfungsi dengan baik.
Apabila terasa sejuk mencengkam tubuhnya, Harriz pantas membuka mata. Dia
menoleh ke sisi. Hanya dinding yang dapat dia lihat. Kemudian, baru dia tersedar
dia berada di atas lantai. Lain tidak bukan dia sudah jatuh katil.
Pertama kali dalam hidup sepanjang balik ke Malaysia dia
jatuh katil. Tiba-tiba dia teringat akan sesuatu. Zarra! Dengan kesakitan yang
masih bersisa, Harriz cuba untuk berdiri. Dia mengeluh sebaik melihat Zarrra
yang nyenyak tidur dengan kaki terkangkang, tangan didepangkan. Tempatnya sudah
dikuasai Zarra. Pantas saja dia jatuh katil. Sepakan Zarra agak kuat rupanya.
Jam di dinding menunjukkan hampir ke angka enam pagi.
Tuala yang disangkut di penyidai dicapai lalu terus melangkah masuk ke dalam
bilik air untuk membersihkan diri. Selesai mandi, Harriz masih melihat Zarra
lena diulit mimpi. Bunyi jam loceng langsung tidak menganggu tidurnya.
“Zarra… Bangun solat subuh.” Harriz menggoncang perlahan
bahu Zarra. Namun, keadaan masih sama. Tiada respon.
“Dah pukul enam suku ni. Cepat bangun solat subuh.”
Ditampar pula pipi Zarra berulang kali.
Sudah bermacam-macam cara digunakan untuk membangunkan
Zarra, namun masih tidak berhasil. Akhirnya Harriz menggeletek tapak kaki Zarra
supaya gadis itu cepat-cepat sedarkan diri dari lena yang nyenyak.
“Apa benda ni. Zarra nak tidur lagi lah mama.” Tiba-tiba
Zarra bersuara. Kakinya ditarik daripada pegangan Harriz.
“Mama ada dekat rumah. Sekarang ni abang yang ada depan
Zarra.” balas Harriz.
Zarra terus mencelikkan mata lalu bangun dan duduk bersila.
Matanya digosok berulang kali dan sedaya upaya cuba menghilangkan rasa
mengantuk yang masih bersisa. Apabila tersedar dia bukannya berada di rumah
mama dan papa, dia tersengih memandang Harriz yang sudah segak berbaju Melayu
untuk menunaikan solat subuh.
“Kenapa pandang abang macam tu? Tak nak mandi dan solat
subuh? Kejap lagi pun boleh nak tenung muka abang ni lama-lama.” Ujar Harriz
yang melihat Zarra masih belum bangun dari katil.
“Pakai baju Melayu ni nak pergi mana? Nak kahwin lagi
satu ke pagi ni?” tanpa berfikir panjang Zarra bertanya.
“Ya Allah budak ni. Orang suruh dia pergi mandi boleh
pula bertanya soalan entah apa-apa. Tak ada makna nya abang nak kahwin lagi
satu. Nak kejut Zarra bangun pagi pun bukan main susah. Abang siap dapat pakej
jatuh katil lagi disebabkan kaki Zarra tu.” Harriz sudah mula membebel.
Zarra tersengih lagi. “Mana lah tahu kan… Abang jatuh
katil?” tiba-tiba Zarra bersuara dengan kuat apabila tersedar Harriz
memberitahu bahawa dia jatuh katil.
Harriz mengangguk laju-laju. Zarra menekup muka dengan
kedua-dua tangannya. Macam mana pula dia boleh tidur selasak begitu padahal
ruang atas kati cukup besar untuk mereka berdua. Bagaikan katil bersaiz queen dicampur dengan katil bersaiz single.
“Lupakan soal tu.
Pergi mandi. Abang tunggu dekat sini. Kita solat berjemaah.” Ucap Harriz yang
melihat muka Zarra berkerut memikirkan sesuatu.
Zarra terus mengangguk dan bangun dari katil. Pakaian di
dalam beg diambil lalu dibawa masuk sekali ke dalam bilik air. Segan untuk
berpakaian di dalam bilik apabila Harriz ada bersama. Di rumah, tidak pernah
sama sekali dia mandi awal pagi begini melainkan pada hari sekolah. Ingin solat
subuh pun, Harriz menyuruhnya mandi. Sejuk tahu! Keluhnya.
“Selamat pagi Zarra, Harriz.” Sapa Puan Sri Nazrah
apabila melihat anak dan menantunya sudah sedia menunggu dia dan suami di meja
makan untuk bersarapan.
“Selamat pagi umi, babah.” Balas Zarra sambil tersenyum.
“Harriz, tunggu apa lagi. Tuangkan susu tu untuk Zarra.”
tegur Tan Sri Shakir.
Belum sempat Harriz mengambil kotak susu, Zarra sudah
mencelah. “Eh, tak payah. Zarra tak minum susu. Nanti sakit kepala.” Jawab
Zarra dengan sopan.
“Habis tu nak air apa? Abang boleh suruh Mak Siti
buatkan. Tanya Harriz.
Puan Sri Nazrah dan Tan Sri Shakir tersenyum manis
melihatkan keadaan itu. Seronok rasanya melihat cara Harriz melayan Zarra.
Panggilan hormat yang dipanggil Zarra kepada Harriz mengukuhkan lagi
kegembiraan mereka. Nampaknya, masing-masing tiada masalah dengan hubungan
halal yang dibina.
“Tak payah susahkan Mak Siti. Zarra tak suka minum manis
pagi-pagi. Air masak pun dah cukup.” Zarra menjawab ringkas.
“Kalau macam tu, biar abang yang bangun ambilkan air
untuk Zarra.” ucap Harriz seraya bangun dari kerusi menuju ke dapur.
Zarra tersengih saja melihat Harriz yang bangun ke dapur.
Segan pula dilayan begini di hadapan umi dan babah.
“Salad ni mama minta Mak Siti buatkan khas untuk Zarra.
Makan kenyang-kenyang. Jangan malu lagi dah dengan umi dan babah.” Mangkuk
salad dihulur kepada Zarra.
Harriz kembali ke ruang makan dengan segelas air masak di
tangan. Diletak gelas itu di hadapan Zarra. Zarra tersenyum tanda ucapan terima
kasih. Meriah sungguh sarapan pagi. Pelbagai jenis makanan yang ada di atas
meja sehinggakan dia tidak tahu ingin menjamah yang mana satu.