Dia membiarkan
saja mukanya disolek oleh mak andam yang tidak berbayar merangkap kakaknya
sendiri. Zalikha dengan penuh hati-hati merias wajah adiknya supaya solekan
tidak terlalu tebal dan tidak terlalu nipis.
Harriz yang sedang berada di bilik sebelah, sejak tadi
lagi sudah bersiap. Dia hanya menunggu Zarra untuk sama-sama pergi ke dewan.
Lagi tiga puluh minit, majlis akan berlangsung. Sementara menunggu, telefon
pintar dicapai. Bertalu-talu SMS yang masuk mengucapkan Selamat Pengantin Baru
dan ada juga yang bertanya lokasi majlis resepsi kerana tersesat. Apa guna peta
yang diberi kepada mereka sampaikan boleh tersesat.
“Dah siap?” Harriz bertanya sebaik saja pintu dibuka.
Mereka sudah kesuntukan masa.
“Amboi.. Tak sabar-sabar. Tak lari ke mana lah Zarra ni.
Kejap, lagi sikit.” Zalikha mengusik.
Harriz ketawa besar. Wajah Zarra mula memerah menahan
malu. “Dah lah tu sikit-sikit. Tak payah nak make up beria sangat muka Zarra
ni. Rimas lah kakak.” Dia mula merungut.
“Mana boleh! Raja sehari kena berseri-seri. Duduk
diam-diam.” Bantah Zalikha.
“Zarra ni memang dah berseri-seri pun. Tak payah nak make
up tebal-tebal sangat.”
Harriz melangkah masuk lalu mendekati Zarra. Diperhatinya
wajah Zarra yang kelihatan sudah sempurna solekannya. “Kak Ika… Okey dah tu
make up macam ni. Nanti ada orang tengok isteri saya ni lebih-lebih pula.”
“Haaa kan? Dah cantik ni, kakak. Tepi, tepi. Zarra nak
bangun.” Lega bila dapat meloloskan diri daripada Zalikha. Secara tidak
langsung dia berterima kasih kepada Harriz kerana menyelamatkan wajahnya supaya
tidak menjadi seperti opera cina.
“Ye lah. Jalan tu baik-baik.” Akhirnya Zalikha mengalah.
Dia sempat berpesan apabila melihat Zarra yang laju berjalan dengan kasut tumit
tinggi empat inci supaya dia tidak kelihatan terlalu rendah di samping Harriz.
“Bak sini tangan tu nak pegang.” Tiba-tiba Zarra
bersuara.
“Tadi nak pegang tak kasi. Sekarang minta pula.” Sindir
Harriz dengan senyuman di bibir.
“Kasut ni tinggi sangat lah. Lenguh nak stabilkan diri.
Tak kisah lah tak kasi ke apa ke.. Nak pegang jugak.” Zarra mencapai tangan
Harriz lalu digenggam erat. Dia tidak peduli kalau dia dikatakan tidak tahu
malu. Asalkan dia tidak terjatuh tergolek di dalam dewan.
Sebaik saja kaki melangkah masuk ke dalam dewan, lensa
kamera tidak henti-henti untuk merakam foto mereka. Senyuman cuba diukir
semanis yang mungkin. Zarra seakan tidak percaya apa yang dilaluinya sekarang.
Selalunya dia yang datang ke majlis perkahwinan orang lain dan melihat mereka
berpakaian cantik berjalan di atas karpet merah dan duduk bersanding di pelamin
yang indah.
Hari ini dia pula yang menjadi perhatian orang ramai.
Walaupun solekan yang menghiasi wajah membuatkan dia nampak lebih matang,
ketinggian dia tetap menjadi perhatian tetamu yang hadir. Ada juga mulut-mulut
yang bertanya berapa umurnya, bekerja apa, tetapi semua itu dapat ditangani dengan
baik oleh mama, papa, umi dan babah.
Selesai majlis, mereka tidak akan mengambil peduli lagi
mengenainya. Jadi, dia langsung tidak berasa hairan. Pegangan tangan
dikemaskan. Harriz berjalan mengikut langkah kaki isterinya supaya Zarra dapat
berjalan dengan baik dan tidak terjatuh.
“Zarra dah tak larat nak senyum.” Luah Zarra kepada
Harriz di sebelahnya. Nak makan pun susah kerana ada saja tetamu yang datang di
meja makan beradab untuk mengambil gambar.
“Tak payah senyum.” Balas Harriz selamba.
Zarra mengetap bibir. Lelaki ini memang ada saja jawapan
yang menyakitkan hati. Bukannya nak menenangkan hatinya. Sebaliknya membuat dia
bertambah geram. Zarra mencubit kuat peha Harriz. Harriz yang baru saja ingin
menyuap makanan ke dalam mulut, terus meletakkan sudu yang dipegang lalu
mengosok peha yang terasa perit.
“Tak sampai sehari kita kahwin, Zarra dah nak jadi ketam?
Jenuh lah kalau hari-hari macam ni.” Harriz berbisik perlahan.
Zarra menjeling tajam. Pandangannya dialihkan terhadap
pinggan yang dipenuhi makanan. Perut sejak tadi membuat orkestra, perlu diisi
secukupnya. Tanpa menghiraukan lensa kamera, dia menyuap makanan ke dalam
mulut. Lantak lah jika gambar-gambar dia sedang menjamu selera diambil. Asalkan
perutnya kenyang.
Puan Dayana tersenyum manis melayan tetamu yang hadir.
Dalam banyak-banyak soalan yang ditanya oleh tetamu, topik umur juga yang
ditanya. Sudahnya dia terpaksa memberitahu Zarra sudah mencapai sembilan belas
tahun. Tidak mengapa agaknya berbohong sunat.
Lagi pula, kebanyakan tetamu yang hadir, rata-rata dia tidak mengenali
mereka. Mungkin rakan-rakan suaminya.
Awal-awal lagi dia sudah berpesan kepada ahli keluarga
yang lain supaya tidak memberitahu umur sebenar Zarra. Boleh jadi topik hangat
nanti. Untuk menyelamatkan kedua-dua belah pihak, mereka memberitahu umur Zarra
sembilan belas tahun. Zarra pula tersenyum manis apabila mereka mengucapkan
selamat pengantin baru kepadanya. Seeloknya, dia mengambil keputusan mendiamkan
diri supaya tidak terlepas cakap.
Zarra melabuhkan punggung di kerusi sebaik saja majlis
selesai dan tetamu juga sudah beransur pulang. Kasut tumit tinggi dibuka lalu
diletakkan di tepi. Lenguh sungguh.
“Mama dengan papa balik dulu. Jaga diri baik-baik ya
sayang. Dengar cakap suami.” Pesan Puan Dayana. Kepala Zarra diusap perlahan.
“Ingat tu Zarra. Malam ni jangan kunci diri dalam bilik
air pula. Kesian suami Zarra.” Zaklikha tersengih nakal. Zafran hanya ketawa
besar mendengar kata-kata Zalikha.
“Mengarut! Pergi balik! Menyibuk je dekat sini.” Marah
Zarra.
Mereka yang berada di situ ketawa melihat gelagat tiga
adik-beradik itu. Harriz pula hanya tersenyum. Masih kekok berada dengan
keluarga barunya.
“Bye Zarra!
Kami balik dulu.” Zafran melambai. Encik Zaril yang melihat wajah Zarra sudah
mencuka terus mencuit Zafran supaya mendiamkan diri. Zarra memeluk tubuh Puan
Dayana dengan erat. Kemudian, tubuh papa pula didakap. Selesai adegan
bersalam-salaman, membalas pelukan, mereka meminta diri untuk pulang. Zarra
memandang mereka dengan pandangan yang sayu.
Dia menepuk pipi berulang kali. Masih tidak percaya dia
sudah berkahwin. Lima panggilan tidak berjawab daripada Nadia membuatkan dia
menelan liur. Pasti banyak soalan yang akan ditanya Nadia mengapa dia tidak
menjawab panggilan. Satu keluhan dilepaskan.