Home Novel Cinta SORRY, AKU BUKAN DIA!
SORRY, AKU BUKAN DIA!
16/6/2014 13:18:23
29,342
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

TIBA di perkarangan utama The Zero, Hazry memberhentikan kenderaan di pintu utama pusat membeli-belah yang masih sunyi tanpa pengunjung. Hanya mereka yang bekerja di dalam bangunan pejabat berdekatan sahaja yang sesekali lalu di situ. Pekerja valet terus sahaja mendekati. Hazry turun dan segera menyerahkan kunci. Kemudian, dia berjalan menuju ke bonet belakang. Hani Mariya sudah menunggunya.

“Hati-hati bawa lukisan suami saya…” pinta Hani Mariya.

Hazry mengangguk. Dia mengangkat kanvas lukisan yang berbalut dengan kertas putih dengan penuh hati-hati. Kanvas yang terlekat pada bingkainya itu tidaklah berat. Berat lagidumb bellyang diangkatnya 100 kali setiap selepas subuh. Dituruti langkah lembut Hani Mariya dari belakang.

Mereka melewati beberapa buah kedai yang masih bergelap. Mereka menaiki lif untuk ke tingkat paling atas. Sebaik pintu lif terbuka. Bulat mata Hazry melihat apa yang berada di hadapannya. Galeri Seni HM. Biarpun hanya dengan lampu yang samar-samar, lelaki ini sudah cukup terpesona dengan tata rias hadapan galeri tersebut.

Seorang wanita berkemeja putih dan berskirt hitam paras lutut membukakan pintu kaca yang dikunci dari dalam. Panel kayu berwarna hitam berkilat membuat pintu masuk berkaca itu nampak eksklusif.

“Selamat pagi, Puan HM,” ucap wanita itu.

“Pagi, Jehan!” Hani Mariya tersenyum. “Dah beli nasi lemak untuk saya?”

“Sudah! Kopi O panas juga saya dah sediakan di pantri,” jawab Jehan lagi.

Menyedari Hazry yang masih belum melangkah masuk, Hani Mariya menjengah keluar. Lelaki itu berdiri tegak merenung satu antara tiga buah lukisan abstrak yang terpamer di dalam ruang pempamer yang serba hitam. Hanya lukisan-lukisan itu yang boleh dilihat dari luar. Ada sebuah lampu simbah yang menerangi setiap lukisan tersebut.

Hazry merenung lukisan pada bingkai yang paling besar. Berbingkai kayu berona emas yang amat eksklusif. HM! Itu yang terlakar di hujung kanan sebelah bawah kanvas. Terdapat tag yang tertulis ‘Cinta Tak Terucap’.

“HM…” sebut Hazry perlahan. “Hmm… Hani Mariya…” Itu yang terpacul di bibir berkumisnya.

“Hans Muneef!” sahut Hani Mariya membetulkan fakta.

Terkejut Hazry. Tidak sedar yang wanita itu kini sudah berdiri dekat dengannya. Hanya terkebelakang sedikit sahaja.

“Itu nama suami saya...” Tenang sahaja wajah Hani Mariya. “Galeri ini, jiwanya milik suami saya. Ini koleksi dia yang paling saya sayang.”

“Cinta Tak Terucap… err… Cintanya penuh mesra,” ucap Hazry tanpa diminta.

Hani Mariya mengangkat kening. Lebar senyumannya. “Itu juga yang saya rasa, Hazry…”

Hazry melangkah ke lukisan yang tergantung di sebelah. Masih abstrak. Kecil sedikit saiznya. Namun, berbeza perasaan ketika menelitinya. ‘Cinta Tak Terucap II’. Lakaran HM II terdapat di hujung lukisan. “Ini… err… lukisan puan?” soalnya ingin kepastian.

Hani Mariya mengangguk.

“Cinta puan terlalu sarat…”

“Sarat?!” soal Hani Mariya. Berkerut dahinya.

Hazry mengangguk. Yakin dengan pendapatnya. Tiba-tiba dia tersedar, dia sudah terlepas kata. Hani Mariya mungkin terasa hati dengan apa yang dilafazkannya.

“Sarat dengan apa?” soal Hani Mariya. Serius wajahnya mahu tahu apa di dalam fikiran lelaki berwajah bersih di sisi.

“Err…” Hazry kehilangan kata-kata.

“Tak apa… saya nak tahu. Tiada siapa yang berani beri komen lukisan saya seperti awak.”

“Err… saya cuma cakap aje. Tiada apa-apa makna…” dalih Hazry.

“Cakaplah, Hazry! Itu yang saya nak dengar,” pinta Hani Mariya. “Sarat dengan apa?”

“Err… dengan macam-macam rasa. Lukisan ini melambangkan cinta sarat yang keliru…” Perlahan suara Hazry menuturkannya. Bimbang dengan kesan yang bakal berlaku.

“Awak mampu baca perasaan saya, Hazry…” ucap Hani Mariya. Dia menolak tubuh Hazry ke arah lukisan yang paling hujung. “Ini? Apa maksud lukisan ini?”

Hazry mula serba salah. Sentuhan Hani Mariya buat dadanya berdebar. Bukan biasa dia disentuh wanita. Apatah lagi itu isteri orang.

‘Cinta Tak Terucap – Edisi Khas.’ Itu yang tercatat pada tag lukisan.

“Apa makna lukisan ini?” soal Hani Mariya. Riak tidak sabar terpamer di wajahnya.

Hazry menggeleng. Entah mengapa fikirannya gagal menumpu. Genggaman tangan Hani Mariya yang erat pada lengannya buat dia begitu.

“Kenapa?” soal Hani Mariya tidak berpuas hati.

“Puan… err… puan pegang lengan saya,” ucap Hazry dengan suara memberat.

Bulat mata Hani Mariya. Darah menyerbu ke muka serta merta. Genggaman dilepaskan. Dia segera melangkah masuk ke dalam. Hazry ditinggalkan sendirian.


STATIK! Hazry berdiri tegak dan kaku selama beberapa detik. Hanya suasana dalam galeri yang tiba-tiba cerah buat dia tersedar di mana dia berada. Perlahan dia berjalan ke pintu masuk. Dari tempat dia berdiri, dia mampu nampak apa yang terhidang di hadapan mata. Rasa kagum menjengah di hati Hazry. Dia melangkah lagi sambil matanya tunak memerhati koleksi lukisan yang terpamer. “Subhanallah!”

“Kenapa? Cantik?” soal Jehan. Tersenyum dia melihat gelagat Hazry yang pertama kali ditemuinya. Biarpun Hani Mariya tidak memperkenalkan lelaki itu kepadanya, dia sudah tahu nama pemandu baharu majikannya. Setiausaha CEO Attap Emas telah memaklumkan padanya.

Mendengar soalan Jehan, Hazry mengangguk. “Amazing!

Berkerut dahi Jehan. Biar benar! Mamatdriver nispeaking. “Awak suka?” soalnya lagi.

“Alhamdulillah! Saya suka…” jawab lelaki itu. Debar di dada mereda. Tenggelam dia dengan apa yang ada di hadapan mata.

“Saya Nur Jehan. PA Puan HM. Awak boleh panggil saya Jehan…”

“Saya Hazry…” Kanvas lukisan di tangan Hazry bertukar tangan. Pantas Jehan menghantarnya ke dalam bilik stor.

“Awak tahu tugas awak hingga jam 10.00 pagi?” soal Jehan yang sudah muncul semula.

Hazry mengangguk. Dia perlu jadi pengawal keselamatan sehingga Jasni, pembantu lelaki Hani Mariya yang seorang lagi masuk kerja. Selama ini, itu antara tugas Haji Zaini. Haji Umar tidak mahu anak perempuannya bersendirian tanpa pengawasan seorang lelaki yang dikenali biar hanya memerhati dari jauh. Dia tidak mahu anaknya ‘lari’ lagi. Itu alasan yang diberitahu pada Hazry.

“Saya temankan bos sarapan…” beritahu Jehan.

Hazry mengangguk. Namun, rasa bersalahnya kembali melingkari hati. “Cik Jehan, saya bimbang Puan HM marah pada saya…”

“Kenapa?”

Hazry serba salah untuk bercerita. Takkan dia nak beritahu yang dia menegur Hani Mariya yang menyentuh lengannya. Dia menganggap wanita itu tidak sengaja melakukannya.

“Ah! Awak boleh minta maaf. Bos okey…” sahut Jehan tidak mahu menunggu. Dia nampak gaya Hani Mariya yang tergesa-gesa berjalan masuk tadi. Itu bukan gaya Hani Mariya yang sedang marah. Cuma dia tidak tahu apa. Makna wajah Hani Mariya tidak dapat dibaca. Reaksi seperti itu tidak pernah berlaku.

Tanpa menunggu jawapan daripada Hazry, Jehan berjalan menuju ke pantri. Hani Mariya tiada di sana. Berkerut dahinya. Dia menjengah ke pejabat bosnya, kosong! Dia berjalan ke pintu menuju ke patio di tepi galeri, Hani Mariya sudah berada di situ. Sudah bertukar pakaian, hanya berblaus dan slack kain kapas lengkap berapron. Rambutnya sudah disanggulkan. Dia sedang asyik melarikan berus cat minyak di atas kanvas di hadapannya. Saat itu, Jehan tahu, nasi lemak dan kopi O yang disediakan tidak akan berusik.


HAZRY berdiri tegak di pintu kaca sebelah dalam. Dia hanya memandang keluar. Menyesal dia tidak pernah bertanya pada pak andaknya, apakah yang harus dilakukan sepanjang tempoh dua jam berada di galeri.

Hendak beria berkawal, pintu kaca sudah dikunci semula dari dalam oleh Jehan. Hendak bersantai membelek lukisan yang ada, dia rasa tak patut pula sedangkan itu yang terlalu mahu dibuatnya. Hendak duduk membaca akhbar di kaunter, terasa setaraf pula seperti pengawal keselamatan di kaunter informasi The Zero di tingkat bawah tadi.

Orang yang lalu di hadapan galeri semakin ramai. Namun, mereka bukanlah pengunjung kerana waktu perniagaan belum bermula. Memandang pada pakaian yang tersarung di badan, Hazry yakin mereka adalah pekerja gedung membeli-belah terkenal yang terletak pada tingkat yang sama. Hanya pada sayap yang berbeza.

“Kopi?” pelawa Jehan sambil menghulurkan sebuahmug berwarna putih.

Hazry menyambutnya. “Terima kasih, Cik Jehan.” Jam baru menunjukkan pukul 8.30 pagi. Ada satu setengah jam lagi untuk dia perlu berada di situ. “Puan HM masih melukis?”

Jehan mengangguk.

“Err… Puan memang macam tu?” Gusar hati Hazry pada bos yang belum begitu dikenali.

Jehan menggeleng. “Itu kali pertama setelah hampir dua tahun…” Ternaik kening gadis yang sudah bekerja hampir lima tahun di Galeri Seni HM.

‘Sudah! Mati aku,’ bisik akal Hazry. Kebimbangan menjengah hati. Entah mengapa Hazry terasa seperti dia yang menjadi penyebabnya.

“Saya nak minta awak tolong…” kata Jehan perlahan.

Hazry memandang wanita itu serius. “Tolong? Tolong apa?”

“Cahaya matahari dah mula membahang. Awak tolong pegangkan payung ni untuk Puan HM…” pinta Jehan. Sekaki payung diunjukkan.

“Saya?!” Kalut Hazry bertanya.

Jehan mengangguk. “Nanti Jasni sampai, dia akan ganti awak…”

Giliran Hazry pula terpaksa mengangguk. Apa pilihan yang dia ada? Payung sederhana besar bertukar tangan. Perlahan dia berjalan menuju ke arah tepi galeri. Dia keluar melalui pintu. Ruangan terbuka luas itu memang menambat hatinya serta merta. Di hadapannya, berceracak bangunan besar dan kecil berlatar belakangkan awan yang membiru. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Betul kata Jehan, cahaya mentari pagi memang mula membahang.

Peliknya, Hani Mariya tetap tekun menghadap kanvas. Hazry mendekati. Payung dibuka. Diangkat tinggi tangannya lalu dipayungkan wanita itu.

Satu saat menjadi sepuluh saat dan minit-minit pun berlalu, tiada reaksi dari Hani Mariya biarpun bahang mentari kian menyengat. Juga tiada ucapan terima kasih. Jauh sekali kemesraannya seperti awal pagi tadi. Hingga Jasni tiba lalu mengambil tempat, mulut Hani Mariya tetap terkunci rapi. Hati Hazry Mikail pula rasa berdebar tak henti.


Novel SORRY, AKU BUKAN DIA! berada di pasaran pada OGOS 2014.


Saat Pena di Genggaman...

Iza Safiya


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.