Home Novel Cinta SORRY, AKU BUKAN DIA!
SORRY, AKU BUKAN DIA!
16/6/2014 13:18:23
27,939
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

HARI ini Hazry perlu menghantar Hani Mariya ke Jalil Sutera. Ada majlis ulang tahun hari lahir Haziq, anak bongsu Hafidz, abang sulung Hani Mariya. Haji Umar dan Hajah Sumayyah telah bermalam di sana sejak semalam. Hazry juga yang menghantar mereka.

“Hadiah ni, Hana beri pada Haziq masa sampai nanti ya…” pesan Hani Mariya ketika mereka dalam perjalanan. Hadiah yang berbungkus cantik diletakkan di atas ribanya.

“Baik, mummy.”

Hani Mariya mengangguk. “Mummy tak nak Hana makan gula-gula dan ais krim banyak sangat. Nanti sakit gigi. Ingat pesan daddy tadi. Jangan bergaduh dengan Haziq. Dia birthday boy hari ni…”

“Hmm… Hana tak pernah usik Haziq. Dia yang selalu usik Hana…”

Hani Mariya meramas tangan anaknya perlahan. “Kalau dia usik Hana pun, Hana jangan pukul ya. Biar aje…”

“Okey! Hana takkan pukul Haziq. Hana janji…”

Hani Mariya tersenyum lalu mengucup pipi Hana Maisarah. “Sayang anak mummy…” pujinya. Puas mencium, dia menyandar lalu memejamkan mata. Sebelum itu, sempat juga dia memandang sekilas pada Hazry yang tenang memandu. Hani Mariya tidak tahu sebab sebenar kenapa bibirnya berat untuk berbicara dengan lelaki itu. Yang dia tahu, berada di sisi Hazry, dia dapat merasakan yang jiwanya mampu dibaca anak muda itu. Itu yang dia mahu elakkan.


SEBAIK menurunkan Hani Mariya, Hazry mencari ruang untuk memarkirkan kereta. Cadangnya, dia hanya mahu menunggu di dalam kenderaan. Ada baiknya dia mencari tempat teduh. Sebaik kereta diparkirkan, tingkapnya diketuk orang. Haji Zaini!

“Kenapa kamu tak masuk?” soal Haji Zaini sebaik anak saudaranya berdiri di hadapan.

“Mereka tak jemput saya, pak andak,” beritahu Hazry jujur.

“Kamu ni lurus bendullah! Kalau majlis keluarga Haji Umar, semua pembantu dijemput sekali. Baik kamu masuk…” arahnya. “Kecil hati Haji Umar nanti. Boleh juga kamu tolong apa yang patut. Tetamu dah ramai datang tu…”

Hazry mengangguk. Langkah Haji Zaini diikutkan sahaja. Adanya Haji Zaini, dia berasa lega. Tidaklah dia berasa janggal kerana dia belum mengenali semua ahli keluarga Haji Umar.

Meriah! Majlis memang meriah. Anak-anak kecil berpeluang bermain bermacam-macam permainan. Ada badut, anak kuda dan ahli silap mata. Belum kira lagi berpuluh belon yang hampir memenuhi separuh kolam renang dan pelbagai makanan yang terhidang di atas meja. Para ibu bapa pula sibuk berbual dan beramah mesra.

“Hazry…” panggil Jehan yang muncul entah dari mana. Kalut gayanya menguruskan sesuatu. Namun, senyuman terukir lebar sebaik dia ternampak Hazry. “Awak tolong ambil mangkuk puding trifle dari Bibik Susanti. Ada kat dapur…”

Hazry melangkah masuk ke dalam banglo dua tingkat itu. Jika di luar rumah kecoh, di dalam rumah juga sama kecohnya. Anak-anak yang gemarkan rancangan TV leka menonton cerita kartun. ‘Macam kat nursery.’

Di satu sudut yang jauh dari orang lain, Hani Mariya duduk menyorok, “Hana, jangan menangis, sayang.”

“Hani, kenapa ni?” tegur Hajah Sumayyah yang baru turun dari tingkat atas.

“Hana menangis. Haziq kacau dia…” jawab Hani Mariya dengan suara yang lirih. Dia rasa sedih bila anaknya diganggu sepupu yang nakal.

Hajah Sumayyah melepaskan nafas berat. “Hani rehat ya. Hani nampak penat,” pujuknya. Dia simpati melihat keadaan anaknya yang kelihatan tidak selesa. “Hani naik atas. Rehat kat bilik mama.”

“Tak nak, ma. Hana tak suka rehat dalam bilik,” jawab Hani Mariya masih bersedih.

“Kalau penat sangat, Hani balik dulu ya…” cadang Hajah Sumayyah pula.

No! No! Abang Muneef suruh Hani tunggu sampai Haziq potong kek dia,” bantah Hani Mariya dengan suara yang lembut. “Kalau tak, Abang Muneef kata macam tak pergi birthday party…”

“Mama faham, sayang,” pujuk si ibu lagi. “Tapi, Hani nampak letih. Rehat dulu, ya. Nanti, masa Haziq potong kek dia, mama panggil Hani.” Sedih dia melihat anaknya yang bermuram durja pada masa semua tetamu lain bergembira.

No, Hani tak letih,” bantah Hani Mariya lagi.

“Mama rasa Hani tak patut duduk sorang-sorang…”

No! Hani ada Hana…” potong Hani Mariya.

Hajah Sumayyah serba salah. “Maksud mama, Hani tak patut layan Hana sorang-sorang. Cepat penat nanti. Err…” Dia menoleh ke kiri dan kanan. Kelibat Hazry muncul di depan matanya. “Err… Hazry! Temankan Hani main dengan Hana…”

“Err… Cik Jehan minta saya ambil puding dari Bibik Susanti dan hantar keluar, puan hajah…” beritahu Hazry.

Hajah Sumayyah tersenyum. “Tak apa, nanti saya suruh Bibik Susanti yang hantar. Hazry teman Hani main dengan Hana. Bawa mereka ke playground kat depan sana pun tak apa… Bising sangat kat sini. Hani dan Hana tak selesa…”

Hani Mariya memandang Hazry dengan pandangan tajam. Namun, arahan si ibu dipatuhi tanpa sebarang bantahan. Dia berjalan keluar dari banglo itu lalu menuju ke taman permainan di hujung jalan.

Hazry hanya menurut dari belakang. Dia menjadi kian serba salah. Maklumlah, sudah seminggu Hani Mariya membisu. Sejak peristiwa di hadapan galeri, Hazry hanya menerima arahan Hani Mariya dari bibir Jehan, Jasni atau Mak Som, orang gaji di rumah agam Haji Umar. Lebih menyentap perasaan, Bibik Susanti juga terkadang dilantik menjadi orang tengah.

Maka, pada petang yang nyaman ini, dia tidak mahu merosakkan mood Hani Mariya. Lalu, dia hanya memerhatikan Hani Mariya menghayun buai perlahan-lahan. Angin yang agak kuat buat hayunan bertambah laju.

“Kenapa kita kat sini, mummy?”

Soalan Hana Maisarah buat Hani Mariya mengerutkan dahi. “Hana kan menangis tadi. Haziq kacau Hana. Nenek suruh mummy bawa Hana ke sini untuk pujuk Hana supaya tak menangis lagi…” Lembut suaranya memujuk.

“Hana dah tak sedih…”

“Mummy tahu…” sahut Hani Mariya. “Tapi mummy yang masih sedih. Mereka suka pandang kita pelik…”

“Kenapa?”

“Entah! Mungkin sebab daddy tak ada dengan kita…” teka Hani Mariya. Sebenarnya, dia keliru mengapa kerap kali hal ini berlaku. Salah apa yang dia lakukan hingga layanan ahli keluarganya acuh tak acuh sahaja. Hanya mama dan papanya sahaja yang melayannya dengan baik. Ah! Termasuk juga Jehan, Jasni, Mak Som, Bibik Susanti, Haji Zaini dan kini… Hazry.

“Hmm… Daddy sakit. Nak buat macam mana…”

Reaksi Hana Maisarah yang amat memahami buat Hani Mariya bertenang. Andai anaknya yang masih kecil boleh bersabar, dia juga harus begitu. “Tak apa ya, kita sabar ajelah…” Nasihat itu lebih untuk diri sendiri sebenarnya.

“Kenapa driver kita duduk sana?”

Soalan Hana Maisarah buat Hani Mariya menoleh pada Hazry sekilas. “Hmm… Nenek suruh dia ikut kita tadi…”

“Hana tahu… Tapi Hana pelik, kenapa dia duduk jauh-jauh? Kenapa dia tak nak berbual dengan kita macam Tok Ni? Kenapa mummy tak cakap dengan dia? Mummy marah dia ke?”

Hani Mariya terdiam. Hana Maisarah memang anak yang sensitif dengan setiap apa yang berlaku. “Hmm… Mummy tak tahu. Mummy rasa dia tak suka mummy.”

“Pelik! Mummy kan cantik. Semua orang nak kawan dengan mummy…”

Hani Mariya pantas menggeleng. “Tak adalah! Hana lagi cantik. Hana juga baik dan bijak. Semua orang nak kawan dengan Hana.” Diusik pula anak itu.

“Ops! Ada pembetulan, mummy…”

Bulat mata Hani Mariya dengan reaksi Hana Maisarah. “Apa dia?”

“Memang semua orang nak kawan dengan Hana kecuali Haziq… Dia tak mahu kawan dengan Hana dari dulu, kini dan selamanya, mummy.”

Hani Mariya tertawa mendengar kata anak itu. Sambil itu, sekilas dia memandang pada Hazry yang duduk di atas sebuah kerusi batu tidak jauh dari situ.


Novel SORRY, AKU BUKAN DIA! berada di pasaran pada OGOS 2014.


Saat Pena di Genggaman...

Iza Safiya

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.