Home Novel Cinta SORRY, AKU BUKAN DIA!
SORRY, AKU BUKAN DIA!
16/6/2014 13:18:23
47,377
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

“KEBABOOM, bro!!!” jerit satu suara di dalam telefon bimbit kuat menerjah ke pendengaran Hazry Mikail yang sedang tenang memacu motosikal. Sudahlah alat cabuk itu terpaksa diselitkan di antara telinga dan helmet yang terletak di kepala. Bingung otaknya seketika.

“Kuatnya suara kau!” balas Hazry. Tinggi juga suaranya. Geram dia dengan jeritan si teman. SMS ringkas yang dihantarnya dibalas pantas dengan panggilan.

Suara di hujung talian sekadar ketawa. Semakin kuat.“Sorry! Sorry!Akuhappy sangat kau dapat kerja.”

“Alhamdulillah!” balas Hazry semula. “Kita jumpa kat rumah. Kau tunggu aku. Buat air teh kurang manis seteko!” Sempat dia menyuruh. Talian dimatikan. Telefon bimbit segera dimasukkan dalam poket kemeja.

Hazry terus sahaja memacu motosikal penuh hati-hati di dalam kawasan perumahan elit itu. Maklumlah, motosikal pinjam. Motosikal itu milik Halim, si pemilik suara yang juga teman serumah. Terpaksa dia meminjam kerana motosikalnya sendiri masih lagi tersadai di bengkel.

“Minyak motor kau tak payah isi, Hazry. Aku dah isi penuh!” Itu pesan Halim tadi. “Upah bagi pinjam motor, kau belikan aku pisang goreng. Dua ringgit pun dah cukup.”

Maka, gerai pisang gorenglah sasaran Hazry kini. Dia bercadang hendak membeli lebih. Dapat juga dia berborak sekejap sambil makan bersama Halim pada penghujung hari yang nyaman sementara menunggu maghrib menjengah. Jam sudah menunjukkan pukul 6.00 petang. Lega dia sebaik melihat sebuah gerai menjual pisang goreng tidak jauh dari situ. Hanya sebuah kenderaan yang datang menyinggah.

“Mak cik, pisang goreng empat ringgit!” pinta Hazry yang duduk bertenggek di atas motor. Enjin motosikal sudah dimatikan.

“Tunggu sekejap ya, nak…” sahut mak cik itu. Tangannya pantas memasukkan kepingan pisang goreng ke dalam sebuah plastik kuning. Kemudian dia menterbalikkan kepingan pisang yang masih berada di dalam kuali yang sederhana besar.

Sambil menunggu, Hazry memandang keliling. Ini kali pertama dia menerjah ke Kinrara Heights, sebuah kawasan elit. ‘Untung mak cik ni dapat buka gerai kat sini. Tentu lumayan kerana pelanggannya semua orang senang,’ fikir Hazry. Dia memandang semula pada si penjual pisang goreng. Berpeluh dahi menahan panasnya kuali yang penuh berisi minyak. Terdapat seorang lelaki yang duduk merokok sambil menyandar di tiang belakang gerainya. Tidak tua, tidak juga muda. Selamba sahaja wajahnya tanpa berhasrat mahu membantu meringankan kerja.

Sempat juga dia mencuri pandang pada seorang wanita yang berkebaya biru dan bertudung sedondon. Bercermin mata hitam dan berkasut tinggi. Dia sabar menunggu pesanannya disiapkan.

“Jangan keluar, sayang. Duduk elok-elok dalam kereta…” ucap wanita itu sambil menoleh ke arah keretanya. Kuat suaranya hingga mampu Hazry dengar biarpun tubuhnya membelakangkan anak muda itu. “Panas lagi pisang goreng ni. Sayang duduk dalam kereta aje ya. Mummy letak pisang goreng ni kat belakang. Nanti, kita makan sama-sama…”

Kata-katanya dibiarkan Hazry. Entah dengan siapa dia bercakap, Hazry tidak pasti. Mungkin anaknya kerana dia membahasakan dirinya mummy. Patuh anaknya kerana tidak kedengaran pula sebarang suara membantah. Hanya senyap di dalam kereta yang cermin sisinya diturunkan separuh.

Mata anak muda ini melekat pula pada kereta milik wanita itu. Kereta sport dua pintu berwarna putih dan bercermin gelap serta bernombor plat satu digit.

Setelah mendapat pesanannya, wanita itu masuk semula ke dalam kereta dengan dua plastik besar berisi pisang goreng. Kenderaan mewah itu terus sahaja meluncur pergi.

“Maaf, nak. Lambat…” ucap mak cik si penjual pisang goreng. Tangannya lincah menyiapkan pesanan Hazry. Sebaik plastik diikat rapi, dia menyerahkannya pada anak muda itu.

“Tak apa, mak cik,” jawab Hazry. Empat keping not seringgit bertukar tangan. Sambil meletakkan plastik pisang goreng di dalam bakul motosikalnya, sempat lagi Hazry memasang telinga.

“Manalah perempuan sakit jiwa tu nak pergi?” soal lelaki yang duduk sambil menghembus asap rokok itu. “Beli pisang goreng sampai 20 ringgit…”

“Ah! Adalah urusannya tu. Biarlah…” sahut si penjual dengan nada malas. “Duit dia kan dah jadi rezeki kita. Patutnya kita bersyukur.”

‘Perempuan sakit jiwa? Bertudung litup seperti itu dituduh sakit jiwa?’ Sempat juga Hazry menyoal diri sendiri. ‘Dunia! Dunia!’


HALIM tersenyum lebar apabila melihat Hazry muncul di laman. Rumah setinggan di Kinrara itu baru sahaja dihuni Hazry. Dulu Halim menyewa dengan teman yang lain. Bila temannya itu sudah berkahwin, Hazry pula yang menggantikan.“Bila mula kerja?” soal Halim.

“Alhamdulillah... Minggu depan, aku mula kerja kat sana…” jawab Hazry tenang.

“Minggu depan? Baguslah. Tak perlu kau pindah. Duduk aje kat sini,” Halim mula mengayat. Lega dia kerana tempat kerja baharu Hazry terletak di Kinrara Heights. Tidak jauh dari rumah sewa mereka.

“Ha’ah... Aku kena standby 24 jam. Bos aku sediakan kuarters, tapi segan pulak aku. Jiran-jiran semuanya perempuan…”

“Kuarters? Percuma?” soal Halim kerisauan. Bimbang hilang rakan penyewa.

Hazry mengangguk. Topi keledarnya diletakkan di atas meja. Plastik pisang goreng pun sama. “Satu untuk lelaki. Satu untuk perempuan,” beritahunya tenang.Air teh di dalam tekodituangkan ke dalam cawan. Pinggan plastik kosong turut diambil dari rak pinggan tepi singki.

“Eh! Kau ni dapat kerja apa? Siap kena standby bagai…” Berkerut dahi Halim.

Driverlah… Takkan aku jadi tukang masak pulak. Kerja aku memang kena standby 24 jam sehari, tujuh hari seminggu. Sebab itu, bos aku sediakan kuarters. Kuarters untuk lelaki masih kosong. Aku dapat bilik siap dengan bilik mandi. Tapi, kena tinggal seorang. Pembantu perempuan semua duduk kuarters sebelah. Malulah aku berjiran dengan perempuan…” Terbayang di mata Hazry rumah agam Haji Umar.

“Lega aku sebab kau tetap nak tinggal kat sini.” Tersenyum senang Halim. “Kau ni memang segak jadi driver. Lebih segak kalau jadi bodyguard. Tapi, kalau kau jadi tukang masak pun bagus juga. Setiap malam kau boleh bawa balik baki makanan. Jimat belanja dapur kita…”

Hazry ketawa. Halim tetap Halim. Kuat makan, patutlah badannya montel. Enam bulan lepas, dia datang ke Kinrara untuk bekerja sebagai pemandu sementara bagi pengurus kilang plastik, Mr. Chong namanya. Secara kebetulan, di situlah tempat Halim bekerja sebagai penjaga stor. Pemandu sedia ada Mr. Chong mendapat cuti sakit yang agak lama. Sebaik pemandu asal menyambung tugas, kontrak Hazry tidak diperbaharui. Namun dia bersyukur. Pertemuan dengan pak andaknya di Hotel Istana dua minggu lepas, rupanya membuka pintu rezeki. Ketika itu, Hazry menghantar Mr. Chong bermesyuarat di sana. Pak andaknya juga merupakan seorang pemandu. Dia sudah berusia lebih setengah abad dan hampir bersara. Majikannya pula sedang mencari pengganti.

“Motor kapcai kau bila siap?” soal Halim.

“Esok petang,” beritahu Hazry. “Jangan lupa, tolong beri Baby aku makan setiap petang kalau aku balik lambat…”

Halim mengangguk lagi. Hazry ibarat bapa kucing. Selalu beri makanan pada kucing di kedai makan. Ada seekor yang cukup bertuah. Baby namanya. Serba putih bulunya. Hazry jumpa di tepi jalan ketika pulang dari surau.

“Rehatlah dulu seminggu ni. Patut-patut cari mak we, kau cari. Nanti dah kerja, kaubusy. Kau tu dah tua. Takut jadi BT nanti…” Ada riak lawak di wajah si Halim.

“BT?” soal Hazry semula. Lurus gaya orang kampung.

“Bujang terlajak…”

Hazry tertawa. “Sampai hati punya member…” Dia tahu Halim bergurau sahaja. Halim lebih muda daripadanya. Sebab itu, dia menganggap Halim ibarat adik. Dalam tawa, Hazry teringat kata arwah ayahnya. Arwah juga pernah bimbangkan dia akan menjadi bujang terlajak. Tua sangatkah dia? Tahun ini dia baru masuk 30 tahun.


Novel SORRY, AKU BUKAN DIA! berada di pasaran pada OGOS 2014.


Saat Pena di Genggaman...

Iza Safiya


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.