Home Novel Cinta SORRY, AKU BUKAN DIA!
SORRY, AKU BUKAN DIA!
16/6/2014 13:18:23
27,933
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

DIAM tak diam, sudah sebulan Hazry bertugas sebagai pemandu Haji Umar dan Hani Mariya. Jadualnya padat di siang hari malah terkadang hingga ke malam. Hari ini, dia mendapat gajinya yang pertama. Selain membeli hadiah buat Haji Zaini dan Halim yang banyak membantu, Hazry tidak lupa untuk membayar hutang pak ngahnya.

Selepas duit dimasukkan ke akaun pak ngahnya melalui mesin ATM, segera dia menghantar SMS untuk memaklumkan bayarannya pada orang tua itu. Namun, tanpa disangka, SMSnya dibalas dengan panggilan. Panggilan yang tidak sampai dua minit tetapi cukup untuk buat fikirannya serabut berjam-jam lamanya hingga ke tengah malam.

Hanya teguran Halim yang buat Hazry tersedar lalu kembali ke alam nyata. “Apa yang kau fikirkan tu, bro? Dari tadi, sejak balik surau dok termenung macam pungguk rindukan bulan.”

Hazry diam seketika. Perlukah dia bercerita tentang hal ini? Halim baru sahaja dikenalinya. Tapi Halim baik dan suka membantu. “Aku terbayang kisah hidup aku yang macam tak berubah dari dulu…”

“Maksud kau?” Halim mula duduk di kerusi hadapannya.

“Aku ni jadidriver dah lebih 11 tahun, Lim. Tapi, hidup aku tak berubah. Cuma kenderaan aje yang berubah,” kata Hazry bagai mengadu.

Halim tertawa kecil. “Okey apa tu,bro? Baru dapat gaji pertama, kau dah belikan aku kain pelikat benang rapat ni. Cantik…” Kain pelikat berwarna merah bak delima merekah dilurutnya perlahan.

“Ke situ pulak kau ni…”

Halim ketawa lagi. “Kau patut fikir macam ni. Dulu, kau bawa lori setengah tan. Lepas tu kau bawa lori satu tan.Lepas tu, kau bawa lori 10 tan. Itu kira naik pangkatlah!” Melihat Hazry menggeleng menahan senyuman, Halim menyambung, “Lepas tu, kau bawa teksi Proton Iswara. Naik pangkat lagi, bila kau bawa kereta Perdana Mr. Chong. Sekarang BMW Haji Umar pulak. Tu kira setaraf CED tu.”

“CED?”

Chief executive driver,” jawab Halim.

Hazry menggeleng. “Dari segi itu betullah. Tapi, aku tengah risau. Kerja aku ni tak cukup nak tebus balik tanah arwah ayah yang aku cagarkan pada pak ngah aku tu. Hutang RM18 ribu tu banyak, Lim…”

“RM18 ribu? Banyaknya… Kenapa kau cagarkan tanah tu?” soal Halim.

“Hampir tiga tahun lepas, aku perlukan duit tambahan untuk buat pembedahan jantung ibu aku. Aku terdesak sangat masa tu. Adik-beradik tak ada. Saudara mara pun bukan orang senang. Pak ngah aku ajelah yang berduit. Waktu tu, aku minta tempoh untuk bayar dalam masa lapan tahun. Dia setuju.”

“Kau bayarlah sikit-sikit…” cantas Halim.

“Memanglah! Sejak aku kerja dengan Mr. Chong lagi aku bayar sikit-sikit. Adalah dalam 300 ringgit sebulan. Tapi, tadi pak ngah telefon, mintak pendekkan tempoh. Aku kena langsaikan dalam dua tahun ni aje…”

“Eh! Boleh pulak pak ngah kau buat macam tu?” Berkerut dahi Halim.

“Pak ngah aku tu memang cara fikirnya lain sikit. Kalau aku cerita kat kau, macam mengata saudara sendiri pulak,” kata Hazry lagi. “Tapi, aku dah buntu ni.” Tentu sekali dia tidak mahu kehilangan tanah arwah ayahnya biarpun hanya sekangkang kera.

“Kau dah bayar berapa tahun?” soal Halim lagi.

Hazry menarik nafasnya dalam-dalam. “Err… Baru enam bulan…”

“Enam bulan aje? Eh! Kenapa kau tangguh lama sangat?” soal Halim.

“Err… aku pinjam duit tu masa aku mula jaga arwah ibu dan ayah aku sepenuh masa. Dua-dua sakit jantung. Dua tahun aku jaga mereka sambil kerja kampung. Aku tak ada gaji. Kerja kampung pun cukup untuk bagi makan aku sekeluarga aje. Bila aku bawak teksi, pendapatan tak banyak mana sebab aku bukannya bawa teksi kat KL. Kat Tangkak tu hah... Masa aku kerja dengan Mr. Chong, baru aku bernyawa. Masa tulah aku bayar 300 sebulan. Hari ni, dapat aje gaji pertama aku dari Haji Umar, aku bayar lagi.”

“Hah! Kau doublekan ajelah. Asalkan habis hutang kau dalam tempoh dua tahun.”

“Aku perlu bayar hampir RM800 sebulan tahu…”

“Hisy! Habis tu kau nak makan apa nanti?” soal Halim mengambil berat. Bagi dirinya jumlah itu terlalu besar. Mustahil untuk dibayar setiap bulan.

“Itulah aku cakap, aku buntu,” keluh Hazry. Kepalanya digaru-garu biarpun tak gatal.

Halim menarik nafas panjang. Terasa masalah itu seperti masalahnya pula. “Yang aku nampaklah kan…” Berjeda seketika. “Kau cuma ada dua pilihan, lepaskan aje tanah tu atau kau kerja gila-gila untuk cari duit.”

“Takkan aku nak lepaskan, Lim. Itu tanah pusaka arwah ayah aku…” tegas Hazry. Baginya, dia sanggup bersusah, tapi apa jalan yang dia ada? “Kalau aku bayar RM800 sebulan untuk tanah tu, aku cuma mampu bayar sewa rumah dan isi minyak motor ke tempat kerja aje. Duit untuk makan, kongsi bayar bil dan belanja dapur tak lepas…”

“Err… kau tak terfikir nak tinggal kat kuaters, Hazry?” soal Halim kebimbangan. Tak sanggup untuk dia memikirkan yang dia akan kehilangan teman serumahnya nanti. Halim juga tahu, di kuarters, semua keperluan makan minum disediakan Haji Umar.

“Aku tak selesalah tinggal di kuarters. Jiran aku perempuan. Tak ada pekerja lelaki yang tinggal kat sana.” Dia terbayangkan dia berjiran Bibik Susanti yang cukup suka berborak panjang tu. Haru!

“Pak andak kau kata apa?” soal Halim lagi.

“Pak andak aku kata, pak ngah aku tahu aku dah kerja dengan orang senang. Jadi, dia macam sengaja tekan aku,” beritahu Hazry. Jujur suaranya seperti selalu. “Pak andak aku kata, pak ngah aku buat macam tu sebab ada udang di sebalik batu.”

“Batu apa, Hazry?” kata Halim sedikit mengusik. Tidak boleh lari anak muda ini dari sikap lawaknya. Bukan dia tidak simpati pada Hazry, cuma wajah Hazry yang sangat serius cuba untuk ditenangkan. “Batu nak hempap kepala kau atau batu bata nak buat bangunan?”

“Kau ni… ke situ pulak.” Meleret suara Hazry. “Pak andak aku kata, dia rasa pak ngah aku nak kenenkan aku dengan salah seorang anak dara dia.”

“Eh! Itu dah kebaboom, bro! Hutang kau selesai, kau dapat bini. Macam orang putih kata, you kill two birds with one stone…” usik Halim.

“Kebaboom lah sangat!” balas Hazry. Rasa tak puas hati terpancar di wajahnya. “Tak naklah aku kahwin dengan sepupu sendiri. Anak-anak perempuan pak ngah aku tu semua ibaratnya kakak-kakak aku tau!”

Giliran Halim pula menggaru kepala. “Err… Kau pinjam ajelah duit bos kau… Haji Umar.”

“Hisy! Tak naklah, Lim. Memalukan aje. Baru kerja sebulan, dah pandai-pandai pinjam duit. RM18 ribu tu banyak tau,” tolak Hazry lagi. Seram dia mendengar cadangan Halim kali ini. “Kesian pak andak aku… malulah dia.”

“Kau nak berniaga tak?” soal Halim.

“Aku ada fikir macam tu juga, Lim. Daripada kerjapart-time makan gaji, lebih baik berniaga.”

“Kalau jual burger malam-malam, kau sanggup?” cadang Halim lagi.

“Tapi, burger ni dah biasa sangat. KFC ada burger. Mc Donald ada burger. Burger King’s memang jual burger. Abang-abang burger pun dah melambak-lambak kat merata tempat. Itu belum lagi burger yang geng Fizo Omar jual.” Bersungguh Hazry mengutarakan pendapatnya.

“Betul jugak! Aku cadangkan kau jual burger tu sebab itu yang mudah…” beritahu Halim.

“Mudah juga orang tiru…”

Halim mengangguk. “Hmm… Kau ada cadangan lain?”

“Cadangan tu ada, tapi, aku ni kerja tak tentu masa, Lim. Kau pun tahu.” Hazry rasa keberatan. Itu antara perkara yang dia dah fikir. Namun, kekangan masa buat dia tidak terus memikirkannya. Dia hendak membuat sesuatu dengan sepenuh hati dan dengan kudratnya sendiri.

“Aku tolong kaulah. Kita kongsi buka dan jaga gerai sama-sama…” kata Halim. “Aku kan kerja dari pagi sampai petang aje. Kita berniagalah waktu malam.” Dalam diam dia ada agendanya sendiri. “Kalau kaubusy, biar aku urus sorang. Yang penting kita kongsi modal.”

“Mana nak cari modal? Duit simpanan aku bukan ada banyak pun,” kata Hazry.

“Alah… Aku ni kan penjaga stor,” sahut Halim penuh keyakinan. “Aku banyak member. Banyak jumpasupplier juga. Nanti akurecce untuk kita. Kau jangan bimbang. Kita bincang apa yang kita nak buat dulu.”

“Mi bandung Muar,” cadang Hazry penuh yakin. “Resepi original. Bahannya kita sediakan kat rumah. Kat gerai kita tinggal masak aje.” Semasa memandu teksi, setiap kali terpaksa menghantar penumpang ke Muar, dia akan singgah makan mi bandung di gerai tepi Sungai Muar. Terlalu kerap membuat pemerhatian, mudah baginya membayangkan cara penyediaan menu dan pengurusan gerai yang sederhana saiznya. Dia yakin mereka mampu melakukannya.

“Kau tahu resepinya?” soal Halim kerisauan. Dia tahu mi bandung Muar memang popular. Tapi, dia tidak pernah merasainya.

“Insya-ALLAH... aku tahu. Lagipun, arwah ibu aku asal Muar. Arwah yang ajar aku masak. Hujung minggu ni, aku masakkan untuk kau…” Sempat Hazry berjanji. “Tapi, kita nak berniaga kat mana?”

“Hah! Itu kau jangan bimbang,” sahut Halim. “Aku ada perasan satuspot baik punya. Kat flat belakang OUG. Ada tanah kosong bawah pokok. Cukup untuk gerai dan meja makan tiga empat buah…”

“Kawasan tu okey ke?”

“Alah! Kat situ banyak flat. Banyak kedai yang tutup lambat. Tapi, tak ada gerai makanan langsung. Restoran ada, tapi tutup awal. Dekat pulak denganbus stop. Insya-ALLAH, okey…”

“Kau selalu lalu kat situ?” soal Hazry.

“Bukan sekadar lalu. Itu tempat aku bertapa. Kan baby aku, si Nora tu tinggal kat situ…” jawab Halim selamba.

Tertawa Hazry melihat Halim yang sudah tersengih gatal. “Oh… Pandai kau ya. Kau berniaga nanti, ada yang teman…” usik Hazry.

“Tahu tak apa…” sahut Halim dalam tawa. “Tapi, Nora tu cuma dayang-dayang aku aje tau. Kau tu kalau ada masa mesti datang gerai juga. Manalah tahu, dengan muka kau yang lawa kacak tu, jadi pelaris kat gerai kita.”

“Tak adalah kacak. Aku orang kampung aje. Kereta tiada, motor pun arwah bapak punya…” jawab Hazry dengan ketawa. “Eh! Kau ni beria nak jadipartner aku, apa cerita?”

“Err… Aku nak mula kumpul duit untuk kahwinlah,bro,” kata Halim ceria.

Hazry terus sahaja menepuk bahu temannya. Jika Halim bahagia, dia turut bahagia. “Kau uruskan dan kita kira berapa modal kita perlu…”

“Baik, bos,” sahut Halim sambil ketawa.


BARU sahaja Hazry mahu menarik selimut, telefon bimbitnya pula berbunyi. Berkerut dahinya melihat nama pak andak yang muncul.

“Hazry, kamu kat mana?” soal Haji Zaini serius.

Sempat juga jam di atas meja dikerling si Hazry. Pukul 12.30 tengah malam. “Rumah. Kenapa? Pak andak okey tak?”

“Pak andak okey,” jawab Haji Zaini. “Hani Mariya yang tak okey. Kamu kena jemput dia…”

“Hah! Kenapa dengan dia?” soal Hazry terkejut.

“Dia terperangkap dalam galeri,” beritahu Haji Zaini. “Cepat, Hazry. Dia seorang aje tu…”

“Galeri? Galeri apa?” soal Hazry kehairanan.

“Galeri dialah…”

Pantas Hazry bangun. Biarpun masih banyak tanda soal dalam kepalanya, dia segera menyarung pakaian yang lebih sesuai. The Zero? “Apa hal Puan HM ke sana?”

“Pak andak tak tahu!” jawab Haji Zaini. “Dia telefon minta tolong dengan suara terketar-ketar sekejap tadi.”

‘Aduh! Kenapalah tengah malam buta kau merayap, bos?!’ Hazry merungut sendirian. “Pak andak jangan risau. Saya pergi tengok dia…”

“Jangan kamu beritahu Haji Umar pulak. Rahsiakan ni semua,” pinta Haji Zaini. “Minta si Halim teman. Mungkin kamu kenadrive kereta Hani balik rumah dia nanti.”

“Dia drive ke sana ke?!” Hazry terkejut lagi. Dia masih tidak lupa kata-kata Haji Umar pada hari pertama dia bekerja. Hani Mariya ada penyakit panic disorder yang kronik. Jika penyakitnya menyerang, dia tidak mampu berbuat apa-apa. Anggota tubuh badannya menggigil luar kawalan. Jika dalam keadaan yang lebih tertekan, dia akan menangis seperti orang yang dirasuk. Sudah beberapa kali dia terbabas hingga terlanggar tembok atau tiang ketika memandu sendirian. Sebab itu, Hani Mariya memerlukan pemandu dan Hazry diarahkan standby 24 jam untuk menghantar bosnya ke mana sahaja tak kira masa.

“Mungkin. Pak andak rasa aje. Takkan dia panggil teksi malam-malam macam ni…”

Bertambah kalut Hazry. Segera dia mengetuk pintu bilik tidur Halim. Bantuan temannya itu diperlukan. Sebagai tukang hantar dan tukang teman.

LIMA minit kemudian, dua anak muda itu sudah meredah pekatnya tengah malam untuk ke The Zero demi menyelamatkan Hani Mariya.

Sebaik berada di hadapan Galeri Seni HM, Hazry segera melekapkan muka di pintu kaca untuk memandang ke dalam. Dalam samarnya suasana galeri yang disimbahi cahaya lampu dari ruang legar di luar, Hazry terpandangkan susuk tubuh wanita itu terbaring meniarap di tepi kaunter kerja Jehan dengan tubuh yang menggigil. Begitu kuat gigilannya hingga Hazry boleh nampak dengan jelas.

Segera Hazry membuka pintu dengan kunci yang ada. Pintu gagal dibuka. Argh! “Kenapa ni?!”

Halim datang mendekati. “Kenapa?”

“Tak boleh buka pulak…” Hazry makin panik.

Halim menoleh kiri kanan. Pada panel kayu di sebelah kanan, terpasang alat kawalan keselamatan. “Pintu ni ada passwordlah! Macam stor kilang aku…”

“Biasanya Cik Jehan buka okey aje…” sahut Hazry tidak percaya. Dia sering melihat Jehan keluar masuk dengan kunci di tangan.

“Mungkin dia settingkan ikut masa. Inikan dah tengah malam…” beritahu Halim. Sekadar meneka.

“Aku call Cik Jehan…” kata Hazry. Segan juga rasanya untuk menghubungi wanita itu pada waktu malam. Tapi, dia terpaksa.

“Hazry…” panggil Jehan di hujung talian. Suaranya serak.

“Cik Jehan, apa nombor password galeri?”

“Awak nak buat apa?” Terkejut Jehan mendengar soalan Hazry pada jam-jam begini.

“Err… Puan HM terperangkap kat dalam ni…”

“Ya ALLAH! Apa dia buat?” soal Jehan lagi.

“Tolong beri password dulu, boleh? Saya bimbangkan puan. Nanti sayacall Cik Jehan untuk maklumkan keadaan dia…”

“421201…” jawab Jehan. “Lepas tu tekan enter…”

Pantas Hazry menekan nombor satu demi satu. Enter! “Dah!”

Tit! Tit! Tit! Pintu kaca terenggang seketika.

“Awak boleh masuk!” arah Jehan. Dia turut mendengar bunyi itu.

Hazry menolak pintu kaca lalu berlari ke arah Hani Mariya. “Puan! Puan!” Kalut dia memanggil. Segera dia melutut di sisi bosnya yang hanya berpakaian ringkas. “Puan! Karpet ni kotor…” Itu yang dikatakannya. Hani Mariya seolah-olah menyembamkan mukanya di atas lantai berpermaidani.

Hazry mencempung tubuh Hani Mariya biarpun wanita itu mula meronta-ronta. Namun, bukanlah sekuat mana. Diletakkan terus tubuh itu di atas sofa. Air mata Hani Mariya meleleh jatuh ke pelipisnya. Nafasnya kesesakan.

“Saya ada… Jangan takut…” Itu pujukan Hazry. Lembut kedengaran di telinga.

Hani Mariya pantas memegang tangan Hazry. Kejapnya genggaman itu buat Hazry tahu wanita ini memang dalam tekanan. Genggaman tangan itu dibiarkan sahaja.

“Halim, kau buka lampu. Satu aje! Kau buka tingkap sana tu besar-besar…” arah Hazry. “Biar udara masuk…” Dia merasakan Hani Mariya memerlukan udara yang lebih nyaman. Galeri itu bertutup rapat. Sudahlah tiada penghawa dingin yang dihidupkan. Udaranya menjadi berwap dan suasananya merengsakan.

Hazry memandang Hani Mariya. Wanita itu berbaring mengerekot membelakangkan tubuh Hazry. Gigilannya masih ada. “Saya panggil doktor ya…”

No! No!! No!!!” pinta Hani Mariya sambil menggeleng. Tubuhnya menggigil lagi. Nafasnya kian pendek. Genggaman tangannya pada Hazry semakin kuat.

Hazry tahu itu isyarat penolakan. ‘Ya ALLAH! Aku tak tahu nak buat apa ni?’ jerit hatinya. “Tak! Tak! Tak! Saya tak panggil doktor.”

“Kau suruh bos kau tarik nafas panjang-panjang…” nasihat Halim perlahan di telinga Hazry. Dia sudah duduk di sofa berdekatan. Dia turut risau. Ini bukan gaya panik biasa. Dia pernah melihat orang panik disebabkan kemalangan atau kebakaran. Tapi bukan seperti ini. Seperti orang yang kena sawan, tetapi macam bukan.

“Puan tarik nafas panjang-panjang ya… Udara dari luar dah masuk. Segar sikit rasanya ni,” pujuk Hazry. “Saya ada dengan puan.” Dia memandang Hani Mariya dengan rasa simpati. Hendak diusap kepala wanita itu, macam tak patut pula. Diakan bos. Tapi, melihat keadaannya begini, hati Hazry menjadi lembut tidak terperi. Bimbang dia lupa diri atau terlebih laku. Dia segera membaca ayat Kursi. Perlahan. Cukup untuk buat dia dan Hani Mariya mendengar. Berulang-ulang entah berapa kali hingga Hani Mariya semakin menghampiri tenang.

Selepas itu, entah mengapa wanita itu menangis teresak-esak pula. Seperti anak kecil yang meminta manja.

“Kenapa?” soal Hazry perlahan. Dia sudi mendengarnya. “Puan beritahu saya… Saya tolong puan ya. Apa-apa aje…” Tidak letih dia melutut di sisi sofa putih itu. Dibiarkan masa berjeda. Sesekali angin lembut bertiup masuk buat Hazry rasa lega. Dia berharap Hani Mariya merasainya juga.

“Saya nak duduk,” pinta Hani Mariya tiba-tiba. Genggamannya pada tangan Hazry akhirnya dilepaskan.

Hazry tersenyum. Dia membantu Hani Mariya bangkit daripada pembaringan lalu diselesakan duduk wanita itu. Hani Mariya menundukkan muka. Hazry biarkan sahaja. Dia sekadar mampu duduk di sebelah. Dia sabar menunggu. Tiada guna jika dipaksa. Sekotak tisu di atas kaunter Jehan dicapainya lalu diletakkan di sisi Hani Mariya.

“Mana Pak Ni?” soal Hani Mariya dalam gigilan yang sedikit tersisa.

“Pak Ni tak dapat datang. Dia minta saya yang jemput puan kat sini…” jawab Hazry tenang. Dia tak perlu kalut.

“Saya nak Pak Ni…” pinta Hani Mariya. Lirih suaranya. Sehelai dua tisu ditariknya lalu dilapkan ke pipi.

Simpati pula Hazry melihatnya. Jelas Hani Mariya sangat selesa dengan Haji Zaini. “Pak Ni tak ada. Dia tak dapat datang. Lagipun, dia kan dah bersara…”

Hani Mariya menangis. Berjuring air mata di pipinya lagi.

“Shyy... Jangan nangis, puan. Saya ada dengan puan. Tak perlu risau…” pujuk Hazry perlahan. Dibiarkan masa berjeda. Tidak tahu apa lagi yang perlu dikata untuk memujuk Hani Mariya. Bukankah wanita itu isteri orang?

“Hana perlukan pensil warna. Pensil warna dia hilang. Esok ada kelas lukisan,” adu Hani Mariya tiba-tiba. “Hana beritahu lambat sangat. Pukul 11.30 tadi, kelam-kabut saya keluar. Puas saya cari. Kedai dan pasar raya semua dah tutup. Kat 7E, tak ada jual. Saya datang sini. Manalah tahu ada pensil warna dia yang lama kat sini. Tapi, tak ada…” Tangisannya kian melebat.

“Sabar, puan,” pujuk Hazry. Sungguh, dia bersimpati dengan apa yang terjadi. Hani Mariya memang ibu yang baik dan cukup mengambil berat.

“Saya risau. Hana tak mahu ke sekolah esok kalau tak ada pensil warna…” sambung Hani Mariya. Dia nampaknya sangat tertekan.

“Okey… Biar saya yang cari lepas saya hantar puan balik. Puan kena berehat,” pujuk Hazry lagi.

No! Abang Muneef suruh saya carikan pensil warna tu malam ni juga,” kata Hani Mariya.

“Puan, beritahu pada suami puan, saya yang akan carikan,” Hazry masih sabar memujuk. “Puan balik berehat dulu ya. Lagipun, Hana tengah tunggu puan.” Sengaja disebut nama Hana Maisarah sebagai umpan. Biarpun ketika menyebutnya, dia merasa semacam.

Hani Mariya mengangkat wajah. Dipandangnya wajah Hazry dalam-dalam. “Betul?” soalnya.

“Ya, biar saya yang carikan pensil tu untuk Hana,” janji Hazry.

Hani Mariya mengangguk perlahan. Dia menghulurkan tangannya kerana mahu berdiri. Hazry menyambut tangan itu untuk membantu.

Wanita itu memandang ke kiri dan kanan cuba untuk mengingati semula apa yang berlaku. Di mana beg tangannya?

“Puan nak apa?” soal Hazry.

“Beg tangan saya…” jawab Hani Mariya.

Hazry memandang keliling.

Halim pula bangun untuk membantu. Beg tangan putih ditemui lalu diserahkan pada wanita itu.

“Hazry, saya datang sini naik apa?” soal Hani Mariya. Gayanya kelihatan seperti orang yang keliru.

Hazry menggeleng. “Err… saya tak pasti. Puan naik teksi ataudrive sendiri?”

“Oh! Saya drive kereta saya, Hazry!” jawab Hani Mariya. Beg tangannya dibuka. Kunci kereta ingin dicari, tetapi gagal. Air matanya menitis semula. “Mana kunci kereta saya?!”

“Saya cari. Puan duduk dulu ya…” pujuk Hazry. Bimbang panik bosnya datang lagi. Tak baliklah mereka sampai subuh nanti. Sekarang pun dah pukul 2.00 pagi. Sambil mencari kunci yang Hani Mariya maksudkan, dia menyuruh Halim menutup semua tingkap. Mereka perlu berkemas untuk pulang.


HANI MARIYA sudah duduk selesa di tempat duduk sebelah pemandu. Hazry pula berjalan keliling untuk memeriksa keadaan keempat-empat tayar kenderaan. Sempat juga dibelek kereta mewah penuh bergaya itu. Bagai ternampak-nampak di ruang matanya. Tapi, di mana ya? Dia pasti, dia tidak pernah melihat kereta itu di kawasan parkir hadapan rumah agam Haji Umar.

Dan buat pertama kalinya, Hazry memandu keretasport berwarna putih dan bernombor plat satu digit itu. Ya, dia ingat akhirnya. Inilah kereta yang dia pernah nampak di gerai pisang goreng lebih sebulan dulu. Tapi, mengapa pemandunya ketika itu bertudung tetapi kini tidak? Adakah pemandunya orang yang sama? Iaitu wanita yang diam membisu di sebelahnya? Jika bukan dia, siapa?


Novel SORRY, AKU BUKAN DIA! berada di pasaran pada Ogos 2014.


Saat Pena di Genggaman...

Iza Safiya

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.