Home Novel Cinta SORRY, AKU BUKAN DIA!
SORRY, AKU BUKAN DIA!
16/6/2014 13:18:23
47,412
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4


Haji Zaini memandang Hazry dengan kerutan di dahi. Sebaik anak muda itu sampai, reaksi wajahnya nampak serabut. “Kenapa dengan kamu ni, Hazry?”

“Err… pak andak, saya rasa saya dah buat silap besar…” beritahu Hazry perlahan. Mereka berada di parkir hadapan rumah agam Haji Umar. Di situlah tempatnya beberapa buah kenderaan pelbagai jenis milik ahli korporat itu diletakkan.

Lima minit lagi, Hazry perlu menghantar Haji Umar dan isteri ke Masjid Bandar Kinrara. Ada kelas agama di sana. Haji Zaini akan turut serta.

“Apa yang kamu buat?!” sergah Haji Zaini. “Kamu baru kerja empat jam, kamu dah cari pasal dengan Hani…”

“Err… Bukan macam tu, pak andak,” jawab Hazry perlahan. “Saya tak sengaja. Saya rasa, saya dah buat Puan HM marah.” Panik juga dia melihat reaksi pak andaknya.

“Marah?!” soal Haji Zaini. “Kamu buat apa?”

“Kamu buat apa, Hazry?” soal Haji Umar yang muncul tiba-tiba. Serius nada suaranya.

Menggelabah Hazry. “Saya… err… saya tak sengaja, tuan haji. Saya betul-betul minta maaf…” Dia tidak mahu kehilangan pekerjaan. Dia juga tidak mahu menyusahkan Haji Umar. Tentu payah untuk mencari pemandu baharu. Paling dia tidak mahu memalukan pak andaknya.

“Hani okey?” soal seorang wanita lebih kurang sebaya Haji Umar yang baru muncul. Air mukanya putih bersih. Manis bertudung. Tersenyum dia melihat Hazry biarpun itu kali yang pertama.

“Err… Ini Hajah Sumayyah, isteri saya,” beritahu Haji Umar.

Hazry melayangkan senyuman lalu mengangguk tanda hormat. “Puan hajah!” Wajah mesra wanita itu buat dia lega.

“Anak saya, Hani, okey tak?” soal Hajah Sumayyah lagi.

“Err… Insya-ALLAH okey, puan hajah.” Teragak-agak Hazry menjawab. Sebenarnya, itu hanya harapannya. “Puan HM masih melukis semasa saya patah balik ke sini tadi…”

“Hani melukis?!” soal Hajah Sumayyah terkejut.

“Ya, puan hajah!” jawab Hazry. “Puan HM melukis di patio.”

“Alhamdulillah…” ucap Hajah Sumayyah bersungguh. Segera dia melangkah ke ruang tamu lalu bersujud syukur di situ.

Haji Umar pula terdiam. Wajahnya sarat. Telefon bimbit dikeluarkan. Seseorang dihubungi. “Jehan, Hani sedang buat apa?”

“Puan HM sedang melukis, tuan haji,” jawab Jehan di hujung talian. “Macam dulu-dulu…”

“Sejak bila?” soal Haji Umar. Berkerut dahinya.

“Sejak sampai pagi ni.”

“Dia ada cakap apa-apa yang pelik dengan awak?” soal Haji Umar lagi. Nampak sangat apa yang berlaku begitu menarik perhatiannya.

“Err… tak ada, tuan haji. Puan cuma tegur saya masa baru sampai, lepas tu… err dia bercakap berdua dengan Hazry. Lepas tu, dia masuk, senyap-senyap tukar baju dan terus melukis…” terang Jehan satu demi satu. “Masalahnya, Puan HM masih tak sarapan lagi. Hidangan pagi jam 10.00 yang saya sediakan juga belum disentuhnya…”

“Tak apa… awak pujuk dia untuk berhenti rehat. Tapi, tak perlu paksa dia. Apa-apa hal, awakcall saya.” Talian diputuskan. Haji Umar memandang pada Hazry. Nafas lega yang panjang dilepaskan. “Sudah, Hazry! Kamu jangan bimbang. Hani okey… Kita bertolak ke masjid sekarang. Kelas kami bermula 30 minit lagi…”


TEPAT jam 4.00 petang, Hazry sudah sampai di lobi The Zero. Dia perlu menjemput Hani Mariya untuk pulang. Tidak sampai lima minit, wanita itu sudah muncul. Jehan menemaninya sambil mengangkat bingkai kanvas lukisan dan sebuah beg kain.

Berbanding pagi tadi, wajah Hani Mariya serius petang ini. Hazry sudah berasa serba salah. Perasaannya lebih kacau bilau apabila Jehan menyampaikan arahan.

“Lepas ni, ambil Hana dan terus hantar puan berkelah di Bagan Lalang…”

‘Berkelah?’ Itu yang terletus di akal Hazry memikirkan perancangan Hani Mariya yang tidak kena masa. Panas terik begini, si bos mahu berkelah? Namun, dia mengangguk pantas. Dia faham kini, Hani Mariya sudah tidak sudi bercakap dengannya lagi. Hingga arahan semudah itu pun, Jehan yang menyampaikan padanya.

“Puan HM, saya minta maaf sebab hal pagi tadi.” Bersungguh Hazry menuturkannya sebaik kenderaan mula masuk ke jalan raya utama.

Hani Mariya diam tidak berkutik. Dari cermin pandang belakang, Hazry cuba memandang sekilas untuk menerka reaksi wajah wanita itu. Hani Mariya yang berkaca mata hitam hanya membuat muka kaku. Dingin dan beku.

Hazry menarik nafas panjang. Dia perlu bertenang. Selagi Haji Umar atau Hani Mariya tidak menjatuhkan hukuman, dia akan terus berkhidmat sebaiknya. Akhirnya, gelagat Hani Mariya dibiarkan sahaja. Semoga Hani Mariya sudi memaafkannya.


SETENGAH jam ruang di dalam kenderaan mewah itu kekal bisu. Suasana hanya berubah sebaik Hani Mariya masuk semula dengan beg sekolah Hana Maisarah di tangan. “Kita pergi piknik ya…” ajak Hani Mariya. Suaranya ceria.

“Yahoo…”

Tertawa kecil Hani Mariya dengan gelagat Hana Maisarah. Nakal dan tak kenal penat. Itu fikirnya. “Kita makan ayam goreng dan main layang-layang…”

“I love it, mummy!”

Mendengar kata-kata Hana Maisarah, Hani Mariya menghulurkan tangan. “Mummy nak peluk anak mummy… Mummy rindu sebab sehari tak jumpa.”

“Bila Hana boleh ke galeri? Hana nak ikut mummy. Hana nak melukis…”

Hani Mariya tersenyum lagi. “Sabtu ni baru Hana boleh ikut mummy.”

Sebaik sampai di Bagan Lalang, Hani Mariya turun sambil membawa segulung tikar kecil dan sekotak ayam goreng KFC. Dibentangnya di atas pasir di bawah pokok tidak jauh dari kereta yang diparkir Hazry di tepi jalan. Kotak KFC diletakkan di hadapannya.

“Makan ayam ni, Hana…” ajak Hani Mariya. Layang-layang yang dipegang Hana Maisarah dipandangnya sekilas. Kemudian dia merenung ke awan. Wajahnya muram. “Kita macam kena cepatlah, sayang. Hari macam nak hujan pulak…”

“Hana suka kalau hujan. Kita main hujan ya…”

Hani Mariya menggeleng. “No, sayang… Kalau kat rumah tak apa. Kat sini, payah. Kita tak ada baju lebih…”

“Daddy tak masak untuk kita hari ini?”

Hani Mariya menggeleng lagi. “Tak! Daddy kena siapkan lukisan dia.” Si ibu menjawab. “Mummy nak letak di galeri…”

“Hana tak beli lagi hadiah Haziq. Hana tak mahu pergibirthday party dia kalau tak ada hadiah.”

Hani Mariya tertawa mendengar keluhan Hana Maisarah. “Sabtu ni, Hana cari hadiah Haziq dengan mummy ya…” Melihat anak itu mengangguk, Hani Mariya rasa senang hati.


GELAGAT Hani Mariya hanya diperhatikan dari jauh oleh Hazry yang duduk di gerai minuman di seberang jalan. Biarpun berkaca mata hitam, dia belum buta untuk nampak awan yang kian menggelap. Berbeza benar cuaca di Damansara dan di Bagan Lalang. Cadangnya, dia hanya akan bangun dari kerusi sebaik Hani Mariya bangkit dari hamparan tikar mengkuang.

Namun, bunyi telefon bimbitnya mengganggu fokus. Halim yang menghubunginya. Setelah berbalas salam, “Kenapa, Lim?”

“Baby kau ni… Sibuk cari kau…” jawab Halim di hujung talian.

Tertawa Hazry mendengarnya. Seronok dia kerana ada yang rindu. “Bagi aku cakap kat dia. Kau hidupkanspeaker phone…” Milo ais disedut pantas.

“Hah! Cakaplah dengan buah hati kau…” arah Halim.

“Baby!!!” panggil Hazry dengan suara manja. “Sayang masih kerja ni. Baby makan dengan Abang Halim dulu ya. Jangan nakal-nakal. Bukan ke kita dah banyak melepak sama-sama minggu lepas? Hah! Itulah… Siapa suruh Baby banyak merajuk? Bila sayang dah mula sibuk kerja, baru Baby nak kecoh…”

“Ah! Sudahlah, Hazry. Tak ada hal aku nak habiskan kredit, layan cintan-cintun kau dengan si Baby.Bye!” cantas Halim yang menjerit di hujung talian.

Tertawa besar Hazry.

“Saya nak balik!” Suara Hani Mariya menerjah dari belakang. Gulungan tikar dihempaskan ke atas meja. Berkocak Milo ais Hazry.

Hazry beristighfar di dalam sesaat. Terkejut dia dengan kemunculan bosnya secara tiba-tiba. Lebih-lebih lagi, dengan gaya garang ibarat singa yang mahu menerkam.

Hani Mariya pula tidak menunggu lama. Pantas dia berjalan menuju ke kereta. Perbualan Hazry di telefon buat dadanya berdebar menanggung rindu. Hans Muneef tentu merinduinya juga. Dia tak patut pergi berpiknik. Dia sepatutnya berada di rumah untuk menemankan Hans Muneef melukis. Bukankah dia sudah merancang untuk mengadakan pameran lukisan bersama suaminya? Malah mereka sudah seia sekata untuk memilih tajuk Cinta Tak Terucap III untuk koleksi terkini mereka.

“Cepat, Hazry. Setengah jam kita mesti sampai rumah…” arah Hani Mariya serius.

Hazry hanya diam. Setengah jam? Nahi mungkin! Nampak sangat dia di dalam hukuman.


Novel SORRY, AKU BUKAN DIA! berada di pasaran pada OGOS 2014.


Saat Pena di Genggaman...

Iza Safiya



Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.