HARI ini Hazry perlu menghantar Hani Mariya ke
Jalil Sutera. Ada majlis ulang tahun hari lahir Haziq, anak bongsu Hafidz,
abang sulung Hani Mariya. Haji Umar dan Hajah Sumayyah telah bermalam di sana
sejak semalam. Hazry juga yang menghantar mereka.
“Hadiah ni, Hana beri pada Haziq masa sampai
nanti ya…” pesan Hani Mariya ketika mereka dalam perjalanan. Hadiah yang
berbungkus cantik diletakkan di atas ribanya.
“Baik, mummy.”
Hani Mariya mengangguk. “Mummy tak nak Hana
makan gula-gula dan ais krim banyak sangat. Nanti sakit gigi. Ingat pesan daddy
tadi. Jangan bergaduh dengan Haziq. Dia birthday boy hari ni…”
“Hmm… Hana tak pernah usik Haziq. Dia yang
selalu usik Hana…”
Hani Mariya meramas tangan anaknya perlahan.
“Kalau dia usik Hana pun, Hana jangan pukul ya. Biar aje…”
“Okey! Hana takkan pukul Haziq. Hana janji…”
Hani Mariya tersenyum lalu mengucup pipi Hana
Maisarah. “Sayang anak mummy…” pujinya. Puas mencium, dia menyandar lalu
memejamkan mata. Sebelum itu, sempat juga dia memandang sekilas pada Hazry yang
tenang memandu. Hani Mariya tidak tahu sebab sebenar kenapa bibirnya berat
untuk berbicara dengan lelaki itu. Yang dia tahu, berada di sisi Hazry, dia
dapat merasakan yang jiwanya mampu dibaca anak muda itu. Itu yang dia mahu
elakkan.
SEBAIK menurunkan Hani Mariya, Hazry
mencari ruang untuk memarkirkan kereta. Cadangnya, dia hanya mahu menunggu di
dalam kenderaan. Ada baiknya dia mencari tempat teduh. Sebaik kereta
diparkirkan, tingkapnya diketuk orang. Haji Zaini!
“Kenapa kamu tak masuk?” soal Haji Zaini sebaik
anak saudaranya berdiri di hadapan.
“Mereka tak jemput saya, pak andak,” beritahu
Hazry jujur.
“Kamu ni lurus bendullah! Kalau majlis keluarga
Haji Umar, semua pembantu dijemput sekali. Baik kamu masuk…” arahnya. “Kecil
hati Haji Umar nanti. Boleh juga kamu tolong apa yang patut. Tetamu dah ramai
datang tu…”
Hazry mengangguk. Langkah Haji Zaini diikutkan
sahaja. Adanya Haji Zaini, dia berasa lega. Tidaklah dia berasa janggal kerana
dia belum mengenali semua ahli keluarga Haji Umar.
Meriah! Majlis memang meriah. Anak-anak kecil
berpeluang bermain bermacam-macam permainan. Ada badut, anak kuda dan ahli
silap mata. Belum kira lagi berpuluh belon yang hampir memenuhi separuh kolam
renang dan pelbagai makanan yang terhidang di atas meja. Para ibu bapa pula
sibuk berbual dan beramah mesra.
“Hazry…” panggil Jehan yang muncul entah dari
mana. Kalut gayanya menguruskan sesuatu. Namun, senyuman terukir lebar sebaik
dia ternampak Hazry. “Awak tolong ambil mangkuk puding trifle dari Bibik
Susanti. Ada kat dapur…”
Hazry melangkah masuk ke dalam banglo dua
tingkat itu. Jika di luar rumah kecoh, di dalam rumah juga sama kecohnya.
Anak-anak yang gemarkan rancangan TV leka menonton cerita kartun. ‘Macam kat nursery.’
Di satu sudut yang jauh dari orang lain, Hani
Mariya duduk menyorok, “Hana, jangan menangis, sayang.”
“Hani, kenapa ni?” tegur Hajah Sumayyah yang baru
turun dari tingkat atas.
“Hana menangis. Haziq kacau dia…” jawab Hani
Mariya dengan suara yang lirih. Dia rasa sedih bila anaknya diganggu sepupu
yang nakal.
Hajah Sumayyah melepaskan nafas berat. “Hani
rehat ya. Hani nampak penat,” pujuknya. Dia simpati melihat keadaan anaknya
yang kelihatan tidak selesa. “Hani naik atas. Rehat kat bilik mama.”
“Tak nak, ma. Hana tak suka rehat dalam bilik,”
jawab Hani Mariya masih bersedih.
“Kalau penat sangat, Hani balik dulu ya…” cadang
Hajah Sumayyah pula.
“No! No! Abang Muneef suruh Hani tunggu
sampai Haziq potong kek dia,” bantah Hani Mariya dengan suara yang lembut.
“Kalau tak, Abang Muneef kata macam tak pergi birthday party…”
“Mama faham, sayang,” pujuk si ibu lagi. “Tapi,
Hani nampak letih. Rehat dulu, ya. Nanti, masa Haziq potong kek dia, mama
panggil Hani.” Sedih dia melihat anaknya yang bermuram durja pada masa semua
tetamu lain bergembira.
“No, Hani tak letih,” bantah Hani Mariya
lagi.
“Mama rasa Hani tak patut duduk sorang-sorang…”
“No! Hani ada Hana…” potong Hani Mariya.
Hajah Sumayyah serba salah. “Maksud mama, Hani
tak patut layan Hana sorang-sorang. Cepat penat nanti. Err…” Dia menoleh ke
kiri dan kanan. Kelibat Hazry muncul di depan matanya. “Err… Hazry! Temankan
Hani main dengan Hana…”
“Err… Cik Jehan minta saya ambil puding dari
Bibik Susanti dan hantar keluar, puan hajah…” beritahu Hazry.
Hajah Sumayyah tersenyum. “Tak apa, nanti saya
suruh Bibik Susanti yang hantar. Hazry teman Hani main dengan Hana. Bawa mereka
ke playground kat depan sana pun tak apa… Bising sangat kat sini. Hani
dan Hana tak selesa…”
Hani Mariya memandang Hazry dengan pandangan
tajam. Namun, arahan si ibu dipatuhi tanpa sebarang bantahan. Dia berjalan
keluar dari banglo itu lalu menuju ke taman permainan di hujung jalan.
Hazry hanya menurut dari belakang. Dia menjadi
kian serba salah. Maklumlah, sudah seminggu Hani Mariya membisu. Sejak
peristiwa di hadapan galeri, Hazry hanya menerima arahan Hani Mariya dari bibir
Jehan, Jasni atau Mak Som, orang gaji di rumah agam Haji Umar. Lebih menyentap
perasaan, Bibik Susanti juga terkadang dilantik menjadi orang tengah.
Maka, pada petang yang nyaman ini, dia tidak
mahu merosakkan mood Hani Mariya. Lalu, dia hanya memerhatikan Hani Mariya
menghayun buai perlahan-lahan. Angin yang agak kuat buat hayunan bertambah
laju.
“Kenapa kita kat sini, mummy?”
Soalan Hana Maisarah buat Hani Mariya
mengerutkan dahi. “Hana kan menangis tadi. Haziq kacau Hana. Nenek suruh mummy
bawa Hana ke sini untuk pujuk Hana supaya tak menangis lagi…” Lembut suaranya
memujuk.
“Hana dah tak sedih…”
“Mummy tahu…” sahut Hani Mariya. “Tapi mummy
yang masih sedih. Mereka suka pandang kita pelik…”
“Kenapa?”
“Entah! Mungkin sebab daddy tak ada dengan
kita…” teka Hani Mariya. Sebenarnya, dia keliru mengapa kerap kali hal ini
berlaku. Salah apa yang dia lakukan hingga layanan ahli keluarganya acuh tak
acuh sahaja. Hanya mama dan papanya sahaja yang melayannya dengan baik. Ah!
Termasuk juga Jehan, Jasni, Mak Som, Bibik Susanti, Haji Zaini dan kini… Hazry.
“Hmm… Daddy sakit. Nak buat macam mana…”
Reaksi Hana Maisarah yang amat memahami buat
Hani Mariya bertenang. Andai anaknya yang masih kecil boleh bersabar, dia juga
harus begitu. “Tak apa ya, kita sabar ajelah…” Nasihat itu lebih untuk diri
sendiri sebenarnya.
“Kenapa driver kita duduk sana?”
Soalan Hana Maisarah buat Hani Mariya menoleh
pada Hazry sekilas. “Hmm… Nenek suruh dia ikut kita tadi…”
“Hana tahu… Tapi Hana pelik, kenapa dia duduk
jauh-jauh? Kenapa dia tak nak berbual dengan kita macam Tok Ni? Kenapa mummy
tak cakap dengan dia? Mummy marah dia ke?”
Hani Mariya terdiam. Hana Maisarah memang anak
yang sensitif dengan setiap apa yang berlaku. “Hmm… Mummy tak tahu. Mummy rasa
dia tak suka mummy.”
“Pelik! Mummy kan cantik. Semua orang nak kawan
dengan mummy…”
Hani Mariya pantas menggeleng. “Tak adalah! Hana
lagi cantik. Hana juga baik dan bijak. Semua orang nak kawan dengan Hana.”
Diusik pula anak itu.
“Ops! Ada pembetulan, mummy…”
Bulat mata Hani Mariya dengan reaksi Hana
Maisarah. “Apa dia?”
“Memang semua orang nak kawan dengan Hana
kecuali Haziq… Dia tak mahu kawan dengan Hana dari dulu, kini dan selamanya,
mummy.”
Hani Mariya tertawa mendengar kata anak itu.
Sambil itu, sekilas dia memandang pada Hazry yang duduk di atas sebuah kerusi
batu tidak jauh dari situ.
Novel SORRY, AKU BUKAN DIA! berada di pasaran pada OGOS 2014.
Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya