Home Novel Cinta Leraikan Mimpi
Leraikan Mimpi
Lynn Suraya
3/1/2015 14:07:01
50,794
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 17

"Akak minta maaf pasal siang tadi. Aida pula terlibat sama," Aida tersenyum dengan tutur Suraya. Suraya masih tidak tahu, Aidalah yang membocorkan rahsia hati Najmi kepada Ilham.

"Apa akak bincangkan dengan Najmi tadi," Aida cuba mencungkil rahsia. Mungkinkah Najmi sudah meluahkan perasaan kepada Suraya? Atau mungkin Suraya sudah dapat mengagak perasaan yang tersimpan dalam hati Najmi?

"Akak patut cerita pada Aida, apa yang berlaku antara akak dan Ilham," Suraya merasakan Aida pasti tertanya-tanya dengan apa yang telah berlaku. Aida diam. Nampaknya mereka cuma bicara soal Ilham, sama sekali tidak menyentuh tentang Najmi. Perlahan Aida mengeluh. Tiba-tiba dia merasa simpati pada Najmi. Tersepit dalam kemelut hubungan wanita yang dicintainya dengan lelaki lain.

"Aida faham. Akak mesti ada sebab untuk tidak beritahu Aida. Cuma, Aida tak sangka abang Ilham bertindak sebegitu rupa. Akak massih sukakan abang Ilham ke?" barangkali hati Suraya yang perlu diteroka. Milik siapakah hati itu sebenarnya?

"Tak. Tak mungkin. Dia suami orang. Akak masih waras untuk terjebak sebagai orang ketiga," Suraya tersenyum yakin. Aida turut tersenyum. Entah mengapa dia turut yakin Suraya tidak mungkin akan menerima Ilham. Walaupun Ilham memang lelaki yang mengagumkan dan sangat diidamkan sebagai calon suami. Dia adalah suami orang. Sebagai perempuan yang rasional, Aida bersetuju dengan Suraya untuk tidak terlibat sebagai orang ketiga. Walaupun memang sungguh mencintai Ilham. Cinta mungkin mengasyikkan. Namun selain cinta, banyak lagi perkara yang perlu dipertimbangkan dalam kehidupan. Perkahwinan pula, memang tidak akan selamanya bahagia, pasti ada saja rintangan dan badai yang melanda. Menjadikan alasan tidak bahagia untuk bermain kayu tiga turut tidak dapat diterima Aida.

"Mungkin akak perlu buka hati akak untuk orang lain? Atau mungkin kalau akak dah kahwin, abang Ilham dah tak akan ganggu akak lagi?" Aida seakan memberi cadangan. Suraya mengerutkan dahi. Apa yang Aida cuba maksudkan? Berkahwin? Dengan siapa? Dia sendiri tidak punya sesiapa sebagai calon suami?

"Akak dengan siapa?" Suraya tertawa. Pasti Aida bergurau.

"Bukan tadi akak kata nak kahwin dengan Najmi ke?" Aida tersenyum-senyum menuntut penjelasan. Suraya berfikir. Dia hampir terlupa tentang itu. Najmi sendiri langsung tidak menyebut apa-apa. Barangkali Najmi hanya merasakan itu alasannya untuk melepaskan diri dari Ilham. Atau benar kata Aida, perkahwinan adalah jalan keluar yang paling selamat. Ilham pasti akan berhenti mengganggunya. Soalnya dengan siapa?

"Akak cakap saja, dah Ilham beria sangat nak tahu. Kesian Najmi jadi mangsa keadaan," Suraya seraya terkenangkan Najmi. Lebam biru di pipi kirinya.

"Apa pandangan akak tentang Najmi?" Aida sekali lagi cuba menyelongkar hati Suraya. Benar, Suraya memang tidak ada calon sebagai suami. Malah, Suraya tidak ada teman dan sahabat lelaki yang rapat selain Najmi. Itupun dianggap Najmi sebagai adik atas beza usia mereka yang agak jauh. Suraya memandang Aida kurang mengerti. Pandangan tentang Najmi?

"Kenapa Aida tanya? Najmi, akak rasa okey je lah," Suraya menjawab selamba.

"Kalau sebagai calon suami?" Aida sudah tidak sabar lagi bila Suraya seakan masih tidak mengerti. Suraya mengerutkan dahi. Suami? Siapa? Najmi? Beberapa ketika pecah ketawa Suraya.

"Calon suami siapa? Aida? Mana nak letak cik abang doktor tu?" Suraya tersengih. Aida memuncungkan bibir. Suraya benar-benar tak faham atau buat-buat tak faham?

"Bukan Aida lah! Calon suami akaklah!" Aida membentak tidak puas hati dengan usikan Suraya. Suraya memandang Aida dengan kerutan di wajahnya. Tawanya masih tersisa.

"Jangan buat lawaklah, Najmi tu muda 5 tahun la dari akak!" Suraya seakan melayangkan fakta. Aida mencebik.

"Akak, Aida tahulah. Aida kan sebaya Najmi. Tapi apa salahnya? Siti Khadijah pun lebih tua dari Nabi Muhammad. Sunnah tau kak pilh suami lagi muda atau pilih isteri lagi tua, macam nabi," Aida tersenyum simpul. Suraya ketawa lagi.

"Lagi satu, Siti Khadijah yang meminang Nabi. Jadi, kalau akak rasa Najmi itu lelaki yang baik, bertanggungjawab dan akak senang dengannya, apa salahnya akak yang memulakan dulu seperti Siti Khadijah. Kalau niat kita ikhlas, nak bina masjid ni, insya Allah, Allah akan dengar dan bantu," nada Aida seakan memberi nasihat. Suraya tersenyum. Tawanya sudah hilang. Tidak ada apa cacat-celanya Najmi. Lelaki itu memang sempurna serba-serbi, hanya, usianya lebih mudah. Juga ada suatu perakara yang lebih utama.

"Akak tak cintakan dia. Akak anggap dia tak lebih dari seorang adik," Suraya berbicara tenang. Cinta. Bagaimana untuk menerima seorang lelaki yang tidak penah dicintai sebagai suami? Kahwin tanpa cinta dan bahagia ke akhirnya hanya indah berlaku dalam jalan cerita novel dan drama. Hakikatnya, tidak mudah perkahwinan tanpa rasa cinta.

"Macam akak cintakan abang Ilham?" Aida pantas bertanya. Pertanyaan yang menyebabkan Suraya terdiam.

"Akak fikirlah elok-elok. Aida tak pasti, cuma Aida rasa, Najmi sukakan akak. Mungkin hanya sebagai kakak sekarang. Tapi kalau akak minta bantuan dia untuk lepaskan diri dari abang Ilham dan mengahwini akak, mana tahu dia akan setuju? Dia pun tak marah akak bila akak gunakan dia untuk lepaskan diri dari abang Ilham. Mungkin hubungan akak dengan Najmi sekarang hanya berlandaskan kasih kakak dan adik. Tapi tak mustahil untuk satu hari nanti kasih itu berubah menjadi cinta. Atau akak masih cintakan abang Ilham dan tidak akan pernah boleh terima lelaki lain dalam hidup akak?" bicara Aida cuba difahami Suraya. Najmi. Suraya menggeleng. Najmi terlalu baik untuk dia terlibat dalam kemelut dia dan Ilham.

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.