Home Novel Cinta Leraikan Mimpi
Leraikan Mimpi
Lynn Suraya
3/1/2015 14:07:01
50,791
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11

Lengan Suraya ditarik. Mata Suraya mencerlung marah. Ilham sedar silapnya sambil segera melepaskan lengan Suraya.

"Apa maksud Suraya? Suraya cintakan siapa?" Ilham merenung Suraya tajam. Dia tahu Suraya cuba mengelak darinya. Namun, mendengar ada lelaki lain di hati Suraya seakan membakar dadanya. Ingatan dikhianati Aqilah menjelma dalam ingatan.

Suraya diam. Dia sedar, dia terlanjur berbicara kerana rimas dengan pujukan Ilham. Setelah melupakan Ilham, tidak ada lelaki yang berjaya singgah di hatinya. Adakah dia perlu mengaku tersilap kata? Ilham akan terus menerus mengganggunya. Tiba-tiba telefon bimbit Suraya berbunyi. Segera Suraya menjawab.

"Najmi," Suraya bersuara perlahan sambil melangkah menjarakkan diri dari Ilham. Najmi menghubungi bertanya rancangannya untuk datang ke Manchester hujung minggu ini. Aida juga turut akan bersama.

"Kenapa dengan Najmi?" Ilham bertanya tenang bila Suraya selesai menamatkan panggilan. Suraya diam. Dia tidak mahu Ilham turut serta dalam rancangan mereka.

"Tak manis kalau Suraya terlalu rapat dengan Najmi walaupun dia lebih muda. Najmi masih lelaki dan Suraya masih perempuan," Ilham tiba-tiba memberi pandangan soal hubungan Suraya dengan Najmi. Ilham tahu, Suraya sangat rapat dengan Najmi. Malah, hampir setiap yang dia lakukan kepada Suraya akan sampai ke pengetahuan Najmi. Pada mulanya memang Ilham mempergunakan Najmi untuk memujuk Suraya, namun, biarpun Najmi puas memujuk, Suraya masih tidak berganjak dengan prinsipnya. Kini, dia makin kurang senang dengan kemesraan antara Najmi dan Suraya.

Suraya mengerutkan wajah. Ini kali pertama Ilham menegur soal hubungannya dan Najmi. Benar, dia sendiri merasakan hubungan mereka bertambah rapat. Dia sendiri tidak pernah begitu rapat dengan mana-mana lelaki sebelum ini. Barangkali kerana Najmi begitu muda, dia selesa untuk bersikap seperti seorang kakak. Tambahan lagi di tempat yang asing ini, Najmi menjadi satu-satunya teman rapat yang boleh diajak berbicara pelbagai perkara.

"Saya cintakan dia. Sebab itu kami rapat," Suraya nekad. Itu sahaja caranya menghentikan gangguan Ilham. Dalam hati dia berdoa Najmi akan memaafkannya kerana dia tahu, Ilham akan terus menghubungi Najmi selepas ini untuk memastikan. Tidak pasti apakah reaksi Najmi. Barangkali marah dan sekeras-kerasnya menafikan. Biarlah, dia sudah biasa dianggap bertepuk sebelah tangan. Dulu ketika menyimpan perasaan kepada Ilham juga. Biar sahaja Ilham mengerti, dia menyintai Najmi walaupun Najmi tidak mencintainya. Sebab ia mustahil bagi lelaki seperti Najmi mencintai perempuan yang tua 5 tahun daripadanya.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.