Home Novel Cinta Leraikan Mimpi
Leraikan Mimpi
Lynn Suraya
3/1/2015 14:07:01
50,781
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

"Akak akan terima abang Ilham?" Najmi tiba-tiba bertanya. Lama sudah tidak bertemu anak muda ini. Jarak antara London dan Manchester tidak begitu mengizinkan untuk mereka selalu bertemu. Namun, hubungan Suraya dan Najmi yang sangat rapat seperti kakak dan adik membuatkan mereka berkomunikasi secara maya hampir saban hari. Segala tentang Ilham diceritakan kepada Najmi. Suraya juga tahu, Najmi dan Ilham turut berhubung antara satu sama lain dari semasa ke semasa. Malah, Ilham turut meminta Najmi memujuk Suraya untuk menerimanya.

"Najmi rasa akak patut ke terima?" Suraya yang tidak punya jawapan memulangkan pertanyaan kepada Najmi. Najmi terdiam. Hatinya berbelah bahagi. Sejak sekian lama dia mahu meluahkan rasa. Tapi Najmi sedar Suraya tidak mungkin menerima perasaannya. Tambahan pula ketika ini Ilham sedang merebut hati Suraya. Satu-satunya lelaki yang pernah singgah di hati Suraya.

"Terima sajalah, akak kan suka abang Ilham," Najmi menjawab separuh hati. Dia juga sukakan Ilham. Sebagai lelaki, dia turut mengagumi Ilham dan menganggapnya sebagai abang dan senior yang dihormati. Membandingkan dia dengan Ilham pastinya dia tewas. Dia tidak mahu merosakkan hubungan baiknya dengan Suraya semata-mata dengan berterus-terang soal hatinya. Dia tahu, Suraya tidak akan melayan lelaki yang ada tujuan tertentu mendekatinya. Suraya baik dengannya hanya kerana jarak umur yang memisahkan usia mereka sejauh 5 tahun menyebabkan Suraya menganggapnya sebagai adik sahaja. Malah, Suraya juga tidak begitu mahu melayan Ilham walaupun mereka berada di universiti yang sama kerana Ilham sukakannya. Itulah Suraya, dia jarang melayan dan rapat dengan lelaki. Najmi yang ringan mulut ini sahaja kebetulan diterima dengan senang hati oleh Suraya kerana Najmi selalu bertanya dan meminta pandangan Suraya yang lebih dewasa daripadanya. Cuma, tanpa Najmi sedari perasaannya lama-kelamaan turut berubah. Dia tidak pernah menyangka untuk jatuh cinta dengan wanita yang jauh berusia daripadanya. Tapi kehadiran Suraya mengubah segala-galanya.

"Aida," akhirnya setelah beberapa bulan, Suraya bertemu juga Aida. Itupun setelah memujuk Najmi menemaninya menaiki keretapi dan feri ke Ireland. Najmi pada mulanya mencadangkan untuk mengajak Ilham sekali namun Suraya segera membantah. Dia tidak betah bertemu Ilham. Dia masih tidak dapat memutuskan kata hatinya.

Tubuh kecil Aida dipeluknya erat. Lama sekali Suraya tidak bertemu gadis kecil molek itu. Tubuh Aida yang kurus kelihatan sedikit berisi dibalut baju yang tebal. Aida tersenyum dan tertawa riang. Dia begitu gembira dapat menemui Suraya. Dia turut rasa bersalah kerana tidak dapat menyambut kedatangan Suraya ke London dahulu kerana terlalu sibuk dengan praktikal dan tugasan akademik.

"Kak Su makin cantik," Aida memuji sambil merenung wajah kakak angkat kesayangannya.

"Aida makin comel," Suraya membalas. Mereka tertawa. Najmi hanya memerhati dan tersenyum melihat dua gadis yang begitu mesra itu begitu riang bertemu.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.