Home Novel Cinta Manisnya Cinta di Cappadocia (Manisnya Cinta)
Manisnya Cinta di Cappadocia (Manisnya Cinta)
8/12/2014 11:23:29
65,245
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

9

MAJLIS pertunangan Izelea berjalan seperti yang diatur. Mak Su Ida dan kawan-kawan emak sibuk membantu. Mujurlah kali ini mereka tidak me-ngusik aku lagi. Agaknya mereka sudah malas hendak melayan aku atau mungkin anak Auntie Nor tidak menepati ciri-ciri lelaki idamanku.

Berseri-seri wajah Izelea. Solekan Che Nan -menyerlahkan lagi kecantikan semula jadinya. Dia memakai sepasang kebaya labuh warna putih yang diperbuat daripada kainlace. Selendangnya pula daripada kain organza berwarna perak dihiasi labuci.

Adikku yang cantik manis ini akan menjadi tunangan orang dalam beberapa jam lagi. Perasaan aku? Pastilah gembira. Tetapi jauh di sudut hati, emosiku tercalar juga se-benarnya mengenangkan diri yang masih sendiri. Tetapi kebelakangan ini aku rasa bagaikan ada sesuatu yang aneh sedang membuai hatiku. Aku cuba menghindari perasaan ini, tetapi wajahnya semakin kerap aku temui di dalam mimpi. Dia hadir di dalam tidur dan jagaku. Kadang-kadang aku rasa diriku sedang mengejar bayang-bayangnya.

Daun pintu bilik terkuak tiba-tiba. Tiga orang wanita masuk seorang demi seorang. Kami bersalaman. Abang Izzat sibuk merakamkan gambar. Sambil mendukung Elida, aku memandang ibu Syahril menyarungkan cincin ke jari manis Izelea. Cincin berlian bermata satu yang sangat cantik. Dia mencium pipi Izelea setelah Izelea menyalami dan mencium tangannya. Leka aku memandang dan membayangkan diriku di tempat Izelea. Alangkah bahagianya!

"Nama apa?"

Khayalanku dibawa pergi oleh satu suara yang -menyapa. Aku tersenyum kepada seorang wanita yang sedang -me--megang tangan Elida. Jari-jemari mungil itu diusapnya perlahan-lahan.

"Elida..." Manja benar suara Elida menjawab. Untuk -soal-an yang seterusnya daripada Auntie Salwa termasuklah satu soalan cepu emas, akulah yang harus menjawabnya.

"Auntie dah agak tadi sebab awak nampak macam orang belum kahwin," kata Auntie Salwa.

"Mana mak dia?" soalnya lagi.

“Mak dia dah meninggal.”

Aku saling berpandangan dengan Izelea. Akhirnya aku mem-buka cerita, seringkas yang mungkin. Sekadar cukup untuk dia tahu bahawa ibu Elida yang sebenar memang sudah tidak ada lagi. Kini aku dan Izelea yang dianggapnya sebagai ibu.

Bergenang juga air jernih di kolam matanya. Hati se-orang wanita sesungguhnya begitu halus dan mudah ter-sentuh. Dikucupnya pipi Elida di kiri dan kanan. -Diusap--usapnya kepala Elida. Perlakuannya begitu ikhlas dan -bukannya dibuat-buat. Usapannya sudah cukup meriangkan hati Elida. Kalau tidak silap, aku pernah terbaca tentang pahala yang dikurniai ALLAH sekiranya seseorang mengusap kepala anak yatim. Mungkin Auntie Salwa juga tahu hal itu. Walau apa pun, bagiku sedikit perhatian dan secebis kasih sayang yang dihulurkan kepada anak-anak yatim sudah cukup -membahagiakan hati mereka. Sesungguhnya ALLAH akan sen-tiasa mengurniakan pahala pada apa juga kebaikan yang dilakukan oleh setiap hamba-NYA.

Perbualan kami yang seterusnya berkisar pula tentang soal kerja. Rupa-rupanya dia bekas guru yang bersara awal. "Saja suka duduk rumah... jaga cucu," jelas Auntie Salwa lagi dan bertanya pula tentang pekerjaanku. Aku bercerita serba sedikit, sekadar untuk menjawab pertanyaannya.

"Adik dulu... yang kakaknya ni entah bila pulak agaknya!" seloroh Mak Su Ida aku sambut de-ngan senyuman hambar. Tersenyum-senyum Auntie Salwa memandangku.

"Tak apa... ALLAH yang tentukan jodoh... hmm... tapi kata orang jodoh ni kita kena cari jugak... tak boleh tunggu aje," ujar Auntie Salwa. Berdiplomasi bunyi kata-katanya. Tidak berbau sindiran atau usikan. Nampaknya dia lebih rasional. Reaksinya menyenangkan. Hatiku seakan terpujuk.

"Orang sekarang ni nak cari sendiri... tak macam zaman makcik dulu... ikut aje pilihan orang tua," katanya lagi.

Ibu Syahril pun ikut menambah. "Biar dia pilih -sendiri... kalau kita yang cari... esok-esok kalau tak sesuai, dia -salahkan kita pulak!"

Merona merah wajah Izelea mendengar kata-kata bakal ibu mentuanya. Tentulah dia berasa lega kerana bakal ibu mentuanya seorang yang baik hati dan amat memahami. Sesungguhnya itulah bahagian Izelea. Bahagian aku nanti bagaimana pula? Buatnya dapat ibu mentua yang tak suka anak menantu, tidakkah haru?

Ah, buat apalah aku nak menyesakkan fikiran me-mikirkan semua itu! Teman lelaki pun aku tidak ada, inikan pula -hendak fikir tentang soal ibu mentua.

"Cucu auntie pun ada yang sebaya Elida ni," kata Auntie Salwa lagi ketika dia mendukung Elida. Macam-macam pula yang dikisahkan tentang anak-anak dan menantunya. -Cerita-nya yang baik-baik sahaja. Alangkah beruntungnya kalau aku menjadi anak menantunya. Perasaan itu melintas sahaja bagai angin lalu.

Hai, auntie tak ada anak lelaki bujang ke? Soalku nakal, tetapi mujurlah pertanyaan itu hanya di dalam hati sahaja, kalau tak buat malu sa-haja.

Aku akur ketika Auntie Salwa mengajak aku -bergambar bersama-sama Izelea, ibu Syahril dan adik Syahril -Khai---runnisa. Gambar kenang-kenangan pada hari pertunangan Izelea dan Syahril.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.