3
SELAMA ini aku amat
menghargai ke-sabaran Alfredo. Namun kebelakangan ini aku semakin meragui
kesetiaannya. Dia sen-tiasa sibuk, banyak temu janji dengan pelanggan,
-mesyuarat dan pelbagai alasan lagi. Akhirnya, kami bagaikan membawa haluan
sendiri. Aku dengan hidupku dan Alfredo juga -begitu. Sesekali aku merasakan
hu-bungan kami tidak akan -berkesudahan dengan titik bahagia. Keyakinanku yang
goyah semakin menguatkan kepercayaanku pada cerita Nivel. Tapi aku pendamkan
sahaja rasa curiga itu kerana Alfredo telah bersungguh-sungguh menafi-kannya.
Mungkin -pengakuannya benar! |
Entah berapa lama hubungan kami dingin
dan beku, aku sendiri tidak tahu sehinggalah pada suatu hari emak membebel.
Katanya, Auntie Azlina ada memberitahu yang Alfredo membawa pulang seorang
wanita ke rumah untuk diperkenal-kan kepadanya. Terkebil-kebil aku
mendengarnya. Wajah Juita segera melintas di tubir mataku. Tentulah Juita yang
dibawa oleh Alfredo. Diperkenalkan kepada ibunya --se-bagai siapa? Calon
isteri?
Aku bagaikan baru tersedar dan kembali
pada realiti. Hatiku tertanya-tanya,
apakah aku sudah terlambat? Selama ini
aku menyangka Alfredo sedang memberiku waktu untuk menyesuaikan diri dengan
perubahan. Tetapi mungkin aku mengambil masa yang terlalu lama sehingga Alfredo
bosan dan tidak sabar lagi menunggu.
"I nak jumpa you malam ni,"
pintaku kepada Alfredo sedikit mendesak. Otakku berputar ligat memikirkan
hujah-hujah seandainya Alfredo menolak permintaanku.
“Eh, mimpi apa malam tadi?” soal
Alfredo.
“Tak mimpi apapun! Tapi I nak jumpa you
malam ni!” desakku lagi.
“Okey... okey... malam nanti I jemput
you.” Alfredo menyambutnya dengan gembira. Suaranya terdengar mesra. Gurauan
dan usikannya masih seperti dahulu juga. Aku segera menidakkan kegusaran yang
melanda hati Auntie Azlina. Alfredo tidak berubah, masih setia dalam berkasih.
Malam itu kami ke Cafe Naili's Place.
Alfredo datang menjemputku di rumah. Suka benar hati emak -menyambut kedatangannya
tadi. Masakan tidak, Alfredo sudah -terlalu rapat dengan keluarga kami. Bagi
emak, terjalinnya hu-bungan antara aku dengan Alfredo bagaikan memakna ikatan
persahabatan dengan Auntie Azlina, temannya sejak di alam persekolahan dahulu.
Bagi aku, malam ini adalah malam
penentuan. Kami harus berbincang sebagai dua orang dewasa yang waras dan matang
fikiran. Aku menyerahkan segala-galanya pada ketentuan ALLAH. Tidak akan ada
paksaan atau terpaksa lagi. Selama ini memang aku ikutkan sahaja rentaknya.
Kalau Alfredo berzapin, zapinlah aku. Kalau dia bertango, aku juga akan mengikut
lenggok tarinya. Dan kini kalau Alfredo sudah bertemu orang lain sebagai
pasangan tarinya, aku juga harus akur. Aku kira wajarlah aku berundur diri.
Buat apalah aku terhegeh-hegeh mengharapkannya lagi.
Cafe Naili's Place masih belum ramai
pengunjung ketika kami sampai. Kami memilih tempat duduk berdekatan de-ngan
sebuah akuarium. Setiap kali ke situ dengan Alfredo, aku memang suka duduk di
situ. Menjamu selera sambil memandang aksi ikan-ikan di dalam kaca. Di atas
meja hanya ada sebuah pelita kecil minyak tanah yang boleh diubah laras cahaya
mengikut citarasa pengunjung.
Di dinding dan bumbung yang beratap
rumbia, bergantungan lampu-lampu yang melimpahkan cahaya malap. Kesuraman
mencetuskan suasana yang begitu romantis. Bagi pasangan kekasih, sudah tentulah
suasana sebegini akan se-makin mengeratkan jalinan kasih mesra.
Tetapi kini aku tidak berasa apa-apa
lagi. Mungkin Al-fredo juga begitu. Mungkin dia sedang membayangkan orang lain,
walaupun aku sedang duduk di hadapannya. Kami menjamu selera dengan perbualan
biasa. Aku masih menanti-nanti peluang itu tiba, tetapi nampaknya Alfredo
begitu berhati-hati ketika menuturkan kata-kata.
"You sibuk sangat akhir-akhir
ini." Aku cuba memancing. Alfredo ketawa kecil.
"Kita sama-sama sibuk, Ifti. You
asyik dengan kerja... I pun macam tu jugak," kata Alfredo sambil
meletakkan ta-ngannya di atas tanganku. Aku biarkan sahaja dia meng-genggam
jari-jemariku. Tidak terasa apa-apa lagi. Kosong!
"Ibu you kata ... err... you... ada bawak orang datang
ke rumah, betul ke?” soalku lambat-lambat agar Alfredo -mendengarnya dengan
jelas.
Alfredo menepuk
dahi. Meskipun dalam cahaya yang samar-samar, aku nampak air mukanya berubah.
Kekalutan cuba disembunyikan dalam ketawa yang sengaja dibuat-buat.
"Ibu memang tak boleh simpan
rahsia," katanya tidak berselindung lagi. Aku kira selama ini Alfredo
memang menanti masa untuk berterus terang denganku. Aku harus bersedia dan
menerima apa sahaja kemungkinan.
"Rahsia apa, Fredo?" soalku
sambil mere-nungnya.
Azizi Alfredo, pemuda berdarah kacukan
Filipino di sebelah bapa dan Melayu di sebelah ibu itu sedikit menggelabah.
"Tak ada rahsialah! Sebenarnya I
memang nak beritahu you yang I ajak Juita datang ke rumah... saja
jalan-jalan."
Alfredo tergelak-gelak. Begitu
bersahaja.
Saja jalan-jalan? Soalku berkali-kali
di dalam hati. Aku sendiri tidak pernah mengajak lelaki lain datang ke rumah,
sekalipun untuk berjalan-jalan sahaja. Tiba-tiba aku teringat sesuatu. Sesuatu
yang Alfredo juga tahu.
"Juita tu kan dah bertunang... you
tak takut ke keluar dengan tunang orang? Tak bimbang ke kalau tunang dia
belasah you? Nanti tak pasal-pasal bertelur dahi!"
Aku sekadar menyatakan apa juga
kemungkinan yang akan berlaku. Bukan niatku untuk menakut-nakutkannya. Mustahil
tunang Juita akan mendiamkan diri seandainya dia tahu Juita keluar dengan orang
lain.
"Juita dah putus tunang,"
pantas Alfredo menjawab. Muka-nya ditundukkan sedikit.
Hakikat itu langsung tidak disembunyikan
oleh Alfredo. Tidak susah untuk membuatkan Alfredo berterus terang. Ditekan
sedikit sahaja, dia sudah kelam-kabut dan akhirnya memberikan jawapan.
Aku semakin faham duduk perkara.
Tentulah kepada Alfredo tempat Juita mencurahkan rasa hati yang kecewa. Tentulah
Alfredo mendengarnya dengan penuh simpati. Walaupun aku tidak begitu me-ngenali
Juita, tetapi daripada cerita Alfredo, aku seolah-olah dapat meneka sikapnya.
Bagi Juita, siapalah Fauzi tunangnya kalau hendak dibandingkan dengan Alfredo
yang kacak, berkedudukan dan berharta pula. Mustahil Juita tidak tahu latar
belakang Alfredo.
Selama ini pastilah Juita
ternanti-nanti peluang untuk mendampingi Alfredo. Peluang itu pula akhirnya
datang -apabila aku semakin mengabaikan Al-fredo. Tentulah Alfredo berpaling
kepada Juita bagi mengisi kekosongan di -jiwanya apabila aku tiba-tiba jadi
sangsi untuk meneruskan hu-bungan kami. Mereka akhirnya menjadi dua insan yang
-saling memerlukan. Aku harus mengakui bahawa memilih Juita adalah yang terbaik
untuk dirinya. Biarlah Alfredo berkahwin dengan orang yang benar-benar
mencintainya.
"Berterus terang ajelah
Fredo," pintaku tenang.
"Berterus terang apa?" soal
Alfredo sambil mengusap lembut jari-jemariku. Aku biarkan juga. Biarlah untuk
kali yang terakhir!
"I bukan tuduh... tapi rasanya you
dengan Juita bukan kawan biasa lagi, kan? I tak tahu setakat mana hubungan you
dengan dia... tapi I dapat rasakan yang you tak perlukan I lagi," kataku
sambil menarik perlahan-lahan tanganku.
"Jangan cakap macam tu,
Ifti!" Nada suara Alfredo se-dikit merayu. Dia cuba meraih kembali tanganku,
tetapi segera aku elak. Alfredo terkejut.
Aku menyilangkan tangan dan berpeluk
tubuh, berharap agar kekuatan akan kembali ke dalam diriku. Mujurlah cahaya
lampu yang suram membuatkan riak wajahku yang sedih tidak begitu ketara. Putus
cinta perkara biasa. Aku cuba meyakinkan hatiku begitu.
"Ifti..." Lembut dan mesra
suaranya memanggil namaku seperti selalu. Aku berpaling ke arahnya. Mencari
sinar cinta dan kesetiaan di matanya. Seakan-akan tiada lagi semua itu.
Aku kembali tenang dan bersedia menerima
apa sahaja keputusannya, sekalipun pahit yang harus aku telan. Pada saat itu
tiba-tiba sahaja melintas wajah emak dan abah di mataku. Berbolak-balik hatiku
dibuatnya. Adakah aku harus mempertahankan hubungan ini kerana aku tidak
tergamak untuk melukakan hati mereka?
"I tak tahu apa yang patut I
buat... sana sayang, sini pun sayang... kalau boleh I nak kedua-duanya
sekali," ucap Alfredo akhirnya.
Tiba-tiba hatiku marah kepada Alfredo.
Tidak sangka dia akan berkata begitu. Aku tahu dari segi material Alfredo memang
mampu, tetapi bolehkah Alfredo berlaku adil? Bukan mudah hendak menguruskan dua
orang isteri dalam satu masa. Antara aku dengan Juita, yang mana satu akan
menjadi keutamaannya? Aku tentulah tidak mahu mengalah dan Juita pula sudah
pasti tidak mahu beralah. Tidak ada -toleransi, yang ada cuma bebanan perasaan
dan sakit hati.
Aku tak mahu berkongsi kasih! Sudah
menjadi prinsip hidupku begitu. Aku mahu dia memilih antara dua. Aku ataupun
Juita. Aku lebih rela melepaskan dia pergi. Kali ini aku mengambil pendekatan
berupa ugutan pula.
"I sayang you, Ifti," ujar
Alfredo sambil cuba meraih ta-nganku kembali, namun aku mengelak. Aku
membetulkan duduk dan bersandar agar aku jauh daripadanya.
"Sayang aje buat apa, tapi tak
setia," sindirku.
"I minta maaf, Ifti. I tahu you marah...
tapi..."
Aku kembali
memandang Alfredo, memberi isyarat -bahawa aku ingin mendengar apa sahaja yang
ingin -disampaikannya ketika ini. Aku ulang sekali lagi kata-kataku tadi,
seakan-akan yakin bahawa Alfredo sudah membuat pilihan.
Namun Alfredo masih diam. Nampak sukar
baginya untuk menyusun kata-kata. Mungkin berat persoalan yang menekan di
benaknya ketika ini.
"Err... hubungan I dengan dia dah
terlalu jauh, Ifti... I tak boleh tinggalkan dia macam tu aje."
Terasa hendak pitam aku mendengar
pengakuan Alfredo. Tafsiranku sudah
tentulah tentang ketelanjuran mereka atau... ah, entahlah! Tetapi kalaulah
benar, aku tidak tahu me-ngapa Juita sampai sanggup menggadai maruah dan harga
diri semata-mata untuk mengikat Alfredo agar tidak pergi meninggalkannya?
Masya-ALLAH...
“Mengapa you dan Juita sanggup
melakukan perkara mungkar? I tak sangka iman you senipis kulit bawang!”
Alfredo diam membisu. Bagaimanapun aku
tetap menghargai sikapnya yang tidak berdolak-dalik dan sanggup
bertanggungjawab atas apa yang telah dilakukannya. Aku tahu itu bukan alasan
Alfredo untuk melepaskan dirinya daripadaku. Tetapi kalau sekalipun dia
berbohong, aku tidak berasa rugi apa-apa. Cuma aku harus bersiap sedia untuk menghadapi reaksi emak dan abah pula.
Jalan sedang terbuka di hadapanku. Aku
ingin -kembali pada realiti. Aku sudah terlalu penat untuk meneruskan hubungan
yang langsung tidak memberi apa-apa erti kepada diriku ini. Aku sudah jemu
melakonkan watak yang serupa di hadapan semua orang. Selama ini ucapan kata
cinta dan -sayang bukannya lahir daripada lubuk hatiku, tetapi -hanyalah di
bibir sahaja. Maafkanlah aku, Fredo!
"You tak perlu buat pilihan,
Fredo."
Sebaris ayat itu aku ucapkan dalam
intonasi suara yang meyakinkan. Aku tahu Alfredo faham maksudku walaupun dia
terus membisu. Mungkin hatinya berbelah bahagi. Sebahagian untukku dan
sebahagian lagi untuk Juita. Dan keseluruhan hati Alfredo sebenarnya adalah
milik ibunya yang sekali gus menentukan siapa juga menantu pilihannya. Aku tahu
Alfredo serba salah. Aku juga tahu yang hatinya memang lebih berat kepada
Juita. Jadi, akulah yang harus berundur diri.
“Parents kita harus faham Fredo. Kita tak boleh setiap masa nakplease dia orang aje... sekarang ni dah
libatkan Juita pulak," ujarku. Sengaja aku
timbulkan nama Juita pula agar Alfredo lebih yakin bahawa perpisahan
antara kami adalah sesuatu yang wajar dan tidak dapat dielakkan lagi.
Alfredo melepaskan keluhan berat.
Wajahnya muram. Ah, pandai benar dia hendak meraih simpatiku dengan riak wajah
begitu!
"Sebenarnya I dah lama tahu
hubungan you dengan Juita. I fikir setakat hubungan biasa aje... tapi hari ni
-semua-nya dah jelas." Aku berjeda.
“Kita
harus ambil satu keputusan yang muktamad. Hubungan kita berakhir di sini. I rela you memilih Juita. Mungkin antara kita dah ditakdirkan tak hidup
bersama. Kita harus redha, Fredo.”
Aku
mahu agar Alfredo boleh meneruskan apa juga agenda yang sudah direncanakannya
bersama Juita. Lagipun aku bimbang kalau-kalau hubungan yang terlarang itu
-membenihkan 'sesuatu' yang tidak sepatutnya. Harapanku biarlah zuriatnya kelak
lahir dari ikatan yang sah di sisi agama.
"I boleh terima semua ni Fredo,"
tambahku lagi.
"Err... tapi... macam mana...
err... dengan hubungan kita?" soal Alfredo ragu-ragu. Barangkali dia masih
tidak faham atau mungkin masih belum nampak jalan penye-lesaian yang terbaik
buat kami. Buat Juita juga selebihnya.
"Hubungan kita sampai setakat ni aje.
Jangan fikirkan tentang I... Juita lebih perlukan you," kataku penuh yakin
merelakan perpisahan ini.
Alfredo masih termangu-mangu. Mungkin
berat hati untuk memutuskan hubungan yang sudah bertahun-tahun terjalin. Tetapi
bagi aku, tempoh sebegitu lama tidak boleh dijadikan ukuran. Apalah ertinya
ikatan perkahwinan kalau hati kami tidak ikhlas menerimanya.
"Juita perlukan you," ulangku
lagi.
"Selama ni pun I rasa kita dah
macam adik-beradik se-benarnya, Fredo," luahku ikhlas. Membuka rahsia hati
yang selama ini kemas tersimpan.
"Jadi selama ni I bertepuk sebelah
tanganlah ya?" Sinis nada suaranya.
Aku serba salah kerana sudah terlepas
kata. Sepatutnya, biarlah hakikat itu menjadi rahsia hatiku sahaja. Biarlah dia
terus tidak tahu.
Aku juga sebenarnya ikut bertepuk,
tetapi mungkin -tepukannya tidak cukup kuat. Tidak dengan sepenuh hati. Kasih
dan sayang kepadanya hanya di permuka-an, tetapi tidak sampai meresap jauh
hingga ke dasar hati. Selama ini aku cuba sedaya upaya memberi hatiku
kepadanya, tetapi hingga setakat itu sahajalah yang termampu.
Masing-masing melayan perasaan sendiri.
Agak lama juga kami begitu. Akhirnya, Alfredo memecah kesepian - de-ngan mengucapkan kata maaf. Hubungan
kami tidak mencapai matlamat yang disandarkan kepada kami selama ini. Perpisahan
ini sudah pasti akan mengecewakan hati
keluarga kami. Tetapi inilah jalan penyelesaian yang terbaik.
"Friendship lasts forever,
Fredo."
Aku yakin Alfredo cukup faham maksud
kata-kataku.
Kami bersetuju untuk mengekalkan
hubungan per-sahabatan. Alfredo sudah tentulah pergi mendapatkan Juita,
sedangkan aku masih termangu-mangu.
Ketika bangun untuk keluar, aku
terpandang Nazmi sedang tersenyum. Dia tidak bersendirian. Aku tidak tahu sejak
bila dia berada di situ. Aku membalas senyumannya sambil beriringan keluar
dengan Alfredo.