2-Bab 8

TIADA reaksi lain yang dia boleh beri selain menangis sepanjang malam. Sejenis defense mechanism dari otak bagi melepaskan rasa kecewa, sedih, terkilan, terkejut, benci, menyampah, penafian, keliru, dan seribu satu rasa negatif yang bisa berkumpul di hati. Apa yang Ayen tahu, dia mahu melupakan kejadian pada malam ini walaupun mungkin mustahil.

Apa-apapun, apabila dia bangun keesokan harinya, dia sedang berseorangan di dalam sebuah penthouse mewah tiga bilik. Tudung masih membaluti kepala, tanda dia tidur dalam tangis. Lalu tudung itu ditanggalkan. Tangan kiri terasa sakit, lalu dipandang. Eh, dah berbalut? Egann yang balutkan semasa dia tertidur, kah?

Keluh terhembus lagi, langsung tak jangka dia berada dalam jagaan lelaki asing seperti ini. Rambut panjang di paras dada lalu dikacau-kacau, membuang semak.

Dengan mata bengkak dan make-up yang mengotori wajah, dia melangkah ke ruang tamu. Jarak ruang tamu dan dapur hanya dipisahkan empat langkah, manakala di meja makan telah tersedia jus oren serta penkek.

Ayen terkedu.

Selain sarapan yang tidak bersentuh, Panadol Actifast dan sekeping kad kredit Platinum juga terletak elok di sebelah pinggan penkek, bersama sekeping surat dari Egann.

Sorry tak boleh teman kau hari ini, tapi aku rasa kau pun perlukan masa berseorangan. Pastikan kau makan sarapan. Kalau pening, telan Panadol. Pakai kad kredit aku untuk kau shopping barang-barang yang perlu, tak kira barang kau sendiri atau barang kahwin kita. Aku benarkan kau buat impulse-shopping asalkan kau boleh lupakan apa yang jadi malam tadi. Go selfish to your heart-content. Kalau rasa nak berbual, call je aku.

"Kemas nau tulisan dia..." Sekali lagi air mata bertakung di kolam mata. Benar-benar tersentuh hati. Ah, mata dah pedih, masih lagi dia nak leleh. Lekas dikesat.

Ayen melabuh duduk. Sambil mengunyah penkek, akal berkira-kira tawaran nikah dari Egann. Mungkin menjadi isteri lelaki itu bukanlah benda yang paling teruk yang berlaku dalam hidupnya. Lagipun Ayie pun macam sama je dengan Ayie yang dia kenal sebelum ini, jenis abang yang sedia nak cari gaduh dengannya. Satu-satunya perbezaan yang paling ketara ialah dulu ketua laga ayam, sekarang pula dah macam pengusaha ahli kosmetik berjaya.

Serta, abangnya tahu tentang ayah...

Ayah... yang rupanya masih hidup... tapi dah bertukar menjadi Sarimah perempuan gila hujung kampung.

Ayen mengunyah penkek bersama linangan air mata.

Emosi negatif yang bercampur aduk mula makan jiwa Ayen dari dalam. Seleranya mati. Dia menghabiskan masa yang lama di dalam shower, bahana mengulang tayang pertemuan dengan si ayah malam tadi, seperti slide power point yang rosak. Hampir sejam berkurung di dalam blik mandi, barulah dia keluar.

Mahu ditenangkan jiwa, lalu dihubungi si ibu. Mahu bertanya, kenapa emaknya memilih untuk diamkan hal ini sejak dia kecil. Kalau dia tahu lebih awal, at least mentalnya sudah bersedia, sama macam tahap sedianya bila nak berjumpa dengan Ayie.

Tetapi si ibu tidak menyahut panggilan. Jam dilirik. Pukul 11 pagi. Ah, mungkin emak di kebun. Nanti lepas Zohor dia cuba semula.

Tubuh dihempas ke katil. Kedua belah tangan didepangkan seluasnya sambil merenung siling di atas. Entah apa yang Egann tengah buat. Kerjakah dia? Perkataan '???' pada barisan contact, direnung. Nak call ke? Kalau call, nak tanya apa? Mungkin boleh tanyakan nombor Ayie. Lambat laun, selepas rasa terkejutnya pulih, Ayen mungkin akan tergerak nak hubungi Ayie bagi bertanya secara lanjut tentang lelaki yang digelar ayah itu...

Bagus. Topik perbualan yang kukuh. Lalu ibu jari menekan nombor '???'. Sementara menunggu panggilan bersahut, jiwa Ayen berdebar sedikit. Dah lama dia tak call seorang lelaki...

Teett... Panggilan akhirnya disambut suara operator di voicemail. Ayen lalu memuncung.

"Suruh orang call, tapi dia yang tak angkat call..."

Tak lama kemudian, '???' muncul semula di talian. Kembang hati si wanita.

"Hey. Ada apa?"

Suara Egann kedengaran lebih garau dan dalam berbanding biasa. Dan soalan itu agak menyakitkan hati. Ayen mencemik.

"Kau suruh call kau, kalau aku nak berbual..."

"Oh, ya... ya... Tapi ermm... aku ada benda sikit nak buat pagi ni..."

"Oh. Kau tengah kerja ke?"

"Ye, kerja. Mengerjakan orang."

Kedengaran gelak di latar belakang. Ah, Egann dengan teman sekerjanya, kut?

"Kalau macam tu takpe la. Rumah kau tingkat berapa?"

"Ha? Nak tau, kenapa?"

"Saja. Mungkin nanti aku nak jenguk..."

"Tak payah." Lekas memotong.

Amboi. Berahsia! Ayen menjungkitkan kening kiri sambil menjeling pada Oppo di telinga kanan. "Okay..."

Hujung talian senyap seketika, sebelum kembali dipecahkan dengan suara Egann. Kali ini ada nada prihatin.

"Kau... mood kau dah okay sikit?"

"Belum."

"Ada makanan dalam fridge. Dekat pantri pun ada makanan kering. Pergi shopping, jalan-jalan, explore KL alang-alang kau ada masa... you can go selfish as much as you want. Don't hold back."

Tak seronok jalan-jalan kalau kau takda buat teman... hatinya menyambung, tetapi lekas ditepis akal. Kepala siap digeleng berkali-kali, menolak keinginan mahu ditemani mamat yang baru dikenali dengan perjumpaan yang tak dijangka itu.

"Okay. Sorry kacau kau buat kerja."

"Sure. Later."

Talian dimatikan.

Ayen menarik nafas dalam dan dihembus sepanjangnya. Berbual dengan Egann, walaupun sekejap, meringankan sedikit beban di hati. Dengan sepenuh kekuatan, dia bangkit dari katil. Bersiap untuk keluar dari rumah.

Jeans dan long sleeve dikenakan. Beg bertali satu yang selalu menjadi peneman bilamana dia keluar jalan-jalan, dilintang merentangi tubuh. Handset, dompet, kunci rumah, kad kredit yang Egann bagi pinjam, dan Panadol. Cukup.

Baru saja memasuki lif, telunjuknya terhenti seketika di udara. Teringat, semasa Egann menunjukkan rumah padanya semalam, dia ada bertanya;

"Kondo ni ada berapa tingkat?"

"57."

"Tau je engkau eh,"

"Of course, sebab selain rumah yang aku bagi kau duduk ni, aku ada rumah lain kat tingkat lain. My personal favourite ialah dua tingkat tertinggi kat atas nu."

"Wow. Berlagak."

"Bukan berlagak namanya kalau berkata benar."

Lalu telunjuk menekan butang 57. Ayen menguntum senyum, sedikit teruja nak memberi kejutan pada Egann. Apa salahnya dia nak jenguk tunangnya, dan melihat macammana keadaan rumahnya. Adakah awesome macam keadaan di dalam Death Star?

Lif yang membawa dari tingkat 31 hingga 57 tidak mengambil masa yang lama. Ayen berjalan berpandukan naluri dan ingatan, memilih pintu yang dirasakan rumah tunangnya. Nalurinya kuat mengatakan lelaki itu memilih rumah yang berada di kawasan pemandangan yang sama dengan pemandangan yang Ayen dah lihat di tingkat 31.

Dia kini berdepan di pintu rumah tersebut. Pintu yang sama dengan pintu di tingkat 31, tetapi kali ini berada di tingkat 57. Diketuk pintu tersebut. Tetapi tiada respon. Ayen baru nak menekan loceng, tetapi datang pula ilham di hati nak mencuba kunci rumahnya pada rumah tersebut.

Kalau rumah ini ialah rumah Egann, kunci rumah yang berbentuk kad itu akan memberi akses masuk ke tidak? Algorithmnya sama atau tidak?

Tet tet. 

Lampu mereka menyala pada pengimbas, tanda dia tak dibenarkan masuk. Ayen menghela nafas pendek. Tangan baru saja nak mengetuk bila tiba-tiba pintu terbuka sendiri dari dalam. 

Ayen menelan rasa terkejutnya. Sempat menghalang diri menjerit. Seorang wanita separuh usia keluar dengan plastik-plastik sampah. Troli berisi alatan pencuci turut ditarik bersama.

Oh, home cleaner? 

Makcik itu memandangnya, tetapi kosong sahaja riaknya. Enggan peduli. Dia terus melangkah keluar dengan segala macam barang-barang yang dibawa, manakala Ayen terus mengambil peluang menahan pintu masuk ke alam Narnia itu dari tertutup. 

Hehe. Rezeki. 

Dengan sengih seluas sengih The Joker, Ayen menapak masuk.

"Hello... assalamualaikum Egann..."

Tiada respon. Pandangan ditinjau ke seluruh ruang rumah. Berbanding kediamannya di tingkat 31 yang dihias standard hotel, rumah ini jauh lebih sofistikated, ada gaya maskulin, dan minimal.

Dinding rumah ini kosong tanpa apa-apa gambar. Empty decoration. Smart TV sebesar alam pula melekat di TV dan dilengkapkan dengan sofa berbentuk L dan meja kopi bagi membentuk ruang tamu. Bertentangan dengan ruang tamu ialah dapur, juga bergaya moden. Di atas meja makan terdapat dua cawan kopi serta penkek yang tak habis dimakan.

Kening Ayen berkerut terus. Dua cawan kopi?

"Excuse me, kau siapa? Macammana kau boleh masuk?"

Terloncat bahunya. Ayen menoleh lipat maut, pada seorang lelaki bertubuh sasa yang tidak dikenali! Lelaki itu tengah berkemban. Rambutnya basah, malah air masih menitik ke bahu yang lebar. Six-pack ketara sekali pada tubuh badan yang dijaga.

"Err..." Kelu. Dia salah rumah, kah? 

Air muka si lelaki masih serius. "Egann! Rumah kau kena ceroboh!" jerkah lelaki itu sekuatnya sambil memalingkan sedikit kepalanya ke belakang.

Kening Ayen bercantum terus. Kurang pasti apa yang berlaku di depannya ketika ini. Dan lebih berasap otaknya bila melihat Egann bergegas keluar dari sebuah bilik, juga tidak berpakaian. Tuala tidak sempat dibalut di pinggang melainkan sekadar dipegang bagi menutup bahagian sulit.

"Macammana boleh – eh, Ayen?"

Mereka sama-sama tergamam. Kelu lidah. Muka Ayen perlahan-lahan memerah, memahami apa yang dilihat di depan mata. Dua lelaki yang cukup maskulin dan diisi penuh dengan testosterone ditangkap berbogel dan berdua-duaan di dalam sebuah rumah kosong. Tiada respon lain yang diperlukan. Dia berpusing terus ke pintu supaya boleh keluar dari neraka jahanam.

"Ayen! Kejap!"

Egann lekas mengejar sambil membalut pinggang dengan tuala. Doug yang masih bertanya siapa Ayen, dipedulikan. Langkah Egann tidak jauh kerana Ayen berada di depan lif, tidak sabar menunggu lif sampai. Ayen lekas menjarakkan diri bila dia datang dekat.

"Ayen, sebab tu aku cakap jangan datang rumah aku!" Lemah semangat macam ni!

Diam. Enggan membalas. Enggan mendengar. Dia enggan mengenali seorang Egann ketika ini.

"Aku harap kau masih sudi jadi bini aku?"

Fuck. Cepat la lif... cepat la lif!! Butang ditekan lagi berkali-kali selaju yang boleh.

"Aku nak mintak kau rahsiakan dari Saif? Aku bagitau dia aku dah tak buat, tapi serius, aku tak boleh tahan diri aku sendiri... lepas jumpa Ayie malam tadi..."

Bodoh bodoh bodoh bodoh bodoh... berulang-ulang dalam kepala. Bila lif sampai, Ayen terus memboloskan diri ke dalamnya. Butang G ditekan. Namun lif tidak bergerak bila Egann menolak pintu lif supaya terus terbuka.

Janggal. Suasana di antara mereka cukup keras. Kemesraan yang baru nak terbentuk sejak semalam kini hilang tanpa dikesan, macam racun tikus yang lesap kerana dibakar matahari. Hilang menjadi wap. Egann mengharap respon dan balasan dari wanita itu walau sedikit, tetapi Ayen langsung tidak memandangnya walau dengan jeling.

Lif kini berbunyi nyaring meminta ditutup.

"Ayen, say something," pinta si lelaki. "I'm asking you... sebagai tunang."

Label itu benar-benar menjerut lehernya kini. Beratnya hati, hanya Allah yang tahu. Mata dipejam sekuatnya. Tali pada beg juga digenggam erat. Memikirkan ayat yang terbaik untuk melepaskan diri dari lelaki yang melanggar hokum Allah itu. Ketika ini, sebaiknya dia jauhkan diri sejauh-jauhnya bagi menyelamatkan diri, menyelamatkan hati, dan iman.

"Aku nak balik..." Ditutur di hujung lidah.

Kening Egann terjungkit sedikit bila akhirnya diberi jawapan. Sayup-sayup, tapi cukuplah! "Kau nak balik? Okay. Okay. Nanti-nanti-nanti bila kau dah-dah kurang sikit rasa terkejut... call aku?"

Tiada jawapan, sebaliknya Ayen sekadar memalingkan wajah ke dinding lif.

Egann menggigit daging pipi, menahan rasa kesal. Mengerti yang kini dia dah hilang posisi sebagai orang yang menjadi tempat sandaran, terutama selepas perempuan ini dah diberi kejutan maha dasyat malam tadi. Logiklah dia nak balik ke rumah, sebetulnya ke pangkuan emaknya.

"Kirim salam aku kat emak?"

Tiada respon.

Reaksi dingin ini jauh lebih teruk dari reaksi Saif dahulu.... Air liur mula terasa kelat. Sebal. "Ayen, aku minta maaf..."

Masih.

Bibir dikemam. Akur dengan keengganan si perempuan menerima dirinya yang sebenar. Lalu Egann melepaskan pintu lif tanpa sekali pun melepas renung pada wanita yang pada mulanya memberi harapan besar padanya untuk mengubah hidup, tetapi kini langsung enggan melihatnya, apatah lagi bertukar kata.

Dilayan seperti batu di tepi jalan. Tiada nilai.

Pintu lif tertutup rapat, seolah-olah menutup sebarang peluang bagi perkembangan cerita mereka.


Previous: 2-Bab 7
Next: 2-Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh