"TAK payah nak fancy-fancy. Kahwin kat masjid, kau baju melayu putih, aku kurung putih, depan family aku dengan family kau kalau ada, duduk depan tok kadi, terima akad, setahun lepas tu kita cerai. Habis cerita."
Belum kahwin dah sembang cerai? Egann tergamam di hujung talian. "Biar betul kau ni. Bukan ke selalunya perempuan nak wedding yang grand-grand, pakai baju macam princess, bergambar depan kereta api apa bagai."
Oppo yang dikepitkan di antara bahu kanan dan telinga, dicapai dengan tangan kiri. Tangan kanan pula masih memegang hos, menyiram Axia merahnya dari buih sabun.
"Tak perlu habiskan duit untuk perkahwinan palsu macam kita. Cukuplah tunaikan syarat wajib. Cukup sepenggal, kita cerai. Selesai."
"Berhenti cakap pasal cerai. Aku dah cukup dengan tiga perkahwinan gagal."
Ayen ternganga rendah pada nama Egann yang dilabel '???' di skrin Oppo. "Excuse me. At what point kau lihat marriage kita sebagai kes berjaya?" Kalau dengan pasangan yang dicintai, mungkin akan kedengaran sweet, tapi dalam kes dengan Egann...
Ini bukan perkahwinan. Ini azab dunia. Rasa berdosa kian melibas-libas hatinya saban hari bila menyedari dia akan membiarkan dirinya terus berhubungan dengan lelaki dua alam ini.
"Ala, tak kahwin lagi, kau mana tahu," tegur si lelaki, membuat Ayen mendengus pendek. Pili air ditutup.
"Kau call aku nak sembang pasal ni je ke? Aku dah bagi limit call aku sekali seminggu je kan. Kau sure nak habiskan kuota pasal benda bodoh ni?" Sekali lagi Oppo dikepitkan pada bahu sambil dia mengelap tangan pada kain kering.
"Bincang pasal majlis nikah kita bukan bende bodoh, you cold-blooded virgin. Tapi aku faham hostility kau dekat aku. Maybe dah sampai masa kita rapatkan relationship kita. Tak kenal maka tak cinta bak kata orang tahun 2000."
"Tak payah la. Berkenalan lepas nikah, je la. Lebih manis bak kata orang tahun 1990."
"Hahaha. Aku takut kau lari ke Bali pakai duit kecemasan yang kau simpan diam-diam."
Tekaan yang tepat! Ayen terasa bulu romanya meremang, mengerti lelaki yang berurusan dengannya ini sememangnya memiliki akal yang panjang. "Kau pandai..."
Egann tergelak di hujung talian. "Thank you. Maybe kau akan suka dengar berita yang aku nak cakap ni. Aku ada jumpa abang kau, si Ayie."
Kain kering yang mengelap kereta lalu terhenti geraknya. Ayen menjeling Opponya kembali. "Keep talking."
"Aku cakap kat dia yang aku jumpa kau. Dia punya tahap terkejut sama macam kau dulu. Memandangkan aku akan jadi adik ipar dia, aku cadang nak buat reunion untuk family korang. He didn't took it well... tapi dia setuju kalau nak jumpa kau saje. Dia belum bersedia nak jumpa mak kau."
Liur Ayen tertelan. Kasar sekali rasanya bila melalui tekak. Oppo dipegang dengan tangan, bahu direndahkan dan laman bersimen direnung. Berfikir jauh.
Suara Egann kedengaran lagi. "Kau setuju tak?"
"Ermm... aku takut sikit..." Wajah si abang dibayangkan. Dah berapa tahun agaknya. Sejak SPM... hingga sekarang... hampir dua dekad....
"Aku ada sekali nanti kalau nak teman."
"Kalau kau ada, lagi la aku semak."
"Haha... jangan layan aku teruk sangat, boleh tak?"
"Erm... bagi aku berfikir dulu?"
"Tak boleh. Kena bagi jawapan sekarang."
"Pulak. Kenapa?"
"Sebab aku dah nak sampai ke rumah kau nak ambik kau nak bawak naik KL."
Mata Ayen mencerlang bulat. "Ha?"
Pada masa yang sama, kedengaran deruman enjin di jalan. Ayen menoleh ke pintu pagar, melihat sebuah kereta sport merah yang dikenali berhenti di luar pagar. Selajur, batang tubuh tinggi bertshirt hitam yang mendedahkan bentuk tubuh sasa itu keluar dari pintu kereta. Senyuman pada wajah Egann membuat bulu roma Ayen meremang. Sedikit seriau dengan kejutan yang tidak terjangka.
"Pergi kemas baju kau untuk seminggu. Aku tunggu."
Suara yang menegur di sebalik pintu pagar turut bergema di hujung Oppo yang masih tidak ditutup taliannya. Ayen membasahkan bibir dengan lidah. Tanpa berfikir panjang, dia mengorak langkah ke pintu pagar. Ditutup. Dikunci.
Si lelaki tinggi di sebalik pagar hanya mampu merenung tanpa kelip.
Ayen pula membalas dengan muka tak berperasaan.
"Ayen... jangan macam tu. Bukak pagar ni," pinta si lelaki lagi.
"Tak dengar. Tak dengar. Tak dengar. Tak dengar." Kedua belah telinga disumbat dengan telunjuk sambil dia berlari anak masuk ke dalam rumah. Pintu rumah ditutup, meninggalkan bakal suaminya terpinga-pinga di luar pagar rumah.
"MAK... tengok la perangai anak dara tua mak tu, ha." Egann merengek terus pada Puan Norle bila akhirnya dibenarkan masuk ke dalam rumah.
"Kau panggil siapa emak kau?!" Ayen menyergah dari ruang tamu, berpeluk tubuh dengan muka garang macam naga.
"Sampai hati layan tunang dia macam budak tak habis sekolah..." lanjut Egann sambil mengekori gerak langkah Puan Norle ke dapur.
Naik angin lagi. "Kita belum bertunang, bongok... jangan mengada sangat!"
Egann menoleh ke belakang. "Hukum islam dah tetapkan bila perempuan setuju lamaran dari lelaki, mereka ialah tunang."
"Siapa sangka orang macam kau tahu pasal hukum hakam agama!" Sedas diberi, membuatkan Egann memandang Ayen macam nak makan.
"Lihat dunia dari mata burung, atau lihat dari dalam tempurung, yang mana satu engkau pilih... oooh sang algojo." Tanya Sama Itu Hud Hud nyanyian M.Nasir dinyanyikan sebagai jawapan balas, sejenis jawapan yang menelan terus sebarang respon dari si wanita. Malah, Puan Norle turut memandang Egann tanpa kelip.
"Kau even tahu M. Nasir..." Kagum kini. Mat saleh tulen ini benar-benar berjiwa melayu...
Dipedulikan. Egann kemudian mendekati Puan Norle yang sedang membancuh kopi. Sekiranya dia nak mengawal keputusan Ayen, dia perlukan mengawal Puan Norle terlebih dahulu. Kerana wanita inilah yang memegang remote control Ayen.
"Mak, sebenarnya saya datang ni nak bawak Ayen naik KL, survey baju nikah dan barang-barang hantaran. Boleh tak?"
"Bawak je la."
"Hahha. Yes!!" Kedua belah tangan dijulang ke langit. Dengan senyum lebar, dia menoleh sekilas pada Ayen yang mendekati mereka. "Kalau semuanya berjalan lancar, saya dengan Ayen akan bawa hadiah untuk mak. Hadiah yang mak takkan jangka..." ujarnya pada Puan Norle tanpa mengalih pandang pada Ayen yang masih mencuri dengar.
"Hadiah apa?"
"Hadiah yang awesome. Saya simpan sebagai kejutan, tapi saya perlukan Ayen sebab dia lebih tau taste mak."
"Mak ni dah tua, Syafik... tak payah kejutan sangat."
"Hahaha tapi saya gerenti, mak akan gembira... kan sayang?" soalnya sambil menoleh pada si wanita yang kini berdiri di sebelah.
Anak dara tua itu mendiam. Tidak pasti nak membantu usaha Egann mengembalikan abangnya ke dalam hidup mereka. Melihat si lelaki masih memandang ke arahnya, siap dengan renungan meminta sokongan balas, Ayen akhirnya mengeluh.
"Dia nak bawak Ayie balik rumah."
Automatik mata dicerlangkan seluasnya pada si perempuan yang mengambil tempat duduk di kerusi. "Aku rasa ayat 'kejutan' masih bermaksud 'surprise', tapi aku faham kalau otak kau tak boleh nak hadam maksud ayat yang simple macam tu sebab banyak sangat hidu bau mayat sampai otak terencat!"
"Simpan sindiran kau untuk orang yang kisah. Lagipun, aku masih deliver 'kejutan' yang kau nak buat dekat mak, cuma jauh lebih awal dari yang dijadualkan," balasnya senada sambil merenung perubahan tingkah laku emaknya.
Gerak tubuh Puan Norle dilihatnya terhenti seratus peratus. Mengeras macam disumpah ahli sihir. Mukanya pucat dan tangan yang semakin bekedut itu turut menggigil. Ayen semakin risau bila Puan Norle mengusap dada.
"Mak okey? Nak Ayen halau Egann keluar?"
"Kenapa aku yang jadi mangsa..."
Wanita berusia itu merenung anak perempuannya. "Ma-macammana Syafik boleh tau tentang Ayie?"
"Dia stalk FB Ayen. Dia jumpa gambar Ayie dalam tu."
"Jadi kenapa Syafik boleh cakap nak bawa Ayie balik? Kau cerita apa-apa dekat dia?"
Ayen menelan liur. Perasan nada suara Puan Norle semakin keras, berisi marah, yang ditujukan pada dia. Marah yang bukan main-main. Lagi-lagi muka itu nampak menegang merah, dan matanya pula berkaca dengan air mata.
Egann lekas menyampuk. "Saya yang paksa Ayen jawab... kenapa dia ada abang tapi dia yang kena buat macam-macam kerja semata-mata nak support mak. Mana pergi abang dia."
Kepala diangguk lagi. "Ye. Ini semua salah Egann."
Mata biru itu menjeling lagi. Geram kerana sekali lagi dipersalahkan.
Puan Norle semakin lama semakin jauh tenggelam dalam perasaan. Dirasuk rasa sedih, akhirnya dia menangis. Ayen bangkit bersama rasa bersalah. "Mak..."
"Kau... kau berdua..." Tangan diawang-awang, cuba menyampaikan kata yang tak habis. Wajah turut dilarikan, enggan dilihat macammana hiba menunjukkan bayang pada riak mukanya. Lalu Puan Norle beransur ke bilik tidur.
Pada masa yang sama, Ayen dan Egann membatu di kerusi masing-masing. Seperti dua orang anak yang berkongsi rasa bersalah sebab bergaduh berebut mainan tetapi melukakan si ibu tanpa sengaja.
"Kau punya pasal la ni," desis Ayen pada dinding.
Egann menoleh dengan muka tak percaya. "Lepas kita kahwin, aku kena baiki perangai kau yang kuat salahkan orang lain macam tu..."
"Kenapa kau bukak isu Ayie kat mak?"
"Kau yang bukak isu Ayie kat mak!" Mencerlang terus matanya.
Bibir bawah dicemikkan. "Ah, tader. Sekarang ni mak dah merajuk, jadi aku kena pujuk. Jadi aku tak boleh ikut kau ke KL. Sorry. Pergi la balik sengsorang."
Mendengar alasan itu, rahang Egann terjatuh. Ah, itulah strategi dia rupanya. Egann menghela nafas panjang.
"Apa benda yang kau lawan aku sangat, sebenarnya. I thought kita dah capai persefahaman nak menikah untuk capai objektif masing-masing. Aku datang sini siap mintak izin bawak kau ke sana untuk shopping persediaan majlis kita, bukannya culik kau, jual kau dan lacur kau macam Izzah dalam Ombak Rindu... " tegurnya akhirnya. Lembut ditutur dengan harapan boleh melenturkan sedikit kedegilan yang tidak difahami puncanya.
Diam. Enggan menjawab.
"Nurul Ain... kalau kau tak cakap apa masalah, aku tak boleh nak selesaikan."
"Masalah aku sekarang ni ialah kau wujud," cemik Ayen pada siling, seolah-olah bertanya kepada Tuhan, kenapa Kau berikan aku dugaan dalam bentuk manusia itu, ya Allah.
"And that is a problem... why?"
Lalu anak mata bulat itu dijeling tajam pada si lelaki bersama muka tak puas hati. "Kewujudan kau buat aku hilang freedom of choice. Kau jangan ingat aku tak perasan yang kau gunakan mak untuk buatkan aku terpaksa setuju dengan apa yang kau nak aku pilih."
"Bijak." Kagum.
Ayen mendengus. "Aku tak hidup 34 tahun supaya some random guy datang rumah aku dan manipulate life aku untuk buat keputusan hidup ikut telunjuk dia!"
Angguk. "Aku faham. Tapi benda dah pun jadi sejauh ni dan aku perlu kau untuk berbaik dengan abang kau lekas sebab dia yang kena jadi wali kau untuk nikahkan kita," ujarnya, membuat air muka Ayen berubah seratus peratus. "Kau boleh bekerjasama dengan aku tak untuk tempoh ni?" lanjut Egann, tenang merenung muka terkejut itu.
Si wanita menelan liur. Sesungguhnya dia langsung tak teringat tentang syarat wali. Atau dia mungkin lebih terkejut dengan tahap serius yang Egann letakkan dalam perkahwinan palsu ini!
"Ayen? Cakap la sikit..."
"Tak... aku tengah terkejut." Duduk dibetulkan. Tiba-tiba rasa panas punggung, tidak terlawan dengan lelaki di sebelahnya.
"Terkejut kenapa?"
Ayen memilih diam. Sekejap cuma, mencari ayat yang sesuai untuk luahkan apa yang bermain di hatinya. "Weh... kau... kau memang serius ke nak kahwin dengan aku."
Soalan yang mengelirukan. Egann menoleh sekilas dengan muka berkerut. "Kalau aku tak serius, aku takkan bersusah ulang alik macam sekarang."
"Part kau bersusah tu la yang aku terkejutkan sangat. Lebih senang kalau kau angkut je aku pergi Thailand lepas tu canang seluruh dunia yang kita suami isteri yang sah, kemudian kau biarkan aku kat sini dengan hidup aku sendiri dan kau berfoya-foya kat KL dengan life kau sendiri. Maybe kau akan pasang lagi bini kedua ketiga keempat tanpa pengetahuan aku."
"Kau tengok drama TV banyak sangat..."
"Drama realiti yang betul-betul berlaku dalam masyarakat kita. And honestly, its easier, given that kita sama-sama takda komitmen nak bina hidup bahagia bersama-sama berdua dan hanya nakkan title laki bini tu...."
Kening tebal itu terjungkit. Mata dipejam kelip sekali dua, memikirkan cadangan Ayen. "Kau tak kisah kalau aku layan kau macam tu?"
"Aku boleh handle... honestly, aku betul-betul ingat kau akan buat aku macam tu. Bila dirasakan perlu, kita berlakon la macam pasangan bahagia depan adik kau. Objektif perkahwinan kita masih tercapai."
Egann ternganga. "Kau ingat aku akan buat kau macam tu... tapi kau masih nak kahwin dengan aku? Seriously, kau ingat aku apa?!" Mata dicerlang.
Bahu Ayen terloncat, terperanjat sedikit. Kenapa suara meninggi tiba-tiba?
Lelaki itu menyambung kata. "Aku memang mintak kau berlakon depan adik aku, tapi walau sekali pun aku tak pernah terfikir nak tinggalkan kau macam macam macam... some sort of... apa terma dia? Gantung tak bertali? Aku taknak jadi lelaki yang mainkan bini dia, macam mainkan benang dekat Pinocchio." Jari ditari-tari di udara macam mainkan anak patung.
Kening kiri dijungkit. "Kau marah aku ke?"
"Mesti la aku marah! Kau pandang rendah sangat dekat aku! Fikir la sikit yang hidup kau akan senang lenang, atau at least... seronok bahagia bila dengan aku. Sejuk sikit hati aku dengar!"
"Kau boleh jamin aku boleh seronok bahagia sedangkan involve dalam mixed-oriented marriage?"
Lidah Egann bertukar kelu. Ayen menunggu jawapan.
"Well?"
"Bagi aku seminit... aku kena fikir jawapan balas..." Mata dijuling ke siling, berfikir.
Lalu gadis itu tersenyum. Tubuh disandarkan. Sekurang-kurangnya, bila lelaki itu berani memarahi dia kerana berfikiran negatif, itu membuktikan Egann boleh dipercayai. "Kenapa kau nak kisah kalau aku bahagia atau tidak, ne'way..."
Terkedu mendengar soalan si wanita, sekali lagi Egann menoleh. Kerut keliru pada muka berparut itu menjentik persoalan baru di dalam hatinya. Ayen benar-benar serius bertanya soalan itu. Ah, mungkin perempuan ini masih tidak berkahwin pada lewat 30-an... sebab masalah personaliti? Self-centered. Dia tak percayakan orang lain dan hanya tahu bergantung pada diri sendiri. Kategori manusia yang hidup dalam dunianya sendiri tanpa perlukan orang lain. Tahap kronik.
Pendek kata, bukan jenis perempuan clingy. Ini juga bermakna, dia berpotensi masih memiliki kebebasan untuk meneruskan hidupnya macam biasa tanpa gangguan. Cadangan Ayen sememangnya sangat menarik.
"Kau akan jadi my wife. Of course aku kena peduli kau happy..."
"Tak payah nak bersusah sangat la. Buat bodo dah la."
Sahih. "Kau hati kering! Hahaha!!"
Ledakan ketawa itu mengejutkan Ayen. Bulat sekali matanya memandang Egann terbahak ke langit. Dia berhati kering... eh? Haha... sedap je kutuk orang. Tanpa dapat ditahan, Ayen turut tersenyum.
"Nasib la kau dapat bini macam aku."
"Hahaha okay okay. I'll take your word. Buat masa ni kita tengok dulu macammana dan kita improvise jika benda tak jadi macam yang kita rancang. Tapi sebelum buat LDR, kita kena bukak jalan ke pernikahan yang sah dulu, i.e. pujuk abang kau jadi wali."
Ayen mengangguk. "Okay."
"Good girl," Egann tersenyum sambil merenung pintu bilik Puan Norle. "So now, macammana kau nak pujuk mak kau."
Diam. Suasana senyap menyelubungi mereka. Masing-masing memikirkan sebarang alternatif yang boleh digunakan.
"Apa kata kau masak tomyam macam hari tu," cadang Ayen, tiba-tiba.
"Tomyam aku boleh pujuk mak kau?"
"Eh, takde la. Aku lapar."
Mereka berpandangan.
SEKEPING gambar yang disimpan di dalam almari pakaian, dikeluarkan. Gambar yang memaparkan keluarga empat ahli. Lengkap dengan pasangan suami isteri, serta dua orang anak, lelaki dan perempuan. Si anak lelaki berusia sekitar lima tahun dan bertenggek di bahu ayahnya, manakala si anak perempuan yang berusia enam bulan didokong si ibu bersama senyum bahagia pada wajah.
Sebuah senyuman yang cukup bahagia tetapi tidak berkekalan lama, kerana kira-kira tiga bulan selepas gambar itu diambil, suaminya keluar dari rumah, seterusnya menghilang tanpa dikesan.
Puan Norle menghembus keluh berat, lalu punggung dilabuh di hujung katil. Mata yang bengkak bahana menangis kini terasa perit. Bersama bahu yang jatuh, dia menoleh ke tingkap yang dihiasi langsir berbunga kecil. Langit cukup cerah dan lapang.
Ayen mungkin mudah ditipu kenapa ayahnya tiada sepanjang si anak perempuan membesar memandangkan anak perempuannya masih bayi, tetapi anak lelakinya tidak. Azri, atau nama manjanya, Ayie, jauh lebih tua dari si anak perempuan dan tahu serba serbi apa yang terjadi hingga memecahbelah keluarga mereka.
Sekiranya Ayen berjumpa semula dengan Ayie... hal yang disembunyikan bertahun-tahun akan terbongkar, kah? Ah, dia tidak tahu... tetapi kemungkinan itu ada.
"Apa aku nak buat, ya Allah..." Pada langit yang tenang, dia bertanya bersama lelehan air mata.
Kedengaran bunyi pecah dari dapur. Puan Norle menoleh terperanjat. Mata dan pipi yang kini melekit, dikesat lagi dengan lengan sebelum bergerak keluar dari bilik tidurnya.
Di dapur, kelihatan Ayen dan Egann sedang berdiri bertentangan, sama-sama menonong pada pinggan pecah di hadapan kaki si tetamu lelaki.
"Apa benda kau buat ni?" Egann memecahkan sunyi di dapur. "Goreng ayam elok-elok, dah la. Meloncat-loncat dah kenapa?"
"Yang kau berdiri belakang aku dah kenapa?"
Nganga. "Aku pulak yang salah... Api tu kecikkan la. Minyak panas sangat. Sebab tu minyak melompat bila kau masukkan ayam. Dah tua-tua pun tak reti nak masak. Patut la tak kahwin-kahwin," bebel Egann sambil mendapatkan penyapu di belakang pintu dapur.
Ayen melepas gelak sinis pada ayam di kuali. "Membebel macam Diva AA."
"Membebel macam Diva AA," ejek Egann semula, siap dengan gimik suara kecil seperti suara perempuan.
Si wanita menoleh geram. "Buat perangai macam lima tahun!"
"Lima tahun lebih muda dari kau, you old virgin."
"You..." Ayen mendesis geram. Dia menapak setapak dua dengan niat nak mengugut. Tanpa sengaja,dia terpijak kaca pecah yang berselerak dekat dengannya.
Sekali lagi mereka sama-sama terkedu. Ayen mengangkat kaki kirinya ke paras lutut. Serpihan kaca yang agak besar, tercucuk dengan kemas pada tapak kaki halus itu. Darah meleleh dari daging yang terbelah. Pecah bertemu lantai.
"Siapa yang lima tahun ni sebenarnya..." keluh si lelaki. Besar juga lukanya, tapi Ayen buat muka dek je. Tahan sakit rupanya perempuan ini.
"Shut up.... Sapu kaca tu lekas," ujarnya, lalu menjingkit ke pintu dapur.
"Kau nak kemana?"
"Cuci luka..." Nada Ayen merendah bila perasan kehadiran Puan Norle di pintu dapur. Entah sejak bila tercegat di situ. Mata bengkak emaknya memberi rasa asing di hati si gadis. "Mak menangis, kenapa?" soalnya lembut, berisi risau dan bersalah. Emaknya menangis kerana dia membuka cerita tentang Ayie ke? Egann di dapur, dipandang. "Kau buat apa sampai mak aku nangis?"
"Kenapa aku—?"
Puan Norle menggeleng bersama senyuman lembut, namun Ayen tak makan penafian itu. Baru saja nak terus bertanya, Egann bertanya lagi di belakang.
"Oi. Rumah kau ada first aid, ke?" soalnya sambil menyapu.
Ayen menoleh sekilas. "Takde." Dan si ibu dipandang sekali lagi.
"Lah. Habis, kau nak rawat luka kau, macammana?"
"Aku cakap aku nak cuci luka je, bukan nak rawat."
"Macammana rumah kau boleh takda first aid? Benda wajib kut."
Hati dah mula nak panas. Terasa disindir bahawasanya dia sebagai 'provider' tidak melengkapkan keperluan rumah. "Apa kata lain kali kau rasuah mak aku pakai first aid, bukan vakum?" Mata dicerlangkan pada lelaki penyibuk itu.
Egann masih dengan muka tak berperasaan. "Nak aku bawak kau ke klinik?"
"Kau duk diam-diam, boleh tak?!" Makin keras nadanya, hilang sabar. "Siapkan je tomyam kau! Aku lapar!" jerkahnya sambil melepasi Puan Norle dan terus menghilang ke bilik air.
Wanita separuh usia itu hanya mampu tersenyum melihat interaksi keduanya. Dia memasuki dapur, mendekati si lelaki tinggi lampai yang membuang sisa kaca pecah ke dalam tong sampah.
"Aunty minta maaf dengan perangai Ayen."
Egann menoleh, sedikit terperanjat. Ada rupanya orang tua ni. "Takpe. Nanti jadi bini saya jugak."
"Kau betul-betul sukakan anak aunty ke sampai sanggup bertahan dengan gaya kasar dia?"
Soalan cepumas. Untuk seketika, Egann kelu. Penyapu diletakkan kembali ke tempat asalnya. "Masalah personaliti dia, saya boleh counter. Ada cara nak kawal dia sebenarnya, walaupun saya masih belajar macammana, hahah..." Gelak hambar.
Masih senyum. "Ayen bencikan lelaki, tau. Aunty tak pernah tengok dia berlembut dengan mana-mana lelaki yang datang dekat dia."
"Asalkan jangan lesbian, sudah."
Puan Norle tergelak nipis. Tangan kanan Egann yang besar itu lalu dicapai. Digenggam kedua belah. Pada sepasang mata biru terang milik si lelaki, direnung penuh harapan.
"Aunty mintak kau jagakan anak dara aunty baik-baik. Kalau dia buat silap, tolong maafkan. Kalau dia melencong dari jalan yang lurus, tolong tarik balik ke jalan yang betul. Dia banyak kerenah, dan makcik minta maaf kalau permintaan makcik menyusahkan kau. Tapi makcik mintak sangat-sangat, Syafik... tolong jaga anak makcik."
Kata-kata yang penuh kesungguhan. Sinaran mata bengkak itu serius. Serta genggaman tangannya cukup ketat meminta sebuah janji kukuh. Egann terasa satu beban terletak di bahu demi menjaga kata-kata serta harapan wanita ini.
"InsyaAllah, saya cuba. Lagipun, permintaan aunty dah termaktub dalam tanggungjawab saya sebagai suami dia..."
Senyum. "Tentang Ayie..." Sekeping gambar yang dibawa bersama tadi, dihulur pada Egann. "Cakap dengan dia, kalau dia masih nak balik jenguk mak dia yang dah tua ni... makcik tak halang. Tapi bila dia bertemu dengan Ayen nanti... makcik mintak sekali lagi... apa-apa yang jadi antara mereka dekat sana, tolong jagakan Ayen."
Mata Egann terpicing. Tidak pasti apa yang akan berlaku semasa pertemuan dua beradik itu, tetapi pokoknya, permintaan itu masih ialah permintaan yang sama. Lalu si lelaki mengulang, "Baiklah."
Janji tersemat dan gambar beralih tuan.