Home Novel Cinta Kasih Tercipta
Kasih Tercipta
Yana Agasshi
26/1/2021 18:06:03
31,403
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 11
BAB 11-FIRST DATE


   "ESOK ke kau nak pergi KL tu?" Soal Munir sambil menghembus asap putih dari mulut. Selamba duduk menyandar di atas kerusi plastik kuning dengan sebatang rokok disepit di celah jari.


Sekitar kedai mee sup kak yong yang terletak bawah pokok besar tepi jalan tak ramai orang waktu waktu macam ni. Nanti jam 5 petang ke atas baru ramai budak muda kampung datang melepak.


Amar yang duduk bertentangan Munir menyedut sekali teh aisnya sebelum mengangguk bersahaja.


   "Urm. Sehari je. Lusa aku balik sini."


   "Aku okey aje, Mar. Kalau kau ada kerja, kau stay aje lah dulu. Lagipun sehari 2 ni kan tak banyak kerja. Aku boleh handle sorang."


Amar senyum tanda menerima pelawaan baik itu. Dia pun tak tahu macam mana nak cakap yang betapa beruntungnya dia dapat kenal Munir. Lelaki muda, 23 tahun usianya tapi berfikiran cukup matang. Hm, kuat menyakat tu bab lain. Tapi fikirannya itu terbuka and berwawasan.  Sekolah tak habis pun tapi ada matlamat hidup. Gunakan bakat yang ada, buka bengkel. Lepastu bercita cita nak kembangkan lagi bengkel sedia ada. Tak bergaul dengan anak muda yang bermasalah, tak pernah cakap kasar dengan mak ayah, tak pernah juga mengata orang lain. Jarang boleh jumpa anak muda macam seperti Munir ini.


   "Tapi kau nak buat apa kat KL? Mak ayah kau kat sana ke?" Soal Munir ingin tahu.


Mendengar itu, Amar jadi terdiam sejenak. Teringat akan panggilan yang diterima 2 hari lepas. Selepas 3 tahun, itu lah panggilan pertama yang dia terima dari insan yang bergelar ibu.


Ibu kandungnya yang menghubunginya cuma setelah 3 tahun dan seperti yang dijangka, ianya pasti kerana ada sebab tertentu. Ya, mesti ada sebab tertentu wanita itu meminta dia pulang ke rumah.


   "Ya Allah... Weh! Kau dah kenapa?!" Tiba-tiba saja Munir menjerit kuat disusuli gelak besar.


Amar pun spontan menoleh ke belakang.


'Busshhh!' - Tersembur air teh dari dalam mulut dengan mata membuntang saat melihat Zahra dari jauh berjalan ke arahnya.


Apabila sudah sampai dekat, lemah jantungnya melihat wajah Zahra sedekat ini sedangkan Munir sudah pun berdekah-dekah ketawa. Dengan kak Yong dekat dapur sekali ikut ketawa lucu.


Yang Zahra pula biasa saja, masih tak sedar dirinya 'melawak' tanpa sengaja. Tersenyum senyum gadis berbaju kurung moden itu menarik kerusi dekat Amar. Tersipu-sipu malu lah kononnya.


Amar berkerut dahi. In shock melihat muka Zahra di depan matanya saat ini.


Macam mana nak cakap eh.. Hmm.. Kening Zahra sekarang.., diconteng ke, dilukis ke, diberus ke, tak tahu lah dia, tapi dah rupa lembaga ulat bulu. Mata pula bercelak bagai kalahkan pengikut ayah pin. Bedak putih sepampang macam baru jatuh dalam lori gandum. Jauh beza kulit muka dengan kulit tangan. Tak kira lagi bab gincu merah menyala. Duduk sebatu ingatkan traffic light tadi.  


 Telan liur Amar melihat. Keliru.


   "Ara, kenapa dengan awak ni? Awak dah buat apa dengan muka awak?"


Zahra meliuk sopan, acah-acah gadis melayu era Musang Berjanggut dulu kala. Bibir merah dijuih ke depan lagak anak itik tokwi. Mungkin dia rasa comel kot begitu. 


   "Kenapa? Nampak lain ke? Ara berhias sikit je."


'Pffftt!!'- Tawa Munir meletus lagi tak tertahan. Berdekah dekah lelaki itu ketawa macam nak terbalik kerusi yang diduduk.


Zahra merenung tajam. "Kau dah kenapa Munir? Gila ke?"


   "Kau tu yang gila Ara.. Rumah kau tak ada cermin ke? Ya Allah..cuba kau tengok muka kau tu.. Macam joker kau tau tak?"


   "Joker? Siapa? Orang kampung ni ke?" Lurus bendul Zahra menyoal walau muka dah memuncung panjang.


Munir ketawa lagi. "Ha'ah. Joker anak Pak Kaduk tu. Belakang rumah kau."


   "Gila!" Marah Zahra merajuk sambik berpeluk tubuh.


Perghh.. Dengan muka yang macam badut, buat muka merajuk pulak, seram jugak menengoknya. Nasib baik di siang bolong.


Amar yang sedari tadi membisu akhirnya berdiri. Bergerak ke dalam dapur untuk beberapa detik sebelum kembali lagi membawa 1 bekas tisu dan semangkuk air kosong.


   "Nah, awak buang dulu make up kat muka tu," ujarnya tenang dan lembut. Sudah tidak seterkejut tadi.


Zahra mencebik sedih. Tapi tetap saja dia menurut. Tisu dicelup ke dalam mangkuk air kemudian disapu-sapu pada mukanya. Kemudian diambil lagi, digenyeh disental pula sampailah ada rupa manusia sikit berbanding awal tadi.


Lega Munir melihat. "Lah.. Kau rupanya Ara. Bila sampai..?" Usik Munir menahan gelak.


Macam biasa, Zahra menjeling tapi tak pula membalas kali ini. Riaknya sedikit mendung. Sedih atau malu mungkin. Tunduk saja dia menekur meja bermain dengan jemarinya sendiri.


Amar mengerling Munir sekilas seakan isyarat agar lelaki itu berhenti menyakat. Kemudian dia kembali lagi pada Zahra.


   "Ara, kenapa awak buat macam tu..? Awak tahu kan tak elok.. Maksud saya bukan lah tak cantik cuma.."


   "Ara cuma nak nampak cantik depan abang.. Ara baca dalam majalah kalau nak nampak matang, kena lah bersolek yang terang macam tu sebab muka Ara kan macam budak-budak sekolah..," comel saja Zahra menjelaskan sebelum sempat Amar memujuk. Jujur tak berlapik.


Munir yang mendengar menekup mulut sambil mengalihkan pandangan ke arah lain. Geli hati dan geli geleman tapi dia cuba kawal dan pendamkan saja rasa itu semua. Biarlah dia geli sorang-sorang.


   "Hmhh.." Amar melepaskan keluhan perlahan. Memandang tenang wajah babyface Zahra dalam merangka bicara  Dia faham apa yang Zahra cuba lakukan.


   "Takpelah  Tadi awak tak tahu tapi lepasni jangan buat macam tu lagi," dia berkata lembut.


   "Selama ni awak tak pernah pun pakai make up. Cantik je saya tengok. Saya suka perempuan yang macam awak seadanya," sambungnya jelas dan lembut membuatkan Zahra spontan angkat muka. Berubah cerah wajahnya sekelip mata.


   "Abang nampak Ara cantik ke? Betul? Lagi cantik dari Dina?"


Amar senyum lucu.


   "Hmm... Cantik dimata saya lah.. Tak baik bandingkan dengan orang lain. Yang paling penting hati. Kalau hati cantik, rupa pun mesti cantik di mata saya."


   "Oookayyy....," Munir mencelah curiga. Matanya dikecilkan seakan nak membaca situasi sekarang. Situasi cringey ni amat tak menyenangkan bagi dia sebagai pihak ketiga. Dia dapat hidu sesuatu yang tak kena.


   "Hmmm.. Kejap,kejap.. Am, Ara. Apa isu sekarang ni? Dialog apa yang sweet sweet sangat ni? Cuba jelaskan."


Zahra tersenyum sambil berdiri. 


   "Sibuk je urusan rumah tangga orang. Wekk!!" Dia menjelir lidah.


   "Abang jom,"  laju dia menarik lengan baju Amar untuk ikut berdiri.


Tak sempat Munir nak menyiasat lebih, Amar dah jadi pak turut. Diikut saja Zahra membawanya ke mana pergi.


*****



      CAHAYA matahari di atas kepala boleh tahan panas walaupun angin bertiup sedikit menyamankan. Manusia lain pun tak nampak lalu lalang kat sini. Well, manusia normal mana lah tengah panas pukul 4 petang nak jalan jalan ambil angin tepi jalan kawasan sawah padi ni?


Cuma Nurul Zahra seorang. 


   "Awak tak nak tunggu petang sikit ke? Macam panas sangat je ni," giat Amar dengan dahi berkerut dek menahan silau cahaya matahari.


Zahra yang cuma separas bawah bahunya itu tersenyum-senyum bahagia sendiri. Sedikit mendongak agar dapat membalas pandangan Amar.


   "Panas ke? Biasa je. Tak sepanas cinta Ara pada abang."


Eh pulakkk... Dan dan saja dia bagi pick up line cliche mengundang tawa kecil Amar.


Ceyyceyyceyyy.... Suka lah tu Zahra cakap macam tu.


   "Mana kawan awak 2 orang tu?"  Amar menyoal mengubah topik. Cover malu.


   "Ida? Faiz? Entah. Ida keluar nak jumpa bofriend dia kot. Faiz...jaga adik dia kat rumah. Mak dia ada kerja. Eh tak nak lah cakap pasal diorang.. Ara nak cakap pasal kita.."


   "Pasal kita? Pasal apa?"


   "Pasal kita lah.. Hm...cakap lah apa-apa pun. Pasal apa yang abang suka pada Ara, ataupun abang cerita salasilah keluarga abang ke. Ara tak tahu apa-apa pun kisah keluarga abang."


 Amar diam sejenak.


   "Saya..tak tahulah nak cerita. Tak pun awak tanya jelah saya jawab."


   "Boleh. Abang ada berapa orang adik-beradik?"


   "Sorang adik."


   "Hidup lagi?"


   "Mungkin?"


   "Ehh??" Zahra berkerut dahi. Ada ke jawapan macam tu? Dah lah selamba aje jawabnya. 


   "Jadi adik abang ni, hidup lagi ke tak?"


   "Tak tahu."


   "Aik. Peliknya."


   "Awak pun pelik. Ada ke patut tanya hidup mati adik saya."


   "Pelik ke? Hihi.. Sorry.. Ala.. Ara tak pernah bercinta sebelum ni... Ara tak tahu pasangan bercinta tu.., apa yang dorang biasa cakap. Topik apa, Ara tak tahu..."


Amar senyum lagi. Berbunga-bunga hatinya tika ini. Yelah, tak pernah lagi dia bersama gadis sejujur dan sepolos Nurul Zahra. Nak-nak ini merupakan first datenya. Excited dalam diam.


   "Takpe lah.. Kan saya cakap kita dalam proses belajar.. Kita cuba satu-satu.."


   "Hmmm...." Zahra berfikir fikir sejenak sebelum mentol lampu dalam kepalanya menyala. Senyuman merekah sampai ketelinga menampakkan barisan gigi yang cantik tersusun.


   "Ok, saya nak cuba yang ni dulu."

 

   "Apa?"


'Papp!' Tak semena-mena Zahra menolak tubuh Amar lalu berlari ke arah kiri tebing pasir disawah.


Bergelak ketawa sorang-sorang macam orang tak betul meninggalkan Amar yang terkebil kebil kebingungan ditempatnya 


Tak bergerak lelaki itu. Kepala yang tak gatal digaru-garu. Apa...yang barusan berlaku?


Zahra yang sakan berlari akhirnya berhenti berlari apabila dia menyedari tiada yang mengejar. Nak tak nak terpaksa lah dia patah balik ke arah Amar dengan mulut terkumat kamit membebel sesuatu yang tak jelas. Muka dah sebal habis. Pujaan hati tak pujaan hati. 


   "Lahh.. Abang kejar lah Ara.. Bila Ara tolak abang, Ara lari jadi abang kena kejar..,"  satu persatu Zahra menerangkan kepada Amar yang keliru.


Tapi Amar malah makin keliru. "Kenapa saya kena kejar awak?"


   "Lahaiii.. Abang tak tengok tv ke? Dalam drama memang macam tu... Diorang jalan kat pantai, heroin tolak hero, heroin suka dapat kenakan hero jadi heroin lari jadi hero tu kejar la heroin sebab nak balas balik..."


   "Ahhh...," Amar terangguk angguk macam pak turut.


Mungkin dah terkena sumpahan Zahra kot. Kalau sesiapa yang berkawan dengan Zahra confirm jadi macam ni. Slowly hilang kewarasan.


   "Okey, sekarang dah faham kan?" Soal Zahra.


Amar angguk.


'PAPP!' - Zahra terus menolak tubuh Amar seperti tadi lalu berlari dengan gelak tawa. Ulang tayang. Cuma kali ini Amar sepantas kilat turut berlari mengejar Zahra.


Seperti babak drama Zimbagwe, mereka berkejaran bahagia Apabila Amar semakin dekat nak menangkap Zahra, lelaki itu sengaja perlahan kan momentum larian agar babak kejar mengejar ini boleh bertahan lebih lama. Sweet ha... Kejar-kejar gelak ketawa, menjerit manja, amboiii... Kalahkan filem Shah Rukh Khan dengan Kajol.


Orang apabila sudah mabuk cinta, panas mentari pun dikata dingin salji. Pasir tanah hitam pun dikata pasir pantai. Karang jatuh dalam sawah, dikata jatuh dalam kolam cinta.


First date, success!

Previous: BAB 10
Next: BAB 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Yana Agasshi