Home Novel Cinta Kasih Tercipta
Kasih Tercipta
Yana Agasshi
26/1/2021 18:06:03
31,399
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 3

BAB 3


   "TULA KAU..," Faiz masih membebel sambil berjalan perlahan menuntun basikalnya memasuki halaman rumah Zahra yang lapang.


   "Aku dah cakap kan banyak kali. Abang Am tu level  'dewasa' faham tak? Dia tak layan perempuan macam kau. Bak kata sepupu aku yang stay kedah sana.., kau ni loqlaq..."


Zahra berdecit menjeling Faiz yang bukan main lancang berkata-kata. Dari tadi lagi potpet potpet.


   "Aku 22, dia 29. 7 tahun je pun. Dah yang si Dina baru 17 tahun tu apa citer?"


   "Dina tu.., aku nampak, Abang Amar anggap dia macam adik aje. Alah, siapa je tak suka Dina? Sampai ke tok penghulu pun berkenan.. Kau janganlah bandingkan kau dengan Dina, Ara..," jujur benar Wahida pula mencelah menghancurkan harapan Zahra.


Zahra melepaskan keluhan panjang. Terbayang bayang wajah Amar yang tersenyum pada Dina barusan. Sakittt betul hati tapi dia tak boleh nak move on.. Dia dah minat sangat-sangat kat Amar tu... Sejak first time jumpa 3 tahun lepas lagi...


   "Takpelah. Husnodzon aje lah. Aku rasa abang Amar malu kot nak cakap dengan aku. Kan kalau kita suka seseorang, kita segan nak..," tutur gadis itu mati serta merta saat anak matanya terpandang sebatang tubuh tercegat di muka pintu depan rumahnya. Langkahnya juga spontan mati. Bayangan Amar terbang entah ke mana dan tekaknya jadi haus tak semena mena.


Berjarak 5 langkah saja dari tempat dia berdiri sekarang, tercegat gadis tinggi lampai bertudung bawal hitam. Berpeluk tubuh merenung tajam tepat ke dalam anak matanya tika ini.


   "Apa singa tu buat kat sini? Bila dia balik? Jap jap jap.. Bertenang.. Mustahil dia tahu. Mustahil," dia bermonolog separuh berbisik cuba menyedapkan hati sendiri walau debaran sudah menjalar masuk. Pucat muka dek dah memang dia ada buat salah.


   "Lagipun Melisa takkan bunuh aku kalau ada korang. Jadi kau dengan Faiz....," dia menoleh ke arah kanannya untuk meminta talian hayat namun di kanannya kosong. Sepi tiada sesiapa. Dia menoleh pula ke arah kiri dan belakang. Juga kosong. Tinggal angin semata-mata.  2 temannya sudah hilang sekelip mata.


   "Tak guna punya kawan,"  getusnya geram sebelum kembali memandang ke arah depan. Sedikit keresahan. Otaknya ligat merangka alasan. Kalau lari, nampak sangat bersalah. Kalau datang dekat, nanti sah sah Melisa boleh hidu.


Aduuhhh... Macam mana ni.. Fikir Ara, fikir..


   "Aku kira sampai 3 Zahra," tiba-tiba Melisa bersuara memberi amaran. Tak kuat tapi cukup dia dengar.


Tak sempat lagi Melisa menghitung, sepantas kilat Zahra melangkah ke arah Melisa. Selipar ditanggalkan di luar lantai simen tak berlapik mozek, kemudian dia menapak mendekati Melisa di muka pintu. Air muka cuba dikawal selamba.


   "Kau masuk bilik aku?" soal Melisa tak berbasa basi. Pandangannya tajam cukup menggerunkan.


Zahra buat-buat berani menentang mata itu.


   "Mana ada! Sedap sedap mulut je tuduh aku. Ada bukti ke?".


   "Ah!" kuat dia mengaduh sambil apabila Melisa menarik lengan bajunya tanpa isyarat. Kuat pulak tu. Nasib baik tak tersembam ke depan.


Melisa dah macam anjing polis menghidu baju dan shawl Zahra sebelum kembali melepaskan.


   "Kau guna perfume aku kan? Baik kau mengaku."


Boleh tahan genting juga sesi soal siasat ni. Berpeluh Zahra dibuatnya.


   "Aku...Aku guna sikit je."


'Papp!' kuat Melisa mengetuk kepala Zahra membuatkan Zahra mengaduh sakit sambil menggosok-gosok kepalanya sendiri.


Tapi masih berani mencerlung mata kakaknya yang dibalik kaca mata bulat.


   "Aku dah cakap jangan main kepala kan!"


   "Aku dah cakap jangan usik barang aku!" lantang suara serak-serak Melisa membalas tempikan Zahra.


Tak sempat lagi Zahra berbuat apa, Melisa lebih pantas mencengkam kepala Zahra yang berbalut shawl. Disepaknya pula perut adiknya itu.


Sudah dibuat begitu, Zahra pun tak mahu kalah. Dia cuma sempat mencengkam lengan baju Melisa. Sebelah tangan lagi dilibas-libas laju. Teknik tamparan berganda ganda namanya. Kena ke tidak belakang kira.


   "Aahhh!! Sakitlah! Lepas!!" nyaring suara Zahra kedengaran menjerit.


Dua beradik sama naik. Bercakaran, tarik tudung tarik baju, sepak terajang, mana sempatlah pokoknya. Yang Melisa kacip gigi bertindak tanpa suara. Yang Zahra pula bingit telinga si lawan dia duk menjerit lantang. Jatuh bangun terguling tergolek 2 beradik tu. Al kisahnya cuma angkara satu semburan perfume.


   "Ya Allah...! Melisa! Zahra!" Razila yang masih bertelekung putih itu meluru dari arah kamarnya meleraikan perbalahan. Dia menarik Melisa masuk ke dalam rumah menjauh dari Zahra yang berdiri di atas lantai simen betul-betul depan muka pintu.


Termengah-mengah 2 anak gadisnya itu dengan tudung sudah tertanggal dari kepala. Rambut pun kusut masai.  Walaupun dia sudah biasa tengok pergaduhan begini, tetap saja jantungnya jadi lemah semangat.


   "Kenapa lagi ni ya Allah... Melisa! Zahra!"


   "Mak tanya la anak mak ni sorang. Tak reti bahasa. Gatal sangat tangan nak mencuri barang orang," balas Melisa masih di bawah amarah. Untung dipegang kemas oleh ibunya. Kalau tidak, pasti diserang lagi si Zahra.


Zahra bertakung air mata. Tangannya menggeletar dek terlampau geram dan sakit hati.


   "Eh kalau aku nak curi, baik aku curi kat kedai! Aku guna sikit je, dasar kedekut! Dengan adik beradik pun nak berkira. Esok lusa kau sakit aku jugak yang uruskan!"


   "Kalau dah ambik tanpa izin tak mencuri ke namanya? Suruh belajar tinggi-tinggi, kau main-main. Kang dah jadi bodoh!"


   "Allahuakhbar.. Melisa! Dahlah tu.. Tak baik cakap adik kamu macam tu...."


Kali ini Zahra terdiam sejenak. Mati kata untuk membalas. Kata-kata Melisa bagaikan belati tajam menusuk jantungnya. Perit nak dihadam.


Tak menunggu lama, dia tunduk mengutip selendangnya dari atas lantai lalu berlari masuk ke dalam kamarnya. Pintu ditutup rapat sebelum dia merembas tubuhnya meniarap atas katil bersama air mata berjujuran.


   "Ha! Merajuk, menangis! Perangai dari dulu tak berubah! Matanglah sikit Nurul Zahra!" jelas kedengaran suara Melisa melaung dari luar menambah bara dalam hati.


Dia lantas menutup kepalanya menggunakan bantal. Menangis melepaskan rasa sakit dalam hati. Sungguh dia benci tiap kali Melisa mengungkit soal pelajaran. Padahal kalau bukan sebab Melisa, dia tentu dapat sambung belajar seperti kawannya yang lain. Dia pun nak merasai hidup jadi pelajar universiti. Dia pun nak merasai hidup di luar negeri. Dia pun nak dipandang tinggi tapi semua impiannya dia terpaksa kuburkan demi kepentingan Melisa.


Mereka bukan orang senang. Ibunya ibu tunggal sejak 15 tahun lepas. Hafiz cuma bersekolah sampai tingkatan 1 sebab tak mampu. Jadi abangnya itu, bekerja dari usia muda untuk tanggung kehidupan mereka. Dia pula cuma sampai tahap SPM. Tak mampu nak sambung ke taraf yang lebih tinggi memandangkan semua wang digunakan untuk tanggung kos pendidikan Melisa. Bukan murah, serba serbi mahal waktu Melisa belajar di Kuala Lumpur dulu walaupun sudah mendapat biasiswa. Sampai sekarang pun dia masih terkilan soal itu tapi alih-alih, si Melisa pula sengaja menjolok sarang tebuan. Menyakitkan hati betul!


Tambahan pula, lelaki yang dia betul-betul suka tak pandang dirinya ini. Dah macam-macam cara dia cuba pun, masih tak dapat tarik perhatian Amar walau sesaat.


Saat ini bersungguh dia menangis mengenangkan nasib hidupnya selama 22 tahun ini. Air hidung pun meleleh leleh keluar lebih dari meratap kematian. Tapi korang jangan sedih-sedih.. Si Zahra ni harini je menangis kalahkan watak utama sinetron Ratapan Anak Tiri. Esok lusa, dia pergi usik lagi barang Melisa.


Tak serik-serik. Sudah biasa hidup begitu...


___________



   "PANDAI si Dina buat kek. Itu hari kuih bunga dia bagi pun sedap jugak..." puji Halimah setelah merasa sepotong kek marble yang dibawa balik Amar siang tadi.


Amar yang sedang mengurut betisnya sambil menonton telivisyen itu tersenyum nipis.


   "Makanlah Nek. Nenek suka kan kek Dina. Tak manis."


   "Yelah.. Nenek dah tua Am.. Kalau makan manis-manis takut tak sempat tengok cicit nanti..," sempat lagi Halimah menduga Amar walaupun dia masih lagi gagah melakukan kerja-kerja harian.


Namun seperti biasa, Amar sekadar ketawa kecil buat-buat tak memahami maksud wanita 67 tahun itu.


   "Amar..," kali ini Halimah menyentuh tangan kasar Amar yang mengurut betisnya. Meminta Amar yang berkain pelikat dan t shirt putih itu memandangnya.


Amar angkat muka. Membalas pandangan Halimah. Wanita tua yang sudi menerimanya di dalam rumah ini 3 tahun lalu. Ruang tamu rumah Mesra Rakyat berlapik tikar getah hijau itu sepi beberapa detik cuma ditemani suara pembaca berita dikaca di TV.


   "Am marah lagi ke...? Dah lama Am tak jenguk mereka. Nenek yakin mereka rindukan Am..," bicara Halimah terhenti sejenak cuba membaca reaksi Amar. Saat dilihat Amar masih tenang, dia menyambung lagi.


   "Am tak nak balik ke? Mungkin nanti Am lebih..."


   "Nek, Am lupa nak tutup motor dengan kain kat luar. Takut nanti si Bulat tu naik cakar kusyen motor. Am keluar kejap ek,"  pintas Amar laju mematikan bicara Halimah. Tak menunggu keizinan dari wanita tua yang duduk di atas sofa lama itu, dia sudah pun berdiri menyusun langkah keluar.


Motor yang sudah tertutup dengan kain dalam bangsal kayu sebelah rumah dipandang sekilas saat dia menapak ke arah pangkin bawah pokok asam jawa. Dia melabuhkan punggung di atas pangkin kayu itu sambil berpeluk tubuh mendongak ke dada langit. Kenangan silam menjengah akal fikiran mengundang keluhan panjang. Kepalanya digeleng cuba mengusir segala kenangan lama.


  "Untuk apa kalau kau jumpa diorang, Am? Diorang cuma fikirkan Aryan. Kau mungkin dah hilang dari hidup dorang," ujarnya pada diri sendiri seolah membalas bisikan hati kecilnya yang sedikit terusik dengan kata-kata Halimah. 



*****************





   "MAK..! Mana beg biru orang...??" kuat suara Zahra melaung dari dalam kamarnya setelah puas mencari beg galas belakang yang baru dibelinya bulan lepas.


Dia yang sudah siap berseluar palazo dan t shirt lengan panjang itu bercekak pinggang meliarkan mata sekeliling ruang kamar sekali lagi. Pabila tak juga kelihatan, dia lantas menghayun kaki keluar menuju ke dapur. Dilihat abangnya Hafiz sedang menjamah nasi lemak di meja makan bersama ibunya. Dia mendekati.


   "Mak, mana beg biru orang..? Baru guna sekali takkan dah hilang.. Orang dah lewat ni.. Ida dengan Faiz dah tunggu."


   "Duduk lah makan dulu. Kau karang naik kereta orang mula la mabuk darat. Nak muntah lah, apa lah. Menyusahkan Pak Karim pulak," celah Hafiz sebelum sempat Razila buka mulut.


Zahra angkat bibir sebelah tanda jengkel dengan omelannya abangnya itu sorang. Dijeling terbalik lagi seakan sengaja nak menyakitkan hati Hafiz.


   "Mak... Cepatlah... Mana beg orang..?"


   "Beg mana..?" Razila bertanya lembut tak tertangkap lagi di otaknya setakat ni. Mana taknya, semua barang Zahra dia yang uruskan sampaikan kadang tu tertukar.


   "Ala.. Beg biru kosong tu. Baru aje beli dengan adik Munir bulan lepas," sedikit geram nada Zahra kali ini dek mengejar masa 


Razila diam sejenak. Berkerut dahi cuba memerah otak.


  "Aahh.. Beg tu kakak kamu pinjam dulu.. Beg dia katanya tali putus. Harini dia ada.. apa tu MT? Kem dengan kawan-kawan dia."


  "Hah? Kak Mel pinjam?? Bila? Mana dia?" bulat mata Zahra menyoal bertubi-tubi. Berduri satu kepala.


   "Melisa subuh-subuh lagi dah keluar la.."


   "Amboi amboi amboi.. Kalau barang orang boleh pulak dia ambik. Orang guna dia punya cakap mencuri,"  sambungnya lagi tak puas hati.


Mendengar itu, Hafiz berdecit sekali sambil berdiri. Pantang betul kalau bising-bising kat meja makan. Lelaki itu mencapai kunci motorsikalnya lalu beredar pergi meninggalkan ruang dapur. Dia pun nak masuk kerja dah. Dah lama dia kerja diladang sawit. Sudah 8 tahun.


Zahra tak mengendahkan jelingan tajam Hafiz. Isu beg birunya masih belum selesai.


   "Janganlah marah macam ni Zahra.. Apa salahnya kakak kamu tu pinjam sekejap..? Nanti dia dah beli lain, dia pulangkan lah semula.. Jangan berkira dengan adik-beradik Zahra.."


   "Orang? Berkira adik beradik??" soal Zahra semacam tak percaya dengan apa yang telinganya dengar. Mencucuk cucuk rasa dalam hati. Pagi-pagi dah panas seluruh tubuh!


   "Mak, semalam mak tak cakap pulak macam tu kat kak Mel. Mak tengok tak apa dia buat semalam? Mengamuk macam orang gila

 Orang guna sikittt je perfume dia. Otak tak betul agaknya. Macam mana dia boleh tahu? Sebab dia tu otak tak betul, mak. Dahlah kedekut, psiko pulak tu."


    "Zahra... Ya Allah.. Tak baik cakap macam tu.. Kamu ni berapa kali mak nak pesan jaga mulut, jaga mulut."


Zahra mencebik sambil terkumat kamit mulut mengajuk omelan ibunya tanpa suara. Geram betul. Maknya selalu lebihkan si Melisa. Sebab itulah perangai pun dah macam firaun. Siapa-siapa yang sukakan kakaknya sah bukan dari golongan manusia. Tak jin, alien. 2 itu saja.


   "Dahlah, mak. Malas lah orang nak sakitkan hati. Orang pergi dulu jelah," akhirnya dia mencari tangan Razila untuk disalami dengan muka monyok kalahkan muka itik hilang mak.


   "Tangan mak kotor ni..," Razila menunjukkan jemari kanannya yang bersalut sambal merah nasi lemak.


Melihat itu, Zahra malah mencapai tangan kiri Razila. Disalami ala kadar sebelum menapak ke arah pintu dapur. Kebetulan sandalnya ada di situ.


   "Habis tu kamu tak bawak apa-apa ke tu? Beg duit? Kain sapu tangan? Telekung?" laju Razila berdiri mendekati Muka pintu. Risau riaknya.


"Tak payahlah. Bukan nak tidur sana pun. Guna je Ida punya nanti. Orang pergi dulu mak," balasnya tergesa gesa membuka langkah untuk ke rumah Wahida yang terletak dilereng yang sama. Cuma berjarak 6 buah rumah dari rumahnya jadi dia yang jalan kaki ni kena cepat-cepat lah jalan.


Dalam berjalan pun mulut masih mengomel soal beg birunya yang dirembat Melisa. Sebelah kiri jalan bukan main luas lagi sawah padi hijau kekuningan tapi tak mampu sejukkan hatinya yang tengah panas. Tak sampai lagi melepasi 3 buah rumah, anak matanya dari jauh dapat mengesan seseorang menunggang motosikal EX5 biru kearahnya. Tak perlu scan lama-lama pun dia dah dapat mengecam susuk itu. Berseluar coklat, t shirt putih dan kemeja corak petak-petak tak berkancing. Sah. Si pujaan hati!


Moodnya berubah cerah sekelip mata. Kalut dia membetulkan shawl kelabu atas kepala. Hujung mata juga digenyeh kuat kot lah ada tahi mata, buat malu aje. Bila motorsikal yang dinaiki Amar sudah mendekat, dia pantas berdiri ditengah tengah jalan  berturap itu sambil mendepa kedua-dua lengannya. Memaksa Amar memberhentikan motorsikalnya betul-betul didepan tubuh genit Zahra.


Zahra tersenyum lebar sebelum bergerak ke sebelah Amar untuk lebih dekat. Wajah melayu asli Amar dipandang dengan pandangan orang angau. Penuh minat.


   "Abang Amar nak pergi mana ni? Bengkel sebelah sana kan," dah rupa joker dia tersenyum lebar dengan mata tak berkedip.


Amar menggaru sekali belakang kepalanya yang tak gatal. Gayanya bersahaja sejak azali.


   "Nak hantar bekas ni rumah Dina," jawabnya ringkas membuatkan Zahra spontan mengerling bekas tupperware biru di dalam raga motornya.


Zahra tak menyorokkan perasaan sebenarnya sama sekali. Selamba saja dia mencebik di depan Amar tanda tak puas hati.


   "Saja la tu nak jumpa Dina,"  serkapnya dek rasa cemburu.


Amar diam saja tak berniat nak membalas perkara remeh seperti ini.


   "Takpelah kalau macam tu, biar Ara je hantarkan. Rumah kitorang dekat je. Sebelah sebelah. Kalau Ara bukak tingkap bilik, nampak lah Dina tengah buat apa dalam rumah."


"Tak payah lah. Biar saya je han.."


   "Takpe..," laju Zahra memintas sambil mengambil bekas dari dalam bakul tanpa 'kerelaan' Amar.


Keluhan kecil Amar bahkan tak dia hiraukan.


   "Lagipun.., Ara rasa Dina tak bangun tidur lagi. Baru pukul 8 pagi. Biasanya...., pukul 11 baru Dina bangun," beria pula gadis itu menokok tambah cuba meyakinkan Amar.


Amar tersenyum nipis. Sedikit sinis.


   "Pagi tadi saya nampak dia naik basikal pergi sekolah,"  bidasnya bersahaja.


Setepek kena atas dahi Zahra. Gadis itu menaikkan bola mata ke atas sebelah kiri dalam cuba mengawal air muka. Rasa macam ditampar kiri kanan. Pijar kulit muka.


   "Ohh... Lupa. Harini hari Isnin kan.. Haha," dalihnya buat buat ketawa. Nampak kekok. Tapi sedetik, dia mereka olah lain pula. Muka tembok namanya.


   "Abang, kalau macam tu, bekas ni Ara hantar, tapi.., abang hantar Ara pergi rumah Ida. Sekarang. Ara dah lambat ni...."


Berkerut seribu dahi Amar mendengarnya. Dah tahu lambat, berhenti kat sini lagi melambatkan masa rasanya.


   "Kenapa awak tak jalan kaki je? Rumah Ida depan tu aje kan."


"Alaaa... Ara kan dah tolong abang nak hantarkan bekas ni. Abang apa salahnya tolong Ara pulak."


   "Hmm... Saya rasa lebih baik saya hantar sendiri je kot bekas ni,"  berlapik Amar menolak permintaan Zahra sambil tangannya mengambil semula bekas kosong dari tangan Zahra.


Dia tersenyum nipis.


   "Boleh dah tu sambung jalan. Kejap lagi sampai lah. Kalau tercegat je kat sini takut tak sampai," sindirnya bersahaja sebelum memulas pemegang tangan motorsikal meninggalkan Zahra sendirian ditengah tengah jalan.


Zahra tak mampu menyekat dah. Dipandang saja susuk Amar sehingga hilang dari pandangan dengan rasa hampa. Bibir lentiknya dicebik kecewa. Dihentak hentak pulak kakinya pada jalan tanda geram pada Amar.


Nak tak nak, dia terpaksa juga menyambung perjalanannya ke rumah Wahida. Karang ditinggal pulak oleh bffnya itu. Al maklumlah. Dalam kampung ini tak ramai yang ada kereta sendiri. Salah sorang orang bertuah itu ialah temannya Wahida. Jadi dia pun boleh lah merasa tempias berkawan dengan anak orang 'ada-ada'. Nak pergi mana-mana, boleh merasa tumpang kereta ayah Wahida, Pak Karim.

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Yana Agasshi