Home Novel Cinta SNOW WHITE DAN ROSE RED
SNOW WHITE DAN ROSE RED
Pena Putera
13/12/2017 21:53:20
52,905
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 2

SEHARIAN bekerja di pejabat, akhirnya tibalah masanya untuk pulang berehat di rumah untuk mengecas semula tenaga yang telah hilang setelah digunakan untuk bekerja. Hanna juga tidak terkecuali. Memegang jawatan sebagai pengurus memerlukan tenaganya yang lebih besar. Makanya, ketika ini yang hanya terlihat di matanya adalah katil yang empuk bersama pendingin hawa yang menyejukkan bilik.

Alangkah bagusnya kalau dapat berehat dalam keadaan begitu. Habis dia pecut kereta dengan kelajuan semaksimum yang mungkin biar cepat sampai ke rumah. Sayangnya, waktu puncak tidak dapat dia elak.

Jadi, dia tiba hampir lewat sejam lebih kerana terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Pukul tujuh setengah dia sampai rumah. Ngam-ngam waktu maghrib tak habis lagi. Cepat-cepat dia mandi dan solat supaya tidak tertinggal waktu solat.

Sewaktu sampai di rumah, Hanna berasa aneh kerana kereta adiknya tidak kelihatan di kawasan perkarangan rumah. Adiknya masih di pejabat atau terperangkap dalam kesesakan jalan raya?

"Umaira belum balik lagi ke?" tanya Hanna sewaktu dia memasuki ruang dapur. Ibunya sibuk memasak hidangan untuk makan malam. Bau rencah kari memikat hati Hanna yang membaunya. Semakin lapar dibuatnya. Tak lama lagi, siaplah ini.

"Dia telefon ibu, katanya balik lambat sebab banyak kerja nak kena buat dekat pejabat." Puan Suria menjawab. Hanna mengeluh mendengar jawapan ibunya. Ini bukan kali pertama dia mendengar jawapan sebegini.

"Kesian betul Umaira... Kena kerja keras semata-mata nak kekalkan tempat dia."

"Nak buat macam mana. Itu pilihan dia."

"Walaupun itu pilihan dia, tetapi kesian jugalah. Ini dah masuk berapa kali dia balik lewat. Ingat tak dulu, dia langsung tak balik sampai tidur dekat pejabat semata-mata nak siapkan design yang boleh puaskan hati Datin itu." Hanna menolong ibunya mengacau kuah. Manakala Puan Suria pula berlalu pergi untuk mengemas meja makan.

"Nak buat macam mana? Setiap kerja ada kesukarannya tersendiri. Kadang-kala, kita akan disanjungi tetapi ingat, kita juga akan jatuh tersungkur sebab tiada yang akan sentiasa indah selamanya." Puan Suria berkata. Tersengih Hanna mendengar kata-kata nasihat ibunya.

"Kamu itu pun, Hanna... Hari ini kamu seronok sangat kerja? Mesti ada masa kamu rasa nak berhenti, kan?" soal Puan Suria. Lantas Hanna mengangguk.

"Hanna tak tahulah kenapa dalam dunia ini masih ada spesies jantan yang boleh dibiarkan hidup. Patutnya mereka itu dilenyapkan dari dunia ini. Barulah seorang perempuan boleh dapatkan cinta daripada seorang lelaki, bukannya jantan."

"Ada orang try kamu lagi, Hanna?" teka Puan Suria. Dia sudah tidak hairan mengapa anaknya membebel begitu.

"Ya dan jantan itu dah ada bini pun. Muda lagi tu, tapi dah pandai menggatal. Agaknya dah tua nanti, makin menjadi-jadi. Dia ingat dengan adanya harta dan rupa, boleh digunakan untuk cari makan di luar? Maaflah, Hanna bukan betina."

Puan Suria ketawa lalu dia mendekati anaknya. "Ibu bangga sebab anak ibu ini ada maruah. Tak biarkan maruah seorang perempuan macam kita ini dipijak-pijak. Cuma, ibu nak pesan sesuatu."

"Pesan apa?"

"Janganlah terlalu menolak. Mana tahu, suatu hari nanti yang kita tolak itu adalah jodoh kita?"

"Masalahnya sekarang, yang datang dengan Hanna semua yang dah kahwin, dah ada tunang... Tapi masih nak menggatal. Ada yang muda, yang tua nak mati tak sedar-sedar diri lagi pun ada..."

"Suka hati kamulah. Ibu pun tak tahu kriteria macam mana kamu nak. Agaknya, lelaki yang nak ngorat kamu kena pass uji bakat dulu baru boleh jadi suami."

"Kalau sampai macam itu, melampaulah. Hanna akui, Hanna memang susah didekati. Tetapi, kalau dah sampai jodoh Hanna, Hanna bukakanlah pintu hati Hanna."

"Yalah itu." Puan Suria seperti tidak percaya.

"Yalah!" Hanna mencebik. Kemudian ada satu mesej yang masuk ke telefon Hanna. Dia buka dan baca.

'Kak Hanna, boleh ambil Umaira tak? Tayar kereta Umaira pancit.'

Mesej daripada Umaira. Cepat-cepat dia ambil kunci kereta dan begnya untuk menjemput adiknya.

"Ibu, Hanna nak pergi ambil Umaira. Tayar kereta dia pancit."

"Elok-elok bawa kereta itu."

"Okey!"


AWAN mula kelihatan mendung di kala malam. Mesti nak hujan kejap lagi. Perutnya mula berkeroncong. Rasa nak pitam. Umaira masih belum muncul lagi. Katanya, dia tertinggal barang di pejabat. Sudah sepuluh minit menunggu, masih belum sampai lagi. Lamanya.

"Sorry lambat... Dahlah, jom gerak," ujar Umaira sewaktu dia masuk ke dalam perut kereta bersama sekotak kecil di tangannya. Hanna memandang hairan kepada kotak kecil itu.

"Apa benda itu?"

"Ah, ini cuma bahan kerja Umaira aje."

"Kenapa ini? Umaira kena buang kerja, ke?" Hanna mula gelabah. Selalunya, adegan bawa kotak keluar dari pejabat menandakan seseorang itu buang kerja. Tak akanlah?

"Mana ada Umaira kena buang kerja. Itu coming soon. Sekarang ini, Kak Hanna pandu ajelah kereta. Umaira nak balik ini. Dah letih."

"Coming soon? Apa dah jadi ini? Cuba cerita dekat akak. Mana tahu akak boleh tolong." Makin simpati rasanya. Umaira hanya menggeleng. Dia tidak mahu menambah beban pada kakaknya. Cukuplah beban yang kakaknya tanggung ketika ini. Masalah dia, adalah masalah dia bukannya masalah kakaknya.

"Kesian dekat adik akak ini. Tak apalah. Sebagai balasan kepada penat lelah Umaira hari ini, akak nak bawa Umaira pergi satu tempat yang special."

"Tempat yang special?"

"Yalah. Mari kita pergi!"

Umaira tersenyum. Hatinya berbunga gembira. Kakaknya tahu apa yang boleh buatkan dia tersenyum gembira ketika ini.


KECUR air liur Umaira melihat semua ini. Mana tidaknya. Di depan matanya, terhidang pelbagai jenis makanan steamboat. Makin galaklah perutnya menyanyi minta diisi. Ada bebola seafood, udang, sotong, telur puyuh, sosej dan macam-macam lagilah. Lihat kuah tom yam yang mendidih di tengah meja itu. Rasanya nak aje dia hirupkan terus ke dalam mulut.

Hanna memandang lucu wajah kelaparan adiknya itu. Seolah kebuluran setahun sampaikan bila terlihat semua ini, jadi tidak keruan. Hakikatnya, bukan adiknya terasa begitu tetapi dia juga sama. Kena pula hujan turun di luar sana. Wow! Perfect timing.

"Dah siap, ke? Nak makan ini." Umaira tidak sabar untuk merasa.

"Sabar dulu. Kejap lagi bolehlah kut makan ini. Macam nak masak aje." Hanna menjawab ketika dia sibuk grill lauk-pauk di atas pemanggang.

"Lamanya." Wajah Umaira berubah kecewa. Matanya masih belum lepas memandang hidangan di hadapan matanya. Tiba-tiba, satu idea nakal terlintas di fikirannya. Senyap-senyap dia ambil sudu dan menunggu masa yang sesuai. Perlahan-lahan, sudu di tangannya mula mendekati pemanggang.

Target utamanya adalah ayam. Lauk kesukaannya. Nampaknya keadaan selamat bila mata kakaknya memandang kuah dan rasanya kalau dia serang waktu ini, dapat juga dia merasa ayam. Okey, tiga... dua... satu!

"Umaira!" Terkejut Hanna bila pantas tangan Umaira menyuapkan ayam ke dalam mulut. Hesy, budak bertuah betul. Melihat wajah Umaira yang puas menikmati ayam itu, hilang marah Hanna.

"Dah masaklah, Kak Hanna. Tunggu apa lagi, makanlah!" Tanpa segan-silu Umaira mengambil lagi lauk di atas pemanggang lalu dimasukkan ke dalam mulutnya.


"HABIS itu, sekarang ini Umaira nak buat apa?" tanya Hanna setelah mendengar segala luahan masalah Umaira. Kalaulah dia ada bakat untuk design pakaian, bolehlah dia tolong. Hanna akui, dia pandai melukis dan mewarna, tetapi bukan untuk kategori fesyen. Itu bukan kemahirannya.

"Entahlah... Mungkin ini masanya Umaira give up. Dah banyak peluang mereka bagi dekat Umaira dan semua peluang itu dah disia-siakan. Apa gunanya kalau Umaira terus berada di sana kalau Umaira tak menyumbang apa-apa."

"Tak akanlah nak mengalah secepat itu? Akak yakin, mesti ada yang boleh tolong Umaira untuk dapatkan ilham yang lebih jauh bagus."

"Tak ada apa lagi yang boleh bantu Umaira. Semuanya dah berakhir. Inilah penamatnya."

Hanna cuba membantu Umaira keluar dari masalahnya dengan memikirkan penyelesaian. Namun, jalan buntu yang dia jumpa.

"Apa kata kalau Umaira ambil cuti dan tenangkan fikiran? Mungkin lebih baik begitu?" Itu sahajalah yang dapat Hanna katakan. Kebiasaannya, apabila kita tenangkan fikiran, kita dapat berfikir lebih terbuka dan segalanya akan menjadi mudah.

"Mungkin juga. Tapi, ke mana Umaira nak pergi?"

"Apa kata kalau pergi Cameron Highlands? Dekat sana sejuk, lepas itu ada pemandangan yang hijau. Mesti boleh tenangkan fikiran yang berserabut kalau pergi sana."

Umaira mengangguk kepalanya. Dia bersetuju dengan cadangan kakaknya. Sekarang ini, dia kena fikirkan waktu yang sesuai untuk pergi saja. Tapi sebelum itu, dia perlu dapat kelulusan cuti. Kalau dapat, bolehlah pergi. Kalau tak dapat, mampu mimpi ajelah.

"Alamak!" Hanna tayang muka terkejut. Dia baru terfikirkan sesuatu.

"Kenapa, kak?"

"Macam mana kita boleh lupakan ibu? Dahlah ibu masak makan malam tadi."

Umaira dan Hanna, saling berpandangan dengan soalan yang sama di fikiran mereka ketika ini.

Apa yang perlu mereka buat sekarang?


KENYANG sudah. Kalau dalam bilik, mesti dah lena tidur ini. Salah satu tabiat yang buruk, tetapi itulah yang paling disukai. Sedar tak sedar, sudah pukul sepuluh malam. Sekarang ini, masalah kelaparan sudah selesai. Masalah seterusnya sahaja yang perlu mereka hadap. Ketika Umaira dan Hanna check telefon, ada berpuluh-puluh missed call daripada ibu mereka.

Umaira tidak perasan sebab dia guna silent mod supaya tidak menganggu kerjanya tadi. Dia terlupa untuk off silent mod. Hanna pula tertinggal telefon dalam kereta, jadi alamatnya kalau telefon buat konsert pun dia tak akan dengar.

"Apa kita nak jawab dengan ibu nanti? Mesti dia marah sebab dahlah kita makan dekat luar tanpa pengetahuan dia, kemudian tak ajak dia dan kita langsung tak jamah makanan yang ibu masak. Tiga kesalahan kita dah buat hari ini." Hanna mula gelisah. Tak tahulah apa alasan dia nak bagi nanti.

"Salah Kak Hanna, la! Kalau Kak Hanna tak ajak keluar makan tadi, mesti semuanya tak akan jadi macam ini." Umaira mula meletakkan kesalahan pada bahu kakaknya.

"Akak buat semua itu untuk Umaira. Lagi satu, kalau Umaira tak tunjuk muka penat tadi, mungkin Kak Hanna tak akan bawa Umaira keluar makan dan mungkin masalah ini tak akan terjadi. Ibu mesti tak akan marah kita."

"Apa? Sekarang ini nak salahkan Umaira pula? Kak Hanna yang bawa Umaira keluar makan, bukannya Umaira yang ajak."

"Tapi, Umaira nak ikut juga, kan?"

"Sebab Umaira lapar. Umaira ikutlah."

Mereka adik-beradik terus melakukan rutin seperti mana adik-beradik yang normal lakukan. Bergaduh. Terutamanya ketika hujan lebat seperti ini, memang layanlah kedua-duanya bergaduh.

Kemudian, Hanna dan Umaira memandang ke hadapan dengan wajah yang masam mencuka selepas penat bergaduh mulut antara satu sama lain. Dalam kelebatan hujan, terlihat sesuatu kelibat di hadapan mereka. Hanna dan Umaira cuba mengenal pasti kelibat apakah itu.

"Akak, ada orang dekat depan itu!" Umaira memberi amaran. Cepat-cepat Hanna tekan brek kereta secara mengejut supaya tidak terlanggar kelibat itu. Mereka menundukkan kepala kerana ketakutan. Adakah Hanna berjaya mengelak atau sebaliknya?

Dengan penuh keberanian yang dikumpul, kedua-duanya mengangkat kepala untuk melihat keadaan di hadapan. Sudahlah hujan lebat, kawasan di sekeliling mereka pula kelihatan seperti hutam dengan pokok-pokok yang tumbuh di kiri dan kanan. Kenapalah malam ini sangat malang?

"Apa benda tadi itu, kak? Pergilah tengok," arah Umaira yang menggeletar ketakutan.

"Gila ke? Dahlah malam ini. Hujan lebat pula itu. Tak naklah." Hanna menolak.

"Tapi, rasanya kita tak langgar apa-apa. Cuma, kelibat tadi pergi mana?"

Mereka berdua berpandangan antara satu sama lain dan mula terfikirkan sesuatu.

"Arghhh! Hantu!" Kedua-duanya berpelukan dengan erat.

"Kejap... Tapi tak akanlah hantu? Umaira nampak kelibat itu ada kaki. Bukan hantu tak ada kaki, ke?"

"Kalau dah hantu, jangan kata kaki... Macam-macam dia ada!"

"Tak mungkinlah. Umaira yakin, yang tadi itu adalah manusia."

"Manusia?"

Umaira mengangguk. "Apa kata kalau kita cuba tengok?"

Terbeliak mata Hanna apabila mendengarnya.

"Gila ke?"

"Jomlah. Mana tahu, itu manusia. Umaira dapat rasakan sesuatu. Umaira yakin, kelibat tadi bukan hantu."

Lama juga Hanna berfikir sebelum akhirnya akur dengan kata-kata adiknya. Mereka berdua mencapai payung di tempat duduk belakang dan keluar dari kereta bersama-sama. Selangkah demi selangkah ke hadapan... Ketakutan dan kegelisahan yang menemani mereka berdua semakin menjadi-jadi.

Dan...

"Arghhh!"

Telahan Umaira tepat pada sasarannya.


Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.