Home Novel Cinta SNOW WHITE DAN ROSE RED
SNOW WHITE DAN ROSE RED
Pena Putera
13/12/2017 21:53:20
52,903
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

TANPA mengetahui apa-apa, suasana pejabat kelihatan kecoh sejurus Umaira pulang dari makan tengah hari. Masing-masing dengan muka terkejut sambil mulut bercakap-cakap sesuatu. Seperti ada perkara yang sedang hangat dibincangkan ketika ini. Umaira jadi ingin tahu. Curious.

“Okey, guys. Kalau nak bergosip, tolong jangan gosip sesama korang aje. Aku pun nak mencelah juga.” Syakira mula masuk ke dalam sekumpulan pekerja yang sedang bercakap. Mereka memandang Syakira tajam. Seolah-olah marah.

“Gosip apa bendanya? Ini berita tak baik.”

“Berita tak baik? Maksudnya?” Syakira meminta penjelasan. Umaira memasang telinga siap-siap untuk ketahui apa berita tidak baik itu.

“Mila… Dia mati dibunuh!”

“Allahuakbar…” Luluh jantung Umaira. Matanya membulat, tidak percaya. Sungguhkah berita yang baru sahaja dia dengar sebentar tadi?

“Maksud kau… Mila si pendek itu?” Syakira meminta kepastian. Manalah tahu, Mila di fikiran mereka mungkin tidak sama dengan Mila yang menjadi bualan hangat.

“Yalah. Dialah.”

“Apa dah jadi ini?” soal Umaira yang masih bingung. Masih ragu-ragu.

“Kau buka telefon, baca news dalam internet. Berita ini dah viral dekat semua social media. Kalau tak percaya, cuba check.”

Umaira dan Syakira lekas mengeluarkan telefon mereka. Tidak lama kemudian, masing-masing berubah riak wajah. Mata mula berkaca dengan apa yang telah dibaca. Ini adalah realiti, bukannya mimpi.

“DIBUNUH oleh sekumpulan gangster. Dipercayai, mangsa dibunuh kerana terlibat dalam sindiket yang melibatkan kumpulan gangster tersebut sehingga menyebabkan konflik dalaman berlaku dan akhirnya menyebabkan mangsa dibunuh. Walau bagaimanapun, semuanya hanyalah sekadar andaian dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak polis lagi.”

Cerita Syakira itu tiada logiknya pada akal Umaira. Sepanjang dia mengenali Mila, tidak pernah dia melihat wanita itu ada sikap yang mencurigakan dalam dirinya. Atau, apa yang dia lihat pada diri kawan sekerjanya itu sebenarnya hanyalah yang menonjol, namun bukan yang tersembunyi?

Apa-apapun, sukar untuk dia menerima berita kematian kawan sekerjanya. Sudah lama mereka bekerja di sini bersama-sama dan tidak sangka kisah persahabatan mereka akan berakhir begini. Sedih memang sedih. Kalau boleh, dia mahu menangis.

“Sabarlah, Umaira. Aku tahu, kau masih tak boleh pulih dengan apa yang berlaku. Tapi, kita kena move on. Aku pun sedih juga bila tiba-tiba aje Mila pergi tinggalkan kita. Patutlah dah lama juga dia tak masuk kerja. Rupanya… Hurm…” Syakira meluahkan rasa terkilannya.

“Tetapi, kenapa mesti kena ada kaitan dengan gangster semua itu? Aku tak faham. Apa yang dah jadi sebenarnya dekat dia sebelum dia mati?”

“Kita tak tahu cerita orang kalau orang tak ceritakan kepada kita. Yang penting sekarang ini, kita berdoa semoga arwah tenang di alam sana. Selebihnya, kita serahkan kepada pihak polis untuk uruskan.”

Umaira mengangguk lesu. Benar, itu adalah yang terbaik untuk masa ini.

ALHAMDULILLAH. Kalau niat itu betul, Allah akan permudahkan segalanya. Hari ini, Umar diterima bekerja sebagai pembantu kedai di sebuah kedai runcit berhampiran rumah pak long. Dia tidak kesah dengan kerja apa yang dilakukannya asalkan tidak terlalu menumpang budi orang, tak mengapalah. Lambat-laun, dia perlu juga berusaha untuk menyara dirinya sendiri kelak.

Hari pertama bekerja, agak sukar untuk biasakan diri. Maklumlah, persekitaran bekerja di kedai runcit ini terasa asing untuk dirinya. Antara tugas yang perlu dia lakukan ialah menjaga kaunter, menyusun barang, mengira stok, membersihkan kedai dan lain-lain.

Asalnya, ada dua orang pekerja. Malangnya, lagi seorang itu memohon cuti untuk pulang ke kampung. Makanya, dia yang kena kerah tulangnya bekerja sendirian hari ini dengan macam-macam kerja.

Penat memang penat. Baru separuh hari bekerja. Gamaknya, balik nanti lenguh semua sendi-sendi badan. Tak apalah. Rezeki halal memang penat dicari, tetapi diberkati.

“Dahlah itu, Umar. Pergilah rehat sekejap. Makan tengah hari dulu dan solat. Selepas itu, baru sambung kerja. Pak cik tengok kamu dah penat sangat itu.” Pak Cik Muhsin, majikan Umar menegur.

“Terima kasih, pak cik. Saya pergi makan dulu.”

“Kamu ada makanan, ke? Kalau nak beli, di hujung sana ada gerai jual nasi berlauk. Dekat sana, boleh tahan sedapnya.” Pak Cik Muhsin mencadangkan. Manalah tahu pekerjanya seorang itu tidak tahu mana nak cari makanan.

“Tak apalah. Pak long saya dah ada bekalkan makanan.”

“Oh, kalau macam itu tak apalah. Kamu pergi makan dulu, biar pak cik jaga kedai.”

Umar mengangguk. Kemudian, dia menuju ke surau berdekatan. Ada satu pondok dan meja di bawahnya. Dia duduk di sana dan mula membuka bekas makanan. Setelah membasuh tangan, dia mula menjamu selera.

Elok dia selesai makan, bunyi azan berkumandang. Lekas Umar mengambil wuduk.

Ketika memasuki surau, terlihat pak long turut ada sama dalam kalangan jemaah. Dia berdiri di sebelah pak long dan menyapanya.

“Eh, Umar rupanya. Pak long ingat siapa tadi.”

Umar tersengih.

“Macam mana kerja hari ini?” tanya pak long.

“Boleh tahanlah. Nanti kita sembang malam ini.”

“Banyaklah itu yang nak diceritakan.”

Sekali lagi, Umar tersengih. Kemudian, mereka mula menunaikan solat fardhu zohor berjemaah setelah iqamat selesai.

HANNA melangkah masuk ke sebuah bangunan pencakar langit atas urusan kerjanya bersama beberapa orang pekerja lain. Oleh kerana dia diarahkan untuk menunggu di lobi, maka mereka menghabiskan masa di situ sementara menunggu pihak klien memanggil mereka untuk berurusan.

Agak memakan masa yang lama. Hampir setengah jam menunggu. Tak tahu apa yang perlu dia buat masa sekarang ini. Arghhh! Hanna paling benci menunggu sesuatu yang sia-sia begini. Bukannya urusan ini tidak penting, tetapi apa yang mengambil masa lama sangat untuk berurusan?

Oleh kerana tidak dapat tahan sabarnya, Hanna mendail nombor wakil pihak klien untuk berbicara sebentar. Pekerja-pekerja yang bersama-sama dengan Hanna gerun melihat wajah tegang Hanna.

“Masih lama lagi ke pihak encik perlukan masa? Rasanya, saya dah datang tepat pada masanya kira-kira setengah jam yang lalu. Tak tahu pula saya kalau ada sebarang pindaan masa yang tak diberitahu.”

Gulp! Masing-masing telan liur.

“Baiklah. Saya akan tunggu lagi setengah jam. Kalau tidak, deal kita sampai sini aje.” Hanna mematikan talian. Berani betul dia mengugut pihak klien. Kalau pihak atasan tahu, mahu mampus Hanna kena basuh.

Hanna peduli apa. Salah mereka, bukan salah dia. Lagipun, dalam Malaysia ini bukan syarikat berkelas minda bawahan aje yang wujud. Syarikat berkelas minda atas ada banyak lagi. Cuma, yang ini terpilih sebab pandai ‘bodek’ orang atasan. Senang cerita, guna cable!

Ops!

“Memandangkan kita akan membuang masa lebih lama untuk menunggu pihak tak bertamadun berurusan dengan kita, saya nak keluar cari minuman sebentar. Ada sesiapa nak kirim? My treat.”

“Tak payahlah susah-susah Cik Hanna. Segan pula kami.”

“Jangan risau. Awak tak menyusahkan saya macam mana company tak bertamadun ini menyusahkan saya. Bukan saya, tapi kita semua.” Sengaja Hanna bercakap lantang agar kedengaran bagi sesiapa di lobi itu.

Masing-masing akhirnya akur dan mengirimkan pesanan.

Sewaktu Hanna mahu keluar dari bangunan pencakar langit untuk mencari kedai berdekatan, matanya meliar ke sekeliling. Panas terik waktu tengah hari memang mencabar emosi. Sudahlah duduk dalam sejuk tadi pun rasa ‘panas’ juga. Bawah terik matahari ini, lagilah rasa nak tengking orang.

Ketika dia selesai memilih minuman, dibawanya semua ke kaunter untuk proses pembayaran.

“Semuanya RM 20.50, cik.”

Hanna cuba untuk mengeluarkan dompetnya dari tas tangan, namun dia tidak dapat menjumpainya. Hanna mula gelabah apabila baru sahaja perasan ketiadaan dompetnya. Dia terlupa untuk bawakah? Rasanya sewaktu makan tengah hari tadi, dompetnya masih bersama.

Ah, mesti dia tertinggal di pejabatnya. Sebab, selalunya Hanna hanya akan bawa dompet saja tanpa beg tangan ke kafeteria untuk menjamu selera. Aduh, silap besar dia tertinggal.

“Cik, saya minta maaf. Dompet saya tertinggal.”

Pekerja di kaunter bayaran itu pun bukannya boleh buat apa-apa dengan situasi begini.

“Tak apa. Biar saya bayarkan.” Ada tangan yang menghulur sekeping kad kepada cashier tersebut.

Hanna terkedu. Lantas, kepalanya menoleh ke belakang melihat pemilik tangan yang menghulur bantuan kepadanya. Dan, setelah sekian lamanya… Matanya bertentang sekali lagi dengan mata itu.

Mata yang pernah dia ingin lihat setiap hari suatu ketika dahulu.

Mata yang tidak lagi dia mahu lihat selepas detik itu.

Tetapi, mata itulah yang pernah mencairkan hatinya.


Previous: Bab 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.