Home Novel Cinta SNOW WHITE DAN ROSE RED
SNOW WHITE DAN ROSE RED
Pena Putera
13/12/2017 21:53:20
52,898
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 5

WAKTU kerja telahpun tamat. Umaira lekas mengemas barang untuk pulang. Sempat dia membelek muka di cermin kecil miliknya untuk membetulkan apa yang patut seperti tudung. Bila dirasakan tiada apa lagi yang perlu dibetulkan, Umaira meletakkan cermin kecil itu dalam tas tangannya.

"Weh, nak balik dah?" tanya Mila, entah muncul dari mana. Bikin Umaira terkejut dengan kehadirannya.

"Habis itu, tak akanlah aku nak stay dekat sini sampai esok pagi. Sampai masa balik, aku baliklah. Kau fikir aku ini pekerja yang rajin sangat?"

"Bukan itu dulu, ke?"

"Itu aku yang dulu. Bukan aku yang sekarang."

Mila tersengih. Dia menghulurkan pendrive yang diberi Umaira tadi. Umaira blur. Tidak faham apa yang dimaksudkan Mila dengan huluran itu. Kenapa bagi dia pula?

"Aku ingatkan ini aku punya. Rupanya aku dah ada. Kau ambillah."

"Eh, kenapa bagi aku? Ini bukan aku punya juga. Kau pegang ajelah. Lepas itu tanya siapa-siapa, mana tahu boleh jumpa pemilik dia." Umaira menolak pemberian Mila.

"Tak payahlah. Lagipun dalam ini bukannya ada apa-apa. Aku dah check tadi. Kosong. Kau ambil teruslah pendrive ini. Aku rasa, pemilik dia pun beli yang baru dah."

"Kalau tak ada file dalam pendrive ini pun, bukankah lebih baik kita cari siapa pemilik pendrive ini?"

"Tak payahlah." Mila terus letakkan pendrive itu dalam genggaman tangan Umaira. Umaira terkedu dengan perbuatan Mila. "Kau ambil terus ajelah pendrive ini. Aku rasa, lebih baik tak payah cari pemilik dia. Kan aku dah cakap, dalam ini bukannya ada apa-apa. Kalau betul ada apa-apa dalam ini, pemilik dia mesti tak letak merata."

Umaira tidak tahu mahu membalas apa lagi. Dia akur dengan kata-kata Mila. Cuma, rasa bersalah pula mengambil pendrive itu. Tetap orang punya, kan?

"Anggap ajelah rezeki, kau. Cantik apa pendrive itu. Sama macam aku punya. Alaaa... Bukannya mahal pun yang aku beli macam itu."

"Kau ini... Lain macam aje. Buat aku rasa takut." Umaira terhidu sesuatu. Macam ada yang cuba disembunyikan Mila.

"Tak payah banyak bunyi. Ambil aje. Aku ada satu, kau ada satu... Dah macam couple pendrive pula. Lagipun, kau kawan baik aku dekat tempat kerja ini. Biarlah ada sikit kenangan untuk kau. Tak gitu..." Mila cuba berseloroh.

"Amboi... Sweet sangat kau ini. Minum air terlebih gula, ke?"

Mila hanya ketawa, tidak lagi berkata apa-apa.

"Dahlah, aku ada kerja lagi nak kena buat. Kau baliklah." Mila meminta diri. Umaira menggangguk faham. Sempat dia lambai tangan kepada Mila sebelum temannya itu melangkah jauh, semakin jauh dari pandangannya.

Aneh, kenapa Mila beriya mahu dia mengambil pendrive itu walaupun temannya itu tahu, pendrive ini bukan kepunyaannya. Tak mahu serabutkan kepala dengan soalan itu, dia masukkan pendrive itu dalam tas tangannya lalu mula mengatur langkah keluar dari pejabat.

Ketika dia sampai di ruang parkir bawah tanah, terlihat pula akan satu wajah yang seakan dikenalinya dalam sebuah kereta bersama seorang lelaki di sebelah. Kurang jelas wajah lelaki itu. Rasanya, wanita itu adalah Karissa, rakan sekerjanya yang sama bidang dengannya. Salah seorang fashion designer dan juga saingannya.

Siapa yang tidak kenal wanita itu? Satu syarikat kenal. Buat masa ini, Karissa dikenali sebagai fashion designer yang lebih top berbanding dengan dirinya. Rekaan pakaiannya lebih laris dijual dan mendapat sambutan yang lebih hangat.

Sayangnya, itu semua membuatkan Karissa semakin angkuh. Itulah kekurangannya. Terlalu sombong sehingga lupa dari mana dia bermula. Setakat kerani pejabat itu, sebelah mata pun dia tak pandang. Umaira yang satu bidang pun, dia pandang sebelah mata aje. Maklumlah, dengar cerita Karissa itu anak orang berada. Hurm...

Dahlah... Buat apa ambil peduli cerita pasal orang. Cerita sendiri pun berserabut.

Tiba-tiba, kedengaran pintu kereta ditutup dengan kuat. Umaira berpaling muka ke belakang dan melihat Karissa sedang melangkah pergi dari kereta itu. Bunyi langkah kasut tumit tinggi kuat kedengaran. Seolah Karissa sedang marah ketika ini.

Dia mengintai ke arah kereta itu yang mula bergerak dan sempat melewatinya. Sempat mata Umaira menangkah susuk tubuh lelaki dalam kereta itu. Siapa agaknya? Teman lelaki Karissa mungkin?

Jangan-jangan, betul khabar angin yang Karissa sedang bercinta dengan suami orang? Heboh juga gosip itu, tapi tiada kebenarannya pun. Siapa yang mulakan gosip itu pun tiada siapa tahu.

Tapi, pokok tidak bergoyang kalau angin tidak meniup.

MAKAN malam yang penuh dengan lauk-pauk di atas meja, membuatkan mata Umaira terbeliak memandang semua hidangan itu. Amboi, rajin benar ibu dan kakaknya memasak malam ini. Yang ada di meja makan pun, cuma keluarganya serta pak long dan lelaki yang memperkenalkan dirinya Umar itu.

Barulah ada kesempatan untuk Umaira mengenali lelaki itu. Nampak macam pemalu orangnya. Mungkin masih belum biasa. Masih janggal dengan orang yang tak berapa kenal.

"Ibu dengan akak masak banyak-banyak ini ada orang nak datang, ke?" Umaira bertanya dengan perasaan ingin tahu.

"Bukannya salah pun kalau ibu nak masak istimewa sikit malam ini. Kita ada tetamu, kenalah layan dengan baik. Kamu ini, banyak bunyi pula." Puan Suria menjawab.

"Baru tanya satu soalan, dah dicop banyak bunyi."

"Ibu pulas mulut itu, baru tahu nak senyap. Asyik menjawab aje kerjanya."

Umaira mencebik mulutnya. Tak ambil peduli pun dengan bebelan ibunya. Geram aje Puan Suria melihat kelakuan anaknya. Nasib baik ada tetamu, kalau tidak memang dia terus ketuk kepala anak bongsunya itu.

Hanna muncul bersama dulang yang terletaknya jug berisi air sirap dan gelas-gelas lalu diletakkan di atas meja. Gelas-gelas itu dituangkan air ke dalamnya sehingga penuh dan dihidangkan kepada setiap orang di meja makan.

"Rajin betul anak saudara pak long ini. Boleh buat menantu. Untung lelaki yang dapat Hanna ini." Pak long sengaja memuji Hanna depan Umaira. Mahu mengusik Umaira sebenarnya.

"Yalah, kalau Hanna tak hidangkan air, tak akan nak suruh ibu pula. Tak patut pula rasanya. Nak suruh siapa lagi hidangkan? Kerja mudah aje pun." Hanna seolah mengerti maksud tersirat pujian pak long itu, sama mengusik adiknya.

"Kerja yang mudah inilah boleh buat seorang suami itu rasa tersentuh hatinya. Betul tak, Umar?" Pak long meminta pendapat Umar. Umar seperti baru terkena renjatan elektrik bila dia ditanya soalan itu. Riak wajahnya jelas dia seperti takut untuk menjawab. Perlahan-lahan, dia mengangguk.

Masing-masing ketawa. Kecuali Hanna dan Umar. Umar mampu tersenyum nipis aje manakala Hanna masam mencuka wajahnya. Tidak puas hati.

"Alaaa... Setakat kerja masak-masak dengan menghidang ini, Umaira pun boleh buat. Cuma, Kak Hanna dah tolong buatkan semua kerja itu, tak akan Umaira nak halang pula. Biarlah Kak Hanna tunjukkan kebolehan dia buat semua kerja rumah ini." Umaira membela diri.

"Kalau macam itu, selepas ini bolehlah kamu tolong kemas meja makan. Cuci sekali pinggan mangkuk. Boleh tak?" pinta Puan Suria. Bunyi ketawa memenuhi ruang meja makan lagi.

"Boleh aje... Tapi itulah... Umaira penat balik kerja tadi. Ingat nak rehatlah. Tengoklah, esok atau lusa bolehlah Umaira tolong buat. Hari ini, tak boleh. Umaira penat sangat. Maaflah ya." Umaira cuba mengelak.

"Banyak pula alasan, ya? Kejap boleh, kejap tak boleh. Bertuah betul budak Umaira ini."

Umaira tersipu malu.

"Oh ya... Umar, mulai malam ini, kamu kena tinggal dekat rumah pak long. Lupa pak long nak beritahu."

Umar hanya mengangguk sahaja. Rasa lebih lega bila mendengar keputusan pak long itu.

"Kenapa pula dia kena tinggal dekat rumah pak long?" Umaira tidak mengerti.

"Dah itu, tak akan dia nak tinggal dekat rumah yang ada orang perempuan aje? Tak manis kalau orang pandang." Pak long menjawab.

"Betul itu. Ibu pun rimas nak bertudung aje dalam rumah. Biarlah si Umar ini tinggal dengan pak long. Sama-sama lelaki. Taklah timbul macam-macam masalah pula nanti. Bukannya jauh mana pun Umar ini tinggal. Sebelah rumah kita aje."

Umaira mengangguk faham, tidak lagi berbunyi selepas itu.

"Terima kasih pak long sebab tumpangkan saya dekat rumah pak long." Umar berterima kasih. Dia bersyukur kerana ditemukan dengan keluarga ini. Sekurang-kurangnya, dia dapat menumpang tempat berlindung.

"Hal kecik aje pun. Pak long pun hidup seorang diri, tak ada anak bini. Bolehlah pak long jadikan kamu anak angkat pak long. Sudi tak?"

Umar mengangguk. Langsung tidak keberatan dengan permintaan tersebut.

"Kalau dia ini anak angkat pak long, kiranya dia ini sepupu angkat Umairalah! What's up, my new cousin!" Umaira bersuara lagi. Memang tak boleh tutup mulut betul yang seorang ini.

Hanna hanya tersengih. Dia hanya lebih banyak mendengar daripada bercakap. Memang sifatnya begitu jika bersama keluarganya. Lebih mendiamkan diri dan bercakap bila perlu sahaja.


Previous: BAB 4
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.