Home Novel Cinta SNOW WHITE DAN ROSE RED
SNOW WHITE DAN ROSE RED
Pena Putera
13/12/2017 21:53:20
52,918
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 3

"APA yang patut kita buat sekarang ini, Kak Hanna? Kita dah langgar orang! Kita penjenayah!" Umaira mula ketakutan bila melihat tubuh lelaki terbaring di atas jalan raya berhadapan dengan kereta kakaknya. Pelbagai bayangan yang menakutkan mula bermain di layar fikiran Umaira. Bagaimana mereka dimasukkan ke dalam lokap atas kesalahan ini?

Dia tidak mahu bergelar banduan di usia muda ini. Banyak lagi perkara yang dia mahu lakukan sebelum mati. Ya Allah, ujian apa yang Kau berikan ini?

Tidak seperti Umaira, Hanna mengambil tindakan yang berani dengan mendekati lelaki itu. Umaira pula hanya ikut sahaja kakaknya sambil menutup mata dengan memegang hujung kain baju kakaknya. Dia tidak mahu melihat. Takut!

Setelah memandang dari hujung kepala sehingga ke hujung kaki, Hanna hairan. Kebiasaannya, bila seseorang itu dilanggar dengan kenderaan, pasti ada kesan darah. Dia cuba suluhkan cahaya dengan lampu telefonnya. Sah, tiada darah!

Maknanya... Lelaki ini telah rebah dahulu sebelum mereka sempat melanggar. Maknanya, bukan salah dialah. Satu masalah telah selesai. Tapi, masalah lain muncul.

"Umaira, akak rasa kita tak langgar dia," ujar Hanna berdasarkan apa yang dia fikirkan.

"Tak mungkinlah! Kalau kita tak langgar dia, macam mana dia boleh terbaring dekat situ?"

"Cuba Umaira buka mata dan tengok."

"Tak nak. Umaira takut."

"Tengok ajelah. Bukannya mengerikan pun."

"Tak nak."

"Tengok ajelah!" jerit Hanna. Umaira yang terkedu dengan arahan kakaknya, perlahan-lahan membuka mata dan cuba memberanikan diri melihat tubuh yang terbaring di jalan. Dengan berbekalkan cahaya yang disuluh oleh telefon Hanna, Umaira dapat melihat jelas tubuh lelaki itu.

"Eh, tak ada darah?" Itu soalan pertama yang menjadi tanda tanya Umaira setelah melihatnya. Setelah itu, pelbagai soalan mula bermain di fikiran Umaira dan dia tidak pasti apa yang telah berlaku.

"Akak rasa kita kena bawa dia pergi hospital. Kemungkinan, dia jatuh pengsan dulu sebelum kita sempat langgar dia."

"Maknanya, dia tak kena langgarlah?"

Hanna mengangguk. Kemudian, dia pandang kiri dan kanan. Seram juga bila melihat pokok-pokok yang tumbuh dengan tingginya di waktu malam lagi-lagi ketika hujan ini. Dia rasa mahu lari diri saja sekarang. Namun, hatinya sudah tekad untuk membantu lelaki itu. Entah mengapa, ada sesuatu yang menggerakkan hatinya melakukan sedemikian.

"Mari kita angkat dia."

"Angkat dia? Tak naklah. Kita tak kenal pun siapa dia. Dan, lelaki gila mana yang boleh ada di sini malam-malam macam ini? Mesti dia ini terlibat dalam masalah. Tak akan boleh ada di tempat macam ini. Kita lari aje, la!" Umaira menolak.

Hanna mula keliru. Dia tidak tahu apa yang perlu dia lakukan kini. Apabila mendengar kata-kata Umaira, terasa takut juga dia. Ada benarnya. Siapa yang gila boleh ada di hutan macam ini pada waktu malam.

Tapi, bila Hanna memandang wajah lelaki itu... Dia jadi kasihan. Mungkin, ada sebab lain mengapa lelaki ini boleh berada di sini.

"Dahlah, Kak Hanna. Kita pergi aje. Tinggalkan dia. Dia pun bukannya kena langgar dengan kereta Kak Hanna. Kalau kita lari pun, bukannya jadi masalah kita dah." Umaira menarik tangan kakaknya untuk dibawa pergi.

"Tolong... Jangan tinggalkan saya. Bawa saya bersama awak..."

Tidak sempat pergi, sebelah lagi tangan Hanna dipegang lemah oleh lelaki itu. Automatik, Hanna melepaskan pegangan tangan adiknya dan mendapatkan lelaki itu. Dia perlu tolong lelaki itu tak kira apa jua. Dia telah tekad.

"Encik... encik tak apa-apa, ke?" tanya Hanna apabila melihat mata lelaki itu terbuka sedikit. Mulutnya kelihatan terkumat-kamit mahu berkata sesuatu. Manakala, Umaira pula gelisah kerana kakaknya tidak mahu berganjak dan mengikut cadangannya.

"Jangan tinggalkan saya... Saya perlukan awak..." rayu lelaki itu lemah.

"Jangan risau, encik. Saya akan bawa encik ke hospital dengan kadar segera. Atau pun encik nak saya panggilkan ambulans? Kejap, saya panggilkan ambulans."

Ketika Hanna mahu mendail nombor kecemasan, tangan lelaki itu menghalang perbuatan Hanna sehingga terjatuh telefon Hanna. Hanna dan Umaira terkedu dengan perbuatan lelaki itu.

"Jangan hubungi sesiapa... Cuma, bawa saya bersama awak saja. Selamatkan saya... Saya minta tolong... Tolong selamatkan saya... Saya percaya... Awak boleh tolong saya."

Hanna diam, tidak mampu menjawab apa-apa. Dia memandang Umaira. Umaira juga dengan pandangan blur. Tidak tahu apa yang patut dibuat ketika ini. Mungkin, malam ini takdir mereka telah tertulis begini. Hanna yakin, ada sebab mengapa Tuhan temukan dia dengan lelaki ini.

Setiap yang berlaku, pasti ada hikmahnya.

PUAN SURIA menunggu di rumah dengan hati yang gelisah apabila memikirkan keberadaan anaknya ketika ini. Panggilannya langsung tidak diangkat. Tadi, Hanna kata nak pergi jemput Umaira balik dari pejabat. Tapi lamanya macam nak pergi ambil orang balik dari Kedah sana. Nak pukul sebelas malam masih tak nampak kelibat anak-anaknya. Memang ada juga yang kena bebel selepas ini.

Dan-dan, kereta anak sulungnya muncul juga. Dia terus menuju ke muka pintu dan menunggu anak-anaknya di situ dengan wajah yang garang macam nak makan orang. Ibu mana yang tak marah bila berdepan situasi begini? Walaupun marah, dia lega kerana anak-anaknya pulang juga.

Tapi, leganya tidak bertahan lama bila melihat Hanna dan Umaira menuju ke pintu bahagian belakang. Mulanya, dia tertanya-tanya sehinggalah matanya menangkap tubuh lelaki yang cuba dipapah kedua-dua anak perempuannya. Puan Suria lekas menghampiri mereka.

"Ibu!" Umaira memanggil.

"Siapa yang kamu bawa balik ini? Kenapa dia boleh ada dengan kamu berdua? Apa yang kamu dah buat ini?" Puan Suria mengasak mereka dengan beberapa soalan. Hanna dan Umaira tiada masa untuk itu buat masa sekarang dan terus memapah lelaki itu ke dalam rumah. Puan Suria juga sama membantu.

Selesai memapah dan membaringkan lelaki itu di atas sofa,

"Hanna, Umaira... apa dah jadi ini? Kenapa kamu bawa dia balik rumah ini?"

"Panjang ceritanya, ibu. Boleh tak ibu panggil pak long datang rumah." Umaira mengarah.

Pak long yang dimaksudkan Umaira adalah ayah saudaranya yang juga merupakan abang kandung ibunya yang tinggal sebelah rumah mereka sahaja. Tanpa membantah, Puan Suria terus akur dengan arahan Umaira.

Tidak lama kemudian, pak long dan Puan Suria muncul. Pak long yang tidak tahu cerita terkejut melihat ada lelaki di rumah adiknya itu.

"Suria, siapa lelaki ini?" Itulah soalan pertama pak long sejurus melihat wajah yang tidak dikenali itu.

"Pak long... Tolong lelaki ini. Dia perlukan bantuan kita. Cuba pak long tengok-tengokkan dia," kata Hanna. Tidak lagi bertanya, pak long mendekati lelaki itu. Dia memerhati keadaan lelaki itu lalu yang kelihatan mengigil. Dia meletakkan belakang tangannya di atas dahi lelaki itu.

"Hesy, panas ini... Hanna, bawakan air dengan kain. Dia ini demam panas."

Hanna terus melakukan apa yang disuruh pak longnya. Setelah itu, dia muncul semula dengan barang yang diminta pak longnya. Pak longnya terus mengelap tubuh lelaki itu. Dia membuka pakaian lelaki itu yang kelihatan lusuh. Biar haba dari tubuh lelaki itu tidak terperangkap.

"Kenapa kamu tak bawa dia pergi klinik, Hanna? Jangan main-main dengan demam ini."

"Kak Hanna nak bawa dia pergi hospital tadi, tapi lelaki itu tak nak." Umaira menjawab soalan pak longnya bagi pihak kakaknya. Dia tahu, kepala kakaknya serabut kini.

"Apa maksud kamu, Umaira? Kenapa lelaki itu tak nak pula?" Puan Suria seperti tidak percaya. Dia masih kurang jelas dengan cerita sebenarnya.

Umaira mengangkat bahu.

Dalam diam, Hanna terfikirkan sesuatu. Kata-kata lelaki itu tadi seperti membawa sesuatu makna yang tersirat. Bagaimana mungkin lelaki itu menghalang dia untuk membawanya pergi ke hospital. Lelaki itu kelihatan takut. Seperti benar-benar tidak mahu sesiapa tahu ke mana kepergiannya.

MATAHARI mula memancarkan sinarnya di pagi hari. Waktu bermulanya rutin kebanyakan orang bekerja demi mencari sesuap nasi. Tetapi, tidak pada Hanna. Dia telah pun mengambil cuti untuk hari ini. Sepanjang malam dia tidak boleh tidur. Sembab matanya. Selesai bersiap bagai, Hanna turun ke tingkat bawah rumahnya.

Tubuh lelaki yang ditemuinya semalam masih terbaring lena di atas sofa. Dia buat tidak peduli dan melangkah ke dapur. Bau nasi goreng ibunya membuatkan perutnya berkeroncong. Kelihatan pak long dan Umaira sudah ada di meja makan.

"Kamu tak tidur, ke Hanna? Sembab benar mata itu." Pak long menyoal simpati. Pasti anak muda itu sukar tidur memikirkan masalah semalam. Kalaulah ada yang boleh dia bantu untuk kurangkan beban anak saudaranya, sudah pasti dia akan bantu. Cuma itulah, apa cerita di sebalik masalah ini pun dia tidak tahu.

"Tak boleh tidur lena pak long. Sekejap aje tidur. Nak buat macam mana, macam-macam nak kena fikir." Hanna menjawab kemudian dia menuang air kopi ke dalam cawan lalu menghirupnya perlahan.

Puan Suria muncul bersama semangkuk nasi goreng. Sempat juga dia menjeling wajah anak sulungnya. Tak tahulah kenapa tiba-tiba sahaja ada ujian yang berat menimpa keluarganya.

"Umaira kena pergi kerja sekarang ini. Ada meeting kejap lagi," kata Umaira lemah. Bukan kakaknya sahaja tidak cukup tidur, dia pun sama juga. Sudahlah hari ini ada urgent meeting pula. Kalau ikutkan, dia memang malas nak masuk kerja. Mahu cuti seperti kakaknya.

"Kamu nak pergi naik apa itu? Biar pak long yang hantarkan ajelah. Kamu itu dahlah mengantuk. Risau pak long menengoknya." Pak long yang risau, menawarkan pertolongan.

"Naik LRT kut. Tapi, kalau pak long nak tolong hantarkan pun elok juga. Umaira pun tak larat nak berjalan ke stesen LRT." Umaira tidak menolak. Dia pun rasa ada bagusnya juga kalau begitu.

Setelah Umaira dan pak long pergi, Puan Suria duduk di kerusi dan mencedokkan nasi ke dalam pinggan Hanna. Wajah Hanna dipandang penuh simpati.

"Makan nasi itu. Selepas ini, kita pergi balai polis buat report."

Dengan kudrat yang lemah, Hanna mengambil sudu dan menyuapkan sesudu nasi ke dalam mulutnya. Hanna mengunyahnya perlahan-lahan, seperti orang yang tiada selera. Puan Suria yang tidak sanggup lagi menahan dirinya melihat itu, terus bangun dan duduk di sebelah anaknya.

"Kalau nak makan itu, makan elok-elok. Jangan makan macam orang malas. Ibu tak suka tengok." Puan Suria menyuapkan nasi ke dalam mulut anaknya dengan tangannya.

"Ibu..."

"Kenapa?"

"Apa yang kita kena buat sekarang ini?"

Puan Suria terdiam sejenak. Dia juga buntu dengan keadaan sekarang. Semuanya berlaku tanpa dijangka. Kalau ditanya kepada dia, jawapannya satu sahaja. Laporkan kepada pihak polis. Biar mereka yang selesaikan hal ini. Haih... Kalaulah semudah itu, tidaklah satu keluarga pening kepala lagi.

"Semalam, Hanna mimpi ayah datang."

Pandangan Puan Suria tertarik dengan kata anaknya.

"Maksud kamu? Kenapa kamu mimpikan arwah?"

"Arwah ayah datang dan dia buat permintaan yang aneh."

"Permintaan yang aneh? Permintaan macam mana itu."

"Jangan lepaskan apa yang kamu ada. Genggamnya sehingga penamat."

"Arwah ayah kamu cakap macam itu dalam mimpi? Kamu yakin?"

"Entahlah. Hanna pun tak pasti. Mimpi itu cuma sekejap aje."

"Mungkin itu mimpi aje kut. Semua itu mainan tidur. Lagipun, semalam kamu penat sangat. Sebab itu mimpi bukan-bukan. Mesti tak basuh kaki sebelum masuk tidur. Dahlah, tak payah fikirkan sangat benda macam itu. Tak ada apa-apa pun," ujar Puan Suria yang cuba menafikan mimpi itu.

"Ya ke?" Dalam dilema, Hanna memilih untuk melupakan seketika mimpi itu.

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.