Home Novel Thriller/Aksi Ops! Zulaikha
Ops! Zulaikha
Hasrudi Jawawi
22/11/2012 08:35:52
139,846
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
01
BULAN mengambang penuh di dada langit. Kepulan awan tipis juga berselerakan di hamparan langit hitam yang berkilauan dengan kelipan bintang yang bersinar.

Di celah-celah bangunan lama di pekan kecil yang sunyi itu, kelihatan empat orang manusia sedang kejar-mengejar. Dua orang manusia berbaju t-shirt dan berseluar jeans, lari lintang pukang dikejar oleh dua orang manusia berjaket kulit.

“Berhenti!” jerit salah seorang manusia berjaket kulit itu.

Namun jeritan itu tidak diendahkan. Kedua-dua manusia itu terus lari menyelamatkan diri. Tak mungkin mereka nak menyerah diri. Mereka adalah penjenayah. Kesalahan yang mereka lakukan bukan calang-calang. Mengedar dadah memang salah di sisi undang-undang Negara Malaysia.

Mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, di bawah Seksyen 39A(2). Memiliki 30 gm ke atas tetapi kurang dari 50 gm, hukuman yang dijatuhkan ialah penjara seumur hidup atau tidak kurang 5 tahun berserta sebatan tidak kurang 10 kali. Manakala di bawah Seksyen 39B pula, iaitu mengedar 50 gm ke atas atau lebih, hukumannya ialah ‘MATI MANDATORI’.

Kedua-dua orang manusia berjaket kulit itu saling berpandangan. Mereka tiada pilihan lain. Melainkan menggunakan kekerasan. Serentak mereka mengangguk. Kemudian masing-masing mengeluarkan selaras pistol jenis AVUZ 16 dari jaket. Diaju tepat ke arah dua sasaran mereka yang berlari tidak sekata itu. Sudah diberi amaran supaya berhenti berlari namun arahan mereka tidak diendahkan.

Setelah pasti mata pistol tepat mengenai kaki sasaran, terus dilepaskan tembakkan. Namun sasaran tidak tepat. Bergemalah bunyi tembakkan itu yang melantun pada dinding bangunan di kiri dan kanan mereka.

Salah seorang dari manusia berjaket kulit itu pula melepaskan tembakkan. Sekali lagi bunyi tembakkan bergema di pekan kecil itu. Kali ini peluru yang dimuntahkan tepat mengenai kaki kedua-dua sasaran dan menyebabkan penjenayah itu berguling di atas tanah.

“Zulaikha, tunduk!” jerit salah seorang dari manusia berjaket kulit itu kepada temannya itu apabila ternampak musuh mereka sedang memacukan pistol ke arah mereka.

Zulaikha terkejut lalu terus tunduk. Rakannya pantas menarik tubuh Zulaikha bersembunyi di sebalik tong sampah besar di belakang kedai makan.

Peluru yang dilepaskan ke arah mereka melantun terkena tong sampah besar yang diperbuat dari besi itu. Mujurlah mereka sempat mengelak.

“Kita tak ada pilihan lain, Laikha. Kita kena tembak tangan dia pulak,” ujar rakan setugasnya, Kamal.
“Hati-hati Mal, jangan sampai tertembak dada mereka. ASP Jabir mahu kedua-dua penjenayah ni, hidup-hidup. Senang untuk menangkap ketua mereka,” pesan Zulaikha.

Kamal hanya mengangguk. Dia sudah mahir dalam hal-hal menembak begini. Dia pernah menjalani latihan ketenteraan di sebuah kolej tentera swasta beberapa tahun lalu dan sudah hampir tiga tahun dia menjadi perisik rahsia pihak polis. Sudah banyak kes besar dapat diselesaikan dengan jayanya.

Belum sempat Kamal memetik pistolnya, sebiji peluru sesat terkena pistolnya lalu terpelanting jauh ke arah barat. Cepat-cepat dia menyembunyikan dirinya di sebalik tong sampah besar itu.

“Laikha! Tembak tangan dia cepat. Sebelum dia membahayakan manusia di sekelilinganya,” arah Kamal.
Zulaikha terkejut.

“Hah? Saya? Tapi saya takut tertembak dada dia. Kalau dia mati, macam mana?”

Zulaikha masih tidak yakin dengan kemampuan dirinya.

“Laikha, saya yakin awak boleh. Tentu ASP Jabir bangga dengan awak nanti,” ujar Kamal, memberi kata-kata semangat.

Zulaikha rasa tersentuh dengan kata-kata semangat Kamal. Sudah hampir dua tahun dia bekerjasama dengan Kamal dan sudah tahu seelok belok cara kerja Kamal dalam menyelesaikan sesuatu kes.

Dengan semangat yang membara dan keyakinan yang tinggi, Zulaikha mula mengacu pistolnya ke arah sasaran yang sudah terkapar di atas jalan raya. Kaki masing-masing cedera akibat tembakkan Zulaikha dan Kamal. Tanpa berlengah lagi, Zulaikha terus melepaskan tembakan.

Dush!!!



BERITA tentang penangkapan dua pengedar dadah telah menjadi berita hangat di dada-dada akhbar pagi ini. Dua lelaki Cina telah berjaya diberkas polis di sebuah pekan kecil di Negeri Sembilan. Atas penangkapan itu, polis dapat menyiasat kes ini hingga ke akar umbi.

Darwish melipat dua Akhbar Sinar Harian itu, lalu diletaknya di tengah tempat duduk kereta. Berita itu sedikitpun tidak menarik minatnya untuk membaca. Kedudukan cermin mata hitam yang tersangkut pada batang hidungnya diperbetul.

“Sampai bila kau nak jadi macam ni, Wish?” tanya Tan Sri Irfan, papa Darwish yang duduk di sebelah Darwish yang baru nak menghidupkan enjin kereta.

Kedengaran Darwish mengeluh. Pagi ini dia terpaksa bangun awal semata-mata nak menghadiri mesyuarat tergempar. Biasanya, pada waktu-waktu begini, dia masih berselimut di dalam kamar.

“Kaulah satu-satunya anak papa. Kalau bukan kau yang mewarisi Merbok Construction Berhad, siapa lagi? Sampai bila kau nak terus hidup berfoya-foya dan berseronok macam remaja berusia 20-an. Tahun ni, umur kau dah cecah 34 tahun. Dah tua, kalau kau kahwin, dah berderet papa dapat cucu. Tapi kau...”

“Dahlah papa. Wish dah bosan dengar papa membebel hal ni berulang-ulang kali. Setiap kali naik satu kereta, hal ni jugak papa bebelkan. Gegendang telinga Wish ni dah bernanah dengar papa membebel tau?” potong Darwish sambil memandang ke luar kereta.

Tan Sri Irfan mula naik berang.

“Dasar anak keras kepala!” rengus Tan Sri Irfan sambil mengalihkan pandangan ke luar kereta pula.

Penat sudah dia membebel. Namun perangai anaknya masih tidak berubah.

“Ikut perangai papa jugak,” selamba Darwish membalas.Langsung tidak ada rasa hormat.

Sekali lagi Tan Sri Irfan mengeluh kasar. Tidak tahu macam mana caranya lagi nak melentur anak tunggalnya itu. Walaupun usia sudah mencecah 34 tahun namun perangainya masih keanak-anakan. Hidupnya hanya tahu nak enjoy sahaja.

“Papa nak kau bentangkan laporan projek shopping complex kat Batu Pahat semasa meeting nanti. Papa dapat tahu projek tu ada masalah dari segi budjet,” arah Tan Sri Irfan serius.

“Alah papa ni... papa tahu kan, Wish tak berapa pandai nak cakap di khalayak ramai. Nanti tergagap-gagap,” rungut Darwish dengan nada manja.

“Bertuah punya budak! Sampai bila kau nak malu macam ni? Kau tu lelaki, bukan perempuan. Dah dekat lima tahun bekerja kat Merbok Construction Berhad tu, takkan masih malu? Kalaulah ada pil tak tahu malu, dah lama papa bagi kau telan. Susah sangat nak berhadapan dengan orang ramai! Papa tak kira, papa nak kau bentangkan laporan projek tu!” Tan Sri Irfan tetap berkeras.

Darwish mula buat muka selamba. Bukan salah dia.Semua ini salah Tan Sri Irfan kerana terlalu mengongkong hidupnya. Hidup Darwish tak pernah bebas. Jarang keluar rumah dan bersosial. Hanya memerap dalam bilik sahaja. Jika keluar ke mana-mana pun, dia akan diawasi.

Melihat Darwish buat endah tak endah dengan arahannya itu, Tan Sri Irfan merengus lagi. Memang betul kata pepatah Melayu, ‘Kalau nak melentur buluh biarlah dari rebung’.

Tan Sri Irfan sedar, kongkongan hidup Darwish suatu ketika dahulu menyebabkan anaknya itu kurang bertemu orang ramai. Asyik terperap dalam pejabat sahaja tanpa menghirup udara segar.

Dia lakukan semua itu kerana terlalu sayangkan Darwish.Lagipun Darwish satu-satunya waris tunggal dalam keluarga. Dia tidak mahu waris tunggalnya itu diapa-apakan. Hidup sebagai seorang ahli korporat yang berjaya tidak lari dari hasrat dengki. Jadi, dia perlu berhati-hati.

Hanya keluhan demi keluhan yang mampu dihembus keluar. Tak tahu nak cakap apa lagi. Sikap anaknya masih begitu. Masih tak matang. Setengah jam kemudian, kederaan yang dinaiki Tan Sri Irfan dan Darwish sampai di pekarangan bangunan Merbok Construction Berhad.

Next: 02

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.