Home Novel Thriller/Aksi Ops! Zulaikha
Ops! Zulaikha
Hasrudi Jawawi
22/11/2012 08:35:52
140,409
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
18
PAGI ini, Dato’ Zabadi, Qadir dan Qadira sarapan bersama. Mereka bertiga jarang dapat makan bersama. Jika tidak kerana kekangan waktu dan sibuk menguruskan hal-hal pejabat, sudah tentu ada yang belum bangun tidur.

Dato’ Zabadi memandang anak sulungnya yang sedang enak menjamah bihun goreng Mak Lijah.

Semenjak isterinya meninggal dunia, air tangan Mak Lijahlah yang menjadi bahan santapan mereka. Qadir membalas pandangan Tan Sri Irfan dengan pandangan biasa. Sekilas dia memandang Qadira yang sedang menyapu jem blueberry di atas pemukaan roti.

Rancangan mereka harus dimulakan segera. Agar semua ini cepat selesai. Qadir juga boleh meneruskan aktiviti haramnya.

“Sampai pejabat nanti Dira ikut papa. Papa akan keluarkan offer letter untuk Dira. Bawa offer letter tu ke bahagian sumber manusia untuk mereka tentukan di mana pejabat Dira,” beritahu Dato’ Zabadi serius sambil menghirup minumannya.

Sejak minggu lepas lagi, Dato’ Zabadi sudah mengingatkan anak bongsunya itu akan tawaran kerja di Merbok Construction Berhad sebagai pengurus pengiklanan laman web.

Qadira mengukir senyuman hambar. Asalnya, dia memang tak mahu bekerja di Merbok Construction Berhad. Dia tak sanggup menatap wajah insan yang telah dia hancurkan hatinya empat tahun lalu. Tapi bila papanya sudah buat keputusan, dia tidak mampu menentang.

Hujung roti yang sudah rata disapu jem digigit sedikit. Anggukan kecil diberi sebagai balasan kata-kata papanya itu.

Lama Qadir melihat reaksi adiknya itu terhadap kata-kata papanya. Jelas sekali adiknya itu sudah pasrah setiap apa yang papanya aturkan. Walaupun terdetik perasaan kasihan di dalam hati terhadap adiknya itu. Namun hidup perlu diteruskan. Kebaikan selalu dibalas dengan kejahatan. Jadi, dia perlu cepat. Siapa cepat, dia dapat. Siapa yang lemah pasti akan ditindas.

Sekali lagi Dato’ Zabadi dan Qadir saling berpandangan selepas melihat respons Qadira. Nampak tidak bersemangat sekali Qadira ketika ini. Mereka berharap, apa yang bakal dimaklumkan sebentar lagi bakal mengundang senyuman mekar di sebalik bibir Qadira.

Qadir mengangguk. Membenarkan papanya memulakan rancangan mereka.

“Dira...” panggil Dato’ Zabadi mula memainkan wataknya.

Berlembut dengan Qadira punya maksud tertentu. Ada udang di sebalik batu. Rancangan baru dari Qadir malam tadi benar-benar telah mengubah prinsip rancangannya sebelum ini. Selepas dipertimbangkan,rancangan Qadir lebih membawa kesan yang mendalam dan pantas berbanding rancangannya sebelum ini yang bergerak sangat lembab.

Qadira mengangkat wajah memandang Tan Sri Irfan. Terkejut bila papanya tiba-tiba menyentuh tangannya. Sebelum ini, papanya tidak pernah berkelakuan begitu. Pagi ini, papanya sungguh berbeza.
“Kenapa pa?” tanya Qadira hairan.

Roti yang baru digigit sedikit diletak di atas piring. Fokus diberikan sepenuhnya kepada Dato’ Zabadi.
Dato’ Zabadi memandang Qadir sekilas sebelum kembali memandang wajah anak bongsunya itu.

Qadira semakin hairan melihat gelagat papa dan abangnya pagi ini. Saling berpandangan seolah-olah ada sesuatu yang sedang dirancang. Dia memandang abangnya sekejap kemudian kembali memandang papanya.

“Papa minta maaf,” pohon Dato’ Zabadi sayu sekali nada dan riak wajahnya. Lakonannya sungguh menjadi.

“Minta maaf?” ujar Qadira semakin pelik.

Sebelum ini agak sukar Qadira mendengar perkataan ‘maaf’ terpancul keluar dari mulut Tan Sri Irfan. Tapi hari ni, perkataan itu begitu mudah meluncur keluar dari mulut papanya. Apa sudah berlaku? Hatinya tertanya-tanya.

“Yalah, papa nak minta maaf pada anak papa ni sebab sebelum ni tak pernah nak fikir tentang perasaan anak papa, tentang cinta anak papa,” sambung Dato’ Zabadi, sungguh berkesan sekali lakonannya.

Tidak terlintas pun difikirannya sekarang ini yang dia sedang menzalimi hati anaknya sendiri.

Berkerut dahi Qadira mendengar kata-kata papanya itu. Pantas dia memandang abangnya.

Qadir buat muka selamba seolah-olah tidak tahu apa-apa. Qadira kembali memandag wajah Tan Sri Irfan.

“Apa yang papa cuba sampaikan ni?”

Dato’ Zabadi menarik nafas panjang sebelum bersuara.

“Papa tahu, selama ni Dira betul-betul cintakan Darwish, kan? Tapi, disebabkan papa, Dira sanggup menidakkan perasaan Dira tu dan menghancurkan hati Dira demi mahu menjaga hati papa.”

Sekali lagi Qadira memandang wajah abangnya yang sedang enak menjamah makanan. Tentu semua ni kerja abangnya. Beberapa hari yang lalu, abangnya itu ada memberitahu akan membantu dia dan Darwish bersatu. Tak sangka, abangnya itu benar-benar serius. Dia kembali memandang Tan Sri Irfan.

“Papa rasa bersalah sangat bila fikirkan semula tindakkan papa terhadap Dira selama ni. Menghancurkan hati Dira disebabkan kehendak hati papa. Papa rasa menyesal menghancurkan hati anak papa sendiri. Jadi, mulai hari ni, papa benarkan Dira bercinta dengan Darwish.” Semakin hebat lakonan Dato’ Zabadi.

Qadira tercengang. Semudah itu Tan Sri Irfan membuat keputusan? Begitu mudah dia melupakan rancangannya yang telah dipertahankan selama lebih empat tahun ini dalam satu hari? Dia masih tidak yakin dengan keputusan papanya itu. Dia berasakan papanya sungguh pelik hari ini.

“Papa okey ke ni? Tiba-tiba aje,” tanya Qadira inginkan kepastian. Manalah tahu papanya itu demam atau sedang mengingau.

“Dira, Dira ingat papa main-main ke? Dira ingat keputusan papa ni disebabkan sesuatu atau ada udang di sebalik batu? Tak Dira, abang Dira dah jelaskan pada papa malam tadi tentang perasaan Dira. Dia telah menjelaskan betapa pentingnya hubungan kekeluargaan dari pangkat dan kedudukan.”

Cantik sungguh susunan ayat Dato’ Zabadi. Maklumlah, orang lama. Sudah banyak pengalaman.

Terharu Qadira melihat kesungguhan papanya itu. Dia memandang abangnya dengan takungan air mata di kelopak mata. Dia tidak sangka, pagi ini yang dianggap suram, terselit sejuta hikmah dan berita gembira untuknya. Senyuman terukir dengan titisan air mata terharu yang mula membasahi pipinya.

“Thank you bang,” ucap Qadira sambil menyeka air matanya.

Dia tidak sangka di sebalik watak serius abangnya selama ini terselit kasih sayang untuknya. Hatinya sudah berbunga-bunga. Tidak sangka, cintanya terhadap Darwish akhirnya direstui papanya.

“Papa...”

Air mata Qadira sudah mengalir deras. Dia bangkit berdiri lalu mendapatkan Tan Sri Irfan. Tubuh papanya dipeluk.

Dato’ Zabadi membalas pelukan anaknya itu. Sungguh pun begitu, masih tiada perasaan serba salah di hatinya untuk Qadira. Yang ada adalah kepuasan dirinya.

“Pergilah dapatkan cinta kau pada Darwish, Dira. Papa merestuinya. Walau apapun yang berlaku, kau perlu dapatkan cinta Darwish semula,” pujuk Dato’ Zabadi sambil mengusap-usap belakang anaknya.
“Terima kasih pa,” ucap Qadira terharu sekali.

Akhirnya, dia bakal memiliki cinta Darwish sepenuhnya tanpa ada penghalang.

Qadir tersengih sinis melihat lakonan hebat Tan Sri Irfan. Rancangannya berjalan dengan lancar sekali. Makanannya terus dijamah sehingga habis. Sungguh drama king! Bapa borek anak rintik!

Previous: 17
Next: 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.