Home Novel Thriller/Aksi Ops! Zulaikha
Ops! Zulaikha
Hasrudi Jawawi
22/11/2012 08:35:52
139,795
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
23
“KAU nak ke mana tu Adir?”

Pertanyaan Dato’ Zabadi telah membantutkan langkah Qadir. Perlahan-lahan dia berpaling memandang Dato’ Zabadi di meja makan. Kelihatan Qadira turut berada di di situ.

“Emm... saya nak keluar sekejap pa. Jumpa kawan,” bohong Qadir.

“Kalau ya pun, kenapa tak makan dulu?” tanya Dato’ Zabadi lagi.

Banyak pulak tanya orang tua ni. Aku dah lambat! Detik hati Qadir.

“Tak apa pa, saya makan dengan mereka ajelah. Saya dah lambat ni, nanti kita bual lagi,” ujar Qadir, cepat-cepat melangkah keluar dari banglo itu.

Dia tidak mahu Dato’ Zabadi terus membebel atau menahan langkahnya. Satu hal pula, nak reka jawapan pada Rajeev nanti.

“Adir! Adir!” laung Dato’ Zabadi.

Namun panggilan itu tidak diendahkan anak sulungnya. Dato’ Zabadi hanya mengeluh halus. Makanannya kembali dijamah.

Qadira hanya mendiamkan diri melihat perilaku abang dan papanya. Walaupun nampak janggal, dia lebih selesa mendiamkan diri. Dia tidak berani masuk campur.

“Macam-macam hallah papa aku ni. Aku dah lambat, boleh pulak nak ajakku dinner kat rumah,” bebel Qadir sambil membuka pintu keretanya.

Enjin kereta dihidupkan. Sementara menunggu enjin kereta panas, dia mengeluarkan telefon bimbitnya lalu mendail nombor seseorang. Headphone disumbat ke dalam telinga kirinya lalu giar ditarik ke giar undur.

Kereta Mitsubishi Lancer Evolution X mula mengundur keluar dari kawasan pakir. Dalam masa tak sampai sepuluh saat, keretanya sudah meluncur meninggalkan banglo mewah itu.

“Manalah mangkuk hayun seekor ni! Aku dah lambat, dia pulak tak pick up call aku. Sengal betul!” marah Qadir, bengang bila panggilannya tidak dijawab oleh salah seorang orang suruhannya.

Sekali lagi nombor ditekan. Kali ini panggilannya dijawab.

“Hah? Apa hal kau tak jawab call aku tadi?”

Diam seketika. Dia sedang mendengar orang suruhannya berbicara.

“Tak sempat angkat konon! Kau kat mana ni? Aku on the way ke jeti.”

“Okey, dalam sejam lebih lagi kita jumpa kat sana.”

Talian terus dimatikan.Headphone di telinga ditanggalkan. Dia mula fokus pada pemanduan.

Setelah lima minit memandu, pandangan Qadir terarah pada sebuah kereta di belakang keretanya. Sejak tadi dia memerhatikan kereta itu, asyik mengekori keretanya. Qadir mula tak sedap hati.

Sampai di simpang tiga yang agak lengang, Qadir membelokkan keretanya ke kiri. Jalan pintas untuk ke sebuah jeti kecil berhampiran dengan persisiran pantai Port Dickson. Jeti kecil ini hanya orang-orang tertentu sahaja tahu.

Dahi Qadir mula berkerut bila kereta itu masih mengekorinya. Giar ditolak ke arah tinggi. Pedal minyak semakin ditekan ke dalam. Kelajuan kereta mewah ini semakin bertambah.

Mata Qadir sekejap-sekejap memandang ke arah cermin pandang belakang. Melihat kereta di belakang. Masih mengekorinya. Dia merasakan kereta itu bukan secara kebetulan melalui jalan yang sama. Dia yakin kereta itu sedang mengekorinya.

Sampai di satu simpang, dengan pantas dia memusing stereng ke kanan. Keretanya menyusur masuk melalui jalan tanah merah kecil yang hanya boleh memuatkan sebuah kereta sahaja. Keretanya terus memecut laju. Kereta yang mengekorinya semakin jauh ditinggalkan di belakang.

Seminit kemudian, keretanya kembali meluncur di jalan berturap. Matanya terus mencuri pandang ke arah cermin pandang belakang. Kereta yang mengekorinya tadi sudah tidak kelihatan. Mujurlah kawasan yang dilaluinya tadi tiada kereta lain. Jika tak, sukar juga dia mahu melarikan diri dari kereta yang mengekorinya tadi.

Siapa pulak yang tahu jalan ni? Hatinya tertanya-tanya. Setahunya, tiada sesiapa yang mengetahui jalan ini selain orang suruhannya yang selalu menemaninya mengambil stok baru dadah. Mustahil orang suruhannya itu sanggup belot dengannya.

Takkan polis kut? Takkan polis dah tahu kegiatan aku? Tak ada pulak polis datang ke Merbok Construction Berhad untuk buat siasatan. Hatinya mula disapa dengan pelbagai pertanyaan akibat munculnya kereta misteri sebentar tadi.

Ah! Mungkin perasaan aku aje. Kalau ya, polis dah dapat menghidu kegiatan aku. Selepas ni aku perlu lebih berhati-hati. Aku tak nak semua ini terbongkar. Hatinya saling bertingkah. Buat seketika dia bermain dengan fikirannya sendiri.

Stereng dipusing ke kanan memasuki satu simpang tiga menuju ke arah Jalan Bakar Sampah. Untuk sampai ke Jalan Bakar Sampah, dia perlu meredah beberapa lagi jalan kecil. Semasa melintas sebuah lagi simpang tiga, sebuah kereta tiba-tiba muncul dari arah kanan. Mujurlah keretanya terlebih dahulu melepasi kereta itu. Jika tak, sudah pasti keretanya berlanggar dengan kereta itu. Dia memandang ke arah cermin pandang belakang.

Eh! Qadir tersentak. Itu kereta tadi. Terkejut dia bila melihat kereta yang mengekorinya tadi muncul semula. Ternyata, si pemandu kereta itu mahir dengan jalan yang ada di sini. Jika tak, masakan mereka bisa bertembung lagi. Pedal minyak ditekan lagi. Keretanya semakin laju memecut.

Kereta yang mengekori keretanya turut melajukan pemanduan. Sah! Memang dia sedang diekori. Dia tidak boleh terus membiarkan keretanya diekori. Keadaan ini akan membahayakan perniagaan haramnya ini.Giar ditolak lagi ke peringkat yang lebih tinggi. Hampir mencecah lantai pedal minyak ditekan.

Kereta di belakangnya turut tidak mahu kalah. Semakin laju memecut! Dalam masa lima saat kereta itu sudah berada di sebelah kereta yang dipandu Qadir. Buat seketika, dua kereta ini memecut dalam kelajuan yang sama seiringan. Mujurlah jalan ini tidak diguna kenderaan lain. Jika tidak, pasti ada yang terbabas.

Qadir tidak sekali-kali mengalah. Dia terus menekan padal minyak sedalam-dalamnya. Ternyata pemandu kereta di sebelahnya ketika ini memang benar-benar ingin mengenakannya. Kereta itu cuba menghimpit keretanya. Tapi, dia sedaya upaya mengelak agar keretanya tidak bergesel dengan kereta jenis sport itu.
Bunyi tayar bergesel pada tar jalan terus kedengaran setiap kali melintasi jalan berliku.

“Kau nak berlawan dengan aku ya? Kau tengok siapa yang menang!” bebel Qadir sambil tersengih sinis.
Sekejap-sekejap dia akan mencuri pandang ke arah kereta di sebelah. Namun, masih tidak kelihatan si pemandunya.

Dengan pantas Qadir menekan butang turbo pada keretanya. Berapi ekzos keretanya dan serta merta keretanya bertambah kelajuan lalu meninggalkan kereta itu jauh di belakang.

“Ha! Ha! Ha! Makan asaplah kau!” gelak Qadir puas hati. Namun, jauh di sudut hatinya dia tetap berasa bimbang dengan pemandu kereta itu.

“Siapa sebenarnya dia?” Dia tertanya-tanya.

Mujurlah jalan di situ tidak berselekoh tajam. Jika tak, sukar juga dia ingin mengawal keretanya ketika dia menggunakan turbo tadi. Dalam masa seminit, kini keretanya sudah berada di atas Jalan Bakar Sampah. Kereta yang mengekorinya tadi, sudah hilang dari pandangannya.

Qadir membelok memasuki Jalan Pelangi Satu menuju ke sebuah jalan tanah merah. Dia sudah hampir sampai ke destinasi. Peluh yang merenek di dahi dilap dengan tangan. Selepas ini dia tidak boleh lagi ke tempat ini sendirian. Bahaya. Kereta yang mengekorinya tadi, tidak dikenali. Dia yakin, ada yang sedang mendendaminya.

Previous: 22
Next: 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.