Home Novel Thriller/Aksi Ops! Zulaikha
Ops! Zulaikha
Hasrudi Jawawi
22/11/2012 08:35:52
139,652
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
25
SUDAH seminggu masa berlalu namun Darwish masih pening kepala memikirkan hal Zulaikha. Sudah bermacam-macam cara dia lakukan. Zulaikha masih sabar melayani kerenahnya. Malah kelihatan gembira dengan setiap kerenahnya yang menyakitkan hati wanita itu.

Aku dah kenakan dia macam-macam. Dia masih boleh senyum lagi. Dia ada guna ilmu hitam ke? Darwish tertanya-tanya. Seketika kemudian dia mengeluh sambil menumbuk-numbuk perlahan dahinya.

Kau ni bodohlah Wish! Di zaman serba moden ni, kau masih percaya dengan benda-benda tahyul tu? Darwish memaki dirinya sendiri.

Dia menyandarkan tubuh pada kerusi sambil memandang siling. Otaknya masih ligat memikirkan cara untuk mengenakan Zulaikha. Kalaulah dia lebih memikirkan perihal pejabat dan laporan mesyuarat yang bakal dibentangkan Jumaat nanti, pastinya sudah siap. Ini tidak, dia masih mahu memikirkan hal yang tidak berfaedah. Apalah nak jadi dengan kau ni, Wish?

Apa aku nak buat ni? Cara apa yang layak untuk perempuan tak sedar diri tu? Hatinya berbisik lagi. Mindanya terus ligat berfikir.

“Bos! Ini kopinya!” Tiba-tiba dia dijerkah tidak tentu pasal oleh pembantu peribadinya.

“Oh, si tocang durjana!” Terlatah Darwish lalu tergolek di atas lantai akibat disergah begitu.

“Woi! Apa sergah-sergah ni? Terkejut tau?” marah Darwish.

Kelam kabut Darwish bangkit berdiri sambil mengusap-usap dadanya. Wajah Zulaikha yang sudah menahan gelak dipandang benci.

“Kalau saya mati terkejut tadi, saya saman awak!” sambungnya lagi masih tak puas hati.

Zulaikha tidak terus bersuara sebaliknya membesarkan lagi ketawanya. Geli hati dia melihat gelagat ketuanya itu. Melatah rupanya mamat ni, detik hatinya.

Darwish merengus benci lalu melabuhkan punggungnya di atas kerusi semula. Sakit hatinya bila dia ditertawakan Zulaikha. Semakin hari, semakin berani Zulaikha mengenakannya. Ini tak boleh jadi.

“Apalah bos ni. Kalau bos dah mati terkejut macam mana nak saman saya? Lawaklah bos ni! Asyik buat saya gelak aje,” ujar Zulaikha sambil menahan perut.

Darwish tidak tahu nak balas apa. Akhirnya dia hanya mampu menjelir lidah.

“Wekkk!!!”

Cawan berisi kopi panas di atas mejanya dicapai. Dia mencium bau isi cawan di tangannya.

“Ini bukan kopilah! Deria rasa awak dah rosak ke? Saya hanya cium bau air ni dah tahu bukan air kopi.”
Ketawa Zulaikha mati secara tiba-tiba. Terkejut dengan pertanyaan ketuanya itu.

“Bukan kopi? Ya ke?” tanya Zulaikha hairan.

“Cubalah awak rasa,” arah Darwish tanpa ada sedikit senyuman di bibir. Yang terpamer di wajahnya ketika ini hanyalah wajah sinis.

Zulaikha mencapai cawan yang dihulur ketuanya dengan wajah berkerut. Dia menghidu air kopi bancuhannya itu sekali lalu.

“Kopilah ni. Tak ada pun bau milo ke? Sirap ke? Hidung bos tu yang tersumbat kut!”

“Ewah! Suka-suka hati kata hidung saya tersumbat. Tu bau kopi Tongkat Ali. Sejak bila saya minum air akar kayu tu? Saya masih power, tau!”

“Alah, kopi jugaklah tu. Dah kopi yang selalu saya bancuh tu habis. Saya gunalah kopi segera lain yang ada kat pantry tu. Sama aje, kan? Kopi jugak. Cuma ada herba Tongkat Ali aje,” ujar Zulaikha, malas betul nak bancuh kopi lagi. Lagipun, kopi yang biasa ketuanya minum sudah habis.

“Dah tu, tak reti-reti nak pergi beli kalau dah habis? Awak tahu tak? Kopi Tongkat Ali ni Tan Sri Irfan punya tau?”

“Tak apalah, Tan Sri Irfan tu bukan orang lain pun. Papa bos jugak. Tak salah, kan?”

“Kan saya dah cakap tadi, saya tak minum kopi yang ada campuran herba Tongkat Ali ni.”

Masing-masing sudah bertukar jadi anjing dan kucing pula. Kalau berjumpa, bergaduh sahaja.

“Kopi yang selalu bos minum tu dah habis. Saya nak bancuh air apa pulak? Kat pantry tu hanya ada kopi Tongkat Ali ni aje. Takkan bos nak saya tanam biji kopi pulak? Tahun bila bos boleh minum kalau macam tu?”

“Kalau tak ada, awak ajelah minum kopi ni?”

“Huh?”

Terbuntang mata Zulaikha mendengar arahan ketuanya itu.

“Saya minum kopi ni? Tapi kopi ni kan untuk lelaki. Saya minum kopi Kacip Fatimahlah, bos lupa ke saya ni perempuan? Atau selama ni bos ingat saya ni lelaki yang berimej perempuan?” tanya Zulaikha sambil menalakan jari telunjuknya ke arah wajahnya sendiri.

Dia harap kata-kata ketuanya itu hanya sekadar gurauan.

“Ada saya kisah?”

Darwish memulang semula buah keras. Selama ini pembantunya itu selalu menggunakan ayat itu. Kali ini dia pula menggunakannya. Baru dia tahu kekuatan ayat itu. Terasa puas tatkala menyebutnya. Dia berjaya mengenakan pembantu peribadinya itu akhirnya. Bangga pula rasanya.

Zulaikha mengetap bibir menahan geram. Redup matanya memandang sinis ke arah ketuanya.

“Minumlah, apa tunggu lagi? Awak ingat dengan merenung sinis pada saya, air dalam cawan tu boleh masuk dalam mulut awak dengan sendirinya? Atau awak nak saya tolong suapkan air tu ke dalam mulut awak?”

“Kalau bos tolong minumkan kopi ni untuk saya boleh?” balas Zulaikha dengan senyuman menggoda.
Darwish terpaku. Ini kali pertama dia melihat senyuman menggoda Zulaikha.

Senyuman Zulaikha semakin meleret. Cawan di tangannya dihulur kepada ketuanya kembali. Bagai dipukau, ketuanya menyambut cawan itu.

“Bos tolong minum air kopi ni sampai habis erk?” Manja sekali Zulaikha menuturkan kata-katanya itu.
Seperti lelaki dungu, Darwish meneguk air kopi Tongkat Ali sehingga habis.

Bila mendapati air kopi di tangan ketuanya sudah habis diteguk, dia meminta cawan di tangan lelaki itu semula.

“Thanks a lot boss!” ucap Zulaikha dengan senyuman puas.

Nak kenakan aku konon! Baru kena goda sikit dah cair. Boleh jalan da, detik hatinya lalu menyusun langkah meninggalkan pejabat itu dengan ketawa gembira yang disembunyikan.

Darwish tersentak. Seolah-olah baru tersedar dari lena yang panjang. Sisa kopi yang melekat di atas bibirnya dijilat. Kenapa kopi Tongkat Ali ni terasa kat atas bibir aku? Hatinya tertanya-tanya.

Lekas-lekas dia memandang ke arah Zulaikha yang sudah melangkah menuju ke arah pintu utama pejabat. Nampaknya dia terkena lagi. Sah! Dia ada ilmu hitam untuk pukau aku. Hatinya terus berandaian.

“Woi! Perempuan bertocang satu!”

Panggilan itu membantutkan langkah Zulaikha. Dengan senyuman manis, dia memandang ke arah ketuanya.

Pap! Tak pasal-pasal bekas pensel melantun terkena dahinya lalu dia rebah ke lantai.

Previous: 24
Next: 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.