Home Novel Thriller/Aksi Ops! Zulaikha
Ops! Zulaikha
Hasrudi Jawawi
22/11/2012 08:35:52
139,852
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
10
“MALAM tadi, Darwish ada turun makan malam tak?” tanya Tan Sri Irfan serius kepada pembantu rumahnya, Mak Lijah yang sedang menyusun roti di atas pinggan di hadapannya.

Sudah menjadi kebiasaan Tan Sri Irfan akan bersarapan dahulu sebelum ke pejabat. Selesai Solat Subuh, dia terus bersiap untuk ke pejabat. Pukul 7.00 pagi, sarapan perlu sedia terhidang di atas meja.

Sekilas Tan Sri Irfan memandang ke arah tangga. Melihat jika kelibat Darwish muncul pagi-pagi begini. Walaupun perkara itu jarang-jarang berlaku, dia tetap berharap anaknya itu akan duduk bersarapan dengannya.

Tapi yang ada hanya keluhan bila kelibat Darwish masih tidak muncul-muncul. Harapannya berkecai begitu sahaja. Dia kembali memandang minuman panasnya.

Mak Lijah tidak terus menjawab. Apa yang berlaku di dalam banglo mewah dua tingkat ini amat merumitkan. Sikap Darwish yang riang sebelum ini tiba-tiba menjadi muram petang semalam. Sebab musababnya masih tidak diketahui.

“Pulang sahaja dari pejabat petang semalam, Tuan Darwish terus masuk ke biliknya. Terus tak keluar-keluar lagi sampailah pagi ni.”

Sah! Anaknya merajuk perihal semalam di pejabat. Bukan main marah lagi Darwish bila mendapat tahu pembantu peribadinya akan ditukar. Hari ini dan esok, masih ada sesi temuduga untuk jawatan itu.

Tan Sri Irfan lakukan semua ini untuk kebaikan Darwish hasil cadangan Darsuki. Dia berharap rancangan ini akan membuahkan hasil. Sesi temuduga semalam, seorang pun calon yang datang tidak memenuhi kriteria yang diinginkan. Semuanya terlalu lembut dan cengeng. Dia belum jumpa seorang yang boleh tahan maki. Bukan dia tidak kenal anaknya itu, suka maki pembantu peribadinya.

“Ada apa-apa lagi yang Tan Sri perlukan?” tanya Mak Lijah.

“Tak ada apa-apa,” jawab Tan Sri Irfan serius.

Mak Lijah mengangguk lalu melangkah ke dapur.

Termenung Tan Sri Irfan seketika mengenang sikap Darwish. Semua ini disebabkan Syafiq. Kalau pembantu peribadi anaknya itu tidak buka mulut, pasti rahsia ini masih tidak diketahui Darwish. Sekarang, rancangannya itu sedikit porak-peranda. Tapi, masih boleh diteruskan. Apa-apa pun dia mahu anaknya berubah. Dia terpaksa lakukan semua ini.

Tan Sri Irfan bingkas berdiri lalu melangkah meninggalkan meja makan menuju ke arah tangga. Dia tidak boleh mementingkan diri sendiri. Sejak malam tadi Darwish tak keluar dari kamar. Entahkan hidup entahkan mati anak muda itu.

Mak Lijah memaklumkan yang Darwish tidak keluar dari bilik sejak petang semalam. Sudah pasti anak tunggalnya itu masih belum menjamah apa-apa makanan.

Semasa menaiki anak tangga menuju ke kamar tidur Darwish, Tan Sri Irfan melintasi beberapa bingkai gambar kenangannya bersama arwah isterinya. Langkahnya terhenti seketika untuk menatap gambar lama itu.

Hati Tan Sri Irfan terpagut rasa pilu setiap kali melihat gambar lama arwah isterinya itu.

“Abang, andaikata saya pergi dulu. Janji dengan saya yang abang akan menjaga Darwish sebaik-baiknya. Dialah satu-satunya zuriat yang mampu saya lahirkan untuk abang.”

Kata-kata isterinya sebelum dia menghembuskan nafas terakhir 24 tahun lalu masih segar dalam ingatannya. Sebab itulah, segala kehendak anaknya akan dipenuhi. Cuma, sejak beberapa tahun ini, dia sering berkeras dengan Darwish. Semuanya kerana Darwish berubah sikap hanya kerana seorang gadis.

Rasa bersalah mula menyaluti hatinya. Dia merasakan dia mula mengambil sikap sambil lewa pada Darwish. Namun, bukan salahnya. Semua ini berlaku kerana Darwish yang berubah menjadi anak yang keras kepala, degil dan bersikap keanak-anakkan selepas putus cinta dengan sepupunya sendiri, Qadira. Entah apa yang telah Qadira lakukan sehingga anaknya menjadi begitu. Hidup tak pernah serius. Hanya tahu nak main-main sahaja

Air mata yang mula menitis di kelopak matanya diseka dan kemudian menyambung langkahnya semula. Sampai di hadapan pintu kamar anaknya, tombol pintu diputar. Namun, pintu terkunci dari dalam.

“Wish, buka pintu ni,” ujar Tan Sri Irfan lembut sambil mengetuk pintu dengan perlahan.

“Wish, kau ada kat dalam tak? Buka pintu ni,” ujarnya lagi.

“Tak nak!!!”

Tiba-tiba Darwish menjerit. Terkejut Tan Sri Irfan dibuatnya. Hisy, budak ni, buat aku terkejut aje, detik hatinya sambil mengusap-usap dada.

“Buka pintu ni Wish. Kau tak lapar ke? Kata Mak Lijah, kau tak keluar bilik sejak balik dari pejabat semalam, kan?”

“Tak apa, biarlah Wish mati kering dalam bilik ni. Papa lagi suka, kan?” ucap Darwish masih tidak mahu membuka pintu biliknya.

“Buka pintu ni Wish,” pujuk Tan Sri Irfan dengan nada lembut, masih mampu bersabar.

“Tak nak! Papa suka-suka hati aje nak carikan pembantu peribadi Wish yang baru tanpa pengetahuan Wish. Kalau papa tak batalkan, Wish tak nak keluar dari bilik ni. Biar Wish mati kebuluran dalam bilik ni,” jawab Darwish lagi.

“Wish, dengar apa yang papa nak cakap. Papa buat semua ni untuk kebaikan kau, nak.”

Tan Sri Irfan terpaksa berlembut walaupun dalam hatinya sudah mendidih. Dia tidak suka jika ada yang melawan kata-katanya.

“Kebaikan apa bendanya? Fiq dah cukup baik jadi pembantu Wish. Wish tak kira. Selagi papa tak batalkan, selagi tu, Wish tak nak keluar dari bilik ni. Biar Wish mati,” ugut Darwish.

Tan Sri Irfan tidak mampu lagi menahan sabar. Dia melangkah ke bilik bacaan. Setangkai kunci pendua untuk semua pintu yang ada di dalam banglo dua tingkat itu diambil dalam laci meja kerjanya. Dia melangkah kembali menuju ke kamar anaknya.

“Wish! Cepat buka pintu ni!” arah Tan Sri Irfan sambil mengetuk pintu.

Namun sebelah tangannya sudah mencucuk kunci pada tombol pintu.

“Tak nak! Wish kata tak nak, tak naklah. Biar Wish mati kelaparan dalam bilik ni,” jawab Darwish sambil menahan gelak.

Seketul ayam KFC di tangan dikunyah rakus sambil mengadap tingkap. Enak sekali dia menjamah ayam goreng pedas itu sambil duduk berjulur kaki di sisi katil. Dia berterima kasih kepada pemandunya kerana sanggup panjat tangga untuk menghantar makanan itu ke biliknya.

Air minuman berkarbonat pula dicapai lalu disedut sedalam-dalamnya. Suara papanya tidak kedengaran lagi. Dahinya berkerut kehairanan.

Eh, senyap pulak orang tua ni? Dah putus asa ke nak pujuk aku? Detik hatinya.

“Sedap makan?”

Pertanyaan itu membuatkan Darwish terkejut. Matanya terus memandang ke arah pintu masuk.

“Hah!!!”

Terjerit Darwish bila melihat Tan Sri Irfan sudah berdiri di hadapan katilnya sambil bercekak pinggang. Ayam goreng di tangan terus dicampak entah ke mana.

“Kau saja nak naikan darah papa, kan?” tanya Tan Sri Irfan.

“Papa... ampun papa. Papa...”

Darwish sudah melangkah dua tiga tapak ke belakang.

“Nak mati kebuluran konon. Nak tunjuk proteslah ya? Walhal, melantak ayam goreng sampi satu bucket! Dasar budak degil!” bebel Tan Sri Irfan sambil mengejar anaknya mengelilingi sofa.

“Yalah, dah papa suka-suka hati nak carikan pembantu peribadi Wish yang baru. Siapa suruh?”

Tan Sri Irfan memberhentikan langkahnya. Mengah dibuatnya. Usia yang semakin lanjut dan tubuh yang sedikit berisi membataskan dia untuk bergerak banyak. Kemudian dia mengusap-usap dadanya.

“Apa pun alasan kau, papa tetap dengan keputusan papa. Papa nak kau sampai di pejabat sebelum pukul 9.00. Kalau tak, papa campak kau dalam laut. Faham tak?” ugut Tan Sri Irfan dengan nada keras, lalu menyusun langkah meninggalkan kamar anaknya itu.

“Hui, nak campak aku dalam laut pulak,” rengus Darwish.

Nampak gayanya, protesnya tidak menjadi. Tapi dia tidak putus asa. Dia boleh akur dengan keputusan Tan Sri Irfan tapi dia akan buat sesuatu supaya papanya bosan dengan keputusannya itu. Terdetik satu rancangan di dalam kepala Darwish ketika ini.



QADIRA sedang termenung sendirian di taman mini. Sejak dia menjejakkan kaki di Malaysia, hatinya tidak tenang. Jiwanya berperang dengan perasaan aneh yang bertindan-tindan. Serba salah dibuatnya.
Kemudian dia bangun dan melangkah ke arah kolam ikan buatan manusia di sudut tepi taman. Beberapa ekor ikan Koi berenang-renang di dalam kolam itu. Alangkah indahnya jika hidupnya sebebas itu.

Tapi apa yang diharapkan, tidak seperti yang dia inginkan. Hidupnya mewah tapi kebebasan tidak pernah ada untuknya. Segala keputusannya terbatas dan dia perlu melepasi piawaian papanya. Termasuk yang melibatkan perasaannya sendiri.

“Awal bangun pagi ni?”

Pertanyaan itu menyentak lamunan Qadira. Sekilas dia memandang ke arah suara itu.

“Eh, abang. Tak ke ofis lagi ke?” tanya Qadira sambil menabur makanan ikan ke dalam kolam.

Qadir tidak terus menjawab. Kedengaran dia menarik nafas panjang dan dihembusnya perlahan-lahan. Kedua-dua belah tangannya pula dimasukkan ke dalam poket seluar. Pandangannya turut dialihkan ke arah kolam ikan itu.

Qadir tahu apa yang sedang ditanggung Qadira. Sejak dulu lagi, adiknya itu menyukai sepupunya sendiri. Namun, disebabkan papanya, perasaan itu terpaksa diabaikan.

“Aku tahu, kau masih mencintai Darwish, kan?” Qadir terus ke topik sebenar.

Tangan Qadira terhenti dari terus menabur makanan ikan ke dalam kolam. Abangnya dipandang melalui ekor mata. Sedikit terkejut dengan pertanyaan abangnya itu. Selama dia membesar, dia tidak pernah rapat dengan abang kandungnya itu.

Agak pelik bila abangnya itu seolah-olah boleh baca isi hatinya. Pertanyaan abangnya itu diabaikan. Jika dia menjawab, dia khuatir abangnya itu akan lebih mengetahui tentang isi hatinya yang sebenar.

“Kenapa kau diam? Terkejut dengan soalan aku tu?” tanya Qadir lagi cuba memprovok adiknya itu agar berterus terang.

Qadira mula gelisah.

“Kau tersekat di antara rancangan papa dan perasaan kau, kan? Tapi, kau tak ada pilihan lain. Kerana, kedua-dua pilihan yang kau ada akan buat hati kau hancur.” Qadir terus mengasak.

Semakin rimas Qadira dibuatnya bila abangnya terus membuat telahan yang benar-benar tepat tentang perasaannya. Jika boleh, dia tak mahu membahas hal itu ketika ini. Biarlah dia yang tanggung sendiri. Biarlah dia yang terluka dan kecewa. Insan yang dia sayang berbahagia.

“Apa abang merepek ni?” nafi Qadira.

Qadir tersenyum sinis.

“Kau ingat, kau boleh tipu aku? Dari sikap kau ni, aku dapat agak kau memang ada hati dengan Darwish. Empat tahun lalu, sebelum kau berangkat ke UK. Kau berkurung seharian kat dalam bilik.

Sebab apa? Sebab kau menangis kecewa kerana terpaksa meninggalkan satu-satunya insan yang kau cinta. Terpaksa buat manusia yang sayang kau sepenuh hati kecewa.” Qadir memprovok lagi agar adiknya itu mengaku akan perasaannya.

“Malas nak layan abang, mengarut!” bentak Qadira.
Nanti tak semena-mena, hatinya bertambah sakit. Qadira mula menyusun langkah meninggalkan taman mini itu.

“Kalau kau nak Darwish jadi kekasih kau dan suami kau, aku boleh tolong pujuk papa,” pancing Qadir sebelum adiknya melangkah jauh.

Langkah Qadira terhenti selepas mendengar kata-kata abangnya. Pantas dia menoleh ke belakang. Tetapi, kelibat abangnya sudah tiada.

Beberapa saat kemudian kedengaran bunyi ngauman enjin kereta milik Qadir mula menyusur keluar dari halaman banglo. Qadira hanya mampu mengeluh. Hatinya masih bercelaru. Apakah abangnya itu serius dengan kata-katanya?

Previous: 09
Next: 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.