Home Novel Thriller/Aksi Ops! Zulaikha
Ops! Zulaikha
Hasrudi Jawawi
22/11/2012 08:35:52
139,854
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
13
ASP JABIR menghulur sebuah fail nipis kepada Kamal. Fail itu mengandungi maklumat palsu mengenai identiti Zulaikha. Zulaikha masih menggunakan nama sebenar untuk mengelak berlakunya salah sebut atau tersasul. Sebab, ini kali pertama dia menjadi perisik untuk sebuah kes yang begitu besar.

Data yang dipalsukan hanyalah alamat, latar belakang kehidupan dan pendidikan. Pihak polis terpaksa bekerjasama dengan pihak Jabatan Pendaftaran Negara, Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) dan pihak syarikat telekomunikasi untuk mengelak indentiti sebenar Zulaikha dikesan.

Mungkin hal serumit ini tidak akan diambil kira oleh pihak Merbok Construction Berhad tetapi mereka tetap perlu mengambil langkah berjaga-jaga.

“Di dalam fail ini terkandung resume dan ijazah palsu dalam Jurusan Kesetiausahaan Eksekutif yang telah dikeluarkan oleh pihak UiTM, Shah Alam atas nama Zulaikha,” ujar ASP Jabir selepas fail bertukar tangan.
Kamal melihat sekali imbas dokumen dan resume yang ada di dalam fail itu yang kelihatan seperti asli.
“Tak salah ke di sisi undang-undang, tuan?” tanya Kamal sekadar ingin tahu.

ASP Jabir tidak terus menjawab. Dia memandang di sekitar pejabat itu. Kelibat Zulaikha masih belum kelihatan. Dia kembali memandang Kamal yang masih melihat isi fail di tangan.

“Segala dokumen ni pihak pegawai atasan dah dapatkan pengesahan dari pihak JPN, UiTM dan syarikat telekomunikasi.” Pertanyaan Kamal baru dijawab.

Kemudian ASP Jabir mengeluarkan sebuah telefon bimbit dari poket seluarnya.

“Ini telefon bimbit Zulaikha. Dia perlu menggunakan nombor telefon ini untuk segala urusan dengan Merbok Construction Berhad. Kita dah daftarkan nombor telefon ini dengan data palsunya atas kebenaran pihak pegawai atasan,” sambung ASP Jabir lagi sambil menghulur telefon bimbit itu ke tangan Kamal.

Kamal segera menutup fail di tangan.

“Beritahu Zulaikha, dia mesti ada di Merbok Construction Berhad pukul 10.00 pagi. Awak sebagai ketuanya perlu sentiasa memantaunya,” arah ASP Jabir.

“Baik tuan!” akur Kamal sambil menabik hormat pada ketuanya itu.

ASP Jabir mengangguk lalu melangkah menuju ke biliknya.

Selepas kelibat ASP Jabir hilang di sebalik pintu, barulah Kamal melabuhkan punggungnya di kerusi. Telefon bimbit di tangan diletak di atas meja. Fail berisi maklumat palsu Zulaikha ditatap lagi.

Sebenarnya Kamal mahu menatap gambar Zulaikha. Rindu pula dia pada gadis itu walaupun hampir setiap hari mereka bertemu di pejabat.Mungkin selepas ini semakin sukarlah dia mahu berjumpa Zulaikha secara berdepan. Hanya memantau dari jauh sahaja.

Tersenyum Kamal seorang diri bila melihat wajah berukuran poskad Zulaikha. Beberapa saat kemudian, dia teringatkan sesuatu. Fail di tangan terus ditutup lalu diletak ke tepi. Dia mengadap komputer. Aplikasi Mozila Firefox dibuka. Dia menaip ‘Merbok Construction Berhad’ di ruang carian di Google.

Ternyata Merbok Construction Berhad adalah sebuah syarikat pembinaan yang terkenal di Malaysia. Dia membuka laman web rasmi syarikat bumiputera berjaya ini untuk mengkaji serba sedikit tentang syarikat itu. Sedang asyik dia membuat sedikit kajian tentang syarikat itu, dia terpandang sebuah iklan jawatan kosong di sisi laman utama. Senyuman mula meleret selepas melihat iklan jawatan kosong itu.

“Inspektor Kamal, tadi Zainal ada beritahu saya, ASP Jabir ada suruh ambil sesuatu pada awak sebelum saya ke Merbok Construction Berhad. Apakah bendanya tu?”

Pertanyaan itu mengganggu fokus Kamal. Suara yang dinanti-nanti sejak tadi muncul juga. Dengan perlahan dia mengangkat wajahnya memandang ke arah suara itu.

Kamal terpaku melihat insan di hadapannya ketika ini. Buat pertama kalinya dia melihat Zulaikha bermekap dan berpakaian penuh anggun. Membeku dia seketika menikmati keindahan ciptaan TUHAN di hadapan matanya ketika ini.



KELAM kabut Darwish pagi ini hendak ke pejabat. Semua ini gara-gara pembantu peribadinya, Syafiq tidak menelefon mengejutnya dari tidur pagi tadi. Kebiasaannya, Syafiq akan menelefonnya berulang kali sehinggalah dia terjaga dari tidur. Tapi hari ini, pembantu peribadinya seperti lenyap dari muka bumi. Sepi tanpa khabar berita.

“Budak ni memang nak cari nahas dengan aku agaknya,” bebel Darwish sambil mendail nombor telefon Syafiq. Namun tiada jawapan.

“Eee... dia ni betul nak kena dengan aku! Siap kau! Kurang asam betul!” marahnya bertalu-talu sambil mendail nombor itu lagi. Namun masih sama, tiada jawapan.
Dia terpaksa memandu sendiri ke pejabat.

“Tak guna punya drebar! Ini dah lebih!” rengusnya kuat ketika kereta yang dipandu sampai di pekarangan Merbok Construction Berhad.

Kebiasaannya, Syafiq akan menyambut ketibaannya di lobi. Namun kelibat Syafiq tidak kelihatan di situ. Hatinya bertambah sakit.

“Dah berhenti kerja ke apa budak ni?” rungutnya lagi sambil melangkah menuju ke lif.
Kerana asyik membebel memarahi Syafiq tanpa disedari dia terlanggar seorang perempuan tinggi lampai di kaunter pertanyaan. Terhempas fail di tangan perempuan itu ke lantai.

“Ops! Maafkan saya encik,” pinta perempuan itu sambil mengutip failnya di lantai.

Darwish bertambah-tambah marah jadi. Sudahlah dia bengang dengan Syafiq, kini ditambah pula dengan insiden ini. Semakin meluap-luap amarahnya. Kot yang tersarung pada tubuhnya dibetul-betulkan. Sinis dia memandang perempuan itu.

“Eh, perempuan! Kau jalan guna siku ke apa? Tak nampak ke aku yang besar ni tengah jalan?” marah Darwish sekuat hati.

Semua orang yang ada di situ memandang ke arah mereka berdua. Senyuman manis dan ikhlas yang dilemparkan perempuan itu tiba-tiba jadi kaku. Malu dia dengan mata-mata yang memandang. Mendadak suhu amarahnya naik.

Eh, eh, dia yang langgar aku, aku pulak yang kena maki. Siap kata aku jalan pakai siku lagi. Lelaki macam dia ni memang tak boleh dibiarkan, detik hati perempuan itu sambil membalas pandangan sinis lelaki itu.

“Kau apa hal hah? Nak maki aku pulak? Kau yang langgar aku tadi, kan?” balas perempuan itu sambil bercekak pinggang.

“Eh, kau maki aku? Kau ni siapa nak maki-maki aku? Kau belum kenal aku siapa?” ujar Darwish tetap tak mahu kalah.

Gadis yang menjaga kaunter pertanyaan itu sudah menggigit jari melihat pergaduhan itu.

“Aku peduli apa kau siapa pun? Yang penting, kau ni jenis tak ada adap sopan dan tatasusila. Dahlah langgar aku, minta maaf pun tak. Orang macam kau ni, yang suka ikut kepala sendiri, sesuai hidup dalam hutan. Berkawan dengan beruk dan tenuk, tau tak? Dahlah! Malas aku nak layan kau. Waste my time!” jawab perempuan itu pula.

Perempuan itu juga tak mahu kalah. Sebaik sahaja habis menghampurkan kata-katanya, dia terus melangkah laju menuju ke lif.

Darwish sudah mengetap gigi menahan marah. Ini kali pertama dia bertemu perempuan sombong dan berani melawannya. Dia tidak boleh kalah dengan perempuan. Dengan rasa marah yang semakin membara, dia melangkah menuju ke arah perempun itu yang sedang tercegat di pintu lif. Nampaknya mereka berdua ingin menggunakan lif yang sama.

Dengan selamba Darwish menarik kuat rambut perempuan itu yang diikat satu di belakang.

“Auww... sakitlah!” rengek perempuan itu sambil memegang rambutnya.

Darwish buat muka toya.

“Ada aku kisah? Dasar perempuan bertocang kuda!”

“Ni dah lebih!” Perempuan itu dengan sekuat hati menendang betis lelaki itu.

“Aduh!!!”

Terjerit Darwish dibuatnya akibat tendangan kuat itu sambil terloncat-locat memegang betisnya.
“Padan muka kau! Cari pasal dengan aku siapa suruh?” sindir perempuan itu sambil membetulkan rambutnya.

Dua saat kemudian, pintu lif terbuka. Cepat-cepat dia melangkah masuk. Namun, belum pun sempat mahu melangkah masuk, sekali lagi rambutnya ditarik dari belakang.

“Argh!!!” jerit perempuan itu sambil memegang ikatan rambutnya.

“Biar aku masuk dulu,” ujar Darwish sambil menarik rambut perempuan itu ke belakang dan cepat-cepat dia melangkah masuk ke dalam lif.

Namun belum pun sempat kedua-dua belah kakinya melangkah masuk, lengan tangannya telah dicengkam lalu dilipat ke belakang.

“Hoi!!! Sakitlah!!!” bentak Darwish.

Perempuan itu tidak menghiraukan jeritan lelaki itu. Sebaliknya dia terus mengetatkan tangannya lalu menarik lelaki itu keluar dari lif. Dengan kudrat yang ada, dia menolak tubuh lelaki itu sehingga rebah ke lantai. Dia cepat-cepat berlari ke dalam lif. Mujurlah pintu lif belum tertutup. Sempat dia menjelir lidah mengejek.

Darwish sudah menggenggam kedua-dua belah tangannya sambil mengetap gigi menahan geram.
“Argh!!!” jerit Darwish sekuat hati.

Melepaskan rasa amarahnya pada perempuan itu.

“Tak apa, kau belum kenal aku lagi. Kau ingat kau siapa? Aku pasti kita akan bertemu lagi nanti. Nahas kau, kalau aku jumpa kau wahai wanita bertocang satu!”

Darwish menyimpan dendam.

Tanpa disedari, sepasang mata telah memerhatikan gelagat mereka dari jauh.


Previous: 12
Next: 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.