Home Novel Thriller/Aksi Ops! Zulaikha
Ops! Zulaikha
Hasrudi Jawawi
22/11/2012 08:35:52
140,362
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
27
SEJAK bekerja menjadi pemandu Darwish, setiap pagi Kamal akan menjemput Zulaikha untuk ke banglo Tan Sri Irfan. Bukan atas permintaan Zulaikha, tapi atas kerelaan dirinya sendiri. Sehari tidak menatap wajah Zulaikha, boleh sasau dibuatnya.

Serba salah Zulaikha dengan Kamal. Sejak dia bekerja di Merbok Construction Berhad, setiap hari Kamal akan menjemputnya di hadapan rumah. Cuma pulang sahaja Zulaikha akan menaiki kenderaan awam kerana masa bekerja Kamal berbeza dengan masa kerjanya.

“Emm... Mal, saya rasa serba salah pulak kat awak,” ujar Zulaikha sambil bermain dengan jari-jemarinya.

Sejak Wanda meluahkan tanggapannya yang lelaki itu menyukainya dalam diam, membuatkan Zulaikha berasa janggal untuk berhadapan dengan Kamal. Namun, tekaan Wanda itu masih belum sahih sepenuhnya. Dia takut dia sahaja beranggapan begitu. Sedangkan Kamal, sedikit pun tiada hati padanya.

“Serba salah kenapa pulak?” jawab Kamal sambil menghidupkan lampu signal untuk membelok ke kanan.

“Yalah, setiap hari awak datang menjemput saya ke banglo Tan Sri Irfan tu. Dahlah guna kereta syarikat, kalau Tan Sri Irfan tahu macam mana?” Zulaikha meluahkan kebimbangannya.

Sekilas dia memandang Kamal yang masih fokus pada pemanduannya. Kamal tidak terus menjawab. Lampu signal dimatikan selepas kereta yang dipandu sudah berada dilorong yang betul.

“Alah, apa salahnya saya tumpangkan awak ke banglo tu. Lagipun kita sehala, kan? Janganlah risau. Kalau awak nak tunggu teksi, entah pukul berapa awak sampai ke banglo Tan Sri Irfan tu.”

“Tapi...”

“Tak ada tapi, tapi lagi Laikha. Kita bukannya suka-suka nak kerja kat Merbok Construction tu. Kita ada misi yang perlu kita selesaikan. Jadi, selepas ni saya tak nak awak serba salah dengan saya atas sebab hal ni. Hal kes kita tu lebih penting. Nak tak nak, awak kena naik kereta ni jugak kalau saya dah ada di hadapan rumah sewa awak. Faham?” pintas Kamal sebelum sempat Zulaikha menghabiskan kata-katanya. Serius sahaja wajahnya.

Zulaikha sudah tidak mampu berkata apa-apa. Lebih baik akur dari membantah.

Suasana diam seketika. Masing-masing hilang bicara. Kamal fokus pada pemanduannya. Manakala Zulaikha sibuk memandang ke luar kereta sambil bermain dengan fikiran.

“So, setelah lebih seminggu bekerja dengan Tuan Darwish, ada apa-apa yang mencurigakan?” tanya Kamal menukar topik perbualan.

Lebih baik mereka berbual topik rasmi dari topik peribadi. Tidaklah terasa janggal dan tidaklah terlalu sunyi di dalam kereta mewah milik Tan Sri Irfan itu.

“Emm...” Zulaikha berfikir sejenak. “Saya dah siasat semua dokumen, fail dan apa sahaja yang ada di dalam pejabat Darwish tu. Saya tak jumpa apa-apa yang mencurigakan.”

“Awak dah periksa setiap laci yang ada di pejabat tu?”

“Dah. Saya jugak dah siasat kalau-kalau ada peti rahsia atau apa-apa peti besi. Memang tak ada. Tuan Darwish tu lurus bendul.”

“Jangan sangka orang yang lurus bendul tu semuanya realiti. Kadang-kadang mereka saja berlakon lurus bendul agar kegiatannya dapat dirahsiakan. Jadi, awak perlu sentiasa perhatikan Tuan Darwish tu. Rambut sama hitam tapi hati lain-lain,” pesan Kamal.

Kata-kata Kamal itu ada benarnya. Di zaman serba moden begini, jangan mudah terpedaya dengan personaliti yang baik. Tapi, hatinya kuat mengatakan Darwish memang lurus bendul dan keanak-anakan. Mustahil personaliti lelaki itu sekadar lakonan.

“Awak ada jumpa pistol atau apa-apa alat bahaya di pejabat Tuan Darwish? Pisau ke? Atau alat-alat canggih? Radar?”

“Tak ada Mal. Tapi, saya akan sentiasa awasi Darwish.”

Kamal mengangguk. Setuju dengan tindakan Zulaikha itu. Zulaikha semakin matang sebelum bertindak. Untuk menyelesaikan kes ini, mereka tidak boleh terburu-buru.

“Emm... ada seorang lagi yang awak perlu perhatikan dan siasat. Saya rasa insan ni tak susah awak nak siasat sebab pejabat dia hanya berhadapan dengan pejabat Tuan Darwish.”

Zulaikha memandang Kamal dengan dahi berkerut.

“Siapa?”

“Tuan Qadir. Sepupu terdekat Tuan Darwish. Minggu lepas, saya ada mengekori kereta dia. Sengaja saya mahu siasat tentang dia. Sebab saya nak tahu apa yang dia buat selepas waktu pejabat. Saya tunggu di hadapan rumah keluarganya. Kebetulan malam tu dia keluar. Dia menuju ke arah pantai Port Dickson,” terang Kamal panjang lebar.

Rupa-rupanya, kereta misteri yang mengekori Qadir seminggu yang lalu adalah dia.
“So, ada apa dia ke Port Dickson?” tanya Zulaikha teruja nak tahu.

“Saya hilang jejak dia bila dia menggunakan kuasa turbo keretanya. Dia tinggalkan saya jauh di belakang. Dalam sekelip mata sahaja dia hilang dari pandangan saya. Saya tak tahu dia ke mana. Jadi, saya nak awak siasat tentang lelaki itu. Saya rasa curiga dengan dia.”

Zulaikha mengangguk lagi. Faham dengan cerita Kamal.

“Saya tak boleh nak siasat Qadir lagi. Sejak kes malam tu, dia semakin sukar dijejak. Jarang keluar malam. Sama ada perasaan curiga saya ini benar atau tidak, hanya awak yang dapat tentukan Laikha. Awak kena siasat Qadir tu seperti mana awak siasat Darwish,” pinta Kamal.

“Baiklah, saya akan siasat. Tapi berikan saya masa sebab, nak masuk ke pejabat Tuan Qadir agak sukar. Dia ada pembantu peribadi dia sendiri. Kalau pejabat Darwish senanglah saya masuk sebab dia ketua saya. Apa-apa pun saya akan siasat nanti.”

Kamal berasa lega dengan kata-kata Zulaikha. Semakin hari Zulaikha semakin berkeyakinan. Itulah sikap yang dia paling suka. Akan cuba menyahut setiap cabaran yang ada walaupun agak sukar dilaksanakan. Belum cuba belum tahu.

Jika belum cuba sudah mengalah. Itu berputus asa sebelum berusaha namanya. Jadi, dia tidak suka sikap seperti itu. Gagal selepas berusaha lebih elok berbanding gagal sebelum berusaha.

Beberapa minit kemudian, mereka sampai ke destinasi. Zulaikha terus meminta diri untuk menjalankan tugas.

“Terima kasih Mal,” ucap Zulaikha sebelum menutup pintu.

“Sama-sama,” jawab Kamal sekadar di hujung bibir.

Kelibat Zulaikha dipandang sehingga hilang di sebalik pintu banglo mewah itu.

Laikha, andai kau tahu akan isi hatiku, keluhnya.

Previous: 26
Next: 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.