Home Novel Seram/Misteri Rantai Kunci Misteri
Bab 32

FAIZAL telah menceritakan segalanya kepada Nazrin dan Hasrul pada pertemuan kedua mereka di sebuah lokasi di utara tanah air. Walaupun hanya sekadar teori serta pendapat, ia mungkin kedengaran seperti logik dek akal. Namun bagi teori mengenai dendam orang yang telah mati mungkin tidak dapat diterima oleh dua orang anggota polis itu. Faizal memahami situasi mereka berdua yang kurang mempercayai unsur paranormal dalam realiti kehidupan era moden.

            Berbeza dengan mereka berdua, Faizal mempercayai teori tersebut walaupun teori kewujudan mastermind lebih dianggap logik dan bersifat konkrit. Bukan disebabkan dia pernah melihat hantu atau berdepan dengan pengalaman paranormal. Hanya berdasarkan firasatnya sahaja.

            “Kalau kita terima teori ada dalang di sebalik kes-kes kematian, maknanya kita boleh tolak tepi teori lain seperti teori mempercayai nasib malang yang ada pada rantai kunci tu. Betul tak?” Sua Hasrul. Kepala Nazrin diangguk perlahan. Wajahnya tampak serius kerana sedang memikirkan sesuatu dalam fikirannya.

            “Tapi kalau kita pegang teori ni dan ceritakan kat pihak atasan, rasanya dia orang akan percaya tak?” Sua lagi Hasrul. Nazrin pantas memandang wajahnya. Dahinya berkerut lagi. Fikirannya bercelaru.

            “Bagus betul soalan kau, Hasrul. Aku lansung tak terfikir tentangnya. Tapi aku rasa pihak atasan takkan percayakan kita melainkan kalau ada bukti. Lagipun kebanyakan kes kematian yang berlaku disebabkan kejadian kemalangan semata-mata. Kecuali bagi kes pembunuhan dan kes bunuh diri. Tak ada lansung penemuan bukti berunsur jenayah!” Luah Nazrin sedikit beremosi. Mungkin sedikit terganggu dengan kecelaruan fikirannya.

            “Habis kau nak percayakan teori dendam dari orang yang dah mati?” Soal Hasrul. Kemudian mereka berdua berpaling memandang ke arah Faizal yang asyik berdiam dari tadi.

            “Terpulang kat kau orang berdua samada nak percayakannya atau tak. Hanya teori aje. Bukannya ada bukti pun,” beritahu Faizal yang memahami bahasa tubuh daripada mereka berdua.

            “Kau pula macam mana? Apa sebenarnya yang menyebabkan kes kematian berlaku?” Tanya Nazrin ingin tahu.

            Faizal melepaskan keluhannya seketika. Saat ini banyak perkara sedang bermain dalam fikirannya. Pada mulanya dia menganggap rantai kunci berlian itu membawa nasib malang kepada si pemilik dan membawa mereka ke alam kematian. Kemudian mempercayai adanya satu sumpahan yang ada pada rantai kunci tersebut. Dan kelmarin setelah bertemu dengan Rina, dia dikejutkan dengan dua teori terbaharu, yakni kewujudan dendam dari orang yang telah mati serta kewujudan orang digelar mastermind di sebalik kes kematian; sama teori yang diungkap oleh Nazrin sebelum ini.

            Penjelasan Rina mengenai teori tersebut mungkin boleh diterima pakai dan boleh dijadikan sebagai petunjuk kes. Namun sejauh mana teori tersebut boleh digunakan? Kadang-kala bila difikirkan semula, penjelasan dari gadis tersebut agak bersifat luar biasa dan tiada bukti kasar untuk membuktikannya.

            “Faizal, kau okey? Apa yang sedang kau fikirkan sekarang?” Luah Nazrin hairan setelah agak lama lelaki itu mendiamkan diri.

            “Ya, aku okey. Pasal soalan kau tadi, aku rasa ada teori lain yang boleh dipercayai. Dan kali ni ada bukti jelas yang dapat membuktikannya,” balas Faizal tersenyum.

            “Apa dia?” Tanya pula Hasrul. Dia mahupun Nazrin tertanya-tanya apakah teori yang dimaksudkan oleh Faizal tadi.

            “Qadak dan qadar,” jawab Faizal ringkas. Hasrul dan Nazrin terus terdiam setelah mendengarnya. Kemudian saling membalas pandangan masing-masing. Sepanjang mereka menyiasat kes kematian, tidak terlintas lansung di fikiran mereka mengenai perkara tersebut.

 

SEPANJANG perjalangan pulang ke ibu kota, Hasrul mahupun Nazrin saling senyap membisu tanpa suara. Hanya ditemani bunyi radio yang dipasang sahaja. Namun diam mereka ada makna. Masing-masing sedang memikirkan perkara yang disebutkan oleh Faizal tadi. Patutkah mereka menerimanya dan melupakan siasatan terhadap kes-kes kematian? Ekor mata Hasrul sempat memandang Nazrin yang sedang khusyuk memandu kereta. Dia ingin membuka mulut mengatakan sesuatu tetapi terasa ‘terkunci’ pula.

            “Apa yang Faizal cakap tadi memang betul. Kita perlu percaya kepada qadak dan qadar. Takdir kita hidup di muka bumi ni takkan lama. Suatu hari nanti kita akan mati juga,” ujar Nazrin memulakan perbualan. Matanya masih memandang ke depan tanpa pedulikan pandangan dari Hasrul.

            “Be-betul tu. Kenapalah sebelum ni kita tak terfikir pasal tu? Kan, Nazrin? Manusia jenis apalah kita berdua ni?” Balas Hasrul yang terus bersetuju dengan kata-kata rakannya tanpa berfikir panjang.

            “Tapi...” Mendengarnya, riak wajah Hasrul terus berubah dan memandang ke arah Nazrin yang masih khusyuk memandu itu. Apa yang sedang difikirkan oleh rakannya itu? Bukankah mempercayai qadak dan qadar satu perkara wajib dan lebih diterima dek logik akal?

            “Masih ada lagi perkara yang aku tak boleh lupa. Rantai kunci berlian,” sambung Nazrin. Hasrul tersentak mendengarnya.

            “Memang aku percayakan pada qadak dan qadar, itupun kalau ada orang mati tanpa ada rantai kunci tu di sisi. Sejak tahun kebelakangan ni termasuk sekarang, aku hanya dengar kes orang mati ‘bersama’ dengan rantai kunci pelik tu. Bagi aku, rantai kunci tu merupakan benda paling utama dalam kes ni,” jelas Nazrin. Hasrul diam menganggukkan kepala. Dia turut mengakui tiada lansung kes kematian ‘tanpa’ rantai kunci berlian didengarnya selama ini.

            “Habis apa kau nak buat sekarang? Buat temujanji dengan pihak atasan dan ceritakan kat dia orang?” Suanya.

            “Tak.” Pantas Nazrin menggeleng. Hasrul mengerutkan dahinya. Jawapannya amat mengejutkannya. “Biar aku siasat seorang diri. Mungkin aku ambil cuti panjang tanpa gaji. Kalau ada apa-apa kes selain kes kematian, pandai-pandailah kau uruskannya. Okey?”

            “Tapi Nazrin,..” Hasrul terdiam seketika. Dia tidak mahu membiarkan rakannya menyiasat kes seorang diri. Namun pada masa yang sama dia masih keliru untuk membuat keputusan samada mahu mengikuti rakannya ataupun tidak. Pun begitu, kematian sepupunya ‘bersama’ dengan rantai kunci berlian tidak boleh dilupakannya walaupun telah menjadi takdirnya untuk mati pada usia muda.

            “Nazrin, aku nak ikut kau. Mungkin aku boleh jadi pembantu kau atau sebagainya.” Akhirnya Hasrul membuat keputusan tepat setelah lama dia berfikir. Nazrin sekadar tersenyum mendengarnya. Dalam diam memang dia mengharapkan seorang rakan untuk membantunya.

            “Apa kita nak siasat dulu?” Soal Hasrul bagai tidak sabar untuk memulakan siasatan.

            “Kita siasat dulu pasal kewujudan rantai kunci berlian tu. Dari mana ia muncul dan siapa yang membuatnya. Itu maklumat yang aku nak cari sebenarnya,” balas Nazrin. Hasrul terus mencatatkannya pada buku notanya. Dia berjanji akan mencari dan mendedahkan maklumat di sebalik kewujudan rantai kunci berlian itu.

Previous: Bab 31
Next: Bab 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miura