Home Novel Seram/Misteri Rantai Kunci Misteri
Bab 45

PIHAK polis yang berjaya menjawab panggilan Faizal menjadi kehairanan. Apatah lagi terdengar bunyi sesuatu yang pelik sebelum panggilan dimatikan. Lantas perkara tersebut dimaklumkan kepada Hasan. Panggilan yang sempat dirakam itu turut mengejutkan Hasan selaku rakan lama Faizal. Bimbang jika lelaki tersebut berada dalam bahaya. Segera Hasan mengarahkan anak-anak buahnya supaya bergerak menuju ke lokasi yang telah dikenal pasti.

            Sewaktu dalam perjalanan melalui jalan pekan, Hasan berdepan perkara pelik apabila kesemua kenderaan di jalanraya hilang kawalan lalu terbabas melanggar penghadang jalan. Ada juga melanggar lampu jalan, tiang elektrik malah terjunam ke dalam parit. Hasan tidak sempat untuk berhenti menjenguk situasi tersebut. Talian 999 segera dihubungi bagi memaklumkan kejadian tersebut.

            Media laman sosial sempat dibukanya dan mengetahui kejadian tersebut bukan setakat berlaku di sepanjang jalan tadi. Malah di seluruh tempat di utara tanah air. Hasan menjadi hairan dan buntu. Apakah yang telah berlaku sebenarnya? Segera dia meminta anak buahnya supaya memandu dengan laju memandangkan jalan berada dalam keadaan lengang. Sebuah kenderaan di belakangnya turut dipandu laju mengikuti mereka.

            Sebaik tiba di hadapan rumah Imran, Hasan meminta anak-anak buahnya menggeledah rumah tersebut yang tidak berkunci pintu itu. Seperti yang dialami Faizal sebelum ini, bau busuk seperti mayat membusuk mula dihidu seorang demi seorang termasuk Hasan. Mayat siapakah pula yang terperap dalam rumah tersebut?

            Setelah lama mencari, rupa-rupanya benar bau tersebut datang dari mayat seseorang yang berada di dalam bilik air. Terasa loya masing-masing menyaksikan dengan mata sendiri. Mereka menjangka mayat telah berada di situ sejak seminggu yang lalu. Hasan segera menghubungi anggota lainnya untuk mengangkat mayat yang hampir tidak dikenali itu. Hasan mengeluh sambil menggeleng kepala. Siapa yang sanggup membunuh dan menyimpan mayat di dalam bilik air? Biarpun seorang mayat telah dicari, namun kelibat Faizal masih belum ditemui. Hanya ditemui adalah telefon milik Faizal yang telah dihancurkan. Hasan mula menduga satu perkara buruk yang mungkin berlaku kepada Faizal.

            Setelah tiada apa yang dapat dicari di dalam rumah tersebut, terus mereka beredar dari situ dan berniat mahu pulang ke ibu pejabat semula. Sewaktu keluar dari kampung tersebut, kenderaan yang dinaiki berhenti secara tiba-tiba menyebabkan kenderaan di belakang melanggarnya secara tidak sengaja. Pemandu kereta Hasan menuding jari ke hadapan bagi menarik perhatian Hasan. Terdapat seseorang sedang berdiri tidak jauh daripada mereka, sedang memegang sejenis senapang yang diacukan ke arah mereka. Dengan satu kali tembakan, pemandu kereta telah mati ditembak tepat di dahi.

            Tersentak dengan kejadian tersebut, Hasan cuba untuk membalas tembakan dan pada masa yang sama, cuba untuk mengelak daripada ditembak. Malangnya, seorang demi seorang anak-anak buahnya ditembak mati. Hanya tinggal Hasan seorang sahaja. Seseorang yang memakai jaket sambil menutup wajah dengan hud kepala berjalan menghampiri Hasan yang gementar ketakutan itu.

            “Si-siapa kau? Kau ke yang pembunuh tu? Apa kaitan kau dengan rantai kunci tu?” Sempat Hasan menanyakan beberapa soalan sebelum nyawanya diambil tanpa belas kasihan. Orang itu kemudiannya berjalan beredar dari situ. Secara kebetulan tiada sesiapa yang menyaksikan kejadian tersebut. Hanya kehadiran seekor kucing hitam sahaja yang lalu di situ.

 

FAIZAL akhirnya tersedar setelah lama tidak sedarkan diri. Perlahan dia bangun sambil memegang kepalanya yang masih sakit dan lebam itu. Kemudian matanya menyedari keadaan sekeliling yang dipenuhi dengan tulisan berbaur ancaman kepada hidup manusia. Ternyata dia sedang berada di dalam bilik seseorang. Bilik siapakah? Sekali lagi dia terkejut sebaik menyedari lukisan menakutkan di belakangnya. Suara jeritan jantannya terlepas tanpa sengaja.

            “Cikgu? Cikgu dah sedar?” Sapa Rina yang memasuki bilik tersebut.

            “Rina? Apa yang berlaku ni?” Luah Faizal kehairanan. Memandangkan bekas gurunya telah sedarkan diri, Rina segera memintanya supaya keluar dari biliknya jika tidak mahu menatap lukisan menakutkan yang masih ada di situ.

            Segelas air minuman telah disediakan di ruang tamu. Secara kebetulan Faizal berasa dahaga lalu minum air tersebut tanpa dijemput oleh Rina. “Maaf, saya terlalu dahaga tadi.”

            Rina hanya tersenyum membalasnya. Faizal melepaskan keluhan panjang sambil cuba mengingati perkara yang telah berlaku. Seingatnya kali terakhir kepalanya telah dipukul oleh sesuatu. Dia tidak sempat melihat siapa yang memukulnya. Bila dia tersedar, dia berada di dalam rumah Rina pula.

            “Sebenarnya apa yang berlaku kat cikgu tadi? Tiba-tiba cikgu ada kat depan rumah dalam keadaan tak sedarkan diri,” tanya Rina ingin tahu. Dahi Faizal berkerut sewaktu membalas pandangan Rina. Otaknya sedang bergeliga memikirkan sesuatu yang aneh.

            “Saya ada kat depan rumah kamu?” Pantas Rina mengangguk kepala. Faizal kehairanan. Bukankah tadi dia berada di rumah Imran dan kejadian tersebut berlaku di tempat yang sama? Melainkan ada orang datang dan membawanya ke rumah Rina.

            “Rina, tadi Imran ada datang jumpa dengan kamu tak?” Soalnya. Giliran Rina pula hairan. Kepalanya digeleng laju.

            “Bukan dia ada kat hospital ke? Kakinya belum sembuh lagi,” jawabnya. Sekali lagi Faizal naik hairan. Dia sudah dimaklumkan oleh Nazrin dan Hasrul bahawa Imran telah lari dari hospital. Mungkin Rina masih belum mengetahui khabar tersebut.

            Rina hanya diam memerhatikan bekas gurunya yang berada dalam kehairanan dan kekeliruan. Mungkin kerana kesan daripada kejadian yang menimpa lelaki tersebut. Lalu dia meminta Faizal supaya berehat sekali lagi, kali ini berehat di bilik arwah bapanya. Faizal terpaksa akur dengan permintaannya kerana kepalanya terasa pening untuk memikirkan perkara yang telah berlaku.

            Rina kembali ke biliknya semula dan membuka pintu almari yang menggantung cermin muka di situ. Wajahnya berubah bengang sambil memandang dirinya sendiri di cermin. Jarinya digenggam kuat. Tidak lama kemudian, wajah ahli sihir kejam yang dinanti telah muncul di cermin.

            “Walau apapun yang berlaku, aku takkan biarkan perkara ni berlaku. Aku tak nak buat apa yang kau minta. Aku berjanji akan hentikan semua ni!”

            “Ha, ha, ha! Kau sendiri tak dapat kawal diri kau, ada hati nak hentikan semua ni? Jangan haraplah, manusia! Benda dah terlambat pun. Tak lama lagi semua manusia berdosa akan mati!” Selar ahli sihir itu. Rina mati kata setelah mendengarnya. Terpaksa dia mengakui memang tidak dapat menghalang sumpahan maut. Namun selagi dia hidup, dia berjanji akan lakukan apa sahaja demi menghentikannya.

            “Kau cakap kau dah jadi bayang-bayang aku, kan? Kalau aku cabut nyawa aku sendiri dengan tangan sendiri, apa yang terjadi kat kau nanti?” Tiba-tiba sahaja terlintas perkara tersebut di fikirannya.

            “Tidak! Aku takkan benarkan kau lakukannya!” Apabila si ahli sihir berkata demikian, Rina mula menjangkakan perkara yang bakal berlaku. Senyumannya diukir lalu meninggalkan biliknya. Dia harus bertindak cepat sebelum tubuhnya kembali dirasuk oleh ahli sihir tersebut. Sebilah pisau dapur pantas diambilnya dan ditenungnya seketika.

            Dia pernah mencuba untuk membunuh diri ketika berada di rumah Mona dan Rafeeq. Jika dia mengetahui lebih awal, mungkin saat itulah dia mengakhiri nyawanya. Dengan keadaan gementar melihat mata pisau yang tajam itu, dia mula teragak-agak untuk melakukannya. Ketika itulah dia terdengar bisikan suara ahli sihir yang cuba mengejeknya.

            “Nak akhiri nyawa sendiri dengan tangan sendiri konon? Padahal kau sendiri takut nak bunuh diri? Sama seperti sebelum ni. Tak payahlah, usia kau masih muda lagi. Banyak perkara yang kita boleh buat bersama.”

            “Diam! Jangan sebut perkataan ‘kita’ depan aku!” Selar Rina dengan nada marah. Spontan, dia mengacukan pisau ke arah perutnya lalu menusuknya ke dalam. Terasa pedih dan sakit. Keadaan tubuhnya mula lemah dan darah mula keluar dengan banyak.

            Faizal yang hairan mendengar suara Rina yang didakwa bercakap seorang diri amat terkejut melihat keadaan Rina. Perlahan dia menarik pisau keluar dari perut Rina sebelum menggunakan kain bajunya untuk menghalang pendarahan Rina. Sambil itu, dia menghubungi talian kecemasan. Wajah Rina mulai berubah pucat. Pandangan matanya kian kabur. Dia ingin berkata sesuatu kepada Faizal namun tidak berdaya.

Previous: Bab 44
Next: Bab 46

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miura