Home Novel Seram/Misteri Rantai Kunci Misteri
Bab 25

SETELAH kesemua mayat telah diuruskan oleh pihak polis, Rina bersama tiga rakan sekelasnya memasuki bangunan asrama semula. Mereka telah diarahkan oleh pihak alumni universiti untuk mengemas bilik mereka dan berpindah ke bangunan asrama sebelah. Rina sebenarnya tidak mahu berpindah ke asrama lain kerana banyak kenangannya ketika menginap di biliknya. Mahu tidak mahu, dia terpaksa akur dengan keputusan pihak alumni dan mengemaskan barang-barangnya.

            Sedang asyik mengemas barang, Rina dikejutkan dengan satu panggilan telefon. Skrin telefon memaparkan nombor tidak dikenali. Siapa yang cuba menghubunginya? Panggilan tersebut dibiarkannya berdering sehingga tamat. 10 saat kemudian, panggilan dengan nombor yang sama berdering lagi. Rina melepaskan keluhannya. Terpaksa dia menjawabnya daripada terus berdering.

            “Rina!!” Tersentak Rina dibuatnya setelah namanya dipekik dalam talian. Gilakah apa si pemanggil ni?

            “Ni akulah, Imran! Lama betul kau nak jawab panggilan. Kenapa, kau ingat orang lain ke?” Rina naik hairan. Setahunya, dia tidak pernah memberi nombor telefon kepada lelaki itu. Dari mana Imran mengetahui nombor telefonnya?

            “Hei, Imran! Mana kau tau nombor aku ni?”

            “Adalah. Rahsia. Oh, ya! Aku dah dapat tau pasal berita mengejutkan yang terjadi kat tempat belajar kau. Kau selamat tak?” Balas Imran yang sengaja tidak mahu menjawab pertanyaan Rina.

            “Aku selamat aje. Bukan aku seorang aje, ada lagi pelajar yang terselamat. Kau jangan nak beralih topik. Kau belum jawab...”

            “Baguslah kau selamat. Aku risau kalau terjadi apa-apa kat kau. Mesti pembunuh tu membunuh secara rawak dan kebetulan kau tak ‘terpilih’. Kira baguslah, kan?” Pantas Imran memotong. Seolah-olah sengaja mahu mengelak dari menjawab pertanyaan Rina tadi. Rina bengang seketika. Entah apa alasan Imran sebenarnya. Bukan setakat mengelak daripada menjawab soalannya, malah cuba mengambil berat tentang dirinya.

            Panggilan telefon segera dimatikannya. Rina terus mengemas begnya dan berpura-pura tidak menerima sebarang panggilan telefon pada ketika itu. Imran melepaskan keluhannya sambil memandang telefonnya. Senyumannya agak kelat. Namun hatinya masih lega mendengar suara Rina walaupun sekadar dalam talian. Kini dia sedang berdiri di halaman rumah Rina yang kosong tiada berpenghuni. Di hadapannya pula Pak Jan hanya mendiamkan diri membalas pandangannya.

            Usai mengemas barang, Rina terus melangkah keluar dari bilik bersama beg rodanya. Satu beg galas digantungnya di belakang. Secara kebetulan, Hanim dan Olivia sudah selesai mengemas barang. Begitu juga dengan Sarah yang turun dari tingkat atas.

            “Jomlah turun cepat. Tekak aku dah loya dengan bau darah,” keluh Sarah. Hanim dan Olivia juga bersetuju dengannya. Sementara Rina hanya diam melihat mereka. Keluar sahaja dari bangunan asrama, Naim dilihat sudah menunggu mereka di pondok asrama. Tangannya dilambaikan, entah untuk siapa sebenarnya. Atau untuk Rina sendiri sebenarnya? Buat masa sekarang, dia tiada masa untuk berkawan dengan lelaki atau lebih daripada itu. Oleh sebab itulah, dia bersikap dingin dengan Imran tadi.

            “Oh, ya! Tadi masa aku kemas pakaian, aku terjumpa rantai kunci ni kat dalam almari pakaian. Aku ingat nak tinggalkan benda ni kat rumah aku, tapi tak sangka pulak terbawa sekali,” beritahu Olivia. Rina sekadar diam mendengarnya. Dia tidak menyangka gadis kacukan itu juga memiliki rantai kunci berlian.

            Seketika kemudian, Hanim pantas meragut rantai kunci dari Olivia dan melemparkannya jauh dari situ. Riak wajah Hanim agak ketakutan sewaktu memandang rantai kunci tersebut.

            “Hanim, kenapa ni?” Soal Olivia hairan. Pantas Olivia mengambil semula rantai kuncinya dan menyimpan semula ke dalam beg galasnya. Tindakan Hanim tadi juga turut mengejutkan Sarah, Rina serta Naim yang datang menghampiri.

            “Olivia, buang rantai kunci tu! Nanti kau akan terkena sumpahan dan akan mati, sama macam dia orang,” pekik Hanim ketakutan. Rina terkejut dengan kata-katanya. Mungkin dia sudah ‘termakan’ dengan hujahan Faizal tadi. Sarah serta Naim turut terkejut dan tertanya mengapa Hanim berkata demikian.

            “Hanim, apa kau cakap ni? Aku tak fahamlah.” Tanya Sarah ingin tahu.

            “Tak ada apa, Sarah. Dia hanya takut dengan kejadian yang dah berlaku. Kau orang pun tau sendiri, kan? Kesemua pelajar yang mati ada memiliki rantai kunci masing-masing. Aku pun sendiri takut dan trauma.” Rina cuba menenangkan keadaan kerana tidak mahu mereka mempercayai kata-kata Hanim tadi.

            “Tapi kau sendiri ada rantai kunci tu. Kau tak takut terkena sumpahan nanti?” Sua Olivia. Rina tersentap. Sarah dan Naim pantas memandang ke arahnya. Rina berasa cuak seketika dan tidak tahu hendak mengatakan apa lagi.

            “Sudah! Lupakan benda mengarut ni. Rantai kunci tu takkan bagi sumpahan maut atau sebagainya. Jangan cepat percaya perkara syirik macam tu. Olivia, kau simpan aje rantai kunci kau tu. Jangan tunjuk kat sesiapa. Kau pun sama juga, Rina.” Naim akhirnya mencelah dan meluahkan apa yang hendak dikatakan. Wajah Rina dipandangnya dengan senyuman dan secara tidak sengaja meletakkan tangannya ke atas bahu Rina.

            Rina segera menepisnya dan mencebik ke arah Naim. “Apa ni, Naim?!”

            Tindakan Naim itu turut diperhatikan Sarah, Olivia dan Hanim. Mereka bertiga serentak terkejut walaupun sudah lama tahu Naim sedang menaruh perasaan terhadap Rina.

            “Maaf, Rina. Aku tak sengaja.” Segera Naim meminta maaf kepada Rina. Kemudian tersenyum sinis ke arahnya. Seolah-olah tidak ikhlas dengan ucapan maafnya tadi.

            Rina tidak membalasnya apa-apa sebelum beredar dari situ seorang diri. Diikuti pula Hanim yang mengejarnya dari belakang. Sementara Sarah memandang serius ke arah Naim yang masih memerhatikan Rina dengan senyuman sinisnya.

            “Aku taulah yang kau suka dia tapi agak-agaklah dengan tindakan kau tadi. Kalau terjadi kat aku, dah lama aku tampar muka kau,” tegurnya. Olivia hanya diam mendengarnya.

            “Eleh! Kau pun samalah. Dulu asyik berpegangan tangan dengan arwah Faiz. Kami dah cuba tegur kau berdua tapi buat tak tau,” bidas Naim bengang.

            “Jangan cuba ungkit hal aku dengan arwah Faiz!” Ugut Sarah geram. Olivia pantas meredakan ketegangan mereka berdua. Dia tidak mahu melihat orang bertengkar di hadapan matanya. Sarah mengangkat kaki beredar dari situ meninggalkan Naim dan Olivia. Wajahnya masih bengang dengan kata-kata Naim walaupun pada hakikatnya hal tersebut memang berlaku sebelum ini.

Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miura