Home Novel Seram/Misteri Rantai Kunci Misteri
Bab 14

Sementara itu, di ibu pejabat polis di utara tanah air,

SESEORANG sedang mengetuk pintu bilik pejabat. Setelah diberi isyarat masuk, lelaki yang berpakaian kemas itu sempat memberi salam sebelum dijemput duduk. Di hadapan beberapa fail sedang terbentang di atas meja. Wajah seorang anggota polis diperhatikannya seketika. Dan polis itu pula membalasnya dengan senyuman.

            “Faizal, ini dia fail-fail kes yang kau nak minta tu,” ujar anggota polis yang bernama Hasan itu. Senyumannya masih terukir di bibir. Faizal mengangguk perlahan lalu memerhatikan fail-fail yang mengandungi kes-kes rumit yang belum diselesaikan.

            “Sepanjang kau siasat kes ni, kau pernah berehat tak? Tengok muka kau macam pucat lesu aje,” tegurnya, prihatin.

            “Tak apa, aku okey. Terima kasih untuk fail ni. Aku akan siasat semua kes ni. Terima kasih sekali lagi,” ucap Faizal tersenyum pahit.

            Hasan sekadar mengeluh memerhatikan rakan lamanya itu. Dulu elok sahaja bekerja sebagai guru di sekolah. Sekarang sudah berhenti dan mahu menjadi penyiasat persendirian, kononnya mahu menyiasat kes-kes kematian yang kerap berlaku setiap hari. Pernah bertanya beberapa kali alasan mengapa dia jadi begitu namun soalannya tidak pernah dijawab.

            “Faizal, sekurang-kurangnya kau kena ambil masa untuk rehatkan diri. Otak kau dah jenuh fikirkan banyak perkara untuk kau. Bagilah otak kau tu berehat sikit,” pesan Hasan sekadar mahu membantu rakannya.

            “Malam semalam aku dah rehat panjang. Terima kasih atas nasihat tu,” balas Faizal bersahaja. Kepala diangguk beberapa kali.

            Hasan terus terdiam dan tidak berkata apa-apa. Keluhannya dilepaskan lagi. Matanya sekadar membiarkan Faizal berlalu pergi meninggalkan bilik pejabatnya. Pernah juga dia terfikir sendiri mengapa Faizal beria-ria mahu menyiasat kes-kes kematian. Ada sesuatu yang pelikkah dengan mangsa-mangsa yang mati sebelum ini? Kematian yang berlaku setiap hari adalah perkara biasa baginya. Cuma apa yang pelik adalah kewujudan seutas rantai kunci yang sering ada tatkala kematian berlaku. Perkara pelik itukah yang sedang disiasat oleh Faizal?

            Di luar bangunan ibu pejabat polis, Faizal sempat membuka fail kes yang terbaharu lalu membacanya. Kemudian dia melirik jam tangannya. Satu lagi kematian sudah pun berlaku dalam tempoh 30 minit yang lalu. Dan kali kedua kes kematian berlaku di universiti utara tanah air. Di dalam fail tersebut turut diselitkan beberapa keping foto. Antaranya foto mangsa yang meninggal akibat patukan ular berbisa serta foto rantai kunci yang ditemui pada beg duit mangsa.

            Faizal mengeluh kasar. Makin banyak kes rumit yang diterimanya, makin banyak persoalan timbul. Persoalan paling utama adalah kaitan rantai kunci dengan kes kematian. Puas dia mencari jawapan namun tidak ditemuinya. Tiada sebarang petunjuk yang dapat diperolehinya sehingga kini.

            Telefon pintarnya dicapai lalu cuba menghubungi seseorang. Setelah panggilannya diangkat, terus dia memberitahu tentang kes kematian terbaharu kepada rakan dalam talian.

            “Eh!? Betul ke?” Balas Hasrul dengan reaksi terkejut. Kebetulan dia mengaktifkan alat pembesar suara pada telefonnya bagi memudahkan Nazrin untuk mendengarnya juga.

            “Ya. Dalam tempoh 30 minit yang lalu, berlaku lagi kematian seorang pelajar lelaki akibat dipatuk ular berbisa di universiti utara tanah air,” balas Faizal mengiyakannya.

            Nazrin dan Hasrul saling berpandangan. Baru dua hari yang lalu, kes bunuh diri telah berlaku di universiti yang sama. Kali ini melibatkan kes dipatuk ular berbisa pula.

            “Ada tak rantai kunci ditemui untuk kes kali ni?” Tanya Hasrul ingin tahu.

            “Mestilah ada. Kalau tak, aku takkan hubungi kau sekarang,” jawab Faizal bersikap dingin. Hasrul tersengih mendengarnya. Kemudian menganggukkan kepala ke arah Nazrin.

            Setelah tiada apa yang hendak dikatakan lagi, Faizal terus mematikan panggilan. Hasrul serta Nazrin terkedu seketika. Memang itu sahajakah perkara yang hendak diberitahu?

            Faizal mengeluh lagi. Kesemua fail dimasukkan ke dalam beg sandang lalu memasuki ke dalam keretanya. Enjin kereta terus dihidupkan sebelum meluru laju meninggalkan perkarangan ibu pejabat polis.

 

Tiga tahun yang lalu,

SUDAH setahun pasangan suami isteri ini berkahwin. Walaupun belum dikurniakan anak, namun mereka berharap dan berdoa agar dikurniakan anak suatu hari nanti. Suatu hari, pasangan mesra ini sedang berjalan-jalan sebelum singgah di sebuah kedai cenderahati. Sebenarnya mereka ingin meraikan ulang tahun perkahwinan yang pertama.

            Pelbagai aneka barang yang dijual di kedai tersebut namun masing-masing buntu untuk memilih yang paling menarik. Sewaktu sedang mencari barang yang menarik, tiba-tiba mata si isteri terpandang sesuatu yang menarik perhatian. Riak wajahnya berubah dan perasaannya bercampur baur. Makin dia mendekati barang tersebut, makin hatinya terasa sebak. Si suami yang menyedari tingkah laku isterinya terus berjalan mendekatinya.

            “Kenapa muka nampak sedih aje?” Tegur Cikgu Faizal, yakni si suami.

            Isterinya, Cikgu Nani menggeleng perlahan. Senyumannya dilemparkan. Lalu dia mengambil barang yang menarik perhatiannya, iaitu seutas rantai kunci berlian. “Tak sangka benda ni masih ada sampai sekarang. Dulu memang teringin nak beli ni tapi tak kesampaian,” katanya.

            “Oh, yang ini ke?! Nostalgia betul! Kalau Nani nak, ambillah satu,” balas Cikgu Faizal tersenyum. Cikgu Nani berasa gembira mendengarnya. Rantai kunci tersebut dipandangnya lagi. Peristiwa rakan baiknya yang mati akibat letupan kereta terus diingatinya. Kerana arwah rakannya juga memiliki rantai kunci yang sama. Cikgu Nani menggenggam rantai kunci tersebut sambil menutup mata. Dia berdoa agar roh rakannya berada dalam keadaan baik.

            Beberapa hari kemudian, berlaku kejadian yang tidak dijangka apabila bas sekolah yang membawa rombongan murid sekolah rendah telah mengalami kemalangan teruk. Mangsa yang terlibat bukan sahaja rombongan murid sahaja, malah Cikgu Nani sebagai guru pengiring turut terlibat juga. Malang sekali, kesemua mangsa yang terlibat meninggal dunia serta-merta di lokasi kemalangan kecuali pemandu bas yang mengalami kecederaan teruk di kepala.

            Tidak percaya dengan berita tersebut, Cikgu Faizal segera bergegas ke lokasi kejadian dan menemui Cikgu Nani yang tidak bernyawa itu. Dia meratapinya dengan tangisan tidak berlagu sebelum ditenangkan oleh pihak polis yang tiba di lokasi kejadian. Kemudian dia terdengar perbualan polis mengenai penemuan beberapa utas rantai kunci berlian di dalam bas. Jika dikira jumlahnya, ia menyamai dengan jumlah mangsa yang meninggal. Dalam erti kata lain, kemungkinan setiap mangsa memiliki seutas rantai kunci masing-masing termasuk Cikgu Nani.

            Cikgu Faizal hanya mengendahkan sahaja. Mungkin maklumat tersebut penting bagi polis, tetapi tidak baginya. Namun fikirannya berubah apabila berlaku kes yang melibatkan rompakan di sebuah rumah tidak jauh dari rumah Cikgu Faizal. Menurut jiran, setelah merompak rumah mangsa, perompak telah bertindak membunuh mangsa sehingga mati. Cikgu Faizal juga terdengar cakap-cakap dari jirannya yang mengatakan mangsa juga memiliki rantai kunci berlian.

            “Aku pernah dengar sebelum ni, ada seorang gelandangan mati kat tepi jalan sambil menggenggam rantai kunci tu. Tak taulah gelandangan tu mati sebab apa.”

            “Mungkin rantai kunci pembawa nasib malang atau nasib maut. Aku pun pernah dengar kejadian seorang budak sekolah mati akibat digigit anjing liar. Budak tu pun ada rantai kunci pada begnya. Ish, menakutkan betullah!”

            Cikgu Faizal terdiam seribu bahasa.Benarkah rantai kunci berlian itu pembawa nasib malang? Kemudian dia lansung teringat kepada maklumat yang dicuri dengar dari pihak polis mengenai penemuan rantai kunci itu di lokasi kemalangan bas rombongan tempoh hari. Kaki Cikgu Faizal terasa lemah buat seketika. Seakan tidak mempercayai kewujudan unsur syirik pada rantai kunci tersebut. Dan jika benar, pasti kes yang melibatkan kematian akan kian bertambah selepas ini.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miura