Home Novel Seram/Misteri Rantai Kunci Misteri
Bab 17

IMRAN pernah mendengar khabar angin sebelum ini yang mengatakan Cikgu Faizal yang dahulunya mengajar di sekolah menengah rendah di utara tanah air sudah menjadi seorang penyiasat persendirian. Sekarang bila sudah nampak orangnya di depan mata, Imran tidak boleh mempertikaikannya lagi. Rina pula tidak menyangkanya kerana kali terakhir berjumpa dengan guru itu adalah pada tahun 2011. Dan selepas itu, dia lansung tidak mendengar khabar berita mengenainya.

            “Err.., cikgu apa khabar? Sihat?” Sapa Imran. Faizal hanya diam menganggukkan kepala. Senyuman di bibir seakan terpaksa dibuat. Imran serta Rina hairan seketika. Dahulunya bekas guru itu tidak bersikap dingin sebegini. Dia seorang yang sedikit tegas dan penyayang orangnya.

            “Boleh tak jangan sebut ‘cikgu’ depan saya? Saya bukan lagi seorang cikgu bagi kamu lagi,” pinta Faizal mengeluh.

            “Habis tu nak panggil apa? Encik Faizal?” Pantas Rina menyampuk. Faizal berpaling memandang ke arah Rina. Sejak dari zaman sekolah lagi, gadis itu masih bersikap dingin sehingga sekarang.

            “Panggil abang saja,” balas Faizal ringkas. Mendengarnya, Rina sekadar tersengih dalam diam seolah memerlinya. Tetapi Faizal masih menyedari tingkah lakunya.

            “Kenapa abang datang ke sini?” Soal Imran setelah lama berdiam.

            Setelah menyedari tujuan asalnya, lantas Faizal membelek beg bimbitnya lalu mengeluarkan keratan akhbar mengenai kejadian pemain bolasepak yang maut dipanah petir. Wajah Imran lansung berubah sebaik ditunjukkan keratan akhbar tersebut. Namun dia mencuba untuk tidak bersedih lagi.

            “Saya taulah abang dah jadi penyiasat persendirian. Takkan kes macam ni abang nak siasat? Abang siasat kes yang macam mana?” Tanya Imran ingin tahu.

            “Saya nak tanya, kesemua mangsa ni kawan-kawan kamu ke?” Faizal lansung tidak menjawab pertanyaan Imran, sebaliknya menanyakan soalan kepada Imran. Akur dengan soalan tersebut, Imran sekadar mengangguk kepala sahaja.

            “Saya dah dapat salinan laporan polis serta laporan kematian dari pihak hospital. Saya pun dah baca tentang laporan kamu sebagai saksi kejadian. Sebelum kejadian, ada apa-apa yang mencurigakan tak pasal kawan-kawan kamu?” Tanya Faizal lagi.

            Imran mengambil masa untuk berfikir. Sementara Rina mendiamkan diri sambil mendengar perbualan mereka. Selang beberapa minit kemudian, Imran menggeleng kepala dan mengatakan tiada kecurigaan yang berlaku kepada arwah kawan-kawannya. Faizal mengangguk faham.

            “Saya yang bersalah sebenarnya. Saya sepatutnya panggil dia orang untuk berlindung di tempat terteduh. Tapi bila tengok keadaan sekeliling yang baik, saya pun cubalah berfikir secara positif. Tak sangka pula keadaan berlaku sebaliknya,” luah Imran sedih.

            “Saya tau tu. Kan saya dah baca laporan kamu? Lagi satu, saya nak tanya lagi. Harap kamu jangan marah atau sebagainya. Semua kawan kau tu, ada bawa tak rantai kunci bersama mereka sewaktu dipanah petir?”

            Pertanyaan Faizal sedikit menyentakkan Imran serta Rina yang mendengarnya. Rina kemudiannya tergamam. Tiba-tiba sahaja jantungnya berdegup laju. Pertanyaan tadi mula membuatkan dia menjadi tidak selesa dan tidak tenang. Perlahan Imran mengangguk kepala. Faizal sekadar mengangguk faham.

            “Baiklah, itu saja. Saya nak balik dulu. Minta diri,” pinta Faizal setelah mengemaskan beg bimbitnya. Tergesa-gesa dia turun dari beranda rumah lalu memasuki keretanya. Imran dan Rina sekadar memerhatikannya dari atas beranda.

            Rina beralih memandang ke arah Imran yang sedang dalam kehairanan. Mungkin masih memikirkan pertanyaan bekas guru mereka tadi. Kes pelajar bunuh diri, kes pelajar maut dipatuk ular serta kes pelajar maut akibat serangan sakit jantung; ketiga-tiga kes tersebut telah berlaku di hadapan mata Rina. Anehnya rantai kunci berlian pasti ada di sisi mangsa. Adakah ia satu kebetulan? Bagaimana pula dengan kes kematian lain di luar universiti?

            “Tak kiralah apa pun tanggapan orang lain, aku tetap menganggap rantai kunci tu adalah pembawa nasib tuah bagi aku. Jom, aku hantar kau balik ke universiti,” ujar Imran setelah lama berdiam diri. Rina diam tidak membalas kata-katanya. Sekadar menganggukkan kepala sahaja.

 

KURANG dari satu kilometer menuju ke universiti, keadaan jalanraya mula kelihatan sesak. Rina hairan dengan situasi tersebut. Biasanya tidak terlalu sesak sepanjang hari. Hujan gerimis yang turun sekejap tadi sudah mulai reda. Rina mula berasa tidak sedap hati. Perlahan-lahan kereta dipandu ke hadapan sehingga mereka berdua menyedari terdapat berlaku kemalangan tidak jauh dari situ.

            Makin mereka menghampiri pintu pagar utama, makin jelas mereka melihat kemalangan tersebut. Namun dikatakan mangsa telah pun dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Rina mengeluh kelegaan. Mungkin telah terjadi kemalangan kecil dan mangsa sekadar mengalami kecederaan sahaja. Itulah apa yang sedang bermain di fikirannya. Dia tidak pasti jika berlaku perkara sebaliknya.

            Tiba di kawasan asrama, Rina serta Imran berasa hairan mengapa ramai pelajar berkumpul di bawah pondok asrama. Lebih-lebih lagi ramai di kalangan mereka adalah rakan kelas Rina sendiri. Rina terus keluar dari kereta sementara Imran sekadar menunggu di dalam kereta sahaja.

            “Kenapa semua berkumpul kat sini? Ada apa-apa perjumpaan ke?”

            “Rina, tadi kau lalu kat depan pagar utama kan? Mesti kau nampak ada kemalangan berlaku kat situ. Ada orang cakap mangsa yang terlibat adalah kawan kelas kita,” jawab Hanim.

            Rina tersentak dan terkejut. Lantas dia memerhatikan satu per satu wajah rakan kelasnya. Dia cuba mencari seseorang yang diyakini memiliki rantai kunci berlian sebelum ini. “Nadia mana? Dia ada turun tak?” Tidak puas mencari, dia menyoal ketiadaan pelajar tersebut.

            Hanim dan Olivia mula menyedari ketiadaan Nadia. Begitu juga dengan rakan sekelas lain. Mereka mula menghubungi Nadia tetapi tidak diangkat. Mesej pula tidak dibalas. Wajah Rina kian berubah panik. Lantas berpaling ke arah Imran yang sudah pun keluar dari kereta.

            “Kenapa? Pasal kemalangan depan pagar tadi ke?” Tanya Imran setelah Rina datang kembali menghampirinya dengan wajah yang cemas. Rina pantas mengangguk.

            “Rupanya mangsa yang terlibat tadi adalah kawan kelas aku juga. Dan dia juga ada rantai kunci macam kita,” balasnya dengan wajah cemas. Imran mengeluh panjang. Dia mula perasan ada mata-mata yang sedang perhatikan mereka berdua.

            “Jangan risau. Dia akan selamat. Rantai kunci tu pasti akan ‘selamatkan’ dia,” balas Imran sambil tersenyum. Bahu Rina ditepuk perlahan sebelum memasuki ke dalam keretanya. Dia meminta diri untuk pulang ke rumahnya semula.

            Rina terdiam seketika. Mengapa Imran masih memikirkan rantai kunci tersebut membawa nasib tuah? Ada maknakah di sebaliknya? Dari pondok asrama, Sarah yang perhatikan mereka berdua tadi mula tertanya-tanya tentang hubungan Rina dengan lelaki tersebut. Sebelum ini, Olivia pernah melihat mereka berdua namun hubungan mereka hanya setakat rakan biasa sahaja.

            “Nampaknya pasti lepas ni perkara menarik akan berlaku,” kata Sarah separuh bisik. Senyuman sinis terukir di bibir. Lalu memberi isyarat kepada Hanim serta Olivia tentang kehadiran Naim yang secara kebetulan lalu di situ. Pasti dia juga terlihat perbualan di antara Rina dan Imran sebentar tadi.

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miura