Home Novel Seram/Misteri Rantai Kunci Misteri
Bab 2

MALAMnya, selesai bapanya menunaikan solat Isyak, Rina yang sudah menunggu depan pintu bilik berjalan perlahan menghampiri bapanya. Tangan kanannya dilihat sedang menggenggam sesuatu. Pun begitu, entah mengapa si budak 11 tahun itu kelihatan seperti teragak-agak untuk memberitahu sesuatu perkara. Tanpa alasan apa-apa, jantungnya sudah berdegup laju. Mungkinkah berkait dengan benda yang sedang digenggamnya sekarang?

            “Rina? Ada apa datang ke sini?” Tegur Zamir sekaligus memeranjatkan anaknya dari lamunan. Kedua-dua tangannya disembunyikan di belakang.

            “Se-sebenarnya.., ini! Ayah ada bagi kat Rina ke pagi tadi?” Rina segera buang perasaan teragak-agaknya dan menunjukkan batu permata jernih kepada bapanya. Memang dari siang tadi setelah bangun dari tidur, dia fikir batu tersebut diberikan oleh bapanya.

            Zamir kebingungan seketika. Batu permata itu diambil dan dilihatnya dengan teliti. Dia bukanlah seorang pakar ketulenan batu permata. Namun jika dilihat dari mata kasar, dia percaya batu tersebut memang asli terutama sekali dari segi kecantikannya. Dia mula tertanya, dari mana anak perempuannya mengutip batu semahal itu?

            “Rina, mana kau kutip batu ni? Ayah tak mampu nak belikan batu ni untuk Rina,” ujarnya. Rina mula kehairanan.

            “Kalau bukan ayah, habis tu siapa yang letak batu ni kat atas meja bilik Rina? Pagi tadi, lepas Rina bangun tidur, Rina nampak dengan jelas batu tu kat atas meja. Rina ingat ayah yang letak, kononnya nak bagi hadiah atau sebagainya,” balas Rina jujur.

            Zamir mengeluh panjang. Jika boleh, dia mahu mempercayai anaknya sendiri. Namun dia masih teragak-agak. Masakan pula budak berusia 11 tahun pandai mencuri sebiji batu permata? Atau mengutipnya di jalanan tanpa mengembalikannya kepada pemilik sebenar?

             “Rina, Rina tak berbohong pada ayah, kan? Memang betul batu ni ada kat atas meja bilik Rina?” Soal Zamir untuk kepastian. Kepala anaknya diangguk laju. Memang selama ini dia tidak pernah berbohong kepada bapanya.

            Renungan mata Rina cukup menjelaskan bahawa dia tidak berbohong mengenai keberadaan batu permata jernih itu. Dan jika betul dia berkata benar, dari mana munculnya batu tersebut dan mengapa boleh ada di atas meja bilik Rina? Buat sementara ini, biar Zamir yang memegang batu tersebut dan meminta anaknya kembali ke biliknya semula. Banyak perkara serta persoalan yang sedang difikirkannya sekarang.

            Zamir bangkit lalu melipat kain sejadahnya. Usai melakukannya, matanya sekali lagi memandang ke arah batu permata itu. Memang cantik dari luaran dan juga dalamannya, namun dia bukanlah peminat batu permata atau sebagainya. Dia berniat mahu membawanya ke kedai barang emas untuk meneliti ketulenan batu tersebut.

           “ASTAGHFIRULLAH!!” Tidak semena-mena Zamir terjerit kuat sambil mengucap kata istighfar setelah mendengar bunyi hentakan kuat dan diikuti deraian kaca berjatuhan. Rina turut tersentak kuat dek bunyi yang sama.

            “Ayah!!” Jeritnya lalu mendekati semula bapanya.

            “Jangan datang dekat!” Pantas Zamir menghalang anaknya yang sudah berada di hadapan pintu bilik. Rina ketakutan seketika walaupun suasana tidak seperti yang disangkakan. Yang hanya berlaku adalah tingkap kaca bilik Zamir telah hancur berderaian, membiarkan kain langsir bebas ditiup angin malam.

          “Rina, pergi masuk ke bilik Rina sekarang! Tak ada pun yang berlaku sebenarnya. Jangan terlalu bimbang sangat,” tegas Zamir. Rina yang masih ketakutan akur menuruti kata-kata bapanya dan bergegas lari ke biliknya semula. Pintu dikunci dari dalam. Mata dan telinganya ditutup rapat kerana dia tidak mahu mendengar apa-apa lagi bunyi kuat.

            Zamir segera menjenguk ke luar tingkap dan memerhatikan jika orang yang telah memecahkan tingkap kacanya tadi masih ada di sekeliling. Malang sekali, tiada sesiapa di situ. Ditambah pula dengan suasana malam yang gelap gelita. Bagi memuaskan hatinya, lampu suluh segera dicapai dan cuba keluar dari rumah. Tatkala lampu dinyalakan, hatinya mula berdebar-debar. Berdebar mencari orang yang bertanggungjawab memecahkan tingkap biliknya. Entah budak kecil, orang muda ataupun orang tua yang melakukannya.

            Setelah mencari sekeliling tempat termasuk halaman rumah, memang tiada sesiapa yang dapat dicari. Mungkin si pelakunya sudah lama melarikan diri. Pun begitu, Zamir masih belum memaafkan si pelaku tersebut. Dia melihat cara si pelaku memecahkan tingkap kaca seolah-olah dibuat secara sengaja. Apatah lagi dibuat pada waktu malam.

 

PAGI esoknya, Rina bersekolah seperti biasa. Sewaktu dalam perjalanan ke sekolah, dia sempat menoleh dan memerhatikan kedai runcit yang dikerumuni rakan-rakan sekolah semalam. Malangnya kedai tersebut masih ditutup. Rina melepaskan keluhannya.Wajahnya memaparkan rasa sedikit kebosanan dengan renungan mata yang suram.

            Zamir hanya diam memerhatikannya. Tidak mahu mengatakan sepatah perkataan pun. Masing-masing hanya senyap membisu sehinggalah tiba di sekolah. Wajah Rina kembali ceria kerana tidak sabar berjumpa semula dengan rakan-rakan sekelasnya. Zamir membalasnya dengan senyuman manis. Matanya tidak terlepas dari memandang anak tunggalnya hingga memasuki pagar kawasan sekolah.

          Selepas apa yang berlaku malam semalam, Zamir lansung tidak menceritakan apa-apa kepada anaknya hingga saat ini. Biarlah menjadi perkara yang terlupakan dan berharap anaknya turut lupa akan kewujudan batu permata jernih itu.

            Loceng sekolah akhirnya berbunyi lagi menandakan tibanya waktu rehat. Semua murid bergegas keluar dari bilik darjah menuju ke kantin untuk mengisi perut yang lapar. Tidak terkecuali juga tiga sekawan ini. Mata Rina mula tertarik pada satu benda iaitu, rantai kunci yang digantung pada dompet wang milik salah seorang rakan sekelasnya.

            Malah bukan sahaja rakan sekelasnya, rakan-rakan lain turut memiliki benda yang sama. Rina terdiam seketika, membuatkan dua orang rakannya menegurnya dari belakang.

            “Oit, Rina! Kau okey ke?”

            “Ya, aku okey tapi.., kenapa semua orang ada rantai kunci macam tu? Dari mana dia orang beli? Jenis yang hampir sama pulak tu,” tanya Rina ingin tahu.

            “Nak tau ke?” Lalu Siti menunjukkan rantai kunci yang baru dibelinya semalam. Turut digantung pada dompetnya. Nurul juga tidak terkecuali. Mata Rina membulat saat melihatnya. Ia merupakan rantai kunci berlian di mana bentuknya serupa dengan batu permata yang ditemui Rina. Namun ia bukannya berlian asli dan memiliki warna yang sangat menarik. Terdapat juga seutas tali untuk digantung, bunga hiasan serta loceng kecil yang asyik berbunyi ketika digoncangkan.

            “Kau orang berdua beli kat mana ni?” Soal Rina ingin tahu.

         “Kat kedai runcit Pak Wan,” jawab Siti tersenyum. Sering kali dia asyik menggoncangkan rantai kuncinya hingga mengeluarkan bunyi dari mini loceng itu.

            Oh, begitukah?! Gertak hati Rina. Patutlah ramai yang mengunjungi kedai runcit tersebut semata-mata hendak membeli rantai kunci yang menarik itu rupanya. Dan dua orang rakannya turut pergi ke kedai tersebut dan membelinya. Mengapa Rina tidak lansung mengetahuinya? Sudah menjadi ikutan kepada semua murid di sekolahkah?

            Nurul akhirnya membuka mulut dan menceritakannya kepada Rina. Segalanya bermula pada hari semalam di mana salah seorang murid dari kelas darjah empat membeli seutas rantai kunci yang sangat menarik dan unik. Semua rakan sekelasnya mula mencemburuinya dan inginkan benda yang sama. Dari satu kelas hingga ke kelas lainnya, perkara tersebut mula tersebar hingga ke kelas darjah lima.

           Ketika itu, Rina sedang sibuk berada di pusat sumber dan tidak berada di dalam kelas sehingga tamatnya waktu persekolahan. Siti dan Nurul memang berniat hendak memberitahu perkara tersebut namun dibatalkan kerana Rina sendiri sudah memiliki ‘sesuatu’ yang mirip dengan rantai kunci berlian itu.

            Rina berasa sedikit kecewa dengan rakannya tetapi sempat dipujuk oleh Nurul kerana mereka berdua tidak berniat untuk merahsiakannya. “Kau tak berminat nak beli ke? Aa..! Kalau kau nak beli, jangan beli sama warna dengan aku ya?” Kata Siti dengan nada yang sinis.

            Rina hanya diam sambil tersenyum. Kepalanya dianggukkan. Lantas pergi beratur untuk membeli makanan. Sekali lagi mata Rina terlihat rantai kunci yang sama di ruang meja makan para guru. Tidak disangka, bukan sahaja menjadi ikutan para murid sekolah, malah para guru juga meminati rantai kunci tersebut.


PULANG dari sekolah, Rina tekad untuk membeli rantai kunci yang kian menjadi ikutan rakan-rakan sekolah. Mujur bapanya mahu singgah ke kedai runcit Pak Wan setelah dipujuk oleh Rina. Keluar sahaja dari kereta, Rina melihat ada lagi segelintir orang yang membeli rantai kunci berloceng itu. Melangkah masuk sahaja ke dalam kedai, tiupan angin tiba-tiba menerjah ke arah Rina dengan kuat. Dadanya terasa berdebar dengan wajah yang panik. Bapanya dipandang laju.

            “Ayah, terasa tak angin masuk tadi?”

            “Hah?! Angin mana pulak ni? Sini kedai tertutuplah,” balas Zamir dengan perasaan pelik. Mengapa anaknya bertanyakan demikian?

            Rina terdiam seketika. Mungkin yang berlaku tadi hanyalah tiupan angin kuat dari luar kedai. Fikirannya belum cukup matang lagi. Pandangannya kemudian beralih ke arah rantai kunci yang dibungkus dengan plastik jernih. Pelbagai warna yang ada termasuklah warna kesukaan Rina sendiri, iaitu biru.

            Malang sekali warna biru sudah dibeli oleh Siti dan dia sendiri tidak mahu Rina membelinya dengan warna yang sama. Entah apa sebabnya tidak tahulah. Akhirnya Rina terpaksa memilih warna putih. Apa salahnya jika memilih warna putih? Walau warna berbeza, tetapi rantai kunci yang dijual tetap memiliki ciri-ciri yang sama yang mampu menarik perhatian orang ramai.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miura