Home Novel Seram/Misteri Rantai Kunci Misteri
Bab 34

SELESAI mandi membersihkan diri, Rina kembali ke bilik tidurnya. Matanya memerhatikan lukisan pelik dengan perasaan geram. Lalu dia duduk di atas katil membelakangi lukisan tersebut. Rambutnya yang masih lembap dibaluti dengan kain tuala. Telefon pintarnya dicapai dan membuka laman sosialnya. Kemudiannya reaksi wajahnya berubah sewaktu melihat beberapa berita terkini yang sedang dalam viral. Berita tersebut memapar sebuah kilang di utara tanah air telah meletup dan mengorbankan seluruh pekerjanya.

            Kejadian tergempar tersebut amat memeranjatkan Rina sekaligus traumanya kembali mencengkam diri dek serupa dengan kejadian kebakaran di sekolah menengah dahulu. Kepalanya diserang sakit secara tiba-tiba. Rina tidak dapat menahan kesakitannya. Satu lagi ingatan bukan miliknya muncul kembali dalam fikirannya. Dia berdepan dengan pelbagai cercaan, tohmahan serta dilemparkan dengan kata-kata benci dari orang kampung.

            Tidak dapat menahan dengan tekanan tersebut, dia terus pulang ke rumah dan mengadu kepada ibunya. Ibunya dengan tersenyum memujuknya supaya bersabar dan bertenang menghadapi dugaan berat. Tangisannya terhenti sebaik melihat wajah ibunya yang agak tenang. Kemudian masing-masing memandang ke arah cermin panjang yang disandarkan di dinding. Ibunya membisikkan sesuatu ke telinganya sebelum ingatan tersebut hilang dari fikirannya.

            Rina berasa sangat cuak. Titik peluh mula kelihatan keluar dari tubuh badan. Mengapa arwah ibunya membisikkan perkara yang tidak pernah dijangkakannya? Fikirannya mula bercelaru dan menganggap arwah ibunya tidak pernah mengatakan sedemikian. Namun anehnya mengapa dia merasakan sebaliknya?

            Rina tersentak lagi gara-gara deringan telefonnya. Walaupun nombor tidak dikenali, dia hanya menjawab sahaja. “Hello?” Nadanya kelihatan tenang walaupun sebentar tadi dia agak kaget dengan ingatan pelik.

            “Hello, assalamualaikum! Rina, abang Faizal ni,” balas Faizal yang kini sedang berada di tepi keretanya.

            “Wa-waalaikumussalam. Mana cikgu tau nombor ni?” Soal Rina hairan. Selama ini tidak pernah dia memberikan nombor telefonnya kepada sesiapapun.

            “Imran yang bagitau kat saya. Saya ada sesuatu nak bagitau kat kamu. Harap kamu pasrah dan redha.” Hati Rina terasa berdebar setelah mendengar kata-kata Faizal dalam talian. Apakah ada perkara yang telah berlaku?

            “Kawan satu universiti dengan kamu, namanya Olivia kan? Dia meninggal dunia awal pagi tadi sebab dibunuh.” Alangkah terkejutnya Rina sebaik mendengar khabar buruk tersebut. Telefonnya terlepas dari genggaman tanpa disedari. Air matanya mengalir ke pipi. Dia tidak tahu sebab mengapa. Detik kenangannya bersama Olivia mula diingati sehinggalah dia teringat akan ugutan bertulisan darah di dalam bilik air ketika di asrama universiti dulu. Siapa yang telah membunuh Olivia dan apa sebab dia dibunuh?

 

RINA sambil ditemani Hanim dan Sarah sekadar memerhatikan dari jauh akan upacara pengebumian mendiang Olivia. Kesemua ahli saudara terdekat memakai pakaian serba hitam bagi menghormati keluarga mendiang. Antara mereka bertiga, hanya Hanim sahaja yang masih bersedih dan menangis mengingati kenangannya bersama mendiang Olivia. Mereka berdua merupakan rakan paling rapat. Sarah cuba untuk memujuknya.

            Rina berjalan mendekati Faizal dengan wajah yang serius. Ketika ini Faizal sedang sibuk berbincang dengan Nazrin dan Hasrul yang sekali lagi tiba di utara tanah air. Menyedari kehadiran Rina, Faizal meminta ruang untuk bercakap dengannya.

            “Ada apa, Rina?”

            “Betul ke dia dibunuh? Polis ada dapat tangkap pembunuh tak? Adakah pembunuhnya sama dengan orang yang membunuh penghuni asrama yang lain?” Soal Rina bertalu-talu.

            “Rina, bawa bertenang. Perkara ni masih dalam siasatan polis. Dia orang berdua adalah anggota polis. Dia orang berjanji akan siasat kejadian ni walaupun masih tak jumpa apa-apa petunjuk,” balas Faizal lalu memperkenalkan Nazrin dan Hasrul kepada Rina.

            “Tak jumpa apa-apa?” Luah Rina hairan. Wajah Faizal ditenung lama. Faizal akhirnya akur dan menunjukkan bekas plastik kecil berisi rantai kunci berlian. Dari jauh Hanim serta Sarah tersentak melihatnya.

            “Macam biasa, benda ni dijumpai dalam genggaman tangan mendiang Olivia. Saya tak taulah apa yang telah berlaku sebelum tu dan tertanya kenapa dia menggenggam rantai kunci ni,” kata Faizal lalu mengeluh panjang.

            “Saya dapat rasakan yang rantai kunci ni mempunyai kuasa mistik tertentu. Mungkin lebih kurang seperti sumpahan,” bisik Faizal kepada Rina. Rina tersentak dan terdiam mendengarnya. Benarkah begitu?

            “Tau pasal berita letupan sebuah kilang di utara tanah air?” Kepala Rina pantas diangguk. “Kilang tu pembuat generasi ketiga rantai kunci ni. Habis semua orang terkorban dan tak ada satupun yang terselamat. Yang anehnya, kilang yang berada berdekatan lansung tak terkesan,” sambung Faizal.

            “Ayah aku bekerja kat kilang berdekatan dan menyaksikan kejadian tu.” Tiba-tiba Naim mencelah setelah lama berdiam diri. Kesemua mereka berpaling memandangnya kecuali Rina seorang. Imran yang memerhatikannya dari jauh melirik senyuman sinis.

            “Sebelum letupan kuat berlaku, ayah cakap berlaku beberapa letupan kecil di beberapa tempat seterusnya mencetuskan api marak. Dia orang cuba padamkan api kebakaran sementara yang lain cuba melarikan diri keluar dari kilang. Sebaik saja letupan kuat berlaku, para pekerja kilang meluru keluar dari kilang dalam keadaan diri yang sedang terbakar. Ada yang menjerit, ‘ada hantu, ada hantu kat dalam kilang!’. Ayah aku tak faham apa yang dia orang cakapkan tapi benda ni dah jadi viral dalam laman sosial,” jelas Naim lebar.

            Sarah mengakuinya setelah membaca berita mengenai pengakuan bapa Naim sebagai saksi kejadian letupan kilang. Rina masih lagi berdiam diri. Dia juga turut tahu tentang hal tersebut. Hantu apakah yang dimaksudkan oleh pekerja kilang itu? Hantu wanita berjubah hitamkah? Rina kembali memandang wajah Faizal sebaik namanya ditegur.

            “Mungkin rantai kunci ni saling berkait dengan wanita yang sering muncul dalam mimpi kamu. Mungkin betul dia berdendam dengan manusia yang ada rantai kunci ni,” beritahu Faizal separuh bisik. Sengaja tidak mahu diperdengarkan oleh sesiapa termasuk Nazrin dan Hasrul. Mungkin dia berniat akan menceritakan kepada mereka berdua di kemudian hari.

            Rina berdiam lagi. Reaksi wajahnya mempamerkan rasa cuak, panik dan cemas. Hanim serta Sarah merasakan Rina sedang mengalami tekanan emosi dan dia perlu ditenangkan dengan segera. Faizal segera memanggil Imran untuk membawa pulang Rina ke rumahnya semula. Kemudian tanpa berkata apa-apa, Faizal menyerahkan rantai kunci milik mendiang Olivia kepada Imran. Faizal hanya tersenyum sahaja dan memintanya untuk bertindak cepat.

            “Faizal, tadi kau...? Kenapa?” Faizal tidak menyangka penyerahan rantai kunci berlian kepada Imran sempat diperhatikan oleh Nazrin. Namun dia tidak mengambil kisah tentangnya.

            “Memang aku tau kau orang berdua nak siasat pasal rantai kunci tu tapi kau orang berdua tak boleh memiliki rantai kunci tu kalau kau orang berdua nak selamat dari kematian,” katanya sambil tersenyum. Hanim, Sarah serta Naim hairan mendengarnya. Begitu juga dengan Nazrin dan Hasrul. Adakah sekarang ini Faizal sedang mempercayai ‘sumpahan’ rantai kunci yang membawa pemiliknya jatuh ke dalam lubang kematian?

            “Habis tu macam mana dengan nasib budak tadi? Kau cuba nak ‘korbankan’ dia?” Soal Nazrin ingin tahu. Faizal sudah menjangkakan kata-kata tersebut. Bukan niatnya untuk ‘mengorbankan’ bekas anak muridnya dengan memberikan rantai kunci tersebut. Cuma firasatnya sahaja yang memintanya berbuat demikian. Hanya masa yang menentukan bilakah Imran akan dicabut nyawanya nanti.

            “Buat masa ni, kau orang berdua perlu selamat dan teruskan menyiasat rantai kunci berlian tu. Terserah kat kau orang samada nak berhenti ataupun tak. Ini bukan setakat soal hidup mati manusia, ia juga melibatkan soal masa depan manusia,” katanya. Lalu dia beredar dari situ meninggalkan Nazrin dan Hasrul yangg terpinga-pinga seketika. Seketika kemudian, Hanim dan Sarah juga mahu beredar pulang sambil diikuti oleh Naim.

            Namun langkah Naim terhenti sebaik namanya dipanggil oleh dua orang anggota polis tersebut. Mereka berdua mahu bertemu dengan bapa Naim secara bersemuka untuk mendapatkan keterangan lebih terperinci mengenai letupan kilang pembuat rantai kunci tersebut.

Previous: Bab 33
Next: Bab 35

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miura