Home Novel Seram/Misteri Rantai Kunci Misteri
Bab 18

RINA merebahkan diri di atas katil. Wajahnya ditelangkup dengan tapak tangannya. Entah sampai bila perkara ini akan berakhir. Setiap kematian yang berlaku pasti akan mengganggu emosinya. Walaupun sudah berazam untuk melupakan traumanya, namun ia hanya sekadar kata-kata sahaja. Dari luaran nampak baik-baik sahaja, tetapi dalamannya hanya Tuhan sahaja yang tahu.

            Rina bangkit semula sambil mengesat air matanya. Malam sudah pun membuka tirainya. Berita mengenai kematian Nadia sudah diketahui ramai pelajar termasuk rakan sekelas. Pasti ada yang sedang mengalami kesedihan. Seakan mendapat satu idea, Rina bangun dari katil dan duduk di kerusi meja. Buku lukisannya dikeluarkan lalu melakar sesuatu di atasnya. Wajahnya agak tekun dan serius.

            Sekitar 20 minit kemudian, Rina akhirnya menyiapkan lukisannya. Kali ini amat berbeza dari sebelumnya. Dia melukis wanita berjubah hitam diikat pada batang kayu dan di kelilingnya terdapat timbunan kayu yang sedang dibakar. Orang-orang yang berpakaian ketinggalan zaman turut dilukisnya. Situasi tersebut menyamai mimpi buruk yang pernah dialaminya. Agak lama Rina memandang lukisan tersebut sebelum dikejutkan dengan bunyi loceng dari rantai kunci berlian.

            Sangkanya ia berbunyi dari rantai kunci miliknya tetapi tertanya bukan. Ada orangkah yang sedang berada di luar pintu biliknya? Sekali lagi ia berbunyi kembali. Lantas Rina membuka pintu biliknya. Anehnya tiada sesiapa berada di situ. Rina cuba berfikir positif dan menganggap pasti ada orang yang cuba mempermainkannya. Seketika kemudian bunyi yang sama berbunyi lagi. Rina pantas berpaling ke arah kanannya di mana arah tersebut menuju ke bilik air. Pasti orang yang sedang mempermainkannya sedang berlari ke arah tersebut.

            Rina cuba mengejar orang tersebut sambil tidak mengeluarkan bunyi bising agar tidak mengejutkan para penghuni asrama lain. Dia tidak mahu mengecohkan keadaan pada waktu itu. Perkara aneh berlaku lagi sebaik tiba di bilik air. Jenuh dia mencari orang tersebut tetapi gagal. Sudah lari ke tempat lainkah? Namun Rina hairan. Jika orang tersebut berpatah balik, pasti mereka akan bertembung sesama sendiri.

            Kemudian dia terpandang seutas rantai kunci berlian yang ada di atas lantai bilik air. Rantai kunci itukah yang berbunyi tadi? Bulu romanya naik meremang tanpa sebab. Bilik air diperhatikan sekeliling sebelum bertindak mahu beredar dari situ. Namun langkahnya terhenti setelah namanya diseru oleh seseorang bersuara garau.

            Seorang lelaki yang sedang berdiri membelakanginya dipandang hairan. Rina seakan mengenali lelaki tersebut. Apa yang sedang dibuat olehnya? Belum sempat Rina bertanya, tiba-tiba dia diberi isyarat tangan dari lelaki itu supaya melihat ke arah cermin bilik air. Baru Rina tersedar bahawa dia sedang berdiri menghadap cermin. Jantungnya berdegup laju. Lelaki tadi pula menghilang entah ke mana.

            Perlahan Rina beralih kepala ke arah cermin. Alangkah terperanjatnya dia apabila wanita yang sering muncul dalam mimpi tiba-tiba muncul di cermin. Rina terjerit kuat sekaligus mengejutkan para penghuni asrama lain. Tanpa berfikir panjang, dia terus berlari keluar dari bilik air dan memasuki biliknya semula. Pintu bilik dikunci rapat. Nafasnya tercungap-cungap. Dia benar-benar tidak menyangka perkara tersebut akan berlaku di depan matanya.

 

PAGI esoknya, Rina mengalami demam panas. Kebetulan pula pada pagi itu tiada kelas kuliah dijalankan. Ketika hendak bangun, dia tersedar bahawa tangan kanannya sedang menggenggam sesuatu. Sebaik mendapati ia adalah rantai kunci yang dijumpai di dalam bilik air, pantas dia melemparkannya ke hujung bilik. Wajahnya berubah takut. Sempat dia amati rantai kunci tersebut. Ianya berwarna merah, berbeza dengan warna yang dimiliki olehnya. Entah siapa yang tercicir di situ, dia sendiri tidak tahu. Dia juga tertanya tentang kehadiran lelaki yang dikenalinya di dalam bilik air asrama perempuan.

            Tiba-tiba dirinya tersentak dan terkejut dek bunyi ketukan pintu biliknya. Mujur hari sudah siang, jadi dia tidak perlu takut lagi. Dengan rasa lesu dan lemah badan, Rina cuba bangkit untuk membuka pintu bilik yang berkunci itu. Di hadapan matanya, Hanim serta Olivia tersenyum memandangnya. Namun hanya sekejap sebaik menyedari wajah Rinayang agak pucat itu.

            “Rina, kau tak apa-apa? Muka kau nampak pucat,” tanya Hanim lalu cuba meletakkan tangan pada dahi Rina. Rina pantas menepisnya dan berbohong mengatakan dia tidak sakit apa-apa.

            “Kau demam ke?” Teka Hanim. Walaupun sempat ditepis oleh Rina tadi, Hanim masih merasakan suhu badan Rina yang panas itu.

            Segera Hanim kembali ke biliknya semula untuk mengambil ubat demam sementara Olivia tunggu di situ bersama dengan Rina yang pucat lesu itu. Rina kemudiannya duduk kembali di katil lalu terbaring secara spontan. Olivia berasa kasihan melihat keadaannya. Belum pernah dia melihat Rina mengalami demam atau sebagainya.

            “Kau tau tak pasal malam semalam? Ada orang menjerit secara tiba-tiba. Sampai sekarang kami tak tau siapa yang menjerit semalam. Ada yang mula cakap hantu yang menjerit,” beritahu Olivia mengenai kejadian yang berlaku malam kelmarin. Rina sekadar diam membisu. Belum bersedia lagi untuk menceritakan hal kejadian semalam.

            Selang beberapa minit kemudian, Hanim datang kembali bersama ubat demam serta sebotol air mineral. Rina terpaksa akur dan menelan ubat demam bersama dengan beberapa tegukan air mineral. Kemudian dia diminta untuk merehatkan diri dan tidak perlu menghadiri ke kelas kuliah pada petang nanti. Rina masih diam membisu dan segan untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka berdua.

            “Dia hanya demam saja. Tak lama lagi sembuhlah tu,” kata Hanim bagi menghilangkan rasa risau Olivia. Olivia mengangguk faham. Lalu mereka berdua meminta diri untuk keluar dari bilik. Mata Olivia sempat menatap salah satu lukisan yang berjaya menarik perhatiannya.Tidak mahu berada lama di dalam bilik Rina, Olivia membuat keputusan untuk mengambil kertas lukisan tersebut.

            “Kenapa kau ambil kertas lukisan Rina punya? Kalau dia sedar satu kertas lukisannya hilang, macam mana?” Soal Hanim separuh bisik setelah masing-masing keluar dari bilik Rina. Pintu bilik terus ditutup rapat.

            “Pandailah aku jawab nanti. Aku cuma tertarik dengan lukisan ni. Macam pernah tengok sebelum ni tapi tak ingat kat mana,” balas Olivia. Dahinya agak berkerut merenung ke arah lukisan seorang wanita yang sedang dihukum dibakar hidup-hidup itu.

            “Apa maksud kau?” Luah Hanim hairan. Lukisan tersebut turut dilihatnya. Riak wajahnya berubah. Walaupun sekadar lukisan hitam putih, namun ia agak menggambarkan suasana ngeri bagi Hanim.

            “Tengok! Orang-orang di sekeliling memakai pakaian lama. Setahu aku pakaian ni selalu dipakai pada zaman penjajahan British di tanah air dulu. Aku rasa wanita yang dihukum ni pasti dah buat satu kesalahan besar sehingga dihukum sekejam macam ni,” jelas Olivia.

            “Mana kau tahu?” Soal Hanim lagi.

            “Dulu aku pandai bab sejarah kat sekolah,” jawab Olivia tersenyum. Hanim mengangguk faham.

            “Tapi kalau betul apa yang kau cakap tadi, kenapa Rina lukis benda semua ni? Ada apa-apa kaitan ke?”

            Olivia pantas menggeleng. Hanim  mengeluh kehampaan. Masing-masing mula hairan dan tertanya mengapa Rina melukis hal tersebut. Sekadar menghilangkan rasa bosankah? Atau mengisi masa lapang? Adakah wanita yang dihukum itu merupakan wanita yang sama yang sering dilukis memakai jubah hitam sebelum ini?

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miura