Home Novel Komedi/Romantik Komedi Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Weeda Airiza
5/3/2015 11:22:28
175,614
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 28

SHAHMI meneliti senarai kerja yang diberikan oleh Eryna. Sejak pergaduhan mereka di hadapan Faiq tempoh hari, masing-masing cuba mengelak daripada menimbulkan soal peribadi.

Faiq jarang memarahi pekerja kecuali jika ada yang bersikap melampaui batas. Justeru, Shahmi mengambil keputusan untuk tidak mengeruhkan lagi perhubungan mereka di pejabat.

Dia telah memohon maaf kepada Faiq dan dalam masa yang sama, dia juga memberikan kata dua kepada Eryna supaya menganggapnya sebagai ketua jika mereka di pejabat.

“Klien dah setuju?” soal Shahmi.

Eryna mengangguk. Wajahnya kelihatan tenang walaupun gelora di hatinya berombak. Ada kalanya dia mahu kembali kepada Shahmi, maklumlah… Percintaan berbelas tahun mereka bukannya sesuatu yang patut diambil ringan.

Namun bila menyaksikan sikap Shahmi yang bersahaja dan tidak memujuknya, dia mula rasa sesuatu. Dia benar-benar takut kehilangan Shahmi tetapi dirinya tetap ego untuk memohon maaf di atas keterlanjuran katanya untuk memutuskan hubungan.

“Dia dah bagi deposit. Esok I nak jumpa dengan Nurul Anati daripada Enrich Wedding untuk bincang pasal keseluruhan pelamin. I dapat contact daripada member I, lepas tengok cara dia kerja. Cantik dan kemas. Senang deal pula tu. I dah ambil quotation sekali. Quite cheaper than other suppliers,” cerita Eryna panjang lebar.

Sesekali Shahmi melirik ke arah Eryna dengan perasaan cintanya yang masih ada. Dia akui, sayangnya pada Eryna tidak pernah berubah tetapi gadis itu perlu diajar sedikit supaya tidak terlalu ego dengan pendiriannya.

“Okey. I setuju. Macam mana dengan katering?” soal Shahmi sambil meletakkan kembali fail di atas meja mesyuarat.

Baru saja Eryna mahu menuturkan kata, Faiq yang berjeans hitam dan T-Shirt hitam yang dimasukkan ke dalam seluar itu muncul di pintu.

“Hitam aje hari ni. Kau berkabung ke?” usik Shahmi.

Faiq ketawa besar sebelum masuk dan duduk di tengah-tengah meja di antara mereka berdua. Tanpa sepatah kata, dia mencapai fail yang diletakkan oleh Shahmi tadi.

“Ini majlis kahwin bulan Mei yang sama dengan Ray tu ya?” soal Faiq.

“Ha’ah.”

“Oh? Hotel Polaris juga?”

“Ya. Klien yang nak. Rupa-rupanya dia dah tempah dari tahun lepas lagi,” ujar Eryna seraya menyilangkan tangan.

Baju blaus paras punggung yang berwarna peachdan dipadankan dengan jeans hitam itu membuatkan dia kelihatan begitu santai. Soal pakaian tidak berapa dititikberatkan oleh Faiq sangat di dalam pejabat, asalkan mereka selesa dan tidak nampak selekeh ketika berhadapan dengan klien.

“Hmm, situ memanglah. Yang tempah untuk 2 tahun lagi pun ada.” Faiq berkata. Matanya masih belum lepas daripada meneliti dokumen tersebut.

“Oh, I lupa nak jawab. Pasal katering tu, kita ambil Hotel Polaris punya. Sekarang dia orang ada harga yang lebih rendah. Banyak sikit pilihan untuk lauk dan manisan. Mungkin lusa I pergi sana untuk bincang. Klien nak buat food tasting dulu.”

Don’t worry. Sana semuanya sedap.” Faiq mencelah lalu tersengih.

“You memanglah. Dah sebati dengan makanan yang lalu di tekak tu,” usik Eryna.

“Ada apa-apa lagi?” Shahmi menyoal.

Eryna menggeleng. “Secara keseluruhannya I dah bincang dengan hampir semua supplier. Petang sekejap lagi I kena pergi jumpa klien untuk tengok sample hantaran. Yang itu juga under kita.”

“Hmm, jarang klien suruh buat. Biasanya hantaran dia orang sendiri nak handle,” kata Shahmi.

Eryna mengangguk pula. “Klien yang ini minta kita uruskan semua.”

Mereka bertiga terdiam beberapa saat sebelum Eryna menyoal, “kita keluar lunch ramai-ramai sekejap lagi, nak tak? Lama kita tak keluar bersama, kan?”

Shahmi mengangguk. “Okey juga. Jom bos. Not Bistro Ria again. Kita cari yang lain kat luar. Mid Valley ke?”

“Hmm, you berdua pergilah. Sorry, I ada lunch date.” Faiq menjawab sambil tergelak.

Eryna membulatkan matanya. “Amboi? Sejak bila dah serius dengan Sheila?”

“Excuse me, not her.” Faiq menjegilkan matanya.

“Aik?”

“Tak adalah. I main-main aje tapi I memang ada hal. Dah janji dengan orang untuk teman makan.”

“Teman? Hmm…” Shahmi mengangkat keningnya.

Faiq mengangkat bahunya pula sambil tersenyum kecil sebelum berlalu keluar.

“You tahu ke?” soal Eryna setelah ketua mereka hilang dari pandangan.

Shahmi menggelengkan kepalanya. “Manalah I tahu. I bukan PA dia. Kalau bukan Sheila, siapa lagi?”

“Dengan Sheila ajelah dia baik pun. Mana ada perempuan lain. Pelik betul, susah benar nak nampak dia jatuh hati dengan mana-mana perempuan.” Eryna mengomel.

Shahmi masih berfikir ketika Eryna bangun dari tempat duduknya.

“Eh, habis tu lunchkita jadi ke?” soal Shahmi.

Of course not with the two of us,” jawab Eryna sambil tersenyum sinis sebelum berlalu dan meninggalkan Shahmi yang mula rasa geram dengan bekas tunangnya itu.

**************************************

AKU memerhatikan mesej daripada Faiq. Kenapa dia suruh aku naik ke pejabat pula? Kan dah janji nak tunggu depan Bistro Ria ni? Mulalah aku rasa nak maki orang ni. Isk, sabar…

Aku berfikir sejenak. Kalau ada Shahmi dan Eryna kat atas macam mana? Perlukah aku buat tak tahu? Atau aku hanya maniskan muka, senyum dan terus berlalu dari situ? Ah, kes tu dah lama kan? Bak kata Faiq, move on!

Tanpa ada rasa ragu-ragu lagi, aku terus menuju ke lif sambil berselawat. Shahmi tu tak apa lagi, ini Eryna. Bekas kawan baik yang tikam belakang aku sendiri!

Lif terbuka di tingkat tiga dan aku terus nampak pintu masuk ke pejabatnya. Hmm, apa nak jadi pun jadilah.

Gadis di kaunter berhadapan dengan pintu kaca itu mengerutkan dahi apabila ternampak aku menekan loceng. Yalah, muka tak kenal memanglah macam tu. Namun, dia memberikan senyuman sebaik saja aku masuk ke dalam.

“Ya, cik ada apa?” soal gadis yang nampak seperti sebaya dengan aku itu.

“Saya ada janji dengan Encik Faiq.”

“Oh. Cik duduk sini dulu. Saya telefon dia sekejap. Siapa nama cik?”

“Zulaikha.”

Soalan tipikal. Aku mengangguk dan menuju ke sofa single seater yang ada dua buah di situ. Lobi pejabat tidaklah sebesar mana, kecil tetapi nampak luas dengan dinding cat yang berwarna putih bersih. Di belakang kaunter terletak dinding khas yang dipasang dengan kemasan wallpaper berjalur biru tua dan putih.

Nama syarikat terukir di bawah lampu spotlight di dinding yang sama dengan kemasan stainless steel. Kedua-dua buah sofa yang berbentuk separa bulat itu pula berwarna biru laut. Ianya diapit oleh sebuah meja kecil berkaca yang mempunyai bentuk sangat unik.

Beberapa buah majalah perkahwinan, hiasan dalaman dan suratkhabar hari ini terletak elok di atas meja tersebut. Ternyata mendamaikan untuk sesiapa yang perlu menunggu di sini.

“Cik Zulaikha, Encik Faiq minta cik masuk terus ke bilik pejabatnya.” Gadis itu menuturkan kata.

Huh? Masuk bilik pula? Ah, ini mesti kes nak tayang pejabat sendiri. Maklumlah, pelawaannya selama ni aku tak endahkan. Inipun sebab kena paksa.

“Di mana ya pejabat Encik Faiq?” Aku bertanya sambil memaniskan muka.

“Bilik yang itu,” jawab gadis itu seraya menunjukkan ke arah sebelah kiri aku dengan ibu jarinya.

“Cik terus saja. Di sebelah kiri ada ruang pekerja. Bilik Encik Faiq di sebelah kanan.”

“Terima kasih,” jawab aku sambil tersenyum kecil.

Beg sandang yang boleh dijadikan beg tangan itu aku pegang dengan tangan kanan. Sekali imbas, aku meneliti pakaian aku sendiri. Hmm, okeylah. Mimpi apa entah hari ni nak pakai baju kurung. Selalunya mesti seluar. Mungkin sebab hari ni aku memang tak ada assignment fotografi.

Aku terus berjalan masuk ke ruang pejabat. Ada beberapa orang sedang khusyuk di meja masing-masing. Mata aku galak mencari dua orang manusia yang menjadi penyibuk dalam hidup aku dulu. Mana agaknya mereka?

Tak ada pun? Bagus juga! Aku memandang pintu kaca yang mempunyai jalur sandblasted sticker corak melintang. Ini agaknya pejabat Faiq. Baru saja aku nak ketuk, ada seseorang menariknya dari dalam.

Shahmi! Lelaki itu nampak terkejut. Aku pula buat muka selamba. Shahmi menarik pintu kaca itu dengan luas. Hah, ambil sebiji! Eryna ada di belakangnya sedang memandang aku dengan renungan tajam.

“Oh, hai. Eh, I silap bilik ke? Encik Faiq ada?” Aku bertanya selamba.

“Faiq?” Eryna menyoal.

Aku mengangguk. Wajah aku masih lagi selamba. Saja buat-buat tak kenal Eryna. Bolehkan macam tu? Yang Shahmi ni masih terpacak depan aku pasal apa? Terkejut sangat ke?

“Zulaikha, yang awak pergi masuk bilik Shahmi tu buat apa? Bilik saya kat sebelah ni…”

Tiba-tiba saja suara Faiq kedengaran dari arah belakang. Alamak! Aku salah bilik ke? Cis, buat malu aje. Semua salah gadis kaunter tu. Dia tunjuk sini, aku ingat yang inilah. Baru aku perasan ada sebuah lagi bilik di sebelah. Padan muka. Nak sangat cari Shahmi dan Eryna, kan? Doaku akhirnya dimakbulkan.

“Manalah saya tahu. Lain kali letaklah nama awak kat pintu,” gelak aku sambil menoleh ke arahnya.

Kenapa aku rasa macam gelak aku tu bunyi mengada sangat? Apakah aku cuba nak berlakon di hadapan Eryna sekarang?

“Jom. Kita dah lambat,” ujar Faiq.

Aku mengangguk. Lambat pergi mana entah! Nak pergi makan aje pun, lepas tu nak pergi jumpa Ray untuk bincang hal kahwinnya! Tanpa mempedulikan Shahmi mahupun Eryna yang masih tercongok di pintu itu, kami melangkah beriringan sambil memandang antara satu sama lain. Aku tahu, Faiq sengaja mahu buat begitu!

Previous: BAB 27
Next: BAB 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.