Home Novel Komedi/Romantik Komedi Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Weeda Airiza
5/3/2015 11:22:28
175,513
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 31

“TAK payah kau nak menafikan Ju. Aku nampak.” Rayyan menjeling.

“Nampak apa?” Aku buat-buat tak tahu sambil meneguk air ribena sejuk di tepi kolam renang banglo milik keluarga Auni.

Rayyan memberikan senyuman penuh makna. “Kau dengan Faiq.”

“Hisy! Kami bestfriend ajelah!”

“Huh, tengok tu sayang... Bestfriend katanya. Yang duduk berdua makan tergelak-gelak dekat One Utama hari tu sampai tak nampak orang keliling tu, bestfriend ya?”

Merona merah wajah aku ketika ini. Alahai, Ray nampak? Hmm, memang sampai tualah aku kena sakat. Itupun sebab kami baru habis kerja di Hotel Royale Chulan, Damasara.

“Akak suka dia ya?” usik Auni yang comel dengan baju kurung sutera warna krimnya.

“Siapa?” Aku mengerutkan dahi.

“Abang Faiq.”

“Suka sebagai kawan bolehlah.”

“Tak apalah abang. Daripada kawan nanti boleh jadi kahwin,” seloroh Auni lagi.

Aku menjegilkan mata ke arah bini dua pupu aku yang suka mengusik itu. Dia hanya ketawa besar sebelum aku tersenyum. Kelakar pula dengar soalan macam tu.

“Apa cerita?” Haikal tiba-tiba menyampuk.

“Tak ada apa. Kau memang selalu ketinggalan keretapi sejak dari dulu lagi. Aku malas nak buat siaran ulangan,” usik aku pula.

Haikal menjelirkan lidahnya. Sesekali aku melihat telefon jikalau Faiq ada membalas mesej aku tadi. Sibuk agaknya dia, fikir aku. Tadi bukan main dia nak ajak borak. Katanya nak tanya pendapat. Bila aku tanya, terus senyap pula.

Rumah keluarga Auni kedengaran riuh rendah dengan para saudara-maranya yang datang meraikan kenduri kesyukuran adik Auni yang menamatkan pengajian ijazahnya.

Mama juga datang bersama aku tadi. Bila memikirkan mama, aku teringat soalannya semalam. Dia mengajak aku berpindah ke Singapura kerana dia bakal menerajui syarikat penerbitan di sana.

Aku rasa tak sedap hati. Kalau aku setuju, bermakna aku perlu memulakan hidup yang baru. Kalau aku tak setuju pula, aku bakal ditinggalkan seorang diri di sini dan kasihan pula pada mama yang berada di sana.

“Apa yang kau termenung tu?” Haikal menyoal setelah dia mengangkat wajahnya daripada menghadap telefon sejak tadi.

“Mama ajak aku pindah Singapura.”

“Pindah lagi?” soal Haikal.

Aku mengangguk sambil mata aku leka memerhatikan Rayyan dan Auni yang sedang bermain dengan saudara kecil mereka di tepi rumah.

“Kenapa kau tak duduk di sini aje?” soal Haikal seraya bangun dan terus duduk di sebelah aku yang dikosongkan oleh Auni tadi.

Aku mengangkat bahu. “Mama kata dia tak nak aku tinggal seorang diri.”

“Kami kan ada?”

“Aku tahu. Dia kata kalau aku dah kahwin, bolehlah dia lepaskan aku. Sedih okey!” Aku berkata sambil menyilangkan tangan.

Kata-kata mama buat aku sayu sebenarnya. Macam mana aku nak cari bakal suami dalam masa yang terdekat hanya untuk mengelakkan aku berpindah bersamanya ke Singapura?

“Ah, senang aje. Kau carilah cepat calon yang sesuai. Tak semestinya kau terus kahwin. Sekurang-kurangnya kenal dulu.” Haikal memberikan cadangan.

Aku pura-pura mahu menumbuk bahunya. “Senanglah kau cakap! Kau ingat cari calon tu macam cari ikan ke?”

Haikal tergelak. “Kau buatlah istikarah. Doa banyak-banyak. Manalah tahu, jodoh datang cepat.”

“Amin… Eh, Aunty Hanani datang bila?” Aku menyoal apabila teringat majlis kenduri Rayyan dan majlis bertunang Haikal akan dijalankan pada minggu yang sama.

“Seminggu sebelum kejadian,” ujarnya.

Aku mengangguk.

********************************************************

FAIQ mendengar perbualan telefon ayah dan neneknya yang berada di Korea itu disebalik pintu bilik. Sahlah, ayah sedang menceritakan perihal aku, bisik hatinya.

Lelaki itu segera keluar dari bilik dan menuju ke ruang tamu. Firdaus tersenyum apabila melihat anak bujangnya yang berseluar pendek paras lutut dengan t-shirt kosong berwarna putih itu muncul.

Halmoni,” kata Firdaus seraya memberikan telefon bimbitnya kepada Faiq.

Halmoni adalah perkataan Hangul yang bermaksud nenek. Faiq masih lagi lancar menuturkan bahasa ibunda ayahnya itu walaupun sudah kurang bercakap.

Nae, noreul bogo shipoyo,” kata Faiq dengan perlahan.

Dia juga rindukan neneknya dan ingin bertemu dengan sanak saudaranya di sana tetapi belum ada masa untuk menziarahi mereka.

Faiq mendengar omelan neneknya tentang musim bunga di sana. Kata nenek, musim sejuk yang selalu mencengkam tubuhnya itu sudahpun hampir berlalu. Kini bumi Seoul mula dipenuhi dengan bunga-bungaan yang berkembang mekar.

“Faiq bila nak kahwin?” tanya neneknya yang bernama Kim So Eun itu.

Tercetus tawa Faiq apabila mendengar soalannya. “Tak ada orang nak dekat cucu nenek ni.”

“Nak nenek carikan? Baliklah sini, nanti nenek kenalkan.”

Faiq tersenyum simpul. Ah, rindu pula rasa! Datuknya sudah lama tiada, semenjak ayahnya masih di universiti. Firdaus Lee atau nama sebenarnya Lee Jong Suk itu duduk di sofa sambil memikirkan perihal ibunya di sana.

Abangnya, Lee Jong Hyun ada menceritakan tentang ibu mereka yang sudah mula sakit tua. Sejujurnya Firdaus ingin kembali ke tanah airnya semula dan menjaga sendiri ibunya. Mujurlah sekarang abang dan adik perempuannya, Lee Jung Ah masih setia berada di sisi ibu mereka.

“Ya nenek, saya janji nanti saya balik Korea dengan daddy. Nenek jaga diri baik-baik,” ujar Faiq sambil menahan ketawa apabila mendengar suara kanak-kanak yang nyaring di sebalik talian.

Dia pasti itu adalah suara kepunyaan anak saudara sepupunya yang sudah berkahwin empat tahun lepas. Faiq mematikan talian setelah mengingatkan neneknya supaya sentiasa menjaga diri.

“Daddy nak balik sana ke?” Faiq menyoal lalu duduk di hadapan ayahnya yang nampak muram.

“Uncle Jong Hyun kata, nenek sakit. Daddy rasa serba salah. Sepatutnya daddy ada di sana dengan mereka,” ujar Firdaus sambil meraup wajahnya.

Dia termenung buat beberapa ketika. “Daddy nak cakap sikit Faiq. Sebenarnya daddy dapat tawaran untuk jaga cawangan Hotel Polaris yang bakal dibuka di Seoul. InsyaALLAH lagi dua bulan.”

Giliran Faiq pula termenung. Ketiadaan ayahnya di sini bermakna mereka harus berpindah dari suite Hotel Polaris. Mereka berdua akhirnya melayan perasaan masing-masing.

Firdaus tahu, inilah peluang yang baik untuknya pulang ke sana dan bekerja di samping dapat menjaga ibunya. Namun, hatinya serba salah untuk meninggalkan satu-satunya anak bujangnya di sini.

“Daddy pergilah sana. Faiq boleh jaga diri.”

Firdaus menggelengkan kepala. “Daddy tak boleh tinggalkan Faiq macam tu aje selagi tak ada orang yang dapat jaga Faiq.”

“Faiq dah besar daddy. Dah tiga puluh dua tahun pun,” kata Faiq sambil tersengih.

“Kalaulah Faiq boleh kahwin terus dengan Sheila, senang daddy tinggalkan Faiq. Sekurang-kurangnya daddy tahu Faiq dalam jagaan seseorang.”

Kata-kata Firdaus membuatkan Faiq menggaru kepalanya. Lagi-lagi soal Sheila yang dibangkitkan. Hatinya semakin muak. Macam tak ada perempuan lain agaknya.

“Maksudnya kalau Faiq kahwin, daddy tak kisahlah Faiq kat sini?” soal Faiq.

Matanya merenung tepat ke arah wajah ayahnya. Lelaki itu mengangguk.

“Tak kisah dengan sesiapapun?” soal Faiq lagi.

Firdaus mengangkat keningnya. Agak lama selepas itu dia mengangguk lagi. “Kenapa? Faiq dah ada calon ke?”

Faiq tidak memberikan apa-apa jawapan. Ligat otaknya mencari jalan penyelesaian untuk menjawab soalan itu. “Kondominium yang daddy beli dulu tu, ada orang sewa tak sekarang?”

“Ada, tapi kenapa?”

“Kalau Faiq nak ambil semula boleh tak? Yalah, kalau daddy balik sana, Faiq bukannya boleh duduk sini.”

Firdaus mengangguk. “Nanti daddy uruskan. Eh, tapi mana ada daddy buat keputusan lagi.”

“Daddy buat ajelah perancangan dari sekarang. Faiq rasa, daddy balik sana lebih baik. Cara nenek cakap tadi macam dia rindukan daddy sangat. Kasihan pula Faiq dengar.” Faiq mengumpan ayahnya.

Firdaus menjegilkan matanya. “Amboi, dia pula yang sibuk-sibuk. Daddy belum bagi persetujuan lagi untuk dihantar ke cawangan sana.”

“Alah, setuju ajelah!”

“Aik, nak sangat ya duduk seorang diri di Malaysia?”

Faiq tersengih. “Bukan seoranglah. Daddy kan cakap kena ada orang jaga Faiq di sini, kemudian barulah daddy benarkan?”

Firdaus mengangguk walaupun kurang percaya dengan kata-kata anaknya. Mana mungkin dia mahu berumahtangga dalam masa terdekat ini? Sedangkan dengan Sheila pun susah untuk dia aturkan, ini pula dengan perempuan lain?

Don’t worry daddy. Faiq dah besar. Tahulah Faiq nak buat apa,” ujar lelaki itu dengan penuh yakin.

Akhirnya Firdaus menggelengkan kepalanya. Sukar benar dia mahu percayakan Faiq walaupun sudah besar panjang. Sebentar tadipun dia telah dimarahi oleh ibunya sendiri di telefon. Kata ibu, tak perlu mendesak Faiq kerana dia lebih tahu apa yang dia mahukan.

Firdaus kalah dengan kata-kata ibunya. Dia memandang saja wajah Faiq yang hampir seiras dengan wajah abangnya itu walaupun anaknya mempunyai kacukan Melayu dan Filipina.

Previous: BAB 30
Next: BAB 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.