Home Novel Komedi/Romantik Komedi Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Weeda Airiza
5/3/2015 11:22:28
174,757
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 32

“COMELKAN?” soal Dura semasa dia menunjukkan beg kecil benang kait yang diletakkan bedak, gincu dan juga alatan solek di dalamnya.

Aku menjeling tajam ke arahnya. “Bila kau beli?”

“Semalam sampai. Limited edition tau! Ada satu aje yang bubblyknit buat.”

Aku mendengus kecil. Sejak sibuk ni, langsung aku tak ada masa nak buka instagram. Produk benang kait yang dikeluarkan bubblyknit pula selalu cepat habis kalau lambat tahu.

“Kenapa dia buat sikit sangat? Satu aje?” soal aku sambil membelek beg kecil yang dikait dengan warna merah jambu dan ungu, serta diikat juga dengan reben berwarna putih.

Suaminya outstation lagi hujung minggu ini. Sudahnya dia memaksa aku untuk menemaninya tidur di rumah setelah mendapat keizinan suaminya. Aku memberikan persetujuan sebab mama pun ke Singapura minggu ini.

“Hmm, aku rasa mengait ni kerja part time dialah Ika. Itu sebab dia jarang letak banyak-banyak. Mungkin dia buat suka-suka,” ujar Dura.

Tangannya masih tidak lepas daripada memegang bekas berisi mangga yang dicampurkan dengan asam boi. Aku pula memang alah dengan jeruk, jadi memang dia seorang ajelah yang mengunyah.

“Kakak tu kerja kot.” Aku memberikan pendapat pula.

“Mungkinlah. Aku teringin nak belajar mengait bila tengok hasil yang dibuat semuanya cantik-cantik. Benang-benangnya pun kemas tersusun. Untunglah suami dia dapat isteri yang pandai mengait.” Dura menongkat dagunya dengan tangan kanan.

Aku yang masih bersila di tepi sofa yang diduduki oleh Dura itu mengangkat bahu. Mata masih lagi terarah ke televisyen. Filem larut malam yang ditayangkan itu sekadar menjadi tontonan sementara kami berbual saja.

“Mana kau tahu dia dah kahwin?” Aku menyoal.

“Ada sekali tu, cara dia cakap macam dah kahwin. Contohnya macam aku tanya bila dia boleh pos, dia kata dia tengah holiday dengan family.” Dura berkata lagi.

“Lepas tu kan, dia kata ni hobi dia aje sebenarnya.” Dura mencelah sebelum sempat aku memberikan respons.

Aku membulatkan mata sambil mengambil mug berisi air cokelat yang dibancuh oleh Dura tadi. “Ewah, bukan main lagi kau berborak dengan kakak bubblyknit tu?”

Dura ketawa. “Habis tu, aku bukannya ada kerja kat rumah ni! Dah habis tugasan rumah, aku hadap telefonlah. Tu sebab aku rasa macam nak belajar mengait. Boleh juga buat extra income macam kakak tu buat. Tak adalah aku sunyi.”

Suara Dura berubah menjadi perlahan. Aku hanya tersengih melihat keadaannya itu. Nak buat macam mana, suami suruh duduk rumah, kenalah duduk rumah.

“Eh, apa kata kita tanya kakak tu kalau dia boleh ajarkan kita, nak?” soal Dura dengan wajah yang bercahaya.

“Isy, kau ingat dia nak ajar? Dia tu pun berniaga. Inikan pula nak ajar customer? Rugilah dia.” Aku menjawab sambil menggelengkan kepala.

“Belum cuba belum tahu!”

“Cubalah. Aku pasti dia tak nak. Alah, beli ajelah. Banyak pula soalan suami kau nanti tanya kenapa nak mengait tiba-tiba aje.” Aku masih terus mengomel.

“Hmm…”

“Tak payahla Fadura! Baik kau rileks daripada sibuk nak belajar mengait atau berbisnes ni. Bagi rezeki tu kat orang lain. Suami kau boleh jaga kau, kan?” Aku menepuk bahunya.

“Yalah. Betul juga kau cakap. Nanti baby ni dah lahir, aku kena concentrate kat dia pula…”

Mata aku terus terbuntang luas. “Baby?”

Dura menutup mulutnya. Aku pula sudah terbangun daripada bersila dan mencekak pinggang. “Fadura! Baik kau bagitahu aku benda yang aku tak tahu cepat!”

Cis! Patutlah aku tengok berseri semacam budak ni! Rupa-rupanya ada isi. Dura tersengih-sengih memberitahu bahawa kandungannya sudah masuk bulan kedua. Dia sengaja mahu buat kejutan tetapi terus tidak menjadi lantaran terlepas cakap.

Aku tersenyum melihat kegembiraannya yang menanti hampir dua tahun untuk berita ini. “Dah, jaga diri kau baik-baik. Jangan tertekan. Jangan buat benda-benda yang membahayakan.”

“Aku tahulah! Suami aku pun tak membebel macam kaulah mak cik!” Dura menjelirkan lidahnya lalu membuatkan aku terus mencubit pipinya yang bulat itu dengan kuat.

***************************************************

“ZULAIKHA!” Jeritan seorang gadis di tengah-tengah orang ramai di dalam kompleks membeli-belah E-Curve itu membuatkan langkah aku terhenti.

Dura yang berjalan bersama aku tadi turut sama berhenti dan mencari empunya suara yang menjerit tadi. Dari jauh kelihatan seorang gadis berambut panjang sedang melambaikan tangannya ke arah aku.

“Kau kenal ke?” tanya Dura yang sejengkal lebih rendah daripada aku itu.

“Kenal.” Aku tersenyum apabila terpandang salah seorang sahabat semasa di universiti dahulu.

“Wah, lamanya tak jumpa! Kau apa khabar? Sihat ke? Bukan aku dengar kau pindah Dublin ke? Sekarang kau dah balik semula ke sini ya?”

“Weh! Banyak sangat soalan dan kenyataan kau tu. Mana satu aku nak jawab?”

Kami sama-sama tergelak. Dura berundur ke kedai baju yang berhampiran selepas bersalam dengan sahabat aku itu bagi memberikan ruang untuk kami berbual.

“Kau kerja mana sekarang?” Dia menyoal.

Aku teragak-agak untuk memberitahu pada mulanya. Kalau ikutkan, aku mahu merahsiakan hal hidup aku. Kalau dia tahu, bermakna seluruh batch photography aku akan tahu. Namun, aku tahu, dunia fotografi bukanlah besar mana pun.

“Fashion Queen Studio.”

“Pergh! Hebat!” pujinya.

Aku hanya tergelak.

“Baguslah aku terjumpa kau ni. Kami nak buat hi-tea reunion bulan depan. Alang-alang aku dah jumpa kau, bagi sinilah nombor telefon kau!” ujarnya.

Reunion? Aku menelan air liur. Ah, sudah. Itulah perkara yang paling aku tak mahu dengar sekarang ni. Nanti masing-masing dah bawa pasangan ataupun anak. Lebih parah kalau pertemuan nanti mereka akan berbual tentang perkembangan keluarga saja. Aku nak buat apa? Melongo?

“Emm…”

“Hisy, aku bukan paksa kau tapi kalau boleh, datanglah ya. Kita jemput semula semua pensyarah. Jomlah! Dah bertahun nak buat tapi baru tahun ni nak menjadi.”

Akhirnya kami bertukar nombor telefon. Sebolehnya aku tak mahu lagi berjumpa dengan mereka semua. Tidak. Aku bukan membenci mereka tapi hati aku tidak rela untuk berkongsi apa jua cerita sendiri.

Lebih menggoncang hati aku jikalau Amsyar turut hadir. Menggigil terus lutut aku apabila terbayangkan hal itu. Aku termenung buat beberapa ketika sebelum disergah oleh Dura.

“Apa pasal kau pucat semacam ni? Siapa tadi?” soalnya sambil kami memulakan langkah.

“Kawan kelas di universiti dulu. Dia orang buat reunion.”

“Tak payah pergi.”

Aku mengangkat kening ke arah Dura. Macam tahu-tahu aje budak ni? Aku mengeluh kecil apabila sahabat baik aku itu memalingkan tubuh aku untuk menghadapnya.

“Kalau kau pergi bermaksud kau berisiko untuk jumpa Amsyar semula. Dia tinggalkan kau, kan? Wake up Ika! Soal tu dah lama. Macam aku cakap, dia tak pernah cuba untuk hubungi kau, betul tak?”

“Tapi…”

“Tapi apa Ika? Kau nak pergi? Okey, no hal tapi siapa yang akan parah lepas tu?”

Aku memandang Dura tanpa berkelip. Orang ramai yang lalu lalang di sisi kami juga tidak aku hiraukan. Wajah Dura sangat serius. Aku pula yang jadi takut melihatnya!

“Kalau aku pergi dan buat-buat kuat depan dia macam tak ada apa-apa, boleh ke?”

Tiba-tiba saja aku rasa soalan itu seperti mempersendakan diri sendiri. Baguslah. Sendiri tanya tapi sendiri tak yakin. Dura tidak membalas tetapi hanya tersenyum.

“Kau?”

Aku mengangguk.

Dura menyilangkan tangannya. “Tiba-tiba dia muncul dengan pasangannya atau isterinya dan anak-anaknya. Apa kau nak buat?”

Aku terus diam dan aku tahu, wajah aku terus berubah. Tidak. Aku langsung tidak bersedia untuk itu! Benarlah kata Faiq tempoh hari, lebih baik aku tidak tahu daripada aku tahu perkara yang boleh menyakiti hati sendiri.

“Kau faham kan sekarang?” soal Dura.

“Aku… Hisy. Kenapa aku susah sangat nak buang dia daripada dalam fikiran?!” bentak aku.

Kadang-kadang rasa macam tak betul aje bila bayangannya masih di minda. Seolah seperti aku terlalu parah walaupun sudah hampir empat tahun perkara itu berlalu. Mengapakah impaknya terlalu kuat? Aku rasa seperti diseru-seru oleh Amsyar.

“Cuba kau belajar terima orang lain dalam hidup kau Ika. Kau kena enjoy dengan hidup ni. Selama ni empat tahun kau sia-siakan perasaan kau. Kau reject semua blind date yang mama kau buat. Lepas tu kau tak mahu pula tu cuba bercinta dengan lelaki Irish yang nak mengorat kau tu…” bebel Dura.

Nak ketawa pula aku lihat wajahnya yang sangat serius dengan kedua-dua belah tangan turun naik mengikut rentak suaranya.

“Okeylah. Dah, tutup cerita ni. Jom kita pergi lunch. Aku tak mahu sebab aku nanti anak kau dalam perut tu stress. Sorrybaby, akak memang suka buat mama awak marah.” Sempat aku menepuk perlahan perut Dura yang masih belum naik itu.

“Hoi! Auntylah. Akak konon. Perasan mudalah tu!” pekik Dura seraya menampar lengan aku.

Aku tersipu-sipu ketawa. “Sebab belum kahwinlah aku rasa macam kakak!”

Previous: BAB 31
Next: BAB 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.