Home Novel Komedi/Romantik Komedi Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Weeda Airiza
5/3/2015 11:22:28
175,503
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 3

“KLIEN setuju dengan konsep garden wedding yang I usulkan tempoh hari. Ini details yang I bagi dia orang. You tengok dulu, mana tahu ada yang perlu diubah. Minggu depan I jumpa mereka semula,” ujar Eryna dengan panjang lebar.

Anak mata Faiq bergerak laju memandang keseluruhan cadangan. Sesekali dia mengangguk pantas dan tersenyum sehingga menampakkan lesung pipit yang samar di kedua-dua belah pipinya.

“Shahmi dah tengok?” soal Faiq.

Eryna menggeleng perlahan sebelum menjawab, “dia kan sibuk sepanjang minggu lepas dengan cadangan Karnival Kesihatan tu? I tak sempat langsung nak bagitahu.”

Faiq menarik nafas panjang sebelum meletakkan kertas cadangan tersebut di mejanya. Shahmi, sahabat yang sama-sama membuka syarikat Happy Eventually dengannya itu kini tiada di pejabat kerana perlu hadir ke mesyuarat.

“You kan memang handal dengan wedding planner ni? Secara keseluruhan, I setuju. I rasa Shahmi juga setuju.” Faiq berkata sambil menyandarkan tubuhnya di kerusi.

Eryna yang manis berbaju kurung warna merah jambu pada pagi Jumaat itu tersengih. “I tahu, bidang tu memang kepakaran I pun tapi kenalah semuanya go through directors first, kan?”

Faiq ketawa kecil manakala Eryna pula tersenyum sebelum bangun dari tempat duduknya. Dia berlalu keluar dari bilik Faiq sebelum kembali memandang pengarah urusan syarikat tempat dia bekerja itu.

“Oh ya, sebelum I terlupa. Jadi ke lunch date kita?” usik Eryna.

Lelaki itu mengerutkan dahi sebelum menepuk mejanya dengan perlahan. “Ya ALLAH, sorry Eryna. I dah janji dengan Sheila nak jumpa dia tengah hari ini lepas solat Jumaat di KLCC.”

Wajah Eryna berubah sedikit selepas mendengar nama Sheila. Dia mengukir senyuman sebelum menyoal, “Sheila? You kata you rimas dengan dia tapi kenapa you masih nak penuhi pelawaan dia?”

Faiq yang santai dengan t-shirt jenama Crocodile dan berjeans hitam itu tergelak. “We need a job.Itu yang paling penting.”

Eryna menggelengkan kepalanya sebelum menyambung kata-kata, “and you sacrifice your feelings?

Lelaki berketurunan Melayu, Filipina dan Korea itu mengangkat bahunya dan menjawab, “well… it doesn’t matter.

Faiq memandang saja Eryna yang berlalu pergi tanpa sepatah kata. Lelaki itu mengeluh kecil. Sheila, gadis yang bekerja di Kedutaan Filipina itu adalah anak kepada sahabat baik ayahnya.

Dia tahu Sheila menyukainya tetapi dia hanya menganggap gadis itu seperti adiknya sendiri kerana mereka telah kenal lama. Namun, Faiq melayannya dengan baik atas dasar kerja dan persahabatan mereka.

Sheila mempunyai ramai kenalan yang terdiri daripada orang-orang atasan dan secara tidak langsung, ianya memberikan keuntungan buat Faiq yang memiliki syarikat pengurusan majlis.

Faiq tidak pernah memberikan apa-apa harapan untuk Sheila dan dia pasti, gadis itu mengetahuinya. Faiq tidak menafikan dia masih melayan Sheila hanya kerana ingin mendapatkan peluang kerja.

Bunyi telefon menyebabkan dia tersedar daripada lamunan. Faiq mengambil Iphone miliknya dan membelek aplikasi WhatsApp yang mempunyai mesej baru.

Sheila : Honey, jadikan hari ni?

Faiq : InsyaALLAH

Sheila : Madam Kwan’s okey?

Faiq : Ok

Faiq tersenyum kecil melihat mesej daripada Sheila. Gadis itu masih belum kenal erti putus asa nampak gayanya. Datanglah berpuluh mesej sayang dan cinta sekalipun, Faiq hanya buat tidak tahu.

******************************

PINTU masuk Fashion Queen Studio nampak begitu sibuk pada pandangan Faiq. Lelaki itu baru saja keluar daripada bangunan sebelah yang menempatkan syarikatnya di tingkat 3.

Faiq menuju ke bangunan milik Fashion Queen Studio yang dikenali ramai itu. Kata bahagian pentadbiran syarikat, cek untuk Happy Eventually sudah sedia untuk diambil.

Lelaki itu cepat-cepat melangkah untuk mengelak bahang matahari menyengat kulitnya. Ada beberapa orang sedang menolak troli pakaian untuk dibawa masuk ke dalam lobi syarikat manakala sebahagian lagi sedang berkerumun di suatu sudut.

“Oh, Encik Aaron Faiq Lee rupanya. Nak jumpa Mrs Jazzy ke?” Penyambut tetamu di lobi itu tersengih melihat Faiq yang muncul di hadapannya dengan berwajah kemerahan akibat cuaca panas yang membahang.

Faiq menggeleng perlahan sambil tersenyum. “Nak ke bahagian pentadbiran.”

“Okey, sekejap.” Gadis itu menelefon seseorang sebelum membenarkan Faiq masuk ke dalam syarikat.

Lelaki itu menuju ke lif untuk ke tingkat 4. Dia memandang keseluruhan tingkat bawah Fashion Queen Studio dan tersenyum. Moga cita-citanya untuk membawa nama Happy Eventually akan berjaya suatu hari nanti.

Sejujurnya, dia berasa begitu bersyukur mengenali Mrs Jazzy, wanita yang berjaya mengembangkan nama dan syarikat miliknya di Malaysia.

Kebetulan, dia terjumpa Mrs Jazzy di sebuah majlis peragaan fesyen di mana Happy Eventually menjadi pengurus majlis tersebut. Wanita itu kemudiannya berminat untuk mengambil mereka menjadi pengurus majlis setelah mendapat maklum balas yang baik daripada syarikat lain tentang Happy Eventually.

Sebagai tanda penghargaan, Faiq mula menjalankan misi perniagaannya sendiri dengan mengambil servis jurufoto daripada Fashion Queen Studio untuk sebarang majlis yang mereka kendalikan.

Usahasama ini ternyata membuahkan hasil yang menguntungkan di kedua-dua belah pihak. Faiq menjadikan wanita itu sebagai inspirasi untuk dia menjadi lebih berjaya kerana Mrs Jazzy juga adalah seorang yang tidak lokek untuk berkongsi ilmu.

Jambatan perniagaan mereka menjadi lebih baik apabila Mrs Jazzy mengusulkan pejabat kosong yang terletak di sebelah bangunan miliknya untuk dijadikan pejabat baru Happy Eventually.

“Oh! Faiq! Nice to see you here my dear!

Faiq tersenyum lebar apabila bertembung dengan Mrs Jazzy yang keluar dari lif. “How are you Mrs Jazzy?”

I’m good. See you later ya? I dah terlambat nak pergi meeting!” Mrs Jazzy berkata dan kemudiannya ketawa girang.

Seorang gadis mengikutinya dari arah belakang dengan beberapa buah fail di tangan kanan dan penyangkut baju di sebelah kirinya.

Faiq tersengih sendirian di dalam lif selepas pertemuan singkat dengan Mrs Jazzy. Dia memandang jam di pergelangan tangan. Sudah hampir jam dua belas tengah hari.

Lelaki itu berura-ura untuk solat Jumaat di Masjid As-Syakirin yang terletak berhampiran KLCC sebentar lagi. Dia perlu cepat ke sana untuk mencari ruang meletak kereta yang pastinya akan sesak menjelang waktu solat.

Faiq mampir ke ruang menunggu di sudut pentadbiran setelah memberitahu tujuannya kepada salah seorang pekerja yang ada di situ.

“Faiq!”

Lelaki itu segera mengangkat wajahnya yang sejak tadi membelek majalah fesyen di atas meja dan bangun lalu menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan Harith, salah seorang pereka fesyen di situ.

“Dah lama ke sampai?” soal Harith lalu mengambil tempat duduk berhadapan dengan Faiq.

“Baru saja.”

“Ada projek baru ke?” Harith bertanya lagi sambil membetulkan kot warna oren dan putih yang dipakainya.

Sekali imbas, Faiq memerhatikan konsep pakaiannya. Unik tapi nampak pelik jika dia sendiri yang memakainya. Ah, apa sangatlah yang dia tahu tentang fesyen? Kalau disuruh reka cadangan untuk sebarang majlis, tahulah juga. Kalau fesyen? Habis koyak rabak pakaian itu dikerjakan agaknya.

“Belum lagi tapi kami tengah deal dengan majlis anak VVIP. Katanya dia mahu cari fashion designer untuk rekaan baju pengantin. I dah bagi nombor telefon you. Ada dia telefon?” Faiq menyoal dan menutup majalah fesyen ditangannya.

Harith mengerutkan dahinya seketika sebelum tersenyum kecil. “You mean anak VVIP yang tokei kapal cruise tu ke? Ada. Dia ada telefon I tapi kami belum jumpa lagi. You dah pernah jumpa dia ke?”

Faiq mengangguk. “Sudah, tapi I bagitahu you awal-awal. Dengar saja apa yang dia nak cakap.”

Harith tiba-tiba ketawa. “I tahu apa yang you maksudkan! Dia telefon I tapi ceritanya macam tak ada kesudahan!”

Lelaki berdua itu sama-sama ketawa. Faiq menyambung kata, “dia baik tapi itulah. I pun susah nak cakap.”

I know. Manusia ni bila dah ada duit, kadang-kadang dia ingat dia boleh beli semuanya. Nak itu dan nak ini tapi tak reti nak buat keputusan. Masa kita ni bukannya untuk dia saja, kan? Kadang-kadang I penat melayan karenah klien.”

Faiq tersenyum kecil mendengar keluhan Harith yang sudah hampir dua tahun dikenalinya itu. Bagi Faiq, kepuasan klien itu yang terlebih dahulu diutamakan.

Walaupun cadangan mereka kadang-kadang nampak sangat pelik pada pandangan Faiq, tetapi lelaki itu tetap cuba untuk merealisasikan impian mereka dalam bentuk pengurusan majlis kerana ianya lahir daripada hati serta perasaan mereka sendiri. Itu adalah prinsipnya.

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.