Home Novel Komedi/Romantik Komedi Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Weeda Airiza
5/3/2015 11:22:28
174,815
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 26

KOPI ‘o’ buatan Mak Cik Mah memang kaw! Dari dulu rasanya sama aje, tak pernah berubah. Pelik betul aku rasa. Ni kena minta tips ni, getus hati aku sambil terus menghirup kopi yang enak itu.

Cucur udang melengkapkan lagi hidangan petang kami di ruang tamu. Pak Cik Wan tidak datang sekali, katanya ada kerja sikit di rumah orang lain. Hanya Mak Cik Mah yang datang membantu untuk mengemaskan rumah seperti yang selalu dia lakukan.

Aku mengambil lagi cucur udang sambil mata tertancap ke arah televisyen yang memaparkan cerita Hindustan, Mujhse Dosti Karoge. Percintaan bersegi-segi di antara Hrithik Roshan, Rani Mukherjee dan Kareena Kapoor.

Kalau tadi merembes air mata aku menyaksikan kisah syahdu mereka, kini perasaan aku sedang dibuai dengan keenakan cucur udang mama dan air kopi Mak Cik Mah.

Minda aku terus laju memikirkan plot cerita Hindustan yang menetapkan percintaan dan halangan keluarga sebagai kisah utama. Kalau ikut cerita yang sedang aku tonton ni, heronya bersahabat baik dengan heroinnya.

Hairan sungguh aku. Macam mana sahabat baik boleh jatuh cinta di antara satu sama lain? Kalau rasanya lepas tu mereka putus cinta, adakah mereka masih boleh bertukar menjadi teman baik semula?

“Saya cuba redalah Kak Ina. Kasihan tengok Wawa, tapi nak buat macam mana lagi? Dia perlu utamakan suaminya dulu.”

Kata-kata Mak Cik Mah terus membuatkan aku terbantut untuk berperasaan lebih apabila tiba lagu Jaane Dil Mein, setelah Raj mengerti bahawa selama ini Pooja yang selalu menghubunginya semasa di luar negara, sedangkan Tina pula hanya buat tidak tahu. Syahdu!

Okey, mata di televisyen tapi telinga dah berada di antara Mak Cik Mah dan mama. Aku pura-pura buat tidak tahu walaupun segala yang dibualkan mereka betul-betul masuk ke dalam deria pendengaran ini.

“Kenapa jadi macam tu?” soal mama sambil mengerutkan dahi.

Mak Cik Mah mengeluh. “Suaminya tu ikut cakap mak dia. Semua kerja rumah Wawa yang kena buat. Hah, sekarang ni dia suruh Wawa berhenti kerja sebab nak suruh duduk rumah.”

“Hmm, mungkin ada bagusnya dia duduk rumah, manalah kita tahu kan Mah?”

“Betul, tapi manalah saya tak kasihan kalau Wawa asyik telefon dan mengadu semua benda yang dia buat tak kena di mata ibu mertuanya. Dia orang bukan tak ada pembantu, tapi macam sengaja nak gunakan Wawa,” keluh Mak Cik Mah lagi.

“Habis tu suaminya takkan langsung tak cakap apa-apa?” Mama bersuara.

Aku mengetap bibir menahan geram. Kasihannya Wawa! Muda-muda lagi dah kena macam tu. Ibu mertuanya tu pun satu hal. Kenapa perlu buli menantu sendiri? Isy, pelik!

Mak Cik Mah yang muda tiga tahun daripada mama itu menggelengkan kepala. “Akak, saya baru dengar cerita masa kenduri hari tu, sebenarnya keluarga mertuanya ada pilihan lain tapi suaminya tak mahu. Dia nak kahwin juga dengan Wawa.”

Terus aku terkedu daripada mengunyah. Drama! Betul-betul macam dalam drama ni. Aku lihat mama juga mengeluh. Wawa sudah seperti adik aku, Mak Cik Mah juga telah menjadi seperti adik mama sendiri selama ini. Cubit paha kiri, paha kanan mesti terasa juga, kan?

“Doalah banyak-banyak Mah. Doa moga Wawa kuat menghadapinya. Doa juga moga dilembutkan hati keluarga mereka. Nak buat macam mana kalau dah ini takdirnya.” Mama berkata perlahan sambil mengusap bahu Mak Cik Mah yang sudah tunduk.

“Saya faham kak, tapi hati manalah yang tak rasa susah kalau satu-satunya anak kandung saya diperlakukan sebegitu oleh mak orang lain. Sedangkan saya sendiri tak pernah marah Wawa, inikan pula orang lain?” Mak Cik Mah sudah mula tersedu.

Alahai, aku menahan air mata daripada tumpah. Ah, kalau tumpah sekalipun apa salahnya. Mesti dia orang ingat aku terlalu melayan perasaan menonton Hindustan ni.

Kadang-kadang aku jadi takut untuk berkahwin. Tengoklah macam Mak Cik Mah cerita ni, kalau tak ada masalah dengan suami, mungkin dengan keluarga suami. Kalau tak ada masalah dengan kedua-duanya, mungkin masalah berpunca daripada diri sendiri.

Pokoknya, hidup ini sentiasa ada naik turunnya. Mungkin hari ini kita bahagia dan esok kita derita. Ataupun kini kita bersedih, hari-hari akan datang kita gembira. Berdoalah kepada ALLAH Yang Satu semoga hati akan terus tabah.

Aku nak kahwin tapi aku jadi takut bila selalu sangat nampak isu rumahtangga. Bukan setakat di suratkhabar, malah di majalah dan di internet pun dah berlambak. Macam mana nak cari the right person? Kalau tengok orang tu perfect, silap-silap dia kaki pukul pula. Hmm, rumit sebenarnya.

Hati aku tiba-tiba teringat Amsyar. Kenapa pula masa ni aku nak teringat? Adoi! Rasanya dah lama aku lupa tapi bila masuk bab perasaan ni, mesti wajah tenangnya yang menggamit rasa aku untuk kembali berfikir.

Mana kau pergi sebenarnya Amsyar? Apa sebenarnya yang berlaku? Apakah kita masih ada harapan? Aku mengeluh berat. Dura kata, kalau Amsyar menyedari hakikat kami masih mempunyai perasaan cinta yang serupa, dia pasti akan cuba mencari aku. Tapi sampai sekarang tak ada cerita!

Televisyen yang masih memaparkan cinta Raj dan Pooja itu sudahpun beralih menjadi aku dan Amsyar. Satu persatu layar kenangan mula ditayangkan. Lama-lama, air mata yang aku tahan tadi terus tertumpah tanpa henti.

“Hisy Ju ni… Punyalah feeling tengok Hindustan sampai berjuraian air mata,” teguran mama membuatkan aku terus menyeka kedua-dua belah pipi.

“Sedihlah…” Aku berkata dengan nada serak. Cis. Bukan sedih tengok cerita ni, tapi sedih mengenangkan nasib cinta diri sendiri!

*********************************************************

“KASIHANKAN Wawa tu mama?” Aku menyoal setelah menyuap suapan terakhir nasi putih bersama sambal sardin dan sayur kacang panjang bersama telur.

Mama mengerutkan dahi. “Aik, Ju dengar apa yang kami cerita petang tadi ke?”

Aku mengangguk perlahan sambil tangan kiri menuang air oren Sunkist ke dalam gelas kaca yang tinggi.

“Ingatkan khayal tengok Hrithrik Roshan,” usik mama.

Oh please!Baik melayan perasaan tengok Robert Pattison.” Aku menggetus perlahan.

Mama tergelak sebelum menjawab, “nak buat macam mana Ju, perkahwinan ni memang banyak risiko yang kita perlu lalui. Dah itu jalan yang perlu ditempuhinya. Mama harap Wawa akan kuat menghadapinya.”

“Susah juga kahwin dengan orang kaya, kan? Mesti dia berlagak ataupun dia rasa Wawa tak layak kahwin dengan anak dia.” Aku berkata dengan nada tidak puas hati.

“Hisy, jangan cakap macam tu Ju. Tak semua orang macam tu. Kita tak baik buruk sangka. Lagipun kita tak tahu apa yang keluarga tu hadapi,” bebel mama seraya mengangkat pinggan kosongnya ke dapur.

Aku mengikuti langkah mama sambil terus mengomel, “faham mama tapi dia orang ni kan ada perasaan macam bangga lebih. Mak Cik Mah kata, dia orang ada pilihan menantu sendiri, kan? Hah, mungkin sebab tulah dia orang nak buat sampai Wawa jadi give up. Betul tak?”

Mama menggelengkan kepala. “Ju ni banyak sangat tengok drama rasanya. Macam mama cakap tadi, kita tak tahu cerita. Jadi, jangan banyak spekulasi. Hah, sibuk sangat nak cakap pasal orang dah kahwin, yang Ju ni bila lagi nak kahwin?”

Hah, ambil sebiji! Padan muka aku. Sibuk sangat mengata orang lain, diri sendiri yang kena. Setahu aku, mama tak pernah sibuk tanya tentang jodoh aku tapi kenapa malam ni pula? Adakah sebab aku timbulkan isu Wawa ataupun ada sesuatu telah berlaku?

Sambil mencuci pinggan, minda aku terus berjalan ke beberapa hari lepas, sewaktu aku bertemu dengan Daddy Daus. Balik tu aku terus paksa mama bagi aku tengok album lama walaupun tidak banyak gambar kami bersama.

Kata mama, sempat jugalah aku ada seorang ‘abang’ dahulu iaitu anak Daddy Daus. Entahlah, aku pun tak ingat langsung bayangan mahupun namanya. Ada juga gambar kami bersama tapi memang sumpah, aku tak ingat! Hmm, tapi syok juga kalau mama dan Daddy Daus tu kahwin balik, bisik hati nakal aku.

“Mama, Daddy Daus tu… eh Uncle Dauslah kan Ju patut panggil?” Aku berkata sambil keliru sendiri.

Mama membuka suis televisyen lalu terus duduk di sebelah aku. “Panggil ajelah apa-apa yang Ju suka.”

“Dia dah kahwin lain ke mana?” Aku mengusik mama.

“Entah. Mama tak tanya pula.”

“Isy, apalah mama ni. Tanya ajelah. Mana tahu kot dia masih seorang duda yang hot. Bolehlah mama…”

“Hah! Tak payah nak gatal uruskan hal mama. Ju tu yang penting!” Amboi, cepat betul mama mengelak soalan!

Aku terus ketawa. “Alah mama ni. Okey apa Uncle Daus tu. Masih muda lagi Ju tengok. Handsome! Lagipun, merasalah Ju ada abang lagi nanti. Teringin juga nak jumpa.”

Mama tergelak. “Lain macam aje mama dengar? Kata Firdaus, dia tengah nak cari bakal menantu untuk ‘abang’ Ju tu. Apa kata mama bagi cadangan kat dia supaya pinang aje anak mama seorang ni? Hah, kan best!

“Mama!”

Cis! Aku baru ingat nak usik mama dengan Uncle Daus, tapi mama pula nak kenenkan aku dengan ‘bekas abang’ yang langsung aku tak kenal tu. Cis!

Previous: BAB 25
Next: BAB 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.