Home Novel Komedi/Romantik Komedi Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Weeda Airiza
5/3/2015 11:22:28
174,819
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 19

USAI solat Isyak, aku segera turun ke tingkat bawah. Sejak masing-masing mula bekerja, jarang aku dan mama dapat berbual seperti dulu. Mama pastinya sibuk dengan syarikat yang bakal dibukanya nanti bersama rakan niaga.

“Mama!” Aku segera melompat ke arah sofa berwarna hitam itu lalu memeluk mama yang sedang mengunyah buah oren.

“Isk, dah besar pun nak peluk-peluk ke?” usik mama.

Aku mencium pipi mama tanpa menjawab soalannya. “Rindulah dengan mama. Macam berkurun lamanya tak jumpa.”

Mama ketawa besar. Aku hanya tersengih melihat wajahnya yang semakin dimamah usia walaupun masih kelihatan muda. Pandang lama-lama pun boleh dapat pahala tau!

“Lepas ni Ju rindu mama lagilah jawabnya.”

“Kenapa pula?” Aku melepaskan pelukan lalu memandangnya dengan kerutan di dahi.

Sambil membetulkan ikatan rambut ikal aku menjadi sanggul, aku menunggu jawapan daripada mama. Bunyi macam lain macam saja? Nak berhijrah ke negara lain pula ke?

“Mama kena pergi Singapura dengan Datin Rosie. Ada mesyuarat sikit,” ujar mama lalu menyuapkan sepotong buah oren kepada aku.

“Datin Rosie?” soal aku.

Mama mengangguk. “Ju tak pernah jumpa dia pun. Mama baru kenal melalui kawan mama. Datin Rosie berminat nak bantu perniagaan kami. Malah, dia juga ada beberapa orang kawan di Singapura yang nak turut serta. Jadi, mama kena pergi present proposal syarikat kepada mereka.”

Aku mengangguk perlahan. “Berapa lama mama pergi?”

Mama menunjukkan lima jari sebelah kanannya kepada aku.

“Lamanya!”

“Nanti mama belikan souvenir untuk Ju ya?”

Aku menggelengkan kepala pula. “Tak payahlah mama. Nanti kita pergi bercuti di Singapura ya? Ju teringinlah nak pergi Universal Studio.”

Mama tersenyum dan berkata, “insyaAllah. Moga-moga ALLAH berikan rezeki pada mama dan Ju untuk memulakan hidup baru di sini. Mama dah tak mahu cari pengganti dah. Mama nak Ju pula yang cari.”

“Mama! Jangan cakap macam tu. Mama ni macam nak suruh Ju kahwin cepat aje?” jawab aku dengan rasa sensitif yang mula bertandang.

Mama yang berbaju kelawar warna hijau lumut itu menghamburkan tawa sebelum berkata, “iyalah. Mama dah tua. Siapa yang nak mama lagi? Ju tu lainlah. Masih anak dara manis.”

“Mama!”

Serentak dengan itu, telefon aku berbunyi. Dengan cepat, aku mengambilnya. Faiq? Apa pula dia mahu malam-malam buta ni?

“Assalamua’laikuam Juju!”

“Wa’alaikumsalam.” Aku menjawab salamnya.

“Maaf ganggu awak waktu ni. Saya cuma nak tanya, esok awak free tak?” soal Faiq dengan nada terburu-buru.

Esok? Esok hari Sabtu. Rasanya memang aku tak ada apa-apa. Aku mengetap bibir. Kenapa? Dia nak ajak aku date ke?

No, it’s not a date.”

“Hah?!” Aku melopong. Aik? Dia boleh dengar suara hati aku ke? Atau aku sendiri yang cakap tapi aku jadi pelupa?

“Sebenarnya esok ada private bachelor party anak seorang VVIP ni. Sepatutnya yang datang tu jurufoto kawan Shahmi tapi malangnya dia masuk hospital petang tadi sebab suspek denggi. Jadi, kalau boleh saya nak minta Ju tolong gantikan. Bayarannya cash seperti yang dijanjikan oleh VVIP tu,” terang Faiq dengan panjang lebar.

Cash? Tanpa sedar aku tersenyum lebar sebelum menampar pipi sendiri akibat tersedar dengan fikiran materialistik ini. Mama di sebelah mengangkat keningnya apabila melihat perlakuan aku yang tidak senonoh itu.

“InsyaAllah. Eh, tapi! Saya ada masalah besar.”

“Apa dia?”

“Kat mana ya tempat tu? Saya tak ada kereta nak pergi. Itu masalahnya.”

“Tak. Itu bukan masalah yang tak boleh diselesaikan. Okey macam ni, esok awak ikut saya ya? Saya ambil awak di rumah. Nanti mesej saya alamat rumah awak. InsyaAllah jam 3 petang saya ambil. Majlis tu di Putrajaya dan bakal bermula pada jam 8 malam.”

“Awalnya awak nak datang!” Aku menjerkah.

“Hmm. Kita jalan-jalan dulu di Putrajaya.”

“Hah?!”

Faiq ketawa di hujung talian. “Saya nak awak ambil semua gambar preparation majlis dulu. Lagipun dia orang ada raptai persembahan. Gambar kenangan masa tu mesti kena ada, kan?”

Aku menarik nafas lega. Ada ke pula nak ajak aku jalan-jalan di Putrajaya? Buang masa saja. Faiq ni kadang-kadang boleh tahan juga gurauannya. Kalau silap orang, boleh tersentuh hati dan jiwa raga ni. Mujurlah kena pada aku yang berhati batu.

“Nanti saya mesej.” Aku menjawab ringkas sambil mata terus tertancap ke arah televisyen yang memaparkan program pelancongan di Venice, Itali.

“Terima kasih Ju. Saya tahu, awak mesti boleh tolong. Itu sebab saya telefon awak.” Faiq berkata dengan lembut.

Aku pula membuat muka di sebalik talian. Kalau tak sebab duit, aku tak tolong Faiq. Alamak. Minta-minta dia tak sedar isi hati aku yang satu itu.

“InsyaALLAH jumpa esok ya.”

“InsyaALLAH,” ujarnya sebelum mematikan talian.

“Siapa? Boyfriend?” Mama terus bertanya.

“Hisy. Kawan kerjalah.” Aku menggetus perlahan sementara mama tergelak dengan usikannya sendiri.

“Mama pergi Singapura bila?” Aku menyoal sambil menaip alamat rumah kepada Faiq.

“Esok. Datin Rosie ambil mama tengah hari.”

“Lah! Ju ingat lambat lagi.”

“Lupa bagitahu.”

“Isk mama ni!”

Aku menggelengkan kepala. Dari dulu lagi suka buat aku terkejut tau mama ni. Namun, itulah mama yang aku kenali. Sentiasa kuat bekerja dan tidak suka menyusahkan orang lain, hatta anaknya juga.

Mama meneruskan tumpuan ke arah program televisyen manakala aku pula mencapai sebuah lagi telefon bimbit aku yang hanya digunakan untuk kaum keluarga dan sahabat yang rapat.

Walaupun aku bukan artis, aku tetap guna dua telefon. Satu untuk kerja dan satu lagi untuk bersosial di alam maya. Samsung Note 2.0 itu aku beli semata-mata nak update instagram.

Bunyinya memang macam berlagak tapi nak buat macam mana kan kalau akaun instagram aku sudah melebihi 3 ribu followers? Nampak tak? Bukan artis tapi dah macam artis. Mungkin sebab aku banyak memuat naik gambar-gambar pemandangan selama ini. Gambar sendiri pula memang langsung tak ada, jauh sekali untuk berselfie.

Aku melihat timeline yang penuh dengan gambar jurufoto-jurufoto profesional dan tidak profesional. Selalunya aku membelek untuk mencari ilham baru dan melepaskan stress.

Jealous pula aku melihat gambar-gambar Dura dengan encik suaminya yang kini sedang bercuti di Vietnam. Untunglah dapat suami yang suka travel ke sana sini. Aku tersengih bila teringat cerita kami dahulu yang mahu terbang ke sana sini sebelum mendirikan rumah tangga.

Kenangan hanya tinggal kenangan. Kini aku seorang diri dan Dura pula sudah bersuami. Mungkinkah peluang aku untuk mengelilingi dunia bersama orang yang aku sayangi akan tercapai? Entahlah. Yang pasti, hati aku masih belum tercuit oleh mana-mana lelaki.

Bibir aku kemudiannya merekah dengan senyuman apabila terpandangkan gambar terbaru milik instagram bubblyknit. Ada beberapa helai skarf benang kait mahu dijualnya. Semuanya berwarna pastel dan sangat cantik!

“Mama, cantik tak ni kalau Ju nak bagi hadiah pada Dura?” Aku menyuakan telefon aku untuk dilihat mama.

“Warnanya sweet. Jual online ke ni?” soal mama sambil terus membelek gambar tersebut.

Aku mengangguk. “Zaman sekarang semua online mama. Senang, tak perlu nak sewa kedai.”

“Habis tu, bolehlah mama jual buku mama melalui online juga ya?”

“Ha’ah. Boleh.”

“Susah tak?”

Aku menggelengkan kepala. “Tak susah tapi kena rajinlah tengok emel dan promosi barang yang kita nak jual tu.”

“Hmm, macam susah aje bunyinya.”

Aku tergelak. “Taklah. Mama nak Ju ajar?”

Giliran mama pula menggelengkan kepala. “Alah, tak mahulah. Kalau Ju nak tolong, baiklah Ju tolong jualkan terus.”

Aku membulatkan mata. “Ju busy. Nak update instagram sendiri pun tak sempat!”

“Iyalah tu…” Mama tersengih.

“Mama nak skarf ni tak? Ju bagi satu.”

“Kalau Ju belanja, naklah,” usik mama.

Aku berpura-pura membuat muka sebelum pipi aku dicubit oleh mama.

“Boleh percaya ke orang yang jual ni?” Mama menyoal lagi.

“Kenapa pula?”

“Iyalah, mana Ju tahu dia betul-betul jual?”

“Ish, followersdia dah berpuluh ribu mama. Lagipun Ju selalu dah beli dengan dia masa Ju dekat Dublin lagi. Dah kenal dah pun.” Aku menjawab sambil fikiran ligat memilih warna skarf untuk Dura dan mama.

Followers tu apa pula?”

Aku memandang mama tanpa mengerlipkan mata. Kelu pula lidah nak menerangkannya. “Nantilah Ju cerita!”

“Tengok tu. Kata nak tolong, nak cerita pun malas!”

“Mama!”

Mama ketawa lalu terus dipeluknya aku dengan erat sebelum aku meronta minta dilepaskan.

Previous: BAB 18
Next: BAB 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.