Home Novel Komedi/Romantik Komedi Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Weeda Airiza
5/3/2015 11:22:28
174,988
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 23

ERYNA mengetap bibir, menahan geram dengan kata-kata Shahmi yang membantah cadangannya. Faiq pula memerhatikan tingkah laku keduanya dengan penuh minat di bilik mesyuarat itu.

“Lagi satu, I rasa pelamin macam ni dah ketinggalan zaman. Tak modenlah kalau you tetap nak pakai kerusi kayu ni sebagai ganti untuk sofa! Dahlah majlis ni penuh protokol,” tingkah Shahmi lagi.

Eryna mencerlung anak matanya ke arah Shahmi. Baju jubah panjang berwarna biru laut yang nampak begitu lembut itu seakan tidak selari dengan raut wajahnya yang mula berubah menjadi garang.

“Eh, dia klien I. Suka hati I lah. Bukan you yang nak kahwin.” Eryna berkata sambil menyilangkan tangan.

Faiq mengambil dokumen berisi proposal majlis perkahwinan klien mereka yang akan berlangsung bulan Mei nanti, seminggu selepas majlis kenduri Rayyan.

Pada firasat Faiq, tindakan menyatukan Eryna dan Shahmi untuk mengendalikan majlis yang sama hanya menambahkan huru-hara. Susah kalau masing-masing tidak profesional di dalam soal kerja, keluhnya di dalam hati.

“Klien you tu, klien I juga. Yang you tu tak cakap dengan I you pergi meetingdengan dia, kenapa? I bukan dalam team you ke?” perli Shahmi.

Wajahnya tenang walaupun nada suaranya keras. Faiq menjeling mereka berdua silih berganti. Dia tertekan tetapi dia mahu lihat sampai bila mereka berdua akan bertelagah.

“You sibuk.”

Excuse me, all this while I’m busy also but still we can managed our time, right?” Shahmi berkata sepatah demi sepatah.

Eryna mendiamkan diri sambil cuba mencari jalan untuk menutup kesalahannya. Dia akui, dia membuat appointment dengan klien mereka tanpa pengetahuan Shahmi yang sepatutnya ada bersama.

“Apapun I tak setuju. You rombak balik semula cadangan ni sebelum jumpa klien.”

Eryna membulatkan matanya. “Mana boleh! I nak jumpa dia lusa nanti. Mana sempat I nak buat research konsep baru! Lagipun dia mahukan gabungan moden dan tradisional. You nak buat macam mana lagi?”

“Tak semestinya you perlu tukar semua perabot atau interior dewan dengan perabot tradisional. Semua tu costing tahu tak. You boleh mainkan suasana pentas ataupun background stage dengan penukaran fabrik atau warna yang menampakkan ciri klasik, which is a bit cheaper!” Shahmi masih cuba mempertahankan pendapatnya.

Faiq yang duduk di tengah-tengah meja mesyuarat itu terangguk-angguk mendengarkan perbalahan mereka. Sebetulnya dia sangat setuju dengan pandangan Shahmi. Dia bukan membangkang idea Eryna tetapi proposal yang dibentangkan itu akan menelan belanja yang agak besar.

“Dia kata dia tak kisah soal duit.” Eryna berkata deras.

Shahmi ketawa sinis. “Sejak bila you jadi mak turut ni? Dalam soal ni, kita cuba memenuhi kehendak klien tapi dalam masa yang sama, kita kena pandai tackle hati mereka. Kalau you bagi tawaran mahal, tak mustahil dia cari lain walaupun dia tak kisah. Kalau you bagi solution terutama soal duit, mereka akan lebih berbesar hati kerana nampak you juga fikirkan tentang perasaan mereka.”

“Sepertimana you yang senang-senang saja cari pengganti lepas kita tamatkan hubungan ni?” soal Eryna dengan serius lalu membuatkan Shahmi terperanjat besar.

Faiq pula tergamam apabila Eryna cuba meletakkan soal peribadi mereka berdua ke dalam kancah perbincangan kerja ini. Hatinya mula mendidih.

“Eryna!” Shahmi seakan berbisik sambil membuat isyarat mata ke arah Faiq yang tunduk memerhatikan kertas cadangan.

Eryna masih memandang tajam. “Jadi, you mengaku?”

Tanpa menunggu lebih lama, Faiq menghentak meja mesyuarat yang terdiri daripada kaca tebal itu dengan kedua-dua belah tangannya sehingga menyebabkan Shahmi yang mahu bercakap, terus menutup mulutnya.

Faiq berdiri dan memandang mereka berdua silih berganti lagi. “You tahukan prinsip I? You tahukan prinsip pejabat ni? You tahukan yang I tak suka campur adukkan soal kerja dan perasaan?”

Eryna dan Shahmi mendiamkan diri. Gadis itu menelan air liur. Dia seperti baru tersedar bahawa Faiq ada di situ semenjak tadi. Manakala Shahmi pula mengetap bibir menahan geramnya terhadap Eryna yang terlepas kata.

“I tak kira you berdua nak selesaikan macam mana, yang I tahu esok jam dua belas tengah hari, I nak proposal yang baru! Bentangkan pada I apabila kepincangan antara you berdua sudah settle. Bukannya seperti yang berlaku sekarang!” Faiq berkata dengan kuat lalu mendengus sambil mencampakkan kertas tadi di atas meja mesyuarat.

Faiq segera berlalu keluar dari bilik tersebut dan dia perasan kebanyakan pekerjanya di luar sedar tentang apa yang berlaku berdasarkan riak wajah masing-masing yang terus menyembunyikan muka di sebalik komputer sebaik saja perasan Faiq sudah berada di luar pintu.

Lelaki itu dengan pantas masuk ke dalam bilik pejabatnya lalu mencapai beg sandang. Faiq kemudiannya segera keluar dan menuju ke arah meja ketua pentadbirannya.

“I dah nak balik. Tolong telefon supplier yang ada I buat temujanji esok dan batalkan semuanya. Postponeke hari lain atau hari yang mereka free. Esok I off,okey,” ujar Faiq dengan pantas.

Ketua pentadbirannya yang tercengang-cengang dengan situasi sebentar tadi mengangguk. Tak berani dia mahu bertanya kenapa semua mesyuarat yang patut berlangsung esok itu dibatalkan.

Dia pasti perkara ini melibatkan Shahmi dan Eryna berdasarkan ketegangan yang berlaku tadi. Terperanjat besar apabila dia mendengar suara kuat Faiq yang jarang marah itu.

Dia tahu kenapa. Sebentar lagi pastilah pejabat ini akan meriah dengan gosip terbaru terutama apabila bos-bos mereka, Eryna dan Shahmi keluar dari pejabat.

************************************************

LETIHNYA! Aku berjalan menuju ke arah perhentian bas di seberang jalan dengan langkah malas. Hari ini aku rasa macam duduk satu jam saja sejak pagi. Kelam-kabut sungguh studio dengan pelbagai assignments.

Aku berhenti di hadapan Bistro Ria sambil berkira-kira sama ada aku perlu bungkus makanan untuk dibawa balik ataupun aku pulang saja dan masak.

Ergh! Masak? Dah letih macam ni pun ada hati nak masak? Aku terus memprotes cadangan diri sendiri. Baru saja aku nak melangkah ke dalam bistro, aku mendengar suara seorang lelaki sayup-sayup memanggil nama aku.

“Faiq?”

“Awak nak pergi mana?” soal Faiq. Wajahnya nampak begitu tegang.

Sepantas kilat aku tahu dirinya dilanda masalah. Namun, siapalah aku untuk bertanya, kan? Nanti dia ingat aku ni nujum pak belalang sebab boleh menilik.

“Jangan tengok saya macam tu. Saya tak ada masalah berat untuk difikirkan,” kata Faiq sambil tergelak.

Aku terkesima. Tengok tu! Siapa yang nujum pak belalang sekarang ni? Aku ke dia? Kenapa dia boleh fikir apa yang aku fikir?

“Saya nak bungkus makanan. Lepas tu balik.” Aku berkata.

“Awak balik dengan apa?”

“Emm, bas. Lepas tu LRT. Lepas tu bas. Baru sampai rumah,” seloroh aku.

Faiq memandang aku dengan wajah kurang percaya. Lah, betullah aku cakap, kan? Aku mana ada kereta. Yang ada pun, kereta Myvi kepunyaan mama yang aku malas nak bawa ke tempat kerja. Dahlah nak cari parking pun satu hal. Baiklah aku bersenam pergi balik naik kenderaan awam aje.

“Jom saya hantar balik.” Faiq berkata tiba-tiba.

“Hah? Eh, tak payahlah. Rumah awakkan bertentangan hala dengan saya.” Aku menggelengkan kepala.

Wajah Faiq berubah. Aku pasti ada hal yang mengganggu dirinya. Nampaknya terpaksalah aku setuju. “Okeylah.”

Lelaki itu tersenyum lalu membuatkan aku menggelengkan kepala lagi. Akhirnya aku mengikut langkah Faiq ke kereta Vios putih miliknya yang diparkir tidak jauh dari situ.

“Awak teman saya malam ni boleh tak?” soal Faiq sebaik saja aku selesai memakai tali pinggang keledar.

“Hah? Teman apa?” Aku membulatkan mata. Hisy, macam pelik sungguh cadangannya!

“Makan. Tengok wayang. Jalan-jalan.”

Aku mengangkat kening. Apa pula masalah lelaki ni? Macam orang lepas putus cinta aje aku tengok. Aku memikirkan hal tersebut dengan pantas. Ah, mama pun bukan ada di rumah. Tak apalah kalau aku balik lambat pun. Tak ada sesiapa yang akan membebel.

“Okey, ikut awaklah.” Aku berkata ringkas sambil memerhatikan jalan raya yang mula sesak.

“Betul ni?” Faiq bertanya dengan suara yang girang.

Aku mengangguk perlahan walaupun dalam hati mencebik kehairanan dengan tingkah lakunya yang pelik. Selalunya air muka Faiq nampak tenang tapi ni macam ada 1001 masalah.

“Juju, awak bengang tak kalau di office ada orang yang tak profesional? Masalah rumah atau perasaannya dibawa ke tempat kerja,” tanya Faiq dengan perlahan. Kepalanya disandarkan ke kerusi semasa kereta berhenti di lampu isyarat.

Aku dah agak! Kan betul aku kata dia ada masalah? Lagi mahu menafikan. Hisy. Tampar karang! Aku menyilangkan tangan sambil memikirkan jawapan yang tepat.

“Benganglah tapi kita tak bolehlah marahkan mereka sebab perasaan kita ni sukar dikawal. Kalau benda tu jadi, awak kena sabar dan nasihat mereka. Jangan marah depan-depan. Manusia ni ada ego. Kalau ego tercalar, perasaan mereka lagi bertambah sakit.” Aku berkata dengan panjang lebar.

“Kalau dah selalu sangat?”

Aku memalingkan sedikit tubuh aku yang dilapisi blaus dan seluar jeans biru tua itu ke arahnya. Hmm, memang sah Faiq tengah pening. Nampak segala aura gelap di sekelilingnya kini.

“Saya rasa awak kena face to face dengan mereka. Cakap baik-baik. Bagi amaran. Hmm, siapa yang buat awak jadi macam ni? Biar saya pergi rotan dia orang!” Aku berkata dengan gurauan.

“Shahmi dengan Erynalah! Dah putus tunang tu, putus ajelah. Ni nak bawa isu ke pejabat. Manalah saya tak bengang.”

Shahmi dan Eryna? Aku terus melopong seorang diri. Eryna bekas sahabat baik akukah itu? Benarkah apa yang aku dengar? Mereka masih bersama? Mereka sudah putus tunang? Segala persoalan mula membuatkan aku semakin pening dan resah!

“Ju! Eh, la… Zulaikha! Yang awak pula macam dilanda masalah ni kenapa? Cukuplah saya seorang aje! Eh, Ju! Juju….”

Aku tak percaya. No! No! Noooo!

Previous: BAB 22
Next: BAB 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.