Home Novel Komedi/Romantik Komedi Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Weeda Airiza
5/3/2015 11:22:28
175,544
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 16

FAIQ menurunkan suhu penghawa dingin kereta miliknya. Cuaca di luar sangat panas dengan langit yang membiru tanpa kepulan awan. Dia memandang jam tangan sekali imbas.

Shahmi baru saja menelefon dan memberitahunya tentang persiapan majlis menyambut hari lahir Duta Itali di kediaman rasminya. Krew mereka semua sudah berada di sana untuk memastikan kelancaran majlis.

Faiq menunggu Zulaikha di tepi jalan berhadapan Fashion Queen Studio. Sepatutnya gadis itu boleh saja terus ke kediaman Duta Itali itu tetapi memandangkan semua kereta syarikat sedang digunakan, Zulaikha tiada pilihan lain selain meminta pertolongan Faiq yang juga akan ke sana.

Dari jauh dia melihat Zulaikha yang berjeans hitam dengan blaus longgar corak polkadot biru putih itu berjalan menuju ke keretanya. Dahi gadis itu berkerut menahan panas yang pastinya menembusi shawl biru muda yang dipakainya.

“Maaf lambat.” Zulaikha terus bersuara tatkala dia membuka pintu kereta Vios milik Faiq.

“Tak apa. Kitapun bukannya lambat sangat,” jawab Faiq seraya mula menurunkan brek tangan dan menekan minyak.

Suasana sepi berlabuh di antara mereka berdua buat beberapa ketika. Dari ekor mata, Faiq perasan jari-jemari Zulaikha digenggam kuat.

“Awak sejuk ke?” tanya Faiq.

Zulaikha menggeleng perlahan. “Saya okey saja.”

“Macam mana kerja di Fashion Queen? Seronok tak?” soal Faiq lagi.

Dia sendiri ketandusan idea untuk berbual. Namun, ada sesuatu di dalam diri Zulaikha yang menarik perhatiannya. Gadis itu tidak banyak bercakap. Mungkin pemalu. Ataupun sememangnya dia tidak gemar untuk berbual dengan lelaki.

“Okey. Lain dengan tempat kerja dulu.” Zulaikha menyilangkan tangannya sambil menjawab.

“Maksud awak?”

“Emm, dulu saya photographer untuk bahagian kanak-kanak dan saya jarang dapat assignment untuk ambil gambar di mana-mana majlis. Sekarang ni baru berpeluang buat semua tu.”

Faiq mengangguk. Matanya masih tajam melihat keadaan jalan raya yang masih sesak walaupun sudah melepasi jam sebelas pagi.

“Apa bezanya?”

“Beza?” Zulaikha menoleh ke arah Faiq dan mereka bertentangan mata.

Faiq tiba-tiba rasa terkedu dengan kerlingan mata Zulaikha. Dia mempunyai sepasang mata cokelat yang agak cerah dan tahi lalat di sudut kanan dagu gadis itu menarik perhatinya.

“Mak… Maksud saya apa beza handle model budak kecil dan budak besar?”

Zulaikha terus tergelak. “Budak kecil susah nak handle. Budak besar pula senang nak handle tapi ada sesetengah karenah tu pelik-pelik.”

“Biasalah tu manusia. Hati lain-lain, warna rambut saja sama.”

“Eh, salah.” Giliran Faiq memandang sekilas ke arah Zulaikha.

“Zaman sekarang ni rambut dah tak sama warna. Hati pula tetap berada di kedudukan yang sama dalam badan,” usik Zulaikha.

Faiq terkedu lagi dengan usikan Zulaikha. Baru saja dia menyangka gadis itu pemalu tetapi dia salah. Lelaki itu kemudiannya tersenyum kecil.

“Oh ya. Saya lupa nak tanya. Any special request untuk fotografi petang ni?” Zulaikha bertanya.

Special request?” Faiq mengerutkan dahi. Keretanya sudah memasuki Jalan Tun Razak. Dari situ dia akan meneruskan perjalanan ke Jalan Ampang.

“Ya. Special request. Selalunya klien akan berikan guideline. Nak tumpukan shot photography di bahagian mana ataupun siapa.”

“Hmm. Sebelum ni jarang jurufoto tanya macam tu kat saya. Selalunya dia orang ambil saja gambar dan nanti kita bincang untuk pilih yang mana satu untuk dimasukkan di dalam album gambar. Awak orang pertama yang soal macam tu.” Faiq berkata dengan panjang lebar.

“Oh. Memang macam tu pun selalu tapi memandangkan saya seorang saja jurugambar hari ni, kenalah saya tanya kot-kot ada benda yang menarik untuk diberikan tumpuan.”

Faiq tersenyum kecil. Dia suka dengan cara kerja Zulaikha yang nampak fokus dengan apa yang dia mahukan. Namun, bila teringat kata-kata Zulaikha yang tidak sengaja mengutuk majlis yang dikendalikannya tempoh hari, senyumannya mati.

****************************************************************

MAJLIS hari lahir yang dikendalikan oleh syarikat Faiq berlangsung dengan meriah. Aku menarik nafas lega apabila majlis sudah hampir ke penghujungnya. Kelam-kabut juga dibuatnya apabila aku seorang saja terpaksa turun padang hari ini.

“Penat?” Suara lelaki yang aku sudah pasti milik siapa itu berkumandang dari arah belakang.

Aku mengerling ketika lelaki itu melangkah ke sisi. Shahmi tersenyum sambil menyuakan segelas air oren sejuk. Antara ragu dan mahu, mana satu patut aku dulukan?

“Ambillah. I memang ambil untuk you.” Jawapannya membuatkan aku tanpa berlengah mengambil gelas tersebut. Lantaklah. Janji hilang dahaga.

“Terima kasih.” Aku menjawab ringkas.

Kalau ikutkan hati batu ni, nak saja aku buat tak tahu dengannya. Namun, mengenangkan Shahmi juga adalah salah seorang pekerja Faiq, aku tahankan perasaan ini.

“You balik dengan siapa nanti?” soal Shahmi.

Aku memandangnya yang lengkap dengan kot kelabu dan berjeans hitam. Tangan sebelahnya dimasukkan ke dalam poket, menampilkan ciri-ciri karisma yang tersendiri. Lebih tepat, bukan seperti berbelas tahun lepas semasa kami masih di alam persekolahan.

“Kenapa you tanya?” Aku menyoal kembali tanpa menjawab.

Mata aku menerawang ke arah seorang gadis yang nampak cantik di sisi Faiq tidak jauh dari situ. Kalau tak salah aku, dari tadi aku nampak dia dengan Faiq. Siapa agaknya dia?

“Kalau tak ada orang hantar, I boleh hantarkan you balik.” Shahmi menjawab sambil meletakkan gelasnya yang sudah kosong di atas meja tinggi berhampiran.

Majlis yang berkonsepkan Autumn in My Heart itu nampak begitu klasik dengan warna-warna tanah yang digunakan. Cahaya lampu daripada beberapa biji lampu chandelier mewah yang tergantung itu menyenangkan kerja aku mengambil gambar.

Puas hati bila melihat gambar-gambar yang diambil melalui kamera Nikon D600 milik syarikat. Shahmi yang masih setia berada di sisi, tidak aku hiraukan. Anggaplah seperti mannequin yang sememangnya tidak bernyawa.

“Ika…”

Sepantas kilat aku memandangnya. Tersentuh juga hati apabila nada Shahmi memanggil aku sama ketika kami menyulam cinta monyet di sekolah dahulu.

“You…”

“Juju!”

Belum sempat Shahmi menyambung kata, ada seseorang telah memotongnya. Terbeliak mata aku apabila mendengar nama timangan aku disebut oleh Faiq. Lelaki itu menghampiri aku sambil tersenyum lebar. Cis. Sejak bila pula dia berani panggil aku dengan nama keluarga ni?

“Juju?” Shahmi bersuara sambil mengangkat keningnya ke arah aku.

Aku buat tak tahu dengan pertanyaannya dan menoleh ke arah Faiq serta gadis yang seperti bayang-bayangnya itu.

“Ya?”

“Nanti awak balik office dengan Shahmi boleh? Saya ada mesyuarat sekejap lagi di sini. Takut nanti lambat balik, kasihan pula awak nak tunggu,” ujar Faiq.

Alahai, balik dengan Shahmi? Aku lagi rela tahan teksi dekat depan jalan ni daripada kena pulang dengan dia! Tapi mengenangkan betapa bahayanya aku dan kamera yang bernilai ribuan ringgit ni, aku terpaksa mengalah. Kalau hilang kamera syarikat, siapa nak ganti?

“Oh, ini Sheila. Ketua administration di sini. Sheila, ini Zulaikha. Our official photographer. You can contact her for any personal events also. Tak perlu throughkami pun tak apa.”

Ewah! Pandai-pandai aje offer kerja aku pada cik adik manis ni. Bukan dia pun yang buat jadual kerja aku. Siapa dia ni ya? Entah-entah awek dia sendiri? Sheila menghulurkan tangannya untuk bersalam.

“You ada kad?” soal gadis itu.

Aku menggelengkan kepala. “Not yet. I baru masuk kerja. You boleh terus hubungi Faiq kalau ada apa-apa. He’s my PA.

Aku hanya bergurau okey. It’s a joke! Tapi kenapa semua orang terdiam dan tak gelak? Aku segera berdehem apabila tiba-tiba melihat anak mata Sheila mencerlung.

No worriesSheila. You can contact me also since I’m her secretary too!” usik Shahmi, sekaligus menyelamatkan keadaan yang kekok ini.

Thank you by the way Ju. Nanti esok kita bincang okey.” Faiq memberikan senyuman sebelum berlalu dari situ.

Seperti biasa, Sheila mengekorinya dan aku perasan, gadis itu menjeling ke arah aku. Aik? Belum apa-apa tapi aku dah kena? Bukannya aku cakap dia boyfriend aku pun. PA aje. Personal assistant, ada faham?

“Yang you tercongok lagi kat situ kenapa? You tak nak balik ke?” Soalan Shahmi membuatkan aku kembali ke alam yang nyata.

“Huh? Habis dah ke?”

Shahmi mengangguk. “Jomlah. Kalau lambat nanti, lambatlah kita sampai office.”

Aku sempat melihat beberapa orang pekerja katering mula mengemaskan meja buffet. Dengan cepat, aku mengambil beg kamera lalu menyangkutkannya di bahu dan mengekori Shahmi yang sudahpun berjalan keluar dari kediaman kedutaan Itali ini.

Previous: BAB 15
Next: BAB 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.