Home Novel Komedi/Romantik Komedi Awak Cun!
Awak Cun!
Lily Irdina
26/8/2014 11:22:46
79,903
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 7

“Perhatian kepada semua pelajar blok A1, anda diminta untuk turun ke bawah sekarang juga.” Kedengaran suara ketua blok, Minah memberikan pengumuman menggunakan pembesar suara yang terletak di hadapan pejabat penyelia. Suaranya jelas menunjukkan dia sedang berkobar-kobar pada pagi itu.

“Sabarlah, Minah oi! Jam baru pukul 7.30 pagi,” Jay pula membebel di dalam bilik A1.2.5 sambil memandang jam di telefon bimbitnya. Dia baru hendak mengenakan tudung berwarna hitam ketika itu, tiba-tiba kedengaran suara ketua blok yang memecah keheningan pagi dan ketenteraman Jay mahu memakai tudung. Kacau daun betul!

“Kalau tudung aku senget-benget pagi ni, memang siaplah kau, Minah! Kalau aku lari lambat hari ni, semua gara-gara kau yang merosakkan mood aku nak pakai tudung!” kata Jay lagi. Ish...ish...ish! Pagi-pagi lagi Jay sudah merepek. Kenyataan yang dikeluarkan sungguh mengarut. Masakan Minah yang disalahkan jika berlari lambat ketika larian Mini KAKOM diadakan pagi itu.

Pagi Sabtu itu, larian Mini KAKOM bakal diadakan. Larian itu diadakan pada peringkat kebangsaan. Semua kolej matrikulasi di seluruh Malaysia mengadakan larian tersebut, cuma larian diadakan di negeri masing-masing sahaja.

“Kenapa Minah suruh kita turun awal pagi ini? Larian kan start pukul 8.30 pagi. Sekarang baru pukul 7.30,” tutur Ree pula.

“Entahlah. Biasalah Minah tu. Ketua blok berdedikasi kononnya,” kata Aten.

Pelajar-pelajar yang mendiami bilik A1.2.5 iaitu Aten, Ree dan Jay memang kurang menggemari ketua blok mereka iaitu Minah. Minah sering menjeling mereka bertiga. Atas alasan apa, mereka sendiri tidak tahu. Mungkin disebabkan Aten, Ree dan Jay selalu membuat kekecohan di blok menyebabkan Minah tidak menyukai sikap mereka.

Selalu juga mereka ditegur memandangkan bilik mereka betul-betul berada di bawah bilik Minah. Namun begitu, mereka juga selalu dimarahi walaupun mereka tidak membuat apa-apa kebisingan. Pernah sekali, jiran bilik Aten, Ree dan Jay berborak pada tengah malam sehingga terkeluar suara gedik terlebih sudu teh. Keesokan harinya, Minah bertemu dengan Aten dan memarahinya tidak tentu pasal. Dikatakannya, Aten dan ahli bilik telah membuat kekecohan semasa pelajar sedang tidur. Padahal, malam itu, Aten, Ree dan Jay memang sudah melayari bahtera di alam mimpi. Aten membiarkan sahaja dia dimarahi. Dia malas mencari gaduh dengan sesiapapun. Dipekakkan sahaja telinga Aten mendengar bebelan Minah yang sebiji macam mak cik-mak cik bergosip.

“Alamak, tudung ni buat hal pula pagi-pagi!” kata Jay sambil membetulkan lipatan tudungnya. “Ini semua Minah punya fasal!” Tidak habis lagi rupanya bebelan Jay yang sama seperti bebelan seorang nenek tua.

“Kita nak berlari jelah. Bukannya nak ke bandar pun. Tak perlulah cantik-cantik, cik adik Jay,” ujar Aten yang sedang menyapu sedikit bedak pada mukanya.

“Kau kata orang, kau tu pun sama saja. Tu tengok tu! Apa yang kau sapu pada muka kau tu?” balas Jay. “Bedak bertepek! Kita nak berlari jelah. Bukannya nak ke bandar pun. Tak perlulah cantik-cantik, cik adik Aten!”

Jay memulangkan paku buah keras kepada Aten. Ree menggeleng kepala sahaja melihat telatah dua ahli biliknya. Pantang berjumpa, ada sahaja yang mahu didebatkan.

“Biarlah aku pakai bedak. Bedak ini mengandungi SPF 20 tau. Memang sangat baik untuk perlindungan muka daripada sinaran matahari. Tak adalah gelap nanti kulit aku,” kata Aten panjang.

Jay mencebik. “Yalah tu. Aku rasa malam yang tak ada matahari pun kau guna bedak tu jugak kan?”

Aten tersengih. Dia memang menggunakan bedak itu pada setiap ketika. Baik malam atau siang. Dia memang sangat menjaga kecerahan kulitnya. Pantang jika kulitnya gelap sedikit, dia mesti akan berjangkit penyakit bebelan Jay. Bayangkanlah sebuah bilik yang didiami oleh dua orang tukang bebel tidak berbayar, memang patutlah bilik itu selalu kecoh.

“Bedak tu mesti mahal kan?” tanya Jay mendekati Aten tiba-tiba setelah memakai tudungnya. Lantaklah tudung! Betul juga kata Aten. Mereka mahu berlari sahaja. Tidak perlu berlagak ayu.

“Kenapa? Nak pakai jugalah tu,” sakat Aten.

“Hehe. Nak pakai sikit boleh?” tanya Jay. Muka tembamnya dibuat-buat comel. Aten rasa mahu picit sahaja pipi tembamnya itu.

“Yalah. Jangan terlebih dos pula ya!” balas Aten.

“Aku pakai sikit jelah.”

Aten menghulurkan bedak yang dipakai kepada Jay. Jay menyapu sedikit bedak itu pada mukanya. Buat perlindungan muka kononnya. Kulit mesti sentiasa dijaga. Jika tidak, macam mana mahu berkenalan dengan klon Jaejoong a.k.a Haffiy? Eh, ke situ pula dia!

Jay tersengih sendirian apabila mengenangkan Haffiy. Lelaki itu mesti berada berdekatan dengannya pada saat-saat dia ditimpa kesusahan. Teringat lagi Jay apabila Haffiy membantunya mengutip duit syiling yang bertaburan di hadapan gim. Beberapa hari yang lepas, dia telah membantu Jay berdiri apabila Jay tersungkur. Kejadian berlaku di tempat yang sama pula tu! Gimnasium! Waktu itulah dia terus mengambil kesempatan untuk bertanyakan nama Haffiy. Dah alang-alang terjatuh tu, terus jelah tanya nama. Keh..keh..keh...

Haffiy bagaikan superhero! Superman, Spiderman, Batman! You name it! Oh, hati Jay memang sangat berbunga-bunga waktu itu! Perasaannya tidak dapat dikawal sehingga air liurnya terkeluar daripada mulut!

“Jay!” sergah Aten. “Kau ni memang tak senonohlah!”

Jay tersedar daripada lamunan. Terkulat-kulat dia jadinya akibat jerkahan Aten.

“Jay! Air liur kau meleleh! Ewww!” jerit Ree pula.

Jay lantas melihat cermin di pintu lokar. Memang benar dia terliur. Ah, malunya! Cepat-cepat dia mengambil tisu dan mengelap mulutnya.

“Kau teringat pada siapa sampai air liur kau meleleh? Ish, buat malu kaum perempuan je kau ni!” kata Aten.

Jay tersengih. Dia malas mahu membuka cerita mengenai Haffiy. Nanti bermacam-macam soalan yang terkeluar daripada mulut Aten dan Ree. Bukan dia tidak tahu kawannya yang dua orang itu merupakan penyiasat persendirian yang tidak bertauliah. Memang penat mulutnya nanti mahu melayan karenah Aten dan Ree jika mereka tahu dia sedang berfikir mengenai Haffiy, si pujangga hati.

“Sengih pula dia,” tutur Ree. “Cakap jelah apa yang terbenam kat fikiran kau tu. Ha, tengok tu aku dah gune bahasa sastera ni!”

“Tak ada apa-apalah,” Jay berseloroh.

“Yalah tu.”

“Betul. Aku terfikir fasal ketupat dengan rendang mak aku buat masa hari raya. Tu pasallah aku terliur.”

“Raya lama lagi cik adik Jay,” kata Ree. “Puasa ganti pun kau tak habis bayar lagi, dah berangan nak sambut hari raya.”

Aten ketawa melihat gelagat Jay yang menggelikan hati itu. Dia berkata, “Sudahlah. Jom turun bawah. Nanti Minah membebel macam Jay.”

Satu cubitan hinggap di lengan Aten.

***

Aten, Ree dan Jay khusyuk memanaskan badan di padang berdekatan astaka kolej. Semua pelajar berbaris mengikut blok asrama masing-masing. Memandangkan Blok A1 merupakan blok asrama yang pertama, pelajar-pelajar perempuan yang mendiami di kolej tersebut diminta untuk berbaris di hujung bersebelahan dengan barisan pelajar lelaki yang mendiami asrama C5.

Malu juga apabila perlu memanaskan badan bersebelahan dengan pelajar lelaki. Namun, sesi regangan harus diteruskan sebelum berlari. Hal ini adalah supaya otot dapat bertugas dengan berkesan. Oleh yang sedemikian, kecederaan dapat dielakkan.

Aten, Ree dan Jay berlari setempat selama beberapa saat. Kemudian, semua pelajar menarik nafas sedalam-dalamnya sebelum memulakan larian.

“Pelajar perempuan diarahkan untuk berlari dahulu untuk mengelakkan kesesakan,” ucap Puan Hamidah yang merupakan salah seorang pensyarah kokurikulum. Beliau nampak sangat bersemangat pada hari itu. Maklumlah, berlari merupakan salah satu aktiviti yang paling digemarinya.

Beliau mesti akan berlari jika berasa tertekan. Berbanding dengan orang zaman sekarang yang kebanyakannya melepaskan tekanan dengan memberontak, dia lebih suka melepaskan apa-apa yang terbuku di hati dengan berlari. Memang bagus untuk kesihatan. Memang patut bentuk tubuh Puan Hamidah yang sudah mencecah hampir 40 tahun itu masih slim macam Beyonce. Selepas ini, bolehlah para remaja di luar sana melepaskan tekanan dengan berlari. Nescaya generasi akan datang akan tampil lebih sihat dan cergas. Cewah!

“Sedia, priiitttt!”

Pelajar-pelajar perempuan semua berlari keluar dari astaka menuju ke pintu pagar kolej. Ada yang terus berlari sepantas Clark Kent yang juga dikenali sebagai Superman. Ada yang berlari anak sahaja. Ada juga yang tidak berlari langsung.

Aten, Ree dan Jay mengambil keputusan untuk berlari anak sahaja. Jarak dari astaka ke pintu pagar kolej agak jauh juga. Namun, larian tetap diteruskan tanpa berhenti. Di samping itu, mereka terserempak juga dengan jiran bilik mereka iaitu Wawa, Yuyu dan Shasha. Mereka kelihatan sempoi sahaja. Tidak berlari sakan seperti Aten, Ree dan Jay.

“Korang, nanti singgah warung tepi jalan. Kita lepak-lepak dulu kat situ,” kata Yuyu.

“Boleh je tapi kau belanja kami eh,” balas Ree.

“Korang bertiga memang. Semuanya nak suruh orang belanja,” kata Wawa pula.

“Hehe. Biasalah, hidup kena berjimat cermat,” ujar Aten sambil ketawa kecil. “Kami lari dulu ya!”

Setelah keluar pintu pagar kolej, Aten, Ree dan Jay bergerak ke simpang jalan. Jay yang sememangnya tidak meminati sukan larian sudah berasa penat walaupun baru berlari tidak sampai sepuluh minit. Walaupun begitu, dia masih cuba menyaingi larian Aten dan Ree.

Kaki Jay sudah mula mengurangkan kelajuan. Kakinya sudah mula berat. Dia tidak tahu jika dia boleh bertahan untuk meneruskan larian.

“Jay, kau okey?” tanya Ree melihat Jay yang diagaknya mahu berhenti berlari.

“Okey,” balas Jay pendek. “Kalau aku berhenti berlari, korang terus je tau. Tak payah tunggu aku. Aku ni memang gajah sikit.”

Jay masih lagi menggagahi dirinya untuk berlari walaupun dia sudah mencungap-cungap.

You can do it, Jay!’ desis hati kecil Jay.

Disebabkan kata-kata semangat yang dituturkan dalam hati, Jay masih lagi meneruskan lariannya walaupun pada ketika itu, dua lagi kawannya sudah jauh berada di hadapan.

Lari...lari...lari.

You can do it. You can do it. Oh, no! You can’t do it!

Akhirnya, Jay berhenti juga daripada meneruskan larian. Kakinya seperti dihempap batu besar yang menghalangnya daripada berlari laju. Dengan tenaga yang dihasilkan oleh Adenosine Triphospahte (ATP) masih berbaki lagi dalam badannya, dia berjalan sahaja di atas jalan bertar itu.

Kadang-kala, dia berlari sebentar. Kemudian, dia akan berhenti berlari. Begitulah juga pada minit-minit seterusnya.

Sempat juga dia menikmati pandangan di luar kolej setelah beberapa lama menjadi ‘banduan’ di matrik. Jalan di situ kebanyakannya lurus walaupun kawasan itu merupakan kawasan kampung. Banyak juga kedai-kedai terbina. Jay menelan air liur sahaja apabila ternampak warung menjual air kelapa. Oh, alangkah enaknya jika setitis air kelapa sejuk menyentuh lidahnya! Sudahlah dia memang kehausan waktu itu.

Namun begitu, dia malas hendak singgah di warung itu memandangkan semua pelajar asyik dengan larian masing-masing. Dia tidak mahu menjadi ‘kepala’. Manalah tahu jika pelajar-pelajar lain mengikut rentaknya membeli air kelapa di warung tersebut. Bertambah-tambah kaya pemilik warung itu dengan hasil jualan air kelapa yang mendadak secara drastik. Selepas itu, tidak pasal-pasal pula dimarahi oleh pensyarah kerana tidak meneruskan larian. Oh, namanya harus dijaga!

Jay berlari anak lagi. Kini, dia sedang berlari berhadapan dengan pantai di Pengkalan Balak.

Subhanallah!

Memang cantik laut yang diciptakan oleh ALLAH. Terasa damai melihat ombak yang menghempas pantai. Terasa nyaman apabila angin sepoi-sepoi bahasa menyapa pipi pada pagi hari. Jay mencuci mata sebentar melihat keindahan alam. Ada juga antara para pelajar yang berhenti sebentar untuk mengambil gambar di tepi pantai. Memang pengalaman yang sangat berharga.

Jay teringin juga untuk merakam memori berada di tepi pantai tetapi dia meninggalkan telefon bimbitnya di bilik. Jika dia mahu bergambar sekalipun, keseronokannya tidak akan sama jika dibandingkan dengan keseronokan mengambil gambar bersama rakan-rakannya yang sudah jauh meninggalkannya.

Beberapa minit berlalu. Kini, Jay sudah hampir sampai ke kolej. Beberapa pelajar lelaki juga sudah melepasi lariannya. Mesti laju budak lelaki itu berlari. Sedangkan, pelajar perempuan yang dilepaskan berlari terlebih dahulu.

Jay berlari ketika berada di simpang jalan. Fikirannya hanya mengimaginasikan katil empuk yang berada di biliknya. Alangkah seronoknya saat-saat badan yang keletihan dihempaskan di atas katil. Girangnya hati dapat melelapkan mata menghilangkan keletihan setelah berlari merentasi desa.

“Awak!” Pergelangan tangan Jay direntap menyedarkannya daripada berangan di siang hari. Jay ditarik daripada berada di tengah jalan.

Jay terkejut besar apabila terdapat sebuah kereta yang melepasi simpang. Dia nyaris dilanggar oleh kereta!

“Awak ni kalau teruja sangat nak berlari pun tengoklah kiri kanan dulu.”

“Hei, suka hati sayalah nak jalan pandang mana-mana...” Jay tidak sempat menghabiskan dialognya di saat matanya tertancap pada wajah seorang lelaki yang baru sahaja menyelamatkannya daripada dilanggar kereta. Dia kenal muka itu. Ya, tidak lain dan tidak bukan.... Haffiy!

“Awak ni buat saya risau tahu tak!” kata Haffiy lagi yang berunsur lebih kepada teguran. Jelas kerisauan pada mukanya yang memerah kerana cuaca pagi yang agak panas.

‘Oh, superheroaku kembali menyelamatkanku!’

“Awak okey?” tanya Haffiy menyedarkan Jay daripada lamunannya. Baru beberapa saat berlalu Jay mengelamun lagi? Ish, memang tidak patut!

“Err... saya okey,” balas Jay. Dia memandang pergelangan tangannya yang dilitupi baju itu masih dipegang oleh Haffiy. Lelaki itu terus melepaskan tangan Jay setelah menyedari tindakannya itu. “Gomapsumnida. Eh, maksud saya, terima kasih. Awak dah selamatkan nyawa saya.”

“Ya ALLAH! Nasib baik saya ada kat simpang jalan tu tahu tak. Saya memang tak dapat bayangkan apa jadi kalau awak kena langgar tadi,” kata Haffiy.

“Saya minta maaf. Saya dah menyusahkan awak. Salah saya tak tengok jalan tadi,” ujar Jay. Sesungguhnya, dia berasa bersalah kerana tidak fokus. Dia bersalah kerana menyusahkan Haffiy.

“Sudahlah. Lepas ni, awak mesti berhati-hati tau!”

Jay mengangguk. Dia dan Haffiy menyambung larian masing-masing sehingga sampai ke kolej. Mereka menuju ke tempat letak kereta pensyarah untuk mengambil makanan yang disediakan khas untuk para pelajar.

Makanan disediakan mengikut blok asrama. Jay bergerak ke balai makanan untuk pelajar blok A1 manakala Haffiy bergerak ke balai makanan bahagian lelaki. Setelah mengambil makanan, Jay mencari kelibat Haffiy yang diagaknya berada di kawasan pelajar lelaki.

“Awak cari siapa?” Kedengaran suara Haffiy menegurnya dari belakang. Jay menoleh dan ternampak jejaka tersebut berdiri betul-betul di belakangnya.

“Err...tak ada sesiapa,” jawab Jay. Rasa bersalah masih menggunung di hati. “Awak, saya minta maaf sangat-sangat. Sebab saya, awak susah.”

Don’t mention it, Jannah. Takkan saya nak biarkan awak kena langgar tadi. Really, it’s nothing.Syukur awak selamat.”

Jay yang masih lagi dalam keadaan terkejut berkata, “Terima kasih, Haffiy. Saya tak tahu macam mana nak balas jasa awak.”

“Tak apa. Jasa yang boleh awak balas pada saya adalah hanya berhati-hati di jalan raya. Jalan tu jangan nak menonong je. Okey?”

Dussh! Rasa terpukul betul Jay dengan kata-kata Haffiy. Jay hanya mengangguk. Akur bagaikan menerima arahan big boss. Senyuman dihulurkan dan dibalas dengan senyuman ikhlas Haffiy.

“Saya balik bilik dahulu ya,” ucap Jay.

“Okey. See you later, Jannah.”

***

Pintu bilik A1.2.5 dibuka. Kelihatan Jay memasuki bilik lalu menutup pintu itu. Aten dan Ree pelik dengan Jay waktu itu. Sekejap-sekejap dia tersengih. Lepas tu dia akan menunjukkan riak terkejut.

“Kau ni kenapa?” tanya Ree yang masih berpakaian sukan.

“Er...tak ada apa-apa. Aku cuma terkejut tadi masa nak lintas jalan, aku hampir kena langgar kereta,” jawab Jay.

“Ha?” sahut Aten dan Ree serentak. Masing-masing terperanjat dengan berita yang baru disampaikan oleh Jay.

“Habis, kau tak apa-apa?” tanya Ree langsung bergerak ke arah Jay. Diperiksanya tubuh badan Jay jikalau kawannya itu menghadapi sebarang kecederaan. Sebagai pelajar sains hayat, dia berasa bertanggungjawab untuk membantu Jay. Walaupun cita-citanya bukanlah untuk menjadi seorang doktor, dia perlu memastikan rakannya berada dalam keadaan selamat dan sejahtera.

Aten juga begitu. Sebagai remaja bertanggungjawab lagi bersahsiah tinggi, dia perlu memastikan Jay berada dalam kondisi yang sebaik mungkin. Selepas menjadi pengganti Aina sebagai ketua aras, dia mesti menjaga keselamatan anak buahnya. Dia memegang muka Jay dan mencari-cari jika terdapat apa-apa kesan luka.

Sungguh mengambil berat budak-budak bilik A1.2.5.

“Korang, aku okey,” tutur Jay melepaskan tangan Aten daripada memegang mukanya. “Korang tak perlu risau. Aku tak terjatuh, terlanggar, tersungkur dan apa-apa yang semaksud dengannya. Nasib baik ada seorang student yang tarik aku daripada berada kat tengah jalan tadi.”

“Fuh, lega! Kau fikir apa sampai kau hampir dilanggar? Ini mesti kau tak tengok kiri dan kanan jalan kan?” tanya Ree.

Jay tersengih menunjukkan barisan giginya.

“Ish, budak ini! Boleh pulak tersengih. Kau tahu tak nyawa kau hampir melayang?” ujar Aten pula. “Buat kita orang risau saja. Lain kali berhati-hati kat jalan raya tu. Jangan nak berangan je. Memang takdir kau ada orang selamatkan. Cubalah kalau tak ada orang berdekatan dengan kau tadi? Aku memang tak dapat bayangkan!”

Aten bebel panjang. Dia sudah menghidapi penyakit bebel. Terpaksalah Jay menahan telinga. Ree juga tidak pasal-pasal menjadi mangsa bebelan Aten.

“Ya, nenek Aten. Cucu ikut nasihat nenek. Cucu berjanji akan lebih berhati-hati selepas ni. Cucu akan lebih fokus apabila berada di jalan raya,” kata Jay membahasakan dirinya ‘cucu’. Perasan muda pulak dia!

Aten berpuas hati mendengar janji yang ditaburkan oleh Jay. Sesungguhnya, dia memang tidak dapat membayangkan jikalau Jay kemalangan. Dia sayang Jay. Dia sayang semua kawannya! Cukuplah Aina sahaja yang keluar dari matrik. Janganlah yang lain pula mengikut jejak lagkah Aina. Kalau pergi jejak menara gading tak apa. Kalau jejak hospital macam mana?

“Nenek dah makan?” tanya Jay sengaja berlelucon.

“Belum, cu,” balas Aten. “Jomlah makan sekali.” Dia bergerak ke meja tengah dan membuka bungkusan makanan yang diambil di tempat letak kereta pensyarah tadi.

Melihat Aten yang mahu mengisi perut, Jay dan Ree juga membuka bungkusan masing-masing. Terasa lapar pula perut setelah berlari sejauh tujuh kilometer. Seronoknya dapat melegakan deria rasa dengan makanan yang diberikan walaupun makanan tersebut hanyalah nasi goreng dengan telur mata kerbau.

“Bila korang berdua sampai kolej?” tanya Jay sambil menyuap sesudu nasi goreng ke dalam mulutnya.

“Adalah dalam sepuluh minit yang lepas,” jawab Ree.

“Kiranya, laju jugaklah aku berlari tadi walaupun tak seriringan dengan korang,” kata Jay.

“Bolehlah tahan,” kata Aten pula.

“Em..satu pencapaian yang bagus, Jay!” Jay memuji diri sendiri. Tidak disangka dirinya yang malas mahu mengangkat kaki boleh berlari sejauh tujuh kilometer. Sungguh menakjubkan! Sungguh membanggakan!

Mereka meneruskan suapan. Disebabkan oleh kelaparan yang ‘tidak’lah melampau mana, mereka menghabiskan makanan mereka dalam masa hanya tiga minit. Sekali lagi, pencapaian tersebut sungguh membanggakan! Memang pelajar bilik A1.2.5 memiliki selera yang menakjubkan!

Mereka bertiga keluar dari bilik untuk membuang sampah. Bungkusan yang telah kosong tadi tidak dibuang ke dalam tong sampah bilik tetapi di buang ke dalam tong sampah yang terdapat di hadapan tandas untuk mengelakkan bau. Mereka bertiga memang sungguh clean freak! Bau sikit memang terasa nak muntah.

Kadang-kala, mereka akan menyemburkan minyak wangi yang mahal lagi limited edision yang digunakan oleh mereka untuk mengharumkan lagi bilik tidur. Selalu juga ahli bilik lain memuji keharuman dan kewangian bilik mereka di samping hiasan bilik yang memukau mata. Memang patut Aten, Ree dan Jay seringkali kembang hidung! Nasib baik tak kembang punggung.

Mereka membasuh tangan di bilik air dengan menggunakan sabun wangi. Jika tidak menggunakan sabun, sudah tentu tangan mereka akan mempunyai bau yang kurang menyenangkan hidung. Ada bau minyak, ayam dan ikan melekat-lekat di jari-jemari. Oh, itu tidak boleh sama sekali!

Setelah mencuci tangan, mereka kembali ke bilik. Aten menghala ke katil Aina dan melihat luar tingkap. Dari situ, kelihatan masih ramai pelajar tidak kira lelaki mahupun perempuan yang baru sampai ke kolej. Tersenyum juga dia apabila mengenangkan dia dan rakan sebiliknya dapat berlari pantas dan dapat pulang ke kolej dalam masa beberapa minit sahaja.

Aten melihat lagi suasana di luar. Terdapat sekumpulan pelajar lelaki yang baru sahaja sampai.

Chaiyok! Chaiyok!” Tiba-tiba sahaja Aten menjerit ke luar tingkap. Terperanjat Ree dan Jay dibuatnya. Buang tabiat apa? Mereka segera memanjat katil Aina dan melihat ke luar tingkap juga.

Aten tergelak sahaja melihat gelagat budak-budak lelaki yang baru tiba itu memanjangkan leher. Mahu mencari empunya suara lunak lagi comel plus plus barangkali.

Nasib baik tingkap bilik mereka tidak terbuka luas. Oleh itu, keadaan tersebut menyukarkan pelajar lelaki itu melihat mereka bertiga di bilik.

“Korang! Cepatlah lari!” Ree pula menjerit.

“Cepat! Cepat! Cepat!” Jay juga tumpang sekaki memberi semangat kepada budak-budak lelaki tersebut. Mereka ketawa sahaja apabila terdapat pelajar perempuan memberi sorakan ikhlas daripada hati. Barulah bersemangat mahu berlari! Mendengarkan sorakan itu, mereka terus berlari anak. Berlari perlahan pun tidak mengapa. Tahap kekacakan harus dijaga.

Aten, Ree dan Jay seronok mengacau budak-budak lelaki tersebut. Kelakar melihat mereka terjengah melihat celah-celah tingkap mencari si puteri comel rupawan. Mereka melihat lagi para pelajar yang baru tiba di kolej. Terdapat beberapa pelajar perempuan yang baru sampai. Namun, mereka biarkan sahaja.

“Tak seronok kacau budak perempuan,” kata Aten menjadi ketua dalam projek mengacau orang. “Nanti mereka hentam kita balik.”

“Mana kau tahu?” tanya Jay.

“Kau tengok ni eh,” tutur Aten sambil melihat kembali suasana luar melalui celah-celah tingkap. Mencari mangsa kononnya.

“Korang! Cepat lari!” jerit Aten dari dalam bilik. Sengaja dibuka tingkap luas-luas membiarkan pelajar-pelajar perempuan tersebut dapat melihatnya dari luar.

Seperti jangkaan Aten, budak-budak perempuan itu nampak Aten yang berada di dalam bilik. Mereka terus berkata, “Tak ada kerja lain ke?”

“Ha! Kan aku dah cakap. Itulah pasal aku tak suka kacau budak perempuan. Tindak balas yang diberikan agak negatif,” ujar Aten dengan pendapatnya.

Beberapa saat berlalu. Kemudian, ada lagi sekumpulan pelajar lelaki yang berjalan berhadapan dengan blok asrama mereka. Mereka nampak penat. Maklumlah, berlari mengelilingi padang sebanyak satu pusingan memerlukan tenaga yang banyak, inikan pula sejauh tujuh kilometer. Aduh, memang kematu kaki dibuatnya!

“Aten, tu ada lagi budak lelaki,” kata Ree.

“Hoi!” jerit Aten. “Cepatlah lari! Kitorang pun penat jugak tapi kitorang lari tau!”

Jay dan Ree ketawa kecil melihat aksi Aten.

“Betul tu! Tak macholah korang ni!” pekik Jay pula.

“Cepat! Cepat! Cepat!” Ree tetap memberi sokongan padu kepada budak-budak lelaki itu. “Faster! Faster! Faster!”

“Okey ma’am!” balas budak-budak lelaki itu serentak. Mereka terus mengangkat kaki berlari.

Woohooo!” jerit Aten, Ree dan Jay keseronokan. Gembira rasanya dapat menaikkan semangat pelajar-pelajar untuk bersukan. Memang sikap mereka patut dicontohi. Majulah sukan untuk Malaysia!

Yeah! Cayalah korang!” jerit mereka lagi. “Cepat! Cepat! Cepat!”

“Hoi, budak aras dua!” Kedengaran suara seorang perempuan yang sangat dikenali tiba-tiba menjerit dari tingkat atas. “Senyaplah sikit! Tak malu ke?”

Macam kenal ya suara itu.

“Minah!” Tekaan mereka memang tepat. Minah yang mengeluarkan suara yang tidak berapa comel mengarahkan mereka untuk senyap sebentar tadi.

Aten, Ree dan Jay terus menutup tingkap dan menyorok di sebalik lokar Aina yang kosong. Kalau tubuh mereka kecil seperti bayi, sudah tentu mereka akan menyorok di dalam lokar itu!

Aten berkata dengan nada yang perlahan, “Aduh, kacau daun betullah Minah ni!”

“Relakslah, Minah ni!” ujar Ree pula. “Kita cuma beri semangat je. Bukannya kita mengurat pun budak-budak lelaki itu. Apa yang nak dimalukan?”

“Betul tu,” kata Jay mengiakan kata-kata Ree. “Beri semangat pun salah ke? Semasa kat sekolah dulu pun, cikgu pasukan aku selalu suruh para pelajar bersorak semasa bersukan tau! Barulah ada nama semangat kesukanan.”

“Minah tu memang dengki dengan kita,” tutur Aten. “Kita bising salah. Kita tak buat bising pun salah. Aku tak fahamlah dengan dia!”

***

“Padan muka kena marah!” kata Minah yang berada di atas katil di biliknya. Ketika itu, dia keseorangan di bilik. Ahli-ahli biliknya yang lain belum pulang lagi. Mungkin mereka masih lagi menghabiskan larian.

Jangan dipandang rendah kelebihan Minah. Mulut yang terlebih rajin membebel itu sebenarnya sama rajin dengan kakinya yang rajin berlari. Apabila mahu ke bilik, dia akan berlari. Jika dia mahu ke kafe, dia akan berlari memanjat tangga untuk ke situ. Dia berlari jika dia hendak ke kelas. Di samping itu, dia akan berlari juga apabila dia mahu ke tandas. Oleh sebab itu dia boleh sampai ke kolej semula dalam masa yang sekejap sahaja.

“Mengacau aku nak tidur je,” bebel Minah lagi. Tahap bebelannya semakin meningkat dari hari ke hari. Baru sebentar tadi dia memarahi ahli-ahli bilik A1.2.5. Walaupun dia tidak tahu siapa sebenarnya yang membuat kebisingan, dia pasti bahawa dalang di sebalik kebisingan yang mengganggu tidurnya pada pagi itu tidak lain dan tidak bukan hanyalah Aten dan konco-konco biliknya. Ya, dia memang pasti!

Sesungguhnya, dia memang tidak suka dengan ahli bilik A1.2.5 iaitu Aten, Ree dan Jay. Melihat wajah mereka sahaja dia rasa meluat. Dia tidak suka akan mereka kerana mereka selalu mengganggu ketenteramannya lebih-lebih lagi semasa dia sedang tidur. Aten, Ree dan Jay selalu membuat kebisingan pada waktu petang; waktu yang selalu dihabiskan untuk tidur di katil empuknya. Baru-baru ini, dia telah memarahi Aten yang dituduhnya telah membuat kebisingan pada waktu malam. Padahal, dia sendiri tidak tahu gerangan siapa yang berborak seperti berada di pasar malam.

‘Ah, biarkan Aten dan konco-konconya kena marah!’ desis hati kecil Minah. ‘Aku akan gunakan kuasa aku sebagai ketua blok untuk marah sesiapa je yang aku suka!’

Minah! Minah! Sepatutnya dia perlu membuat siasatan dahulu. Dia tidak boleh menuding jari kepada sesiapapun. Dia hanya mementingkan tidurnya sahaja! Ish...ish...ish!

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lily Irdina