Home Novel Komedi/Romantik Komedi Awak Cun!
Awak Cun!
Lily Irdina
26/8/2014 11:22:46
80,203
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 5

Melihat cermin, Aina meyikat rambut panjangnya. Rambutnya tebal separas pinggang. Memang susah nak dikeringkan jika dia membasahkan rambutnya. Jenuh juga tangannya mengelap. Jari-jemarinya mengecut terkena air lain pula ceritanya.

Mahu guna pengering rambut, alat itu sudah diharamkan sama sekali untuk dibawa ke kolej. Peraturan jelas mengatakan alat-alat elektrik seperti pengering rambut tidak boleh dibawa. Namanya sebagai ketua aras harus dijaga walaupun dalam hati meronta-ronta untuk melanggarnya. Pengering rambut sahaja! Tidak mencederakan pun. Bukannya pisau, parang, gergaji mahupun pistol yang boleh membunuh. Senang cerita dia tidak membawa apa-apa senjata yang pernah wujud di dunia ini.

Kadang kala, dia sendiri terfikir apakah rasionalnya peraturan yang wujud di situ. Jika difikirkan sekali, memang tidak rasional. Jika difikirkan berkali-kali, memang tidak masuk dek akal langsung.

Pernah juga dia terfikir untuk memakai T-shirt sahaja apabila pergi ke kelas. Lebih santai dan tidak mudah berkedut apabila dipakai. Berlainan dengan baju kurung yang perlu dijaga kelicinan setiap masa. Dia mengaku bahawa dia memang iron freak. Pantang nampak kedutan di pakaian, dia mesti akan menggosok bajunya walaupun kelas seterusnya hanyalah dua jam sahaja. Dua jam bukanlah masa yang lama. Rasanya tidak ada orang pun yang akan sempat memandang baju mahupun kedutan yang ada pada baju. Aina sahaja yang terlebih rajin bab menjaga penampilan.

Seperti biasa, Aina mengenakan baju kurung untuk ke kelas petang itu. Bedak disapu tipis ke mukanya menampakkan keayuan asli. Natural beauty. Dia malas mahu mengenakan mekap tebal semata-mata untuk pergi ke kelas. Celak juga malas dipakainya.

Kemudian, tudung berwarna hitam dipakai di kepala bersesuaian dengan baju kurungnya yang mempunyai taburan bunga hitam. Tudung dipin. Lipatan tudung diperbetulkan. Pelembap bibir dicalit sedikit menutup kekeringan pada bibir. Imej dirinya diperhatikan pada cermin. Nampak kemas untuk ke kelas. Pewangi disembur sedikit pada pergelangan tangan supaya tampak lebih segar dan harumannya tahan lama. Nama pun petang. Sudah tentu berasa letih dan mengantuk.

Barang-barangnya dicapai dan diletakkan di dalam beg. Memandangkan petang itu hanya ada kuliah, dia mengambil keputusan untuk membawa buku nota kecil sahaja. Dia pun hampir menamatkan pengajiannya di matrik. Oleh itu, sebuah buku nota kecil memadai.

Pintu lokar dikunci. Beg digapai dan disangkutkan pada bahu. Kasut hitam tidak bertumit disarung. Aina dan Jay bergerak seiringan. Mereka tidak mengunci pintu bilik kerana Aten masih lagi bersiap di dalamnya walaupun jarum jam sudah hampir mencecah pukul 2.00 petang.

“Jay, hari ini kau tak payah tunggu aku lepas kuliah,” ujar Aina. Ketika itu, mereka sedang berjalan di hadapan kafe. Ramai juga yang sudah bergerak ke kelas masing-masing.

“Kenapa?” tanya Jay. Mereka selalu akan pulang ke blok asrama bersama-sama kerana selepas kuliah, mereka akan ke perpustakaan kolej untuk mengulang kaji bersama-sama.

“Lepas kuliah petang ni aku ada kerja nak buat. Kau tak payah tunggu aku kat depan dewan kuliah. Kalau kau nak balik terus pun tak apa,” tutur Aina memberikan alasan.

“Okey,” balas Jay pendek . Dia seolah-olah faham bahawa Aina akan keluar dari matrik tidak lama lagi. Mungkin urusannya berhenti matrik masih belum diselesaikan di Pejabat Hal Ehwal Pelajar.

Aina boleh dikategorikan sebagai pelajar yang rajin walaupun saat-saatnya berada di matrik tinggal beberapa hari sahaja lagi. Kebiasaannya, pelajar yang mahu keluar matrik memang jarang menghadiri kelas tutoran dan kuliah. Berlainan pula dengan Aina. Pendapatnya, ilmu harus dicari dan dihargai. Rugi sekiranya dia tidak hadir. Lebih baik dia belajar awal-awal kerana mungkin benda yang sama akan dipelajari sewaktu dia berada di UiTM nanti. Dia hanya mahu membuat persiapan sahaja.

Aina dan Jay berpisah membawa haluan masing-masing. Jay bergerak ke Blok Tutoran kerana waktu itu dia mempunyai tutor kimia. Dia agak meminati subjek kimia setelah dia masuk matrik. Berbanding semasa di sekolah menengah dulu, dia memang tidak suka subjek tersebut sehingga pada tahap benci. Ya, dia benci subjek kimia semasa di sekolah! Dia jarang mendapat markah yang bagus. Semasa peperiksaan SPM juga dia hanya mendapat kepujian sahaja.

Namun, perkara berbeza terjadi kepadanya setelah dia berada di matrik. Dia memang sangat suka dengan kimia. Walaupun subjek tersebut terdapat sedikit pengiraan yang diperlukan, namun, dia merasakan subjek itu sangat menarik untuk dipelajari. Ajaran pensyarah pula sangat berkesan dan sentiasa melekat di hati.

Pada masa yang sama, Aina bergerak ke dewan kuliah. Dalam kepalanya sekarang ini, dia mahu langsaikan satu pekerjaan yang mesti dilakukan selepas tamatnya kuliah.

***

“Helo. Kakak boleh tolong Aina tak?” Aina sedang berbicara dengan kakaknya di talian. Dia agak memerlukan bantuan kakaknya ketika itu. Bantuan kecemasan!

“Tolong apa?” tanya kakak Aina di hujung talian. Pelik dirasakan oleh kakaknya itu. Jarang sekali Aina meminta pertolongannya. Kalau minta tolong untuk ajarkan sesuatu subjek itu adalah. Masakan Aina suruh dia mengajar dengan hanya menggunakan telefon. Tidak sesuai langsung!

“Kakak buka komputer sekarang.”

Kakak Aina menurut perintah ‘permaisuri’. Dia duduk dan membuka komputernya. Apalah misi yang adiknya mahu lakukan kali ini?

“Kakak dah buka.”

“Kakak buka fail saya. Kat situ ada folder saya simpan gambar-gambar saya kat matrik. Kakak tolong cucikan gambar-gambar saya dengan kawan-kawan saya. Lepas cuci, kakak tolong pos laju boleh?” minta Aina. Harap-harapnya permintaannya tercapai. Dia amat memerlukan gambar-gambar tersebut. Dia tidak sempat mencuci gambar tersebut memandangkan gambar-gambar itu disimpan di komputer yang berlainan.

“Kamu nak cuci gambar yang mana?” tanya kakaknya pula. Banyak juga gambar yang disimpan oleh adiknya itu.

“Emm...kakak cuci je semua. Nanti saya bayar.” Dia yakin semua gambar di komputer tersebut merupakan gambar-gambarnya bersama rakan sebilik. Gambarnya bersama rakan sekelas disimpan di telefon bimbitnya sahaja.

“Okey. Kamu nak bila?” tanya kakak Aina lagi.

“Selewat-lewatnya hari Rabu,” jawab Aina. Pos laju bukannya lama pun. Sehari sudah boleh sampai. Tambahan pula, dia memang sangat memerlukan gambar tersebut. Ada misi yang belum tercapai.

“Okey. Nanti kakak poskan.”

“Terima kasih, kak.”

Talian dimatikan.

Aina menghadap skrin komputer ribanya. Selepas waktu kuliah matematik tadi, dia terus menghala ke Blok Tutoran 2. Dia mahu membuat satu video. Video mengenai dirinya dan rakan sekelasnya. Dia mahu letakkan gambar yang sudah diedit cantik-cantik ke dalam video tersebut. Moga-moga kenangan Aina bersama mereka tidak hilang ditelan masa.

***

“Lambatnya kau balik, Aina?” soal Jay yang memegang novel di tangannya. Memang tidak mahu berpisah langsung dengan novel tebal itu. Maklumlah, jadual hariannya memang sangat padat. Pagi, kuliah. Petang, kuliah. Kalau pensyarah yang terlebih rajin tu jangan cerita. Ada sahaja kelas yang nak buat. Oh, memang penat! Itulah pasal kalau dah ada masa lapang macam ni, dia mahu berjauh sekejap dengan buku dan ber-dating pula dengan novel.

Berbalik pada buku yang Jay tengah pegang tu, dia memang seronok membaca novel tersebut. Kelakar sungguh! Dia sering tergelak apabila membaca buku itu. Alangkah bahagianya jika dapat menjadi heroin dalam sesebuah novel ataupun drama. Pengakhiran cerita sudah semestinya happily ever after bak cerita dongeng. Dapat berkahwin dengan lelaki baik plus plus, kaya plus plus, pandai lagi genius tidak terkata dan aset muka yang kacak tahap gigabyte! Ah, memang cair! Fantasi memang menggirangkan!

Namun, realiti tidak seindah fantasi. Hidup tidak selalunya ceria. Kesukaran dan ujian memang mesti dilanda oleh setiap orang yang bergelar manusia. Bersyukurlah dengan apa yang ada. Barulah hidup menjadi aman bahagia.

“Aku pergi bangunan tutor tadi. Buat kerja sikit,” kata Aina. Dia malas mahu memanjangkan cerita. Biarlah kerjanya tadi menjadi rahsia dan kejutan buat mereka yang tersayang.

“Kau dah makan belum?” soal Ree pula.

“Belum. Kau tengoklah nasi yang aku beli ni tak bersentuh lagi,” ujar Aina menunjukkan nasi goreng paprik yang dibelinya di kafe A dalam perjalanan pulang ke blok asrama A1. Perutnya memang sudah menyanyikan lagu rock sejak dari tadi. Lapar sungguh! Dilihatnya beberapa bungkus nasi yang terletak di atas meja tengah bilik itu. Mungkin nasi goreng milik Jay dan Aten. Adakah mereka menunggunya supaya dapat menikmati makan malam bersama-sama? Kalau betul, memang boleh touching!

“Kami semua juga belum makan. Jomlah mandi dulu. Nanti boleh makan sama-sama,” tutur Ree sambil mengambil bungkusan nasi yang diletakkan di atas meja belajarnya. Diletaknya nasi di atas meja tengah itu juga. Cukup empat bungkus nasi goreng untuk setiap seorang.

Jay menutup dan meletakkan novelnya di atas meja belajarnya. Dia bergerak ke katil Aten untuk mengejut kawannya itu. Digoyangkan sedikit tubuh yang sedap melingkar di atas katil empuk.

“Aten, bangun! Dah dekat pukul 7 ni. Jom mandi,” kata Jay sambil menggoyangkan tubuh Aten lagi.

Aten masih lagi tidak bergerak.

‘Tak boleh jadi ni.’

Jay melangkah naik ke atas katil Aten. Didekatkan mukanya ke muka Aten yang masih sedap memeluk anak patung katak. Disuakan mulutnya ke pipi Aten.

Chuup!

Aten terus terbeliak matanya. Dia terus duduk tegak daripada pembaringan dan memegang pipinya yang baru sahaja dicium oleh Jay.

“Aku mimpi ada seorang putera katak cium akulah,” kata Aten dengan suara yang serak-serak sedikit selepas bangun tidur.

Meledak ketawa Aina, Ree dan Jay. Mana tidaknya, putera katak itu merupakan Jay! Aten yang baru sahaja bangun tidur itu pelik dengan kawan-kawannya. Lawak ke apa yang dia cakap?

Dibiarkan sahaja mereka. Diregangkan badannya sekejap. Matanya digosok-gosok. Dia terus bangun dari katil dan mencapai tualanya. Peralatan mandi dicapai lalu dia keluar dari bilik tidur diikuti oleh tiga rakannya yang lain.

Mereka berempat memasuki bilik air. Pintu bilik mandi diselak dan dikunci dari dalam. Mujur waktu itu tidak ramai yang menggunakannya. Mungkin budak-budak lain sudah lama bersiram. Itulah sebabnya kosong semacam bilik air itu.

Tuala dan baju disidai di pintu bilik air masing-masing. Pili air dibuka maka keluarlah air bagaikan air hujan.

“Ah, bestnya dapat mandi! Hilang lekit kat badan!” kata Aina.

“Korang tahu tak?” celah Aten.

“Tak tahu,” balas mereka bertiga secara serentak.

“Kalau bolehkan aku tak nak mandi tau sekarang ni. Sayang nak buang kesan kena cium oleh putera katak dalam mimpi aku tadi.”

Ree dan Aina sudah ketawa berdekah-dekah.

Jay berkata, “Mimpi je! Merepeklah kau ni!”

“Aku rasa macam betul ada orang cium aku! Betullah putera tu yang cium!” ujar Aten yang masih tidak dapat membezakan mimpi dan realiti.

‘Heish, menyesal pula aku cium budak ni! Dia dah fikir yang merapu pulak!’ desis hati kecil Jay yang cuba ditahan-tahan untuk ketawa.

“Jadi kau nak kata kat dalam bilik kita tu ada kataklah?” tutur Jay.

Aten hanya ketawa sebagai jawapan kepada soalan Jay.

“Kau mimpi apa je tadi?” tanya Ree pula.

“Ala-ala cerita Snow White, aku jadi seorang puteri yang diracun oleh seorang ahli sihir. Aku hanya terlantar tidur je. Tak boleh bangun. Beberapa kali jugalah orang tolong goyangkan badan aku tapi aku tak sedar juga. Akhirnya, seekor katak menghampiri aku dan dia terus mengucup pipi aku. Itu yang aku terus terbangun daripada tidur. Kalau boleh aku nak jumpa lagilah putera katak tu. Aku nak tahu kalau dia bertukar jadi manusia yang comel!”

Tiga sekawannya yang lain tidak berhenti ketawa setelah mendengar pengalaman melancong Aten ke alam mimpi.

“Kalau putera katak itu bertukar menjadi manusia, kau nak jumpa dia tak?” tanya Aina kemudian.

“Mestilah nak! Mesti putera katak tu comel kan?” jawab Aten bersungguh-sungguh. Memang tidak sabar rasanya menanti peluang keemasan itu untuk berjumpa haiwan yang paling diminatinya iaitu katak!

“Kau nak kahwin ke dengan putera katak tu?” tanya Aina lagi. Memang seronok mendengar Aten berceloteh. Sifat keanak-anakannya memang jelas terserlah!

“Kalau dapat jumpa, aku tak naklah terus ajak putera tu kahwin. Aku nak kenal hati budi dia dulu. Keluar sama-sama. Ulang kaji sama-sama. Dapat 4 flat sama-sama. Memang kami pelajar contoh!” Memang besar angan-angan Aten. Sesungguhnya, dalam kotak fikirannya pada kala itu hanyalah hidup berumah tangga bersama putera tersayang. Menjadi isteri dan ibu kepada anak-anak putera tersebut. Tinggal pula di istana besar. Wah, bahagianya hidup!

Pada masa yang sama, Jay bagaikan mahu termuntah mendengar cerita Aten yang sebiji seperti cerita dalam novel. Sungguh fairy tale! Padahal, orang yang mencium Aten merupakan Jay yang diibaratkan muncul sebagai putera katak dalam mimpinya!

“Memang kuat berangan juga ya kau, Aten!” kata Ree pula.

“Hehehe...”

“Ish, sudahlah! Geli geleman aku dengar cerita kau! Kau tahu tak sebenarnya aku yang cium kau semata-mata nak bangunkan kau daripada tidur tadi!” celah Jay memberitahu cerita sebenar.

“Ha?” Aten terkejut mengeluarkan suaranya yang sudah sedia nyaring. Memang betul rupa-rupanya dia dikucup tetapi Jay yang menciumnya, bukannya putera katak yang diidam-idamkan. Oh, musnah segala harapan! Musnah mahligai rumah tangga yang baru sahaja sebentar tadi diimpikan. “Eww! Geli! Geli! Mana pencuci muka aku? Aku nak basuh muka aku cepat-cepat!”

Aina, Ree dan Jay meledakkan ketawa lagi. Ketawa mereka menyebabkan bilik air itu riuh dan kecoh!

“Hoi, orang dalam bilik air! Dah nak Maghrib! Kurangkan frekuensi suara anda ya!” tegur Wani yang merupakan salah seorang ahli bilik nombor tiga.

“OOPPSSS...SORRY!”

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lily Irdina