Home Novel Komedi/Romantik Komedi Awak Cun!
Awak Cun!
Lily Irdina
26/8/2014 11:22:46
79,899
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 3

Petang Sabtu itu, Aina, Aten, Ree dan Jay memakai pakaian sukan. Mereka mahu beriadah pada petang itu. Terasa badan semakin berat kerana sudah lama tidak melakukan senaman. Badan terasa seperti dipam-pam. Nasib baik tidak meletup macam belon.

Kasut dipakai. Tali kasut diikat kemas. Moga-moga tidak tertanggal dan mengakibatkan kemalangan jika terpijak tali. Seperti biasa, Ree yang memang dikenali sebagai ‘AJK Pintu Bilik’ mengunci pintu sebelum meninggalkan bilik. Kunci disemat dalam dompet. Ciri-ciri keselamatan bilik harus dijaga. Pelbagai barangan berharga tersimpan dalam bilik tersebut seperti komputer riba dan kamera digital. Memang menangis kalau barang-barang tersebut hilang begitu sahaja. Sudahlah mahal. Nanti tidak fasal-fasal kena mendengar bebelan kedua ibu bapa kerana tidak menjaga harta dengan elok.

Empat sekawan itu mula melangkah ke tingkat bawah. Nampak seperti atlet! Mereka membuat senaman memanaskan badan terlebih dahulu sebelum berlari. Badan dilentok-lentokkan. Regangan badan dibuat dengan betul.

Setelah itu, Aina, Ree dan Aten memulakan larian. Mereka berlari-lari anak sahaja. Jay pula mahu berjalan dahulu. Badan Jay tidak ‘slim’ seperti yang lain. Tengah-tengah. Tidak kurus dan tidak terlalu gemuk. Oleh itu, dia berlari macam kura-kura. Slow siput pun ada juga rasanya. Senang cerita Jay memang kurang gemar berlari. Dia lebih suka berjalan santai menikmati pemandangan sambil menghirup udara petang. Kemudian, barulah dia berlari-lari anak. Itu pun sekejap-sekejap sahaja. Buat syarat kononnya. Asalkan keluar peluh daripada badan sudah.

Jay memulakan larian menyaingi rentak tiga kawannya yang lain. Peluh sudah mula menitik-nitik di dahi dan mengalir jatuh ke pipi mulus masing-masing. Baju sudah basah seperti baru sahaja main hujan. Memang bersungguh-sungguh mereka bersenam. Tujuan asalnya adalah untuk membina stamina untuk larian Mini KAKOM akan datang di samping menjaga kesihatan badan. Kalau tidak bersenam, berkumpul lemak di badan nanti. Apabila lemak degil sudah mula membuat populasi, memang perlulah dibakar. Cara untuk membakar lemak sudah tentulah memerlukan keadaan yang bernama ‘penat’. Badan mereka tentu akan letih! Oh, malasnya!

Mereka berlari mengelilingi padang ragbi yang terletak berhadapan dengan blok asrama mereka. Kejelitaan dan keayuan harus di-controlgara-gara pelajar-pelajar lelaki ramai yang berkumpul di situ bukan sahaja mahu bermain ragbi tetapi menjadi penonton sukan itu. Tidak mahulah jika salah seorang daripada mereka terjatuh. Aduh, malunya kalau begitu! Minta-minta dijauhkan! Mereka lebih rela terjatuh di hadapan pak cik kafe daripada terjatuh di hadapan mereka yang bergelar pelajar lebih-lebih lagi yang berspesies lelaki.

Mereka nampak padang ragbi sudah dimonopoli oleh pelajar lelaki. Pelajar-pelajar perempuan juga menjadi golongan minoriti tetapi menjadi pemerhati dari tepi padang sahajalah. Tidak pernah pula golongan remaja perempuan bermain ragbi bersama-sama pelajar lelaki. Memang kecoh satu matrik kalau benar-benar terjadi.

Mereka meneruskan larian lagi. Petang Sabtu itu tidak ada yang berbasikal kerana stor basikal ditutup oleh pihak kolej. Mereka sendiri tidak tahu sebab-sebab stor itu ditutup pada hujung minggu padahal waktu hujung minggu seperti itulah para pelajar mahu beristirahat dan beriadah. Walaupun begitu, ada juga yang membawa basikal sendiri. Melihatkan corak dan kondisi basikal tersebut yang berwarna-warni dan diubah suai, memang sudah dapat diagak basikal tersebut di bawa dari rumah. Berbaloi juga kalau bawa basikal hak milik sendiri. Tidak perlulah beratur tiap-tiap petang selepas kuliah semata-mata untuk meminjam basikal.

Jay sudah mencungap-cungap. Penat barangkali. Mereka berhenti berlari setelah berlari mengelilingi padang sebanyak tiga pusingan dan melihatkan kondisi Jay yang sangat jelas kepenatan. Mereka mengambil keputusan untuk berjalan sahaja. Dihirup oksigen sebanyak mungkin. Nafas ditarik dalam-dalam. Walaupun masing-masing tahu berlari lebih baik daripada berjalan, namun, mereka juga tahu berjalan itu lebih baik daripada duduk. Orang kata, jika kita terus duduk selepas berlari, lemak akan berkumpul di punggung. Kebenarannya tidak diketahui langsung. Mahu membuat kajian lebih mendalam menggunakan internet terasa malas pula. Broadband yang digunakan hanyalah untuk membuat tugasan dan chattingdi laman sesawang Facebook. Hehehe.

Sambil berjalan-jalan, kesempatan yang ada diambil dan digunakan untuk ‘mencuci’ mata. Ada-ada sahaja mereka tu! Jalan menghala ke hadapan tetapi pandangan diletakkan di tengah-tengah padang memerhatikan budak-budak lelaki bermain ragbi. Nasib baik tidak banyak kenderaan yang lalu lalang di situ. Beberapa pokok besar sahaja yang ditanam di tepi padang. Terlanggar pokok boleh diterima tetapi minta dijauhkan daripada terlanggar kereta.

Beberapa minit berjalan, mereka duduk di bawah salah sebuah pokok besar di tepi padang tersebut. Terasa muka masing-masing merah dan bahang kerana petang itu agak terik. Kepanasan diredakan sedikit di bawah pohon redup. Mata masih dihalakan di tengah padang dan memerhatikan beberapa pelajar bersukan.

Jay cuba memahami permainan ragbi. Dia sebenarnya kurang mengetahui cara bermain ragbi. Oleh itu, masa yang ada petang itu digunakan untuk menambah maklumat tentang permainan ragbi. Terasa seronok pula melihat permainan tersebut. Berlari-lari merebut bola seperti budak kecil. Bola ragbi juga dibaling seperti bermain bola beracun masa zaman kanak-kanak dahulu.

Jay ternampak juga rakan sekelasnya yang bernama Wire dan Adi bermain ragbi di tengah padang itu. Memang sesuailah sukan itu dengan mereka kerana masing-masing mempunyai susuk tubuh yang tinggi. Wire tinggi dan sasa badannya. Adi pula walaupun tinggi, badannya tidaklah setegap Wire.

Apabila melihat Wire, dia teringat pula saat-saat dia memperkenalkan diri semasa hari pertama kelas diadakan. Namanya bukanlah Wire sebenarnya. Nama betulnya memang agak sedap buat pendengaran telinga.

Aizat Fazmee. Sedap, kan?

“Nak panggil Aizat atau Fazmee?” tanya pensyarah pada waktu sesi perkenalan tersebut.

“Panggil saya Wire.”

Semua tergelak mendengar jawapan Wire ketika itu termasuklah pensyarah mereka.

“Kenapa Wire?”

“Dari sekolah menengah dulu kawan-kawan saya panggil saya Wire sebab saya pakai pendakap gigi. Dari situlah datangnya nama Wire.”

Lamunan Jay terhenti apabila badannya digoncangkan oleh Aten. “Jay, kami nak pergi kafe. Jom.”

Jay bangun dan membersihkan seluarnya daripada pasir dan segala kotoran. Dia dan rakan-rakannya bergerak ke kafe. Jalan pintas diambil untuk pergi ke sana. Mereka lalu di hadapan gimnasium yang terletak bersebelahan dengan dewan besar.

Baru sahaja mereka mencuci mata di padang, kini mereka mencuci mata lagi melihat pelajar lelaki di gimnasium. Waktu tersebut sebenarnya merupakan waktu pelajar perempuan menggunakan gimnasium tersebut. Namun, memandangkan tidak ada langsung budak perempuan yang datang, kaum Adam sahaja yang menggunakannya.

Pada masa itu, Aina, Aten dan Ree mendahului Jay ke kafe yang ketika itu sedang membetulkan tali kasut yang tertanggal.

‘Kenapalah tali kasut ni nak tanggal betul-betul depan gim? Buat aku malu je! Aku ni kalau depan budak lelaki confirm ada benda yang tak kena,’ bisik hati Jay. Jay sudah tidak nampak lagi kawan-kawannya. Barangkali, mereka sudah sampai di kafe dan membeli makanan.

Setelah mengemaskan ikatan tali, Jay terus bangun dan cepat-cepat mengeluarkan beg dompetnya. Tiba-tiba...

“Kling kling kling!”

Duit syiling pula jatuh! Jay melihat ke dalam gim. Budak lelaki di dalam kesemuanya memandang Jay.

‘Aduh, dua kali malu aku hari ini! Lepas ni tak nak bawa duit syiling lagi! Zip beg dompet aku ni pun satu! Tiba-tiba je terbuka. Masalah betul!’

Jay menyumpah seranah beg dompetnya dalam hati. Malunya dia hari itu! Macam-macam berlaku! Kalau dia diberi kuasa Superman, dia mahu berlari laju pergi dari situ. Kalau diberikan peluang, dia mahu memadam memori budak lelaki di gim tersebut supaya tidak mengingati mukanya. Memang tinggi betul angan-angan Jay!

Jay mencangkung dan mengutip satu demi satu duit syilingnya. Budak lelaki di dalam gim melakukan aktiviti mereka kembali. Bukannya mahu membantu Jay mengutip duit syiling yang bersepah di atas lantai. Tak gentleman langsung! Lenguh juga kaki gadis itu dibuatnya. Jika duit syiling itu terjatuh di satu tempat tidak mengapa juga. Namun, duit syiling itu ada yang merantau ke dalam longkang dan ada saki-bakinya yang termasuk ke dalam gim.

‘Biarlah yang ada kat dalam gim tu. Halal jelah. Malu kalau tiba-tiba aku masuk semata-mata nak ambil duit syiling.’

Tinggal sekeping syiling 20 sen sahaja yang tinggal. Syiling tersebut berada di bawah bangku di hadapan gim. Duit syiling yang termasuk ke dalam longkang semuanya Jay telah kutip. Nasib baik longkang itu tidak berair. Kalau tidak, tidak tahulah berapa banyak kuman yang melekat pada jarinya.

“Habis pun kutip duit syiling ni!” Jay mengomel sendirian. Dizipkannya beg dompet rapat-rapat supaya tidak terkeluar segala isi di dalamnya. Dia tidak mahu lagi perkara yang sama berulang.

“Ni duit syiling awak, kan?” Tiba-tiba, suara seorang budak lelaki kedengaran dari belakang. Jay menoleh.

Terasa dunia berhenti buat seketika. Terasa masa berlabuh tiba-tiba. Bumi bagaikan berhenti berputar dari paksinya.

Mata Jay menangkap pandangan lelaki yang berada di hadapannya kini. Dia tidak pernah terjumpa mahupun terlihat budak lelaki tersebut sepanjang dia berada di matrik. Wajah budak lelaki itu saling tidak tumpah seperti Jaejoong, ahli kumpulan JYJ. Potongan rambutnya, keningnya, matanya, hidungnya dan bibirnya memang seakan-akan sama dengan Jaejoong! Ketinggian sahaja rasanya yang berbeza. Mungkin Jaejoong lebih tinggi daripada klon Jaejoong yang berada di hadapannya sekarang ini.

Tak kenal siapa Jaejoong? Sila bertanya kepada Pak Cik Google sekarang!

Mata Jay tidak berkelip langsung. Jantung berdegup tiba-tiba. Mulut ternganga. Nasib baik tidak masuk lalat. Nasib baik tidak terkeluar air liur.

“Awak?” tegur budak lelaki itu lagi.

Jay tersedar daripada lamunannya. Masa berlalu seperti biasa. Bumi kembali berputar seperti sedia kala.

“Duit syiling awak,” kata budak lelaki yang tidak diketahui namanya. Dia menghulurkan beberapa duit syiling yang dikutipnya tadi kepada Jay.

Jay mengambil syilingnya dengan tangan yang terketar-ketar. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia boleh menjadi seperti itu. Tiba-tiba sahaja dirinya tidak tentu hala.

“Terima kasih,” kata Jay dengan suara yang tenggelam timbul. “Dari mana awak dapat syiling ni?”

“Dari dalam gim. Saya perasan tadi duit syiling awak terjatuh dan termasuk dalam gim. Saya tolong ambilkan,” balas budak lelaki itu sambil tersenyum manis.

Awww.... senyumannya memang sebiji macam Jaejoong! Jaejoong ke yang ada kat depan aku sekarang ni? Kalau ya, bolehlah aku minta autograf sekali. Eh, takkan Jaejoong fasih berbahasa Melayu? Setahu aku Jaejoong tahu cakap bahasa Korea dan Jepun je.’

“Terima kasih ya,” kata Jay lagi. “Nanti saya masuk meminang awak. Eh...eh...bukan! Maksud saya, nanti saya belanja awak makan.”

Lelaki itu tergelak mendengarkan suaranya yang agak garau tetapi mendamaikan jiwa yang resah.

“Okeylah. Kawan saya mesti dah lama tunggu saya kat kafe tu. Nanti esok saya belanja awak makan tengah hari kat kafe B,” kata Jay.

“Tak apalah. Benda kecil je. Tak perlulah awak bersusah-payah belanja saya makan.”

“Betul ni?”

Budak lelaki itu menganggukkan kepalanya.

“Okey. See you later.”

Jay menoleh tetapi tiba-tiba sahaja telefon bimbit yang berada di genggamannya jatuh ke atas lantai.

‘Aduh, dah tiga kali aku malu hari ni!’

Budak lelaki itu cepat-cepat mengambil telefon bimbit itu dan menghulurkannya kepada Jay. Dia terasa mahu meledakkan ketawa di situ juga melihatkan Jay yang sentiasa menggelabah. Entah mengapa Jay tiba-tiba menggelabah, dia sendiri tidak tahu.

Jay mengambil telefonnya dan mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada budak itu. Dia mahu cepat-cepat menghala ke kafe tetapi dihalang oleh klon Jaejoong.

“Apa nama awak?”

‘Mamat ni nak tahu nama aku? Biar betul!’

“Jannah.”

Oh, see you later, clumsy Jannah.

Wajah Jay langsung kemerahan. Dia berlari laju ke kafe dan terus memesan makanan.

“Kau pergi mana tadi?” celah Aten sambil melihat Jay mengambil tempat duduk di hadapannya. Jay nampak menggelabah semacam ketika itu. Mana tidaknya? Baru berjumpa dengan Prince Charming! Eh, bukanlah! Jaejoong! Ooops, bukan juga! Klon Jaejoong! Ha, baru betul!

“Aku ikat tali kasut akulah kat depan gim tadi,” balas Jay. Terasa malas pula mahu memanjangkan cerita.

“Lama betul ikat tali kasut. Kau ikat tali kasut kau ke atau kau ikat budak-budak lelaki kat dalam gim tu?” tanya Aina mengusik Jay yang nampaknya masih ada lagi saki-baki gelabahnya itu.

“Merepeklah kau ni! Mana ada,” kata Jay lagi sedaya upaya menahan malu. Pipinya sudah mula memerah seperti memakai pemerah pipi pula. Tak ada makeup remover ke yang boleh padam warna merah pada pipinya ketika itu?

“Yalah tu. Kenapa muka kau merah semacam ni?” asak Ree pula dengan soalan. Lagak kawan-kawannya kini sebiji macam wartawan Melodi. Mengacau ketenteraman dengan soalan mati!

Jay memegang pipinya dengan harapan dapat menghilangkan kesan merah dan malu sekaligus.

“Aku punya duit syiling tadi terjatuh kat depan gim. Semua budak lelaki kat dalam gim tengok aku. Itulah pasal muka aku merah semacam. Malu!” jelas Jay tidak bercerita pula tentang klon Jaejoong yang baru ditemui sebentar tadi. Cover cerita beb! Malas pula mahu bercerita mengenainya. Nanti berbagai-bagai lagi soalan ditujukan kepada Jay seperti pesalah yang baru melakukan jenayah.

Jay termenung sebentar sementara menunggu nasi goreng paprik yang dipesan tadi. Fikirannya melayang lagi. Mindanya merantau ke Blok C yang merupakan blok asrama lelaki. Pelbagai soalan muncul di benak fikirannya ketika ini.

Apa nama budak lelaki tu? Ish, menyesal pula dia terlupa nak tanya nama tadi!

Sudah berpunya ke?

Rasa-rasanya klon Jaejoong tu tinggal kat blok C berapa? C1 ke? C2 ke? C3 ke? C4 atau C5?

Klon Jaejoong tu pelajar Sains Hayat ke Sains Fizikal?

Adakah dia selalu menghabiskan masa atau istilah remaja sekarang melepak di gim pada waktu petang?

Adakah....adakah...adakah...?

Banyaknya adakah!

Jay intends to know!

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lily Irdina